Bab 13 (c) PENILAIAN BUKTI KAJIAN SAINTIFIK, PEMALSUAN BUKTI ERADIKASI SMALL POX DAN RAWATAN MENGGUNAKAN MADU.

KAEDAH PERDEBATAN DAN PENILAIAN KERTAS SAINTIFIK DALAM MENCARI KEBENARAN.

Kehadapan Ayu Raudhah yang saya kasihi,

Merujuk kepada tulisan Saudari bertajuk MENJAWAB SURAT CINTA KE 12 JACKNAIM, saya percaya bahawa ia membahaskan artikel saya yang bertajuk BAB 12. AEFI YANG DISEMBUNYIKAN.

Saya menzahirkan sepenuh rasa kesyukuran di atas teguran dan kritikan terhadap penulisan saya.

Disebabkan tulisan saudari mengkiritik bukti yang saya kemukakan, maka saya akan jelaskan kenapa tulisan saya ditulis dengan gaya sedemikian. Beberapa frasa ayat yang boleh ditemui dalam tulisan Ayu tersebut sangat menarik dan ia membuka peluang untuk saya menjelaskan polemik isu yang kita bincangkan sekarang dengan lebih mendalam. Frasa ayat tersebut termasuklah,

1.       Metodologi yang salah menghasilkan interpretasi yang salah juga.
2.       Saya tak tahu bagaimana beliau boleh angkat paper yang menjadikan 1 case report sebagai hujah
3.       Laporan ini juga tidak menunjukkan hubungan sebab dan akibat.
4.       Kajian yang dibuat di Barat itu telah dibuktikan kepalsuannya........
5.       Hasil penyelidikan ini membuktikan
6.       Jacknaim mengangkat isu keburukan Madu dan habbatussauda ini sebenarnya mahu menimbulkan keraguan pada masyarakat awam atas Thib Nabawi dan berniat jahat menghancurkan argumentasi para pengamal Thib Nabawi
7.       Nampak gayanya sahabat sudah terperangkap. Sebenarnya, vaksin Tripedia itu telah pun di ditarik balik kerana laporan kesan sampingan yang diterima. Bahkan Malaysia sendiri tidak menggunakan vaksin itu
8.       Masalah metodologi yang rapuh. Harap awak jelas

Berdasarkan itu, disepanjang penulisan surat saya sehingga kini, tema perbahasan saya dalam SURAT SURAT CINTA BUAT AYU RAUDHAH:APA YANG DOKTOR SEMBUNYIKAN DARI MASYARAKAT TENTANG VAKSINASI adalah selari dengan watak yang ditonjolkan melalui akaun facebook milik  Ayu Raudhah.


Adab perbahasan dan perdebatan ialah kita harus tahu definisi perbahasan itu terlebih dahulu. Apabila pendefinisian itu sudah lengkap dan kemas, baru kita boleh bergerak ke fasa seterusnya iaitu dari segi metodologi dan kaedah pembuktian hujah. 

Disebabkan itu, perbahasan saya disini dijalankan dalam bentuk yang sangat longgar dan santai. Bukan melalui disiplin ilmu yang ketat kecuali di bahagian yang kritikal. Bab kesahihan bukti lebih saya tekankan berbanding kekuatan bukti itu. Bukti yang sahih sekalipun lemah masih tetap menjadi hujah yang tidak boleh ditolak 100%.

Pendefinisian juga penting bagi memastikan satu-satu perdebatan itu dapat mencapai konklusi yang diingini. Juga menentukan status perdebatan itu sebagai bersifat ilmiah, separa ilmiah atau bicara kedai kosong.

Apabila saya melihat kaedah perdebatan Ayu Raudhah yang longgar dan tidak mementingkan pembebanan bukti yang berat, maka ia sendiri dapat menjelaskan metodologi saya dalam menjawab soalan-soalan Ayu.

Sayangnya, hingga ke Surat ke 12, baru Ayu menyedari akan hala tuju perdebatan ini. Sedangkan dari awal lagi saya sudah ada satu pendefinisian ketat disepanjang penghujahan saya.  Dan kaedah itu lah digunapakai apabila ahli perubatan berbahas tentang satu-satu jurnal perubatan. Disiplin ini kami panggil sebagai CRITICAL APPRAISAL.



Critical appraisal is the process of carefully and systematically examining research to judge its trustworthiness,and its value and relevance in a particular context. (Burls 2009)


Melalui ilmu ini kami membuat hukum untuk menentukan kesahihan satu-satu kertas kajian samada ia benar atau palsu, berkualiti atau tidak berkualiti dan berkeupayaan untuk mengubah satu-satu kaedah rawatan.

Ia juga digunakan untuk menentukan taraf satu-satu kertas itu; samada konklusi yang dibuat satu-satu kertas itu bertaraf sekadar pernyataan umum, membawa idea baru, membawa teori baru yang dibuktikan melalui kajian, merangsang kepada penghasilan hipotesis lain, cukup kuat untuk mengubah amalan perubatan hari ini atau tidak.

Maka apabila orang awam membuat keputusan untuk bercakap tentang satu-satu kertas kajian sains perubatan tanpa berpegang pada disiplin ini, maka ia akan menghasilkan huru hara. Disebabkan itu, kami sangat mementingkan penglibatan hanya AHLI DALAM BIDANG ILMU itu. Bukan kerana kami tidak mahu masyarakat menjadi lebih bijak dari doktor. Tak! Sebaliknya ia ilmu yang sangat sukar untuk dipelajari. Bahkan, ada doktor yang sudah bekerja sepuluh tahun pun tak kan memahami ilmu itu. Atas dasar itu juga apabila saya membuat satu-satu critical review maka saya akan tetap mendapatkan pengesahan dari doktor pakar atau consultant untuk menentukan ilmu tersebut boleh diguna atau tidak.  Tetapi, dalam keadaan yang terhad, sesetengah kertas kajian itu dapat dijadikan garis panduan.

Contoh yang boleh saya kongsikan adalah melalui pengalaman terhad peribadi saya. Pernah suatu ketika, hospital kami ketiadaan pakar kerana berpindah. Sebagai pegawai perubatan yang paling senior di jabatan (walaupun masih dikira junior) saya dipanggil untuk membantu merawat seorang pesakit yang berusia 40-an. Pesakit dibawa ke hospital kerana mengadu sakit dada dan mengalami kegagalan jantung dalam perjalanan ke hospital. Tekanan dada dilakukan dan pesakit diberi renjatan elektrik beberapa kali. 

Atas beberapa justifikasi (ketiadaan pakar, tiada kemudahan rawatan PCI, tiada mechanical CPR device dan pendapat bahawa ia dilakukan untuk the best interest for patient) maka saya membuat keputusan untuk memberi ubat IV streptokinase secara bolus sewaktu tekanan dada dijalankan.  Jantung pesakit berdegup kembali, tekanan darah stabil, ada tindak balas otak. Tapi sayangnya, pesakit meninggal dua minggu kemudiannya kerana kami tidak dapat mengawal tekanan dalam otak yang semakin bertambah.

Apabila sudah ada pakar, maka setiap proses rawatan untuk kes sebegini akan dibincangkan dengan pakar dan kebanyakan masa, ia tidak diamalkan. Kenapa? Sebab perbuatan tersebut dilakukan sebagai cuba jaya disebabkan faktor kekurangan yang berlaku. Cuma terdapat satu kes di mana pakar saya bersetuju untuk memberi ubat streptokinase kepada pesakit yang berjaya kami mulakan kembali degupan jantung selepas tekanan dada dan memberi renjatan elektrik. Itu pun dilakukan di atas pemilihan yang terhad.

Maksudnya, kaedah rawatan sebegitu ada dijelaskan dalam kertas kajian saintifik perubatan. Tetapi ia tidak boleh diangkat sebagai satu kaedah rawatan standard di atas sebab sampel kajian yang terlampau kecil, hasil rawatan yang tidak memberansangkan atau terdapat kaedah rawatan yang lebih superior bergantung kepada teknologi sesuatu hospital itu. Tetapi dalam kes terpencil, ia digunakan setelah mengambil kira pelbagai kemungkinan dan dibuat atas dasar untuk kebaikan pesakit atau atas posisi GOOD SAMARITAN LAW dan tidak terpakai dalam situasi biasa.,


Apatah lagi dalam menilai pengenalan ilmu baru untuk membaiki sesuatu yang sudah dipegang oleh seluruh dunia
.Sebagai contoh apabila berbicara tentang pendefinisian sepsis (Jangkitan kuman dalam badan) melalui The Third International Consensus Definitions for Sepsis and Septic Shock (Sepsis-3) oleh European Society of Intensive Care Medicine’s dan Society of Critical Care Medicine’s berdasarkan Sequential Organ Failure Assessment (SOFA) score. Seluruh ahli perubatan dunia berpegang pada pendefinisian lama berkenaan SIRS, SEPSIS, SEVERE SEPSIS, SEPTIC SHOCK. Setiap pernyataan tersebut mempunyai subset yang banyak dan telah diterima oleh majoriti doktor perubatan seluruh dunia.  Maka, seluruh masyarakat dunia ini masih tetap BERPEGANG PADA DEFINISI LAMA (Kerana itu adalah established fact) tetapi pada masa sama, menilai definisi baru ini yang membuang frasa SIRS dan mengecilkan skop kepada SEPSIS, ORGAN DYSFUNCTION dan SEPTIC SHOCK


Kaedah yang sama juga diguna pakai berhubung isu polemik tentang vaksin ini. Tidak kisahlah bagaimana golongan anti vaksin cuba memutarbelit isu ini, ia tetap tidak dapat lari dari kenyataan bahawa Vaksin adalah satu-satunya intervensi yang berkesan. Ia sudah menjadi satu pegangan ahli perubatan. Ada ahli perubatan yang cuba untuk mengubah amalan ini seperti yang cuba dilakukan untuk pendefinisian semula SEPSIS tetapi tidak berjaya. Oleh itu, majoriti ahli perubatan yang cuba menolak vaksin tidak akan menolak keberkesanan vaksin sebaliknya hanya mampu membincangkan isu mengenai kesan sampingan vaksin. Hal ini walaubagaimanapun tidak difahami oleh orang awam.


Maka dengan itu, berbahas dengan orang awam tentang satu-satu taraf kertas kajian saintifik adalah sia-sia. Bukan menafikan kepekaan mereka atau memandang rendah pandangan mereka tetapi ia hanya menghasilkan DIALOG AYAM-ITIK. Masing-masing rasa mereka sudah menang tetapi hakikatnya, salah satu darinya menghasilkan pemahaman ilmu yang sesat dan menyesatkan.

Perbahasan yang santai dan tidak mencapai tahap akademik akan dibalas menggunakan perbahasan luaran tanpa menggunakan  disiplin ilmu yang ketat. Itu adalah kayu ukur perbahasan yang saya guna disepanjang perbahasan dengan watak Ayu Raudhah ini. Segala perbahasan saya adalah bersesuaian dengan definisi atau premis yang saya bawa. Berkisar pada tajuk buku ini.

SURAT SURAT CINTA BUAT AYU RAUDHAH : APA YANG DOKTOR SEMBUNYIKAN DARI MASYARAKAT TENTANG VAKSINASI

SURAT-SURAT CINTA: Bukti keterangan bertulis yang dapat dijadikan keterangan atau bukti. Surat-surat bererti perbuatan mengutus siri bukti keterangan bertulis. Adapun demikian, setiap siri surat membawa pelbagai maksud. Ada yang bersifat memaklumkan, teguran, sebagai jawapan balas kepada satu-satu isu, penafian dan sebagainya. Cinta diguna sebagai simbolik bagi memberi maksud bahawa segala teguran, penafian, penjelasan fakta, sindiran ini dilakukan dengan penuh kasih-sayang, berhemah dan tidak bermaksud untuk membawa kepada permusuhan. Juga sebagai tanda cinta saya yang mahukan Ayu Raudhah berhenti dari memberi maklumat, nasihat dan ajaran salah kepada masyarakat. Kerana saya tidak mahu beliau berpalit dosa percuma, memberat dan menenggelamkan beliau dalam lembah kehinaan yang amat dalam.

Dalam konteks ini, saya menyampaikan teguran atas rasa tanggungjawab saya dan dilakukan dengan penuh akademik berserta sindiran, humor atau satira dan tidak berniat menimbulkan permusuhan. Bagi saya, kebenaran itu jauh lebih penting dari segala-galanya kecuali ukhwah. Tetapi ukhwah tidak harus menjadi penghalang aktiviti menegakkan kebenaran. Ia bagai menarik rambut dari tepung di mana kita tidak mahu tepung tumpah dan rambut itu putus.

AYU RAUDHAH: Merujuk kepada akaun pengguna facebook dan telah saya jelaskan melalui PROLOG dan BAB 1. Ia tidak merujuk kepada individu spesifik bernama Ayu Raudhah. Identiti palsu ini boleh merujuk kepada siapa-siapa. Lelaki, perempuan, pondan, keyboard warrior, nabi palsu dan sebagainya. Oleh kerana profil Ayu Raudhah ingin dikenali sebagai doktor, maka surat saya adalah berkias kepada status yang ingin beliau bawa. Tapi adakah ini bermaksud beliau betul-betul seorang doktor? Ya atau tidak! Hanya Ayu Raudhah yang tahu secara pasti.

Jika tanya saya, jawapan saya hanya berdasar anggapan yang dihasilkan daripada siri penilaian melalui perbahasan selama beratus jam. Anggapan saya tidak semestinya benar. Tapi bagi saya, watak AYU RAUDHAH adalah BAHAYA. Kerana ia menimbulkan persepsi salah kepada masyarakat. Seolah-olah Ayu adalah orang yang berilmu tinggi atau doktor yang cuba berpaling dari norma professional dan cuba mendedahkan rahsia hitam doktor perubatan yang menipu masyarakat disebalik agenda vaksin dan imunisasi.

Dalam beragama, ada dinyatakan tentang konsep NABI PALSU. Ia telah diberi amaran oleh Allah melalui Al Quran dan berlaku sejak dari zaman dahulu lagi. Bahkan, selepas kematian Nabi Muhammad juga wujud golongan Nabi Palsu. Ia diperangi oleh khalifah Islam dengan serius kerana boleh membawa kerosakan pada masyarakat.

Maka, AYU RAUDHAH juga harus diperangi dengan penuh kasih sayang. Ia berbahaya kerana  masyarakat secara sembarangan akan mengikut saranan bahaya oleh manusia yang tidak mempunyai autoriti, bersembunyi di sebalik identiti palsu. Malah, banyak tuduhan yang dilempar oleh watak Ayu Raudhah juga menyimpang dari bukti sebenar dan mempunyai unsur penipuan, sentimen, propaganda dan ilmu sesat.

Setiap manusia harus bertanggungjawab di atas apa-apa sahaja tindakan yang mereka lakukan. Pengguna facebook patut berasa malu apabila mereka mengagung-agungkan watak Ayu Raudhah dan mengikut saranan watak ini. Ia tidak ubah seperti mengikut tipu daya dan putar belit iblis.

Kenapa saya membuat perumpamaan kejam ini?

Manusia kenal iblis, tahu pasal Iblis tapi adakah manusia pernah lihat iblis secara terang-terangan? Mereka hidup di alam ghaib. Hal yang sama dinisbahkan kepada Ayu Raudhah. Pengguna facebook hanya membuat andaian bahawa dia adalah doktor wanita yang cerdik. Tapi, adakah pengguna facebook pernah berjumpa Ayu Raudhah di alam maya. Adakah pengguna facebook sanggup mengambil risiko untuk menerima bisikan Ayu Raudhah ini? Ia adalah satu tindakan yang sangat kejam buat diri sendiri.

Bagaimana jika Ayu Raudhah ini seperti Nabi Palsu? Yang membawa idea dan risalah yang kelihatan seperti benar. Tetapi ia sebenarnya penuh dengan penipuan. Adakah golongan sebegini harus terus dibiarkan berbuat sesuka hati mereka? Adakah ibu bapa yakin mereka tidak menzalimi anak-anak mereka dengan menolak vaksin berdasarkan sentimen yang dimainkan oleh Ayu Raudhah?

APA YANG DOKTOR SEMBUNYIKAN DARI MASYARAKAT TENTANG VAKSINASI:  Menonjolkan isu-isu yang kononnya disembunyikan oleh doktor dari masyarakat. Sembunyi membawa maksud yang luas. Mungkin tidak diberitahu atas faktor tidak cukup masa, kerana tidak releven, sudah menjadi norma amalan yang diterima masyarakat hingga tidak perlu dibangkitkan atau adakah terdapat agenda disebaliknya? Atau ia mempunyai perbahasan panjang yang sia-sia jika dibangkitkan.

Contohnya, isu vaksin menyebabkan autisme. Adakah berbaloi untuk para doktor berbicara tentang komplikasi yang dibina berdasar hipotesis yang tidak dibuktikan kebenarannya, menimbulkan panik dan sebagainya.

Maka pembaca harus jelas dan dapat menilai halatuju dan kualiti perbahasan ini. Kerana itu, saya akhirnya memilih untuk BERHENTI berbahas secara hakiki dengan watak Ayu Raudhah kerana dari awal lagi beliau tidak memahami langsung isu yang ingin beliau perdebatkan.

Maka tidak hairanlah bahawa Imam Al Shafie memberi amaran untuk tidak berbahas dengan orang yang tidak berilmu kerana ia adalah perbuatan yang sia-sia. Akan tetapi, watak Ayu Raudhah memainkan sentimen seolah-olah beliau adalah ilmuan yang cukup hebat dan agung.

Beliau tampak sebagai hero hanya disebabkan oleh satu kenyataan. Ya, beliau memenangi sentimen masyarakat yang sedang emosi kesan daripada AEFI disebabkan vaksin.

Sedangkan beliau langsung tidak faham apa yang beliau perdebatkan. Maka, kesilapan besar beliau mengutus surat MENJAWAB SURAT CINTA KE 12 JACKNAIM telah menampakkan tahap akademik Ayu Raudhah dan cukup untuk membuktikan bahawa beliau BUKAN ILMUAN dalam BIDANG PERUBATAN. Menggelarkan atau mempercayai bahawa Ayu Raudhah adalah seorang doktor adalah satu FALASI (perkataan yang digemari oleh Ayu Raudhah).

Biar saya tunjukkan bagaimana

Ayu Raudhah fokus pada masalah metodologi. Kalau awak faham ini, insyaallah selesai lah seluruh permasalahan.


Berpuluh kali Ayu mengatakan bahawa saya harus fokus pada metodologi untuk menyelesaikan permasalahan ini. Isu nya, siapa yang tidak faham metodologi? Apa guna berbahas tentang metodologi jika Ayu langsung tidak tahu apa yang ingin diperbahaskan.


Mari kita lihat bukti bahawa Ayu tidak faham apa yang beliau cuba perdebatkan. Dalam beberapa siri surat saya, ada beberapa ayat yang sengaja saya guna untuk menjerat watak Ayu Raudhah bagi menunjukkan tahap intelektual beliau. Ini termasuklah melalui cerpen sinis KEMBANG SEPATU MEKAR BERSAMA KESUNYIAN CUORA AMBOINENSIS JANTAN.

Sebab itu saya kata, “Perbahasan yang santai dan tidak mencapai tahap akademik akan dibalas menggunakan perbahasan luaran tanpa menggunakan  disiplin ilmu yang ketat”

Ingat amaran saya, SEMUA ORANG BOLEH NAMPAK AKADEMIK. Tetapi, hanya AHLI SESUATU ILMU dapat menilai KESAHIHAN TAHAP AKADEMIK ITU.



2. Beliau sekali lagi mengangkat data-data statistik dari second rate research mengatakan vaksin berjaya menghapuskan penyakit smallpox dari dunia dan berjaya mengawal penyakit measles, pertusis dan lain-lain.


Ada tak sesiapa ahli perubatan disini yang tahu maksud second rate research? Dalam menilai satu-satu kertas kajian, ahli perubatan akan menyifatkan satu-satu kertas kajian itu sama ada high quality atau pun low quality.


Second rate research? Mungkin hanya di ajar oleh En Google kepada Ayu Raudhah. Cuba cabar Ayu Raudhah untuk kemukakan definisi second rate research tu apa? Sebab tu saya cabar Ayu Raudhah supaya buat pendefinisian baru halatuju perdebatan yang beliau inginkan. Tetapi nyata, beliau sendiri tidak tahu apa yang nak diperdebatkan.


Sebabnya? Sebab dia bukan ahli dalam bidang ilmu perubatan ini.


Bahkan tahun 1979, WHO dengan bangganya mendeklarasi pembasmian smallpox tersebut

Ini adalah salah satu contoh penipuan ilmiah yang dilakukan oleh Ayu Raudhah apabila berbicara tentang topik yang bukan dalam kepakaran beliau. Contohnya kesilapan fakta besar tentang deklarasi eradikasi wabak smallpox.


Bukan tahun 1979 sayang, sebetulnya 8 Mei 1980 iaitu sewaktu Perhimpunan Agung Badan Kesihatan Sedunia ke 33. Kenapa ia diisytiharkan sebagai 'eradicated'. Kerana kali terakhir kejadian smallpox berlaku secara semulajadi adalah penghujung oktober 1977 di Somalia. Manakala kejadian secara tidak sengaja berlaku akibat kemalangan di makmal perubatan pada September 1978 di England.


3. Ayu Raudhah mendapati smallpox belum berjaya dibasmi dari dunia kerana pada tahun 2002 - 2005, WHO mengumumkan kepada negara anggota supaya mengadakan stok vaksin smallpox atas alasan ancaman bioterorisme (senjata biologi)

Kenyataan ini pasti membuat para pembaca bersetuju dengan kenyataan saya. Anda tidak boleh membahaskan satu-satu isu tanpa memahami maksud atau istilah yang ingin diperbahaskan. Sebagai contoh, dalam membahaskan frasa “Perang Memerangi Keganasan” ataupun”War on Terror” ia merujuk kepada kampen yang dijalankan oleh Amerika Syarikat selepas pengeboman World Trade Center pada 11 September 2001. Perkataan ini pertama kali disebut oleh Bush pada 20 September 2001. Ia tidak merujuk aktiviti umum melawan siri keganasan. Jika tidak, pasti Amerika sudah menghantar bom ke Burma yang sedang gigih menghapuskan etnik beragama muslim di sana.

Apa maksud eradicated?

Terdapat banyak siri kampen memerangi wabak smallpox bersifat global yang digerakkan oleh Badan Kesihatan Sedunia sejak dari Tahun 1948[i]. Definisi yang digunapakai untuk mengisytiharkan 'eradication' small pox pula adalah berdasarkan kriteria yang dibuat oleh   WHO Scientific Group on Smallpox Eradication (1968) dan kemudiannya diperhalusi pada tahun 1971dan 1972 oleh and WHO Expert Committee on Smallpox Eradication (1972).  Kriteria itu adalah,

"From a practical viewpoint,countries in which smallpox has recently been persistently present may consider the disease to be eradicated when no cases of smallpox occur during the three years following the end of  a satisfactory vaccination programme"

Kriteria ini turut dipersetujui dan disahkan beberapa tahun sebelum pengisytiharan eradication of smallpox dibuat oleh Consultation on the Worldwide Certification of Smallpox Eradication (1977) dan siri mesyuarat Global Commission for the Certification of Smallpox Eradication pada tahun 1978 dan 1979. Kriteria penuh itu adalah;

"Eradication of smallpox is defined as the elimination of clinical illness caused by variola virus. Since smallpox is transferred direct from man to man in a continuing chain of transmission, and since there is no human carrier state of epidemiological Importance and no recognized animal reservoir of the disease, the absence of clinically apparent cases in man may be assumed to signify the absence of naturally occurring smallpox.”


"In order to be able to confirm the interruption of smallpox transmission an effective surveillance is needed so that clinical infections can be detected. Recent experience indicates that, in all countries with a reasonably effective surveillance programme, residual foci can be detected within 12 months of apparent interruption. Thus, in countries with active surveillance programmes, at least 2 years should have elapsed after the last known case-excluding well-defined and contained importations-before it is considered probable that smallpox transmission has been interrupted.”



"Because of the ease with which smallpox can be transmitted from one country to another, the concept of 'eradication' can apply only to a continent. Thus, although smallpox may be considered to have been eradicated from certain continents, it cannot yet be said to have been eradicated from Africa, Asia, or South America.”


"On the basis of epidemiological and technical considerations and the considerable experience acquired so far, the Committee believes that the global eradication of smallpox, as defined above, is possible."


4. Padahal virus smallpox hanya disimpan di 2 makmal sahaja iaitu (Amerika dan Rusia). Pengganas mana lagi yang mampu sebar virus kalau bukan penyimpan virus itu sendiri? Mereka sebar virus, lalu mereka menjaja vaksinnya. Sama macam dalam filem Jadoo lakonan hero idola Ayu, Hritik Roshan 

Adakah bukti yang dibawa oleh Ayu Raudhah ini membuktikan bahawa program vaksinasi GAGAL. Tentu sekali sejarah tidak akan mampu menafikan keberkesanan vaksin dalam menghapuskan 10 juta ancaman smallpox.

Adakah eradikasi bererti tidak ada virus smallpox? Baca elok-elok definisi WHO. Pastikan Ayu Raudhah belajar dan tamatkan kursus dalam bidang perubatan dan jadi seorang doktor yang baik terlebih dahulu sebelum mengaku menjadi doktor dan menyebar ilmu sesat dalam facebook.

Perbahasan dalam kalangan ahli perubatan sedunia wujud apabila Amerika Syarikat dan Russia masih menyimpan stok virus di makmal perubatan mereka. Ini membawa kepada gesaan WHO yang meminta kedua negara menghapuskan stok ini pada tahun 1990. Dan berlanjutan hingga ke hari ini.[ii] Setelah mengambil kira pelbagai faktor (keselamatan, kemungkinan virus timbul berikutan ada bukti virus tersebut dijumpai dalam mumia mayat) maka kedua negara ini berkeras untuk tidak menghapuskannya.

Adakah penyakit bawaan virus ini masih boleh berlaku kerana kita sudah menghentikan program vaksinasi mencegah smallpox dan tiada lagi kes smallpox berlaku.

Ya, boleh. Maksud eradikasi adalah seperti yang saya nyatakan mengikut definisinya. Tetapi jika ada pengganas menjangkiti manusia (Secara bukan semulajadi) maka ia boleh kembali ada. Tapi adakah itu menafikan bukti bahawa smallpox berjaya dihapuskan dengan vaksin? Tentu sekali tidak bukan.

Terdapat laporan dimana saintis menemui sisa tinggalan botol berisi virus smallpox yang berusia berpuluh tahun lamanya. Bermakna, terdapat kecuaian dalam proses pelupusan sisa virus ini oleh saintis yang menjalankan kajian terhadap virus ini sebelum pengisytiharan keberjayaan kampen vaksinasi melawan wabak smallpox. Ingat, jika ditakdirkan ia menjangkiti manusia disebabkan oleh kecuaian, maka ia tidak dikira sebagai wabak smallpox.

Contohnya penemuan enam botol berisi virus smallpox yang sudah mati di National Institutes of Health in Bethesda, Maryland pada tahun 2014. Berdasarkan label pada botol tersebut, spesimen itu dihasilkan pada tahun 1950 an lagi.[iii]

Kes yang sama juga dapat dilihat melalui penemuan sampul surat lama yang dijumpai dalam buku berkaitan perubatan di Zaman Perang Dingin (1988) di Perpustakaan College of Santa Fe's Fogelson Library[iv]. Sampul surat itu dipercayai milik Dr W.D Kelly  dan bertulis "scabs from vaccination of W.B. Yarrington's children," Dr W.D Kelly adalah penulis buku itu dan tidak mustahil ia adalah sebahagian dari kajian yang dilakukan oleh beliau.


Kesimpulan: Smallpox hilang dari dunia bukan kerana kejayaan vaksin. Tapi kejayaan dunia memerangi bioterorisme. Pola penurunan kes measles, pertusis, polio dll itu bermula dari tahun 1920 lagi atas banyak faktor.

Sekali lagi Ayu Raudhah berbicara tentang isu yang beliau langsung tidak ada ilmu tentangnya. Ancaman CBRNE - Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosives adalah satu topik yang sangat menarik berhubung persediaan dunia untuk memerangi ancaman keganasan. Malah, ia menjadi minat majoriti pakar perubatan. Bahkan, kami di bahagian Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah antara pihak yang bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara untuk menangani kemungkinan berlaku krisis ini Ancaman ini sudah wujud bertahun lamanya semenjak dari perang dunia pertama lagi. 

Gerakan kesedaran akan isu ini dibawa secara besar-besaran oleh Amerika Syarikat pada tahun 2010-2011. Sehingga kini, pelbagai teori dihasilkan berhubung kemungkinan serangan CBRNE berlaku. Begitu juga langkah pencegahan yang diambil oleh seantero global.

Topik ini sudah jauh menyimpang dari tajuk asal perbahasan berkenaan vaksin. Ia adalah bab yang langsung tidak berkaitan dengan isu yang diperdebatkan.

Ingat definisi awal perbahasan! Jika wabak smallpox dicetuskan oleh pengganas atau senjata biologi, maka ia tidak dikira sebagai outbreak yang menjejaskan maksud ‘eradication’

Eradication = Pembasmian wabak small pox melalui intervensi program vaksinasi mencegah smallpox yang dijalankan oleh WHO.

Mana-mana pembaca yang berminat untuk mengetahui topik ini boleh menjemput mana-mana Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma bagi membicarakan topik ini termasuklah Dr Abdul Kadir Abdul Rahman yang disifatkan oleh Ayu Raudhah sebagai kokdiang. Ayu cukup bangga sekali mewar-warkan kepada dunia facebook bahawa Dr Abdul Kadir gagal dalam perbahasan dengannya sedangkan ia tidak lebih dari delusi Ayu Raudhah sendiri. Segala bukti perdebatan bodoh tersebut masih disimpan dan saya tidak berniat untuk mendedahkannya bagi memalukan Ayu Raudhah. Cukup sekadar saya menjawab persoalan beliau.

Walaupun saya ada mengikuti kursus tentang topik ini, ia tidak cukup untuk memberi posisi kepada saya bagi membincangkan isu ini secara lebih mendalam.


Kalau kita belajar metodologi penyelidikan, kajian tinjauan (observational studies: cohort, cross sectional, case control etc) tidak mampu memberikan jawapan secara pasti hubungan sebab dan akibat (causal relationship) penyakit kerana data dan kesan diambil pada masa yang bersamaan. Metodologi yang salah menghasilkan interpretasi yang salah juga.

Macam mana nak bincang bab metodologi kalau awal-awal peringkat definisi dah sangkut. Dah tak faham asas sesuatu kajian. Tak faham macam mana nak baca jurnal perubatan. Jadi hujah ini tidak perlu diperbahaskan.  Susah bila orang awam nak berbahas dengan doktor bab ilmu perubatan ni.  

Sumpah Ayu, saya boleh hasilkan 10 muka surat jawapan kepada ayat awak ni. Tapi seperti yang saya cakapkan tadi. Orang awam tidak perlu mengetahui disiplin ilmu ini. Cukup hanya ahli perubatan! Jika Ayu nak berbahas bab ini, saya jemput kita buat di Majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh pakar perubatan sahaja. Kalau nak bincang berdua-duaan dengan saya pun boleh, dalam kelambu pun boleh. Dengan syarat, kena akad nikah dulu. Hantaran kahwin sebiji Quran.

Deal?

6. Kemudian, beliau sendiri mengangkat paper yang bahas kesan sampingan buruk vaksin. Alhamdulillah. Beliau mengakui nya dan sudah menjawabnya sendiri. Ayu suka sangat.

Kesalahan akademik yang dilakukan oleh Ayu Raudhah disini adalah apabila memfitnah saya mengangkat ‘paper’ yang bahas kesan sampingan buruk vaksin. Sedikit pembetulan. Apabila ahli perubatan menggunakan perkataan paper; ia merujuk kepada artikel-artikel perubatan atau kajian.

Terdapat beribu kajian dijalankan untuk satu-satu topik contohnya tentang vaksin dan autism itu sendiri. Kesemua kertas-kertas kajian ini akan dinilai oleh sekumpulan ahli mesyuarat bagi membuktikan kesahihannya. Selepas itu, mereka akan merumuskan pelan saranan rawatan atau intervensi yang dipanggil sebagai Clinical Guidelines atau garis panduan. Ia akan menjadi satu standard operation procedure untuk satu-satu organisasi. Apabila terdapat bukti-bukti baru yang shahih maka manual ini boleh berubah. Biasanya ia dinilai kembali setiap 4-5 tahun kerana tempoh tersebut mencukupi bagi menyediakan bukti. Garispanduan ini dikeluarkan oleh badan berwajib berdasarkan bukti-bukti tershahih pada waktu itu.

Jika perkara asas sebegini gagal difahami oleh mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai doktor, saya rasa tidak keterlaluan untuk memberi saranan kepada  mereka untuk terjun dari tingkat tujuh bangunan hospital dari terus menyesatkan masyarakat.

Beliau sekali lagi mengangkat data-data statistik dari second rate research mengatakan vaksin berjaya menghapuskan penyakit smallpox dari dunia dan berjaya mengawal penyakit measles, pertusis dan lain-lain


Sebab tu saya ketawa Bila Ayu guna perkataan angkat data-data statistik dari second rate research. Pertama, istilah second rate research itu adalah direka oleh beliau sendiri. Kedua beliau gagal memahami apa itu research paper, apa itu critical appraisal dan apa itu clinical guidelines. Sedangkan data tersebut adalah dari kenyataan ;

Causality  assessment  of  adverse  event  following  immunization  (AEFI):  user  manual  for  the revised  WHO classification. World Health Organization 2013.

Alhamdulillah. Beliau mengakui nya dan sudah menjawabnya sendiri. Ayu suka sangat. "Ingat apa yang saya katakan sebelum ini? (sesetengah kecacatan genetik tidak kelihatan tanpa ada provokasi) Dan ya, dalam kes ini, pemberian vaksin merangsang kejadian tersebut", Jacknaim

Ini juga jenayah akademik yang dilakukan Ayu Raudhah buaat saya. Saya kecewa kerana cinta tulus ikhlas saya dibalas dengan penipuan dan manipulasi sebegini. Saya hanya mampu berdoa agar Allah mengurniakan saya seorang wanita yang jujur dan setia untuk menjadi sayap kiri perjuangan saya. Beliau ingin tampak seperti hero apabila membawa sentimen yang saya bersetuju dengan beliau.

Soalan saya, setuju pasal apa?

Setuju pasal AEFI?

Itu adalah FALASI. Bagaimana jika teori tentang AEFI itu dibuat dan diakui oleh World Health Organization dan tiba-tiba Ayu cakap saya bersetuju dengan beliau. Seolah-olah dia yang cipta istilah AEFI dan kami badan kesihatan sedunia bersetuju dengan beliau.

Dalam kes ini, beliau lah yang bersetuju dengan kami. Cuma bezanya, beliau terdesak untuk tampil sebagai hero seolah-olah mereka jaguh yang menjuarai perjuangan membawa isu AEFI. Sama juga page-page sampah lain. Mereka bukan pejuang Tuan Puan. Sebaliknya, kami sudah berlaku jujur dengan mendedahkan risiko rawatan. Mereka hanya mengambil kesempatan di atas kejujuran kami lantas tampil segak bergaya seperti hero dalam drama jam 7 petang.


Tapi beliau melakukan kesalahan yang fatal apabila mengkritik madu sebagai penyebab penyakit botulism pada bayi bawah umur 1 tahun. Serangan membuta tuli atas madu ini dibuat berdasarkan tiga (3) kertas iaitu:
 
Umpan mengena. Check mate!

Saya diminta untuk membawa bukti bahawa ada risiko penyakit infant botulism untuk bayi berumur 1 tahun. Untuk pengetahuan Ayu Raudhah. Ada beribu-ribu kertas kajian saintifik berkenaan madu dan infant botulism. Ada yang menyokong dan ada yang menolak. Sama sahaja dengan isu garispanduan vaksin. Berdasarkan kertas-kertas ujian ini (contoh yang saya tunjukkan dan ada yang Ayu tunjukkan) maka satu garis panduan dikeluarkan. Garis panduan itu wujud kah Dr Jacknaim?

Ya. Bukan satu bahkan lebih dari satu. Antaranya dari the Centers for Disease Control and Prevention (CDC)[v], American Academy of Pediatric[vi], Australia[vii], American National Board of Honey[viii], New Zealand[ix], Kanada[x] dan lain-lain. Malah Kerajaan Arab Saudi juga tidak mengeluarkan mana-mana saranan untuk memberi madu kepada bayi berumur bawah 1 tahun.

Logik mereka bersifat FALASI. Mereka katakan kami menentang ajaran Nabi Muhammad S.A.W dan perubatan Islam padahal mereka berbicara melalui logik akal semata-mata.

Tambahan: Ayu curiga Jacknaim mengangkat isu keburukan Madu dan habbatussauda ini sebenarnya mahu menimbulkan keraguan pada masyarakat awam atas Thib Nabawi dan berniat jahat menghancurkan argumentasi para pengamal Thib Nabawi. Maafkan ayu kalau salah. Padahal Ayu kan dah bahas dalam surat 3 bahawa Thib Nabawi itu dapat mengisi 'kelompongan' yang wujud pada perubatan standard.



Soalan saya berulang kali sebelum ini. Mana bukti Rasulullah ajar kita bagi madu kepada bayi? Mana buku Att Tibb An Nabawi yang sarankan pemberian madu pada bayi. Di mana kamu belajar Att Tibb An Nabawi? Apa Kriteria pengijazahan At Tibb An Nabawi yang kamu canang-canangkan?


Siapa yang berniat jahat disini? Ayu Raudhah dan golongan yang menipu atas Nabi Muhammad atau Dr Jacknaim?

Dalam Islam sendiri ada disiplin ilmu. Kenapa ada mazhab sedangkan banyak bukti berbeza tentang amalan kehidupan Rasulullah. Kerana kita harus ikut keputusan badan yang mempunyai sumber autoriti. Jika setiap manusia atas dunia ini boleh mengeluarkan hukum dan mengarahkan orang lain mengikutnya, maka huru hara dunia ini. Islam mengajar kita tentang kesepakatan dan pemilihan bukti yang shahih dan benar. Itu juga jadi amalan ahli perubatan masa kini.

Jadi, apa pegangan Ayu Raudhah?

Pegangan saya adalah selari mengikut saranan agama dan badan kesihatan seluruh dunia. Dalam bab beragama, saya tetap Islam. Tapi bila saya ambil keputusan untuk tidak terikat pada satu-satu mazhab maka itu adalah pandangan peribadi saya yang tidak boleh disaran atau diajar pada orang lain. Pendapat peribadi tidak harus dijadikan asas dalam membuat penghukuman. Hanya sekadar menjadi satu panduan bagi membawa kepada siri kajian dan pembelajaran lanjutan.

Kajian yang dibuat di Barat itu telah dibuktikan kepalsuannya oleh kumpulan doktor dari Al Khafji National Hospital Saudi Arabia yang menyelidiki lebih dari 220 contoh Madu dari pelbagai negara dan wawancara dengan keluarga dari lebih 1500 bayi yang diberi minum Madu sejak lahir.

Disini jelas bahawa Ayu Raudhah tidak faham apa itu kertas kajian perubatan. Mereka hanya tahu membaca satu-satu kertas kajian secara luaran tapi langsung tidak faham kertas kajian itu sendiri. Apabila kajian sebegini dibuat. Ia bukan bertujuan untuk MEMBUKTIKAN KEPALSUAN kajian Barat. Malah, ia tidak pernah menjadi tujuan satu-satu kertas kajian itu dibuat. Kertas kajian dibuktikan palsu apabila terdapat bukti pemalsuan kaedah kajian dijalankan atau pemalsuan data. Contoh pembuktian pemalsuan kertas kajian adalah melalui kes Wakefield yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Kerana kajian membuktikan pemalsuan kertas kajian cukup sukar untuk dijalankan.

Sebabnya, satu-satu kajian tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama dengan lain. Tidak! Banyak faktor perlu diambil kira. Dalam kes pemberian madu, Ayu Raudhah telah memfitnah para doktor yang menjalankan kajian ini.

Pertama, kajian ini bukan bertujuan untuk membuktikan kepalsuan kertas kajian barat (yang tidak Ayu Raudhah nyatakan kertas mana) Kedua, penulis kertas kajian ini sendiri tidak menyatakan bahawa madu harus diberi kepada bayi berumur bawah satu tahun, itu adalah falasi. Apa kesimpulan kertas kajian ini?

In sum, the suggested recommendation not to give bee honey to infants below 1 yr of age should be re-evaluated.[xi]

Maksudnya, mereka menggesa agar saranan untuk menghentikan pemberian madu kepada bayi bawah umur satu tahun dinilai kembali (re evaluate). Ingat balik apabila saya membahaskan tentang satu-satu Clinical Guidelines. Kenapa para pengkaji membuat saranan ini?

Senang. Sebab di Arab Saudi sendiri terdapat berpuluh-puluh buah hospital. Dan kerajaan Arab Saudi sendiri tidak menyarankan pemberian madu kepada bayi berusia bawah 1 tahun setelah menilai pelbagai kertas kajian. Ada yang pro kepada penggunaan madu kepada bayi dan ada yang menolak.  Malah, kebanyakan buku tentang madu pun tidak berani membuat kenyataan tegas untuk menyarankan pemberian madu kepada bayi bawah satu tahun.[xii] 

Maksudnya, satu-satu kertas kajian tidak boleh dijadikan asas untuk mengubah keseluruhan polisi. Kerana itu, penulis kertas kajian ini sendiri membuat keputusan sedemikian. Tapi sayang, ia gagal difahami Ayu Raudhah.

Jika AYU nak menang hujah ni, senang sahaja. Tunjukkan bukti bahawa kertas kajian oleh doktor dari Al Khafifi Hospital telah Mengubah dasar dan Polisi kesihatan di Arab Saudi. Jika tiada, maka saya ucapkan selamat tinggal lah kepada Ayu Raudhah. Kasihan saya tengok siri debat Ayu Raudhah Vs. John Peng. Macam Ayam bergaduh dengan Itik. 


Padahal beliau mati-matian kritik paper Wakefield atas alasan saiz sample yang kecil pada surat yang lepas

Ini juga satu pemalsuan akademik yang dilakukan ke atas saya. Saya menghuraikan isu kertas kajian Wakefield tidak kurang dari lima muka surat dan beliau hanya memainkan sentimen alasan saiz sample kajian yang kecil. Sedangkan, penolakan kertas kajian tersebut disebabkan oleh banyak faktor. Saiz sampel hanya satu isu. Tapi isu besar penolakan kertas kajian itu adalah pembuktian PENIPUANAKADEMIK dan PEMALSUAN KAJIAN oleh Wakefield.


Sahabat ku Jacknaim, ingat ini.. Selamanya kajian akal tidak akan mampu menandingi khabar dari Al-Quran dan Hadith autentik!


Sekali lagi kekasih ku Ayu Raudhah berbicara menggunakan akal pada kepala lutut dan bukan akal pada otak di kepala beliau yang mempunyai ubun-ubun. Ada akal saya menandingi khabar dari Al Quran dan Hadis autentik? Itu adalah fitnah berganda-ganda dari seorang kekasih kepada si pencinta yang setia.

Mana hadis dan Al Quran yang authentik yang kamu nyatakan? Ada tak dinyatakan dalam hadis dan quran supaya madu diberi kepada bayi? Yang ada hanya pernyataan umum bahawa madu adalah penawar. Tapi tak diceritakan penawar kepada golongan mana. Begitu juga dalam bab habbatus sawda.

Ada tak dalam mana-mana ayat saya menulis bahawa Madu itu racun yang membunuh manusia dan Al Quran dan Hadis menyiarkan penipuan. Jika ada, saya beri pisau kepada Ayu Raudhah untuk tikam saya 1000 kali dan robek segala isi perut saya. Biar saya mati dan jasad saya tidak diterima bumi dari menjadi kafir yang membawa fitnah pada Islam.

Kalau nak ambil Al Quran, mesti ikut disiplin ilmu. Jangan hanya pakai akal sempit yang tak didasari Ilmu. Pergi belajar dengan ulama tafsir dan ulama seluruh dunia dulu. Kalau nak ambil Quran secara umum, Quran sebut pasal kebaikan arak dan judi. Adakah ini bererti Islam ajar umat dia supaya minum arak dan main judi? Sebab Al Quran cakap kedua-dua benda ini mempunyai manfaat. Dalam Quran pun sebut perkataan Syaitan yang sangat banyak. Jadi, adakah itu indikasi untuk kita jadi pengikut Syaitan?

Ah lemah sungguh cara orang Islam befikir pada hari ini. Maka tidak hairan ramai saintis islamik zaman dulu yang menjadi muktazillah atau murtad. Mereka jadi sedemikian bukan sebab Al Quran dan hadis itu palsu. Tidak! Mereka jadi begitu sebab suasana Islam itu yang menyempitkan ruangan agama dan menjadikan agama sebagai tunggangan untuk menjalankan agenda keji mereka.

Nampak gayanya sahabat sudah terperangkap. Sebenarnya, vaksin Tripedia itu telah pun di ditarik balik kerana laporan kesan sampingan yang diterima. Bahkan Malaysia sendiri tidak menggunakan vaksin itu. Penarikan vaksin ini dari pasaran pada tahun 1998

Ini satu lagi fitnah jahat Ayu Raudhah dan pemalsuan terhadap tulisan akademik saya. Ada tak dalam mana-mana artikel di mana saya yang membenarkan kenyataan ini.

Dalam BAB 12: BAHAYA AEFI YANG DISEMBUNYIKAN dibawah tajuk kecil BAGAIMANA KEYBOARD WARRIOR BERMAIN DENGAN SENTIMEN AEFI? Saya memberikan contoh isu Tripedia untuk menghuraikan kaedah manipulasi, brainwash dan propaganda yang dimainkan oleh golongan pemutar belit anti vaskin seperti Ayu Raudhah dan page anti Pseudoscience Watch. Saya kecewa kerana kasih sayang saya terhadap Ayu Raudhah dibalas dengan bom nuklear yang ditulis dalam masa setengah jam dan mengandungi tuduhan palsu, penipuan dan manipulasi. Sedangkan saya terpaksa mengambil masa antara satu hingga 3 hari untuk menulis satu-satu isu.

Disebabkan Ayu ada menyentuh isu ini. Maka saya huraikan sedikit sebanyak tentang isu ini kembali.

Tidak pernah ada dalam kenyataan saya mengatakan Malaysia menggunakan Tripedia. Kerana tujuan tripedia dihasilkan pada peringkat awal adalah sebagai booster atau dos keempat dan seterusnya. Malah, pada awalnya, ia tidak langsung disarankan pemberian kepada bayi kecil. Hanya sebagai dos keempat dan kelima untuk kanak-kanak berumur 15 bulan hingga 7 tahun yang sudah menerima dos standard DtaP yang disarankan.[xiii] [xiv] Apabila lebih banyak data diperolehi, barulah kesahihan keselamatannya terbukti dan ia berkesan seperti vaksin DtaP standard yang digunakan. Maka ia menjadi satu alternatif DAN BUKAN KEWAJIPAN menggunakannya[xv].

Hujah Ayu mengatakan bahawa vaksin itu ditarik dari pasaran pada tahun 1998 juga adalah fitnah. Malah, pada tahun 2000 dan 2001 ia dibenarkan untuk digunakan sebagai vaksin alternatif bermula dari dos pertama hingga kelima. Hanya pada tahun 2011, pihak Sanofi Pasteur mengumumkan untuk tidak menyambung pemprosesan vaksin ini. Vaksin ini tidak pernah DITARIK BALIK. Malah, mereka menyatakan bahawa stok yang ada mencukupi sehingga  pertengahan tahun 2011. Jika ia ditarik balik dari pasaran, bermakna stok vaksin ini akan dihapuskan dan diberhentikan pemberiannya. Bukannya dengan meneruskan penggunaan sehingga stok vaksin DI PASARAN HABIS.

Mereka yang suka main kereta mesti setuju dengan saya. Bahawa mereka akan upgrade kereta mereka sampai puas hati. Bila sudah sampai limit, mereka akan beli kereta lain yang mempunyai spesifikasi yang lebih bagus. Isu Tripedia ni kita boleh faham macam tu la. Apabila satu-satu ubat sudah melepasi tempoh pematenan hak, maka syarikat farmasi lain boleh meniru teknik dan kaedah mereka untuk hasilkan vaksin ini. Maka untuk terus kekal berada dalam pasaran, mereka mesti sentiasa upgrade dari semasa ke semasa produk mereka dan menghentikan produk lama. Jika mereka tidak melakukan perubahan atau penambahbaikan maka mereka akan tewas. Lihat sahaja kes di mana NOKIA tewas dalam pasaran antarabangsa. Adakah ini disebabkan oleh produk NOKIA tidak berkualiti tinggi? Tak! Sebaliknya, ia disebabkan oleh pesaing mereka menghasilkan produk yang jauh lebih baik.

Dalam kes Tripedia, mereka sendiri membangunkan vaksin yang jauh lebih efektif untuk menangani lebih banyak penyakit.  Contohnya Pentacel atau Diphtheria and Tetanus Toxoids and Acellular Pertussis Adsorbed, Inactivated Poliovirus and Haemophilus b Conjugate (Tetanus Toxoid Conjugate) Vaccine yang diluluskan bermula tahun 2008. Untuk makluman Ayu Raudhah, vaksin ini juga dibangunkan oleh Sanofi Pasteur yang juga menghasilkan Tripedia.

Beginilah lingkaran syaitan dalam dunia perniagaan vaksin. Manusia jadi tikus percubaan. Lepas satu jenama ditarik, muncul lagi jenama lain

Nampak tak jenayah akademik yang dilakukan oleh Ayu Raudhah semata-mata berpegang dengan teori konspirasi (sekalipun dinafikan beliau). Analogi peminat kereta yang saya kemukakan masih boeh digunakan disini. Sewaktu Pentacel diluluskan pada tahun 2008. Penggunaan Tripedia di Amerika Syarikat masih diteruskan sehingga 2011. Tidak ada istilah satu jenama ditarik balik dan satu jenama lagi muncul. Sebaliknya apabila satu tahap, mereka mendapati tidak ada keperluan menghasilkan vaksin 3 dalam satu yang berharga mahal sedangkan mereka juga mempunai vaksin  5 dalam 1 dengan harga yang hampir sama.

Tak kan lah abang nak ajar Ayu Raudhah tentang konsep marketing dan business strategy baru Ayu nak faham isu ni. Pentacel ni tak ubah seperti kereta Proton Saga la. Generasi pertama dihasilkan antara tahun 1985 hingga 2008. Lepas tu generasi kedua dihasilkan pada tahun 2008. Dan akhirnya generasi ketiga pada tahun 2016. Bila generasi ketiga dihasilkan, adakah terdapat keperluan untuk menghasilkan lagi kereta proton Saga generasi pertama?

Ayu Raudhah yang saya kasihi,

Dengan penuh rasa rendah diri dan atas sifat kasih sayang seorang lelaki selaku pemimpin keluarga maka saya menasihatkan Ayu Raudhah untuk kembali ke landasan agama dan saintifik yang lurus. Saya menyeru agar Ayu Raudhah berhenti melakukan penipuan akademik, pemalsuan bukti, dan penyelewengan fakta serta berterusan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Saya sayang Ayu Raudhah sebagai seorang Muslim dan berpegang pada saranan Nabi. ‘Tidak Sempurna iman seseorang muslim sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi diri sendiri.’

Oleh itu, saya sentiasa mengalu-alukan ruang untuk Ayu Raudhah melakukan debat tertutup atau perbincangan secara peribadi dengan saya.

Seboleh-bolehnya, saya ingin mengelak dari menjawab Ayu Raudhah secara terbuka kerana ini hanya akan memalukan Ayu Raudhah. Saya tidak mahu maysarakat mula menghancurkan integriti Ayu Raudhah yang pada ketika ini sedang retak menanti belah.


Yang ingin terus membimbingmu ke jalan yang lurus.
Dr Jacknaim
One & Only Bar Café Lahad Datu, 16/7/2016.

Nota Kaki:




[i] F. Fenner, D.A. Henderson, I. Arita, Z. Jezek, I.D Ladnyi, "Smallpox and its Eradication" WHO 1988
[ii] Editorial, "Why not destroy the remaining smallpox virus stocks?" Vaccine 29 (2011) 2823–2824
[iii] "Forgotten smallpox vials found in cardboard box at Maryland laboratory". The Guardian. July 8, 2014.
https://www.theguardian.com/science/2014/jul/08/smallpox-vials-found-cardboard-box-maryland-laboratory
[iv] "Century-old smallpox scabs in N.M. envelope". USA Today: Health and Behavior. 2003-12-26
http://usatoday30.usatoday.com/news/health/2003-12-26-smallpox-in-envelope_x.htm
[v] Infant Botulism -- Massachusetts, http://www.cdc.gov/mmwr/preview/mmwrhtml/00000307.htm
[vi] Margaret C. Fisher, "Immunizations And Infectious Diseases: An Informed Parent's Guide", American Academy of Pediatrics, 2006
[vii] NHMRC (National Health and Medical Research Council) (2013). Infant Feeding Guidelines: Summary.
Canberra: National Health and Medical Research Council
[viii] Dr. Jill A. Snowdon for the National Honey Board , "INFANT BOTULISM: AN OVERVIEW" http://www.honey.com/images/uploads/general/Infant_Bot_by_Snowdon_1997.pdf
[ix] Ministry of Health. 2008.Food and Nutrition Guidelines for Healthy Infants and Toddlers (Aged 0–2):A background paper (4th Ed) – Partially Revised December 2012. Wellington: Ministry of Health.
[x] A joint statement of Health Canada, Canadian Paediatric Society, Dietitians of Canada, and Breastfeeding Committee for Canada, "Nutrition for Healthy Term Infants: Recommendations from Birth to Six Months" http://www.hc-sc.gc.ca/fn-an/nutrition/infant-nourisson/recom/index-eng.php
[xi] AbdulRhaman M, Tayseer N. Not giving honey to infants: A recommendation that should be reevaluated. Journal of the American Apitherapy Association. 2005
[xii] Nathaniel Altman, "The Honey Prescription: The Amazing Power of Honey as Medicine" Inner Traditions / Bear & Co, 9 Mar 2010
[xiii] Summary Basis for Approval. Reference No.: 90-0353 Proper Name: Diphtheria and Tetanus Toxoids and Acellular Pertussis Vaccine, Adsorbed. Trade Name: Tripedia TM. US Food and Drug Administration, September 1996
[xiv] September 27, 1996 Approval Letter - Tripedia
[xv] Rujuk FDA melalui surat "August 24, 2000 Approval Letter - Tripedia" dan "March 7, 2001 Approval Letter - Tripedia"