Prolog


Ke hadapan pembaca yang saya kasihi dan hormati sekalian,
Nothing is absolute without a clear truth. A truth is based on evidence. But still, the truth can be wrong by having a wrong evidence. To me, the only clear truth that present in this universe is the existence of the Almighty God.

Sehingga hari ini, terdapat 13 kes diphteria disahkan di Kedah, Melaka dan Sabah yang mana telah meragut 5 nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa. 4 kes tersebut adalah dari Sabah di mana ia melibatkan 3 kematian. Ketika catatan ini ditulis, seorang kanak-kanak sedang berjuang dengan kematian di Selatan Tanah Air Kita. Mesin ventilator menjadi penyambung nyawa. Usaha menggerakkan anti toksin bagi merawat jangkitan tersebut giat dijalankan. Ia mungkin tidak sehebat The Great Race of Mercy to Nome 1925, yang diketuai oleh seekor anjing bernama Balto, tetapi para doktor seluruh malaysia pasti merasai debaran seperti yang dialami oleh Dr. Curtis Welch. 
Satu kes baru juga sedang dilaporkan di utara Tanah Air saat jari jemari terus menari di atas papan kekunci lembut Asus A456U berwarna silver.
Vaksin kembali menjadi polemik di seluruh negara. Para Pro Vaksin menyalahkan golongan Pro Choice atau Anti Vaksin kerana menyebabkan kepincangan pada teori Herd Immunity lantas membawa kepada siri outbreak penyakit berjangkit di Malaysia terutamanya Pertussis, Measles dan Diphteria. 
Pro Choice menyerang balas dan mengemukakan pelbagai bukti bagi membuktikan ketidakberkesanan vaksin. Hujjah berkenaan vaksin menyebabkan autism, Adverse Events Following Vaccination (AEFI), vaksin tercemar dengan sumber babi atau janin bayi, kewujudan alternatif pencegahan seperti makanan sunnah mula membanjiri laman sosial seperti facebook.
Masing-masing mempunyai hujjah dan pendirian. Tetapi yang pasti, kedua mereka mempunyai satu persamaan.
Kita semua sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan anak-anak kita dari krisis yang sedang melanda dunia. Mungkin, kita cuba untuk mengurang murka Tuhan yang Maha Esa. Wabak adalah tanda kecil hari kiamat yang maha dasyhat.
 Siapa diantara dua puak ini yang berada di pihak yang benar? Golongan atas pagar sedang menilai dengan penuh minat untuk menentukan landasan yang akan mereka ikuti nanti. Satu keputusan yang bakal mengubah masa hadapan.
Bagi saya, golongan pro vaksin dan anti vaksin hanya benar pada premis ingin menyelamatkan anak-anak mereka. Yang lain, ia harus bergantung kepada siri bukti yang nyata dan jelas. Pihak yang berada di puncak kemenangan tidak semestinya terus benar andai bukti yang membenarkan hipotesis itu salah dan tertolak. Dan pihak yang kalah tidak semestinya orang-orang yang berdusta kerana mereka hanya gagal membuktikan kebenaran bukti bukti mereka.
Soalnya, siapa yang berada di pihak yang benar?
Surat-Surat Cinta Buat Ayu Raudhah: Apa Yang Doktor Sembunyikan Dari Masyarakat? Ini ditulis dalam bentuk novel satira berdasarkan hubungan dua hala dengan seorang pengguna laman sesawang facebook yang menggunakan identiti sebagai Ayu Raudhah. Di awal kemunculan beliau, tertampang biodata sebagai jururawat yang bertugas di Hospital Sungai Buloh. Kemudian, ia bertukar kepada identiti sebagai Doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Selepas sesi perdebatan serius antara beliau dan beberapa orang doktor pakar di alam maya, nyata perkataan doktor telah dipadam dari status informasi facebook beliau.
Biodata Ayu Raudhah kekal menjadi misteri. Dia boleh sahaja seorang gadis jelita cantik yang bisa memukau pandangan mata seorang lelaki dan membuat jantung berdegup pantas. Menjadi kerinduan buat Sang Kekasih dalam menjalani hari-hari yang penuh mencabar. Namun, dia bisa juga merupakan seorang lelaki transgender yang sedang dilema dengan status identiti diri. Atau dia juga boleh jadi sekadar seorang keyboard warrior agung yang sedang cuba memecah-belahkan masyarakat tentang isu vaksinasi. 
Tiada siapa tahu tentang diri Ayu Raudhah. Saya juga tidak tahu. Tapi, ada sesuatu pada karekter ini yang menimbulkan kesedaran kepada saya untuk mula menekan papan kekunci dan mula berutus surat dengan beliau sewaktu menghabiskan hari cuti setelah penat bertugas sebagai pegawai perubatan. Dan kini, dalam meneliti baki-baki akhir bulan Ramadhan sambil menghabiskan cuti maka saya menyambung kembali siri ini. Segala surat-surat lama diperbaharui dan ditambah bahan bukti yang jelas dan nyata.
Ya, siri ini sangat panjang kerana ditulis dalam bentuk novel satira. Tetapi, ia adalah satu penjelasan tentang polemik yang berlaku pada masa kini. Dan sekalipun dalam bentuk novel satira, ia adalah hujah melawan hujah.
Seperti mana kehendak Ayu Raudhah yang ingin dirinya digelar sebagai seorang doktor, maka novel satira ini ditulis atas plot doktor vs doktor dalam misi untuk menyelamatkan peradaban dunia. Salah satu dari mereka pasti membawa risalah palsu. Tetapi yakinlah, kebenaran pasti akan terserlah di akhir cerita.
Semoga kita sama-sama dapat membuka hati dan fikiran untuk menilai isu ini secara professional dan intelektual.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, ayuh kita mulakan kembara kita.

Dr.Jacknaim,
4/7/2016, 9.15 am.