3: Belajar dari anak kita



Ke hadapan kekasih hatiku Ayu Raudhah yang cantik menawan. 

Semoga sentiasa diberi limpahan nikmat dan rahmat dari Allah. Izinkan kekasih hatimu ini berkongsi luahan hati tentang satu peristiwa yang terjadi antara kita beberapa detik yang lampau.



Aku duduk separa baring di atas katil.  Kepalaku disandarkan pada katil, mataku ligat memandang syiling. Fikiranku menerawang entah ke mana. Kedua kakiku digoyangkan tanpa tujuan lantas menghasilkan tujahan angin yang memberi nyaman sel kulit pehaku yang tercedera sewaktu duduk antara dua sujud pada majlis yang sangat istimewa petang tadi.

Sesekali, bunyi gelang kakimu yang sedang bersolat sunat Nikah mencuri tumpuanku dan aku lantas mematikan angan-angan yang memenuhi kepalaku tatkala itu. Aku memandang dengan penuh rasa cinta perbuatanmu yang sedang bersembahyang itu. Berkali kau mengajak aku solat bersamamu tetapi rasa malas menyelubungiku. Mungkin kesan dari rasa penat yang terhimpun dan membesar menjadi berpuluh kali ganda akibat dari usahaku menawan hatimu  itu. Tidak senang untuk meyakinkan seorang wanita yang begitu teguh berpendirian dalam menjadi seorang anti vaksin hardcore menjadi isteri kepada doktor barat pro vaksin.

Selesai solat, kau duduk disebelahku. Sedikit malu-malu biarpun meminta untuk dibelai. Dengan penuh gentleman, aku bersuara lembut dan menggoda. Biar gaya seperti seorang kasanova tetapi hati setia pada yang satu.

“Sayang, nanti anak kita nak letak nama apa?”

“Tak tahulah, abang nak namakan anak kita apa?” Kau tersengih malu. Masih belum gagal untuk kembali merenung mataku yang menampakkan bayangan wajahmu itu.

“Hurm, kalau perempuan abang nak letak nama Lady Mary Wortley Montagu tapi kalau lelaki, abang nak letak nama Edward Jenner”

“Amboi abang ni. Memang dasar Doktor Yahudi sungguh. Letak nama anak pun berbelit-belit. Abang ni dah la kulit gelap. Masalah nanti bila anak kita berkulit hitam tapi nama orang putih. Tak ke susah saya nak yakinkan orang ramai yang mereka tu anak abang?”  

Fuh, sikap melawan masih menebal. Lantas aku perlu menukar strategi.

“Sayang, macam mana kita nak besarkan anak-anak kita nanti?”

“Hurm, sayang nak bagi full breast feeding dekat diorang nanti boleh? Sampai umur dua tahun.”

“Alahai sweet nya isteri abang ni. Confirm abang sokong 100%! Itu kan ajaran Al Quran. Lagi? ”

Ayu menarik nafas sedalamnya. “ Saya nak anak kita diberi makanan sunnah. Kita amalkan bersarapan dengan makan kurma dan minum madu di pagi hari, masak menggunakan minyak zaitun, kalau batuk minum Habbatus sawda dan macam-macam lagi lah. Jangan bagi mereka makan Mc Donald, Cikedis, Pizza Hut atau ais cendol!”


“Hurm, bagus tu. Abang ni berpendidikan barat. Tapi tetap nak ikut sunnah. Abang setuju.” Balasku dengan penuh ikhlas, tiada niat untuk membodek golongan anti vaksin.


“Ala sweet nya abang ni. Nak ikut sunnah. Ni ayu sayang dekat abang ni.” Kau mula rancak berbicara. Sudah tidak malu-malu seperti awal tadi.

“Ya, abang nak ikut sunnah. Abang nak kahwin empat orang boleh?” Soalku. 

Panggggg!

Pipiku terasa pedih, pandangan ku mula gelap, jantungku berdegup pantas, peluh merenik membasahi dahi. Satu momentum berlagu.

Dum! 

Aku tersedar. Ku sangkakan tamparanmu tadi begitu kuat hingga aku terjatuh dari katil. Rupanya itu hanyalah mimpiku. Entah kenapa aku terbaring di lantai?


Bila nak saksi kau datang terkulai?
Bila nak saksi kau datang membelai?
Bila nak saksi cintaku sampai?

Kau masih belumpun kupunya
Rinduku masih kau tak peka – Spider, Bila Nak Saksi.


Kekasihku Ayu Raudhah,


Saya tidak pernah menolak saranan yang dikemukakan oleh sahabat ayu, Abu Hannah. Kata orang, jangan tengok siapa yang beri nasihat tetapi tengoklah kandungan nasihat itu. Biarpun abang secara logiknya merasa pelik dengan kecelaruan fakta dan terdapat jurang perbezaan level of knowledge dalam setiap post di facebook nya, tapi abang tetap hormati pendapatnya tentang makanan berkualiti, halal dan terbaik. Abang yakin, makanan yang terbaik pasti akan menjadikan tubuh badan kita sihat.


Dulu abang pun obes. Dengan berat 135 kg dan muka seperti kambing, pasti Ayu tak kan layan mesej abang punya! 


Membaca saranan Abu Hannah membuatkan abang bersetuju dengan sesetengah saranan beliau. Tapi akhirnya abang mendapati bahawa Abu Hannah bukanlah seorang idola agung atau contoh figur parenting terbaik kerana rupa-rupanya pengendali page Abu Hannah ni ramai. Jadi abang pun ragu-ragu dan risau.  Bukan apa, takut kalau abang ikut saranan mereka nanti, abang tak tahu nak mohon maaf dengan siapa.


Oh saya dapat komplikasi akibat tidak mahu vaksinkan anak-anak dan ikut perubatan homeopathy sebab ikut saranan Abu Hannah! Abu Hannah tu kan, dia bla bla bla bla. Eh, Abu Hannah mana yang abang nak salahkan ni?




Ayu Raudhah yang dihormati, 

Sebelum meneruskan bicara, eloklah segala kekhilafan dibuang jauh dari perhubungan kita. Ternyata saya berulang kali membahasakan diri sebagai abang kerana masih terpengaruh dengan mimpi yang mana kita sudah berkahwin dan sedang berta’aruf menghilang resah di malam pertama. Jadi izinkan saya berhenti membahasakan diri sebagai abang.

Biarpun mimpi tentang kita sudah tamat. Tapi ada sesuatu yang masih belum tamat. Yang ingin saya nyatakan pada Ayu dalam mimpi tadi tetapi tidak berkesempatan akibat terlebih dahulu tersedar akibat penampar batin Ayu. Tangan yang menampar saya itu lah yang selama ini begitu gigih menekan kekunci keyboard dan menjadi sedikit nakal.

Saya setuju kaedah membesarkan anak yang ingin Ayu (isteri dalam mimpi) lakukan. Tapi, saya menaruh harapan yang lebih besar kepada anak-anak saya nanti.

Antaranya adalah, saya mahu anak saya nanti membesar menjadi seorang pejuang yang tidak gentar menyatakan keberanian. Dan saya berhajatkan saat di mana saya dapat berkata kepada dunia bahawa saya tidak malu untuk belajar dari seorang kanak-kanak. Akan tiba masa di mana saya mungkin tersilap dan anak kecil saya akan menyatakan kebenaran yang terpendam. Dan dengan penuh rasa rendah diri saya akan berkata,


“Wahai anakku, kamu betul dan kamu telah menghancurkan tembok keegoan ayah dengan ilmumu.”





Si anak kecil bernama Musa pernah meruntuhkan kejahilan manusia bernama Firaun. Maka saya benar-benar berharap agar Ayu dan rakan rakan dapat berlapang dada dengan Marco Arturo. Seorang kanak-kanak warga Mexico yang berusia 12 tahun. Bahasa Inggeris adalah bahasa keduanya. Bererti dia terpaksa bekerja keras dan keluar dari zon selesa. Anak kecil ini sangat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan berusaha sedaya mungkin untuk memahami sesuatu ilmu termasuklah perihal vaksinasi.


Beliau telah menghasilkan satu video pendek berjudul Vaccines Do Cause Autism yang mendapat respons meluas dari seluruh dunia. Paling menarik, ia membawa kepada respons golongan anti vaksin yang berselindung disebalik identiti rahsia.


Ayu yang disayangi, terdapat beberapa ciri yang saya perhatikan dengan Ayu berdasarkan hubungan pendek kita ini. Dan saya dapati bahawa Ayu mempunyai ciri tipikal blogger gerakan anti vaksin seluruh dunia.



Golongan Aktivis Gerakan Antivaksi adalah seorang pembuli media. Demi untuk merencanakan sesuatu agenda , mereka bersembunyi di sebalik akaun palsu. Supaya mereka bebas membuat serangan peribadi, memaki, menyebar dakyah palsu, membuat public humiliation terhadap golongan pro vaksin malah menabur fitnah. Apabila kegiatan jahat mereka diketahui dan tembelang mereka pecah, maka mereka akan segera menutup akaun dan membuka akaun yang baru pula. Kitaran ini akan sentiasa berlaku dan orang seperti Ayu Raudhah akan sentiasa terlepas dari menerima penghakiman yang setimpal dengan perbuatan buli itu.


Seorang saintis dan blogger yang sudah berjuang hampir 12 tahun menentang golongan anti sains atau pendukung Sains Palsu (Pseudoscience) turut mengakui kebenaran ini dan bercerita tentang pengalaman peribadi beliau dibuli oleh golongan anti vaksin yang kalah dalam berhujah. David Gorski atau dikenali dengan nama pena Orac menjelaskan kejadian buli itu seperti berikut [1].[i]


They use a variety of methods to attack. One of their very favorite methods of attack when faced with a pseudonymous blogger is to do everything they can to “out” him or her, revealing name and place of employment, so that they can harass him or her at work. I’ve been subject to this sort of treatment multiple times over the last 11 years, most recently by one of the quackiest of all Internet quacks, who has intentionally dragged my cancer center into his attacks on me, trying to link me to a criminal oncologist who was convicted of Medicare fraud for making tens of millions of dollars administering chemotherapy to patients who didn’t need it, many of whom didn’t even have cancer. Back in 2010, I was subjected to a letter-writing campaign to the dean and board of governors of my university to try to get me fired. Fortunately, in both cases, my university and cancer center stood by me. Another favored method is to abuse Facebook reporting algorithms to get Facebook to issue temporary bans to pro-science vaccine advocates. They even brag about how they do it. Cyberstalking and harassment are their modus operandi. Don’t believe me?


Saya benar-benar berharap agar Ayu tidak bertukar menjadi golongan anti vaksin yang sebegitu. Saya sendiri menerima pendapat golongan anti vaksin berhubung pendirian mereka untuk tidak memberi suntikan imunisasi kepada anak mereka. Hal ini akan saya kongsikan dalam bab seterusnya.

Kenapa saya risau Ayu jadi begitu. Kerana penelitian saya terhadap komen balas Ayu Raudhah pada laman facebook saya tidak langsung menjawab perbahasan sebaliknya membuat serangan peribadi atau harrassment kepada pengguna sosial media.


Oleh yang demikian, saya menghargai page Pseudoscience Watch yang memaparkan counter argument terhadap golongan Anti Sains atau Pseudoscience ini. Rational disebalik menyembunyikan identiti diri mereka adalah wajar untuk mengelakkan pembulian melalui media sosial oleh golongan anti vaksin yang tidak bertanggungjawab.

Sewaktu admin page Pseudoscience Watch menghubungi saya lama dahulu berhubung isu kelambakan doktor palsu dan penipuan teknik rawatan berbentuk scam, mereka telah terlebih dahulu memaklum saya akan risiko dibuli dalam media sosial andai saya menggunakan identiti sebenar dalam menjawab segala dakyah palsu golongan anti sains atau pseudoscience ini. Bahkan mereka turut menyampaikan rasa bimbang apabila saya mula menulis buku berkenaan Medical Marijuana. Ini berlandaskan pengalaman mereka yang beberapa kali diserang oleh golongan penagih yang mahu menghalalkan ganja di Malaysia. Penulisan buku tersebut saya hentikan di pertegahan jalan. 

Walaubagaimanapun, hasil perdebatan dengan seorang penggiat buku alternatif yang terlibat dalam penggunaan ganja di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 baru baru ini telah meniup sedikit kekuatan untuk saya kembali menulis buku tersebut.

Saya sedar akan risiko untuk menerima lebih banyak serangan dan buli dari golongan ini. Adalah tidak hairan, segala maklumat tentang saya akan didedahkan di media dan ia mungkin boleh menyebabkan kehilangan nyawa.  Andai suatu hari nanti keluar apa-apa kenyataan, gambar atau tuduhan buruk terhadap saya, maka saya nyatakan disini bahawa ia boleh terjadi. Saya tidak pernah hairan dengan semua itu kerana saya tidak akan sesekali mengangkat bendera untuk mengatakan bahawa saya orang baik, beriman, alim atau beragama maka jadikan saya sebagai idola! Tidak.

Mereka yang kenal saya sejak dari kecil pasti tahu bahawa saya bergaul dengan semua orang demi untuk mematangkan gaya pemikiran saya. Tidak ada rahsia kepada semua pihak tentang penglibatan saya dengan budak-budak nakal seperti skinhead kerana semua itu ada dinyatakan dalam buku saya berjudul PROgnosis dan MORtuari yang diterbitkan oleh DuBook Press Sdn Bhd pada tahun 2015 dan 2016.

Hasil dari ‘pergaulan’ dengan mereka membolehkan saya memahami sebab disebalik kebejatan yang berlaku. Malah ia juga mengubah persepsi saya tentang pegangan ho·li·er-than-thou yang turut menjadi barah kepada sesetengah golongan kita termasuklah saya pada suatu ketika dulu.   Pergaulan ini membantu saya menemui banyak jawapan seperti kenapa seseorang itu menjadi pelacur, taktik lelaki berhidung belang dalam memperdayakan anak gadis bagi meniduri mereka, penindasan golongan kelas pekerja dan sesetengah kes berprofil tinggi yang tidak boleh dibicara kepada umum. 

Kesemua itu membuatkan gaya penulisan saya lebih banyak mengangkat tema tentang masyarakat kelas ketiga atau bottom societies.  Saya percaya bahawa setiap dari kita harus mula belajar untuk berbicara secara matang.


Yang membezakan sesuatu perbezaan matang dengan tidak adalah dengan membahaskan hipotesis, huraian hipotesis, methodologi dan kecelaruan fakta sesuatu isu. Orang yang matang akan berani mengakui kesalahan mereka sekiranya wujud.


Itu adalah pendirian saya berhubung kes sahabat Ayu Raudhah iaitu Abu Hannah. Berbulan lamanya saya menunggu jawapan balas Abu Hannah dalam satu perdebatan antara saya dan beliau di laman facebook sahabat baik saya iaitu Ustaz M.D Hafiz Afandi. Ketika itu kami berdebat tentang isu Homebirth ataupun Kelahiran Amani yang dipelopori oleh golongan yang seakan bertindak sebagai Pro Choice.





Sehingga kini, cabaran tersebut tidak pernah berjawab sehinggalah Abu Hannah meluputkan akaunnya dan kini membuat akaun baru pula. Kesemua ini membuat saya berfikir dan sedar bahawa perbahasan dengan golongan ini adalah sia-sia dan membazir masa.


Akan tetapi, mereka menimbulkan ancaman yang cukup besar pada masyarakat seluruh dunia. Teori konspirasi contohnya banyak mengangkat tema agenda Freemason dalam menjatuhkan agama Islam. Lucu ataupun tidak, tema berhubung Teori Konspirasi ini juga wujud dalam agama Kristian, Yahudi, Buddha dan Cina. Ia tidak ekslusif pada satu agama atau bangsa sahaja. Ini kerana, teori konspirasi wujud apabila golongan anti sains atau golongan anti-berfikir-secara-mendalam mencari alasan untuk melepaskan diri mereka apabila tidak dapat menjawab persoalan yang ditimbulkan. 

Apabila mereka kalah berhujah, mereka lebih cenderung menyalahkan entiti lain demi untuk mengekalkan pendirian mereka biarpun terbukti salah. 

Sayangnya, masyarakat kita cukup gemar dengan segala teori konspirasi ini. Bahkan, buku buku tulisan tokoh teori konspirasi dicetak oleh penerbit buku mainstream. Malah, tokoh-tokoh pendokong teori konspirasi turut dijemput untuk berceramah di Malaysia atau diwawancara oleh stesyen Televisyen.

Kita harus mula belajar dari anak kita. Disebalik tajuk bab ini, ada makna yang cuba saya huraikan. Contoh yang saya kemukakan iaitu tentang Marco Arturo adalah satu bukti kesungguhan menuntut ilmu dalam kanak-kanak. Isu yang dibawa oleh Marco tentang vaksinasi dan Autism ada saya jelaskan secara superfisial dalam bab sebelum ini dan akan dibahas secara mendalam dalam bab seterusnya.

Akan tetapi, ada  sesuatu yang jauh lebih penting dan harus kita belajar dari anak kita. 

Iaitu satu keinginan untuk menerokai dunia, himpunan seribu soalan untuk mengetahui bagaimana alam berinteraksi dengan entiti di dalamnya atau naluri untuk mencuba dan membuat eksperimen.  Sayang sekali, sifat ini hilang sebaik sahaja kita meningkat dewasa dan lebih cenderung untuk menerima sesuatu idea secara bulat- bulat.

Kekasihku Ayu Raudah,

Saya mesti terus mengambil inspirasi anak kecil. Membuat lebih pembacaan dan kajian dan seterusnya berkongsi penemuan tersebut dengan para pembaca. Saya memilih untuk menulis karya berbanding melakukan perdebatan satu lawan satu dengan Ayu ataupun kawan kawan Ayu.  Perdebatan tidak akan menguntungkan sesiapa tetapi penulisan karya ini akan kekal sebagai bukti kewujudan masalah ini andai saya sudah meninggal dunia nanti.

Saya juga berharap agar Ayu dapat bersama-sama saya sehingga tamatnya perjuangan ini. Ayuhlah kita sama-sama berbahas fakta melawan fakta dan berusaha untuk mencari kebenaran. 


Bersama-sama kita belajar dari anak kecil,
Sambil meneladani pengajaran dari Ramadhan,
Moga kebenaran menjadi milik kita.

Dr Jacknaim.




[i] Orac, "Antivaccine activists gleefully attack and dox a 12-year-old boy who made a pro-vaccine video" 8 June 2016, http://scienceblogs.com/insolence/2016/06/08/antivaccine-activists-gleefully-attack-and-dox-a-12-year-old-boy-who-made-a-pro-vaccine-video/