1. KITA SEPERTI BATMAN DAN SUPERMAN



BAGAIMANA IA BERMULA?

Kehadapan gadis misteri Ayu Raudhah,

Jika Ayu adalah doktor perubatan, percayalah bahawa saya benar-benar berharap untuk mengenali saudari setahun lebih awal dari sekarang. 

Mengikut pengiraan secara pandang belakang, saya berstatus bujang dan tidak terlibat dalam apa-apa hubungan istimewa dengan mana-mana gadis pada ketika itu. Ini akan memberikan saya masa yang cukup untuk memikat hati  Ayu.  Waktu itu sekurang-kurangnya akan meningkatkan peratusan untuk saya berjaya membawa Ayu keluar menonton wayang terhangat tahun 2016.

Dengan penuh dominan, saya akan membuat keputusan mutlak tanpa kompromi untuk membawa Ayu menonton dua wayang yang boleh kita kongsikan pengajarannya secara berjemaah dan pasti meningkatkan persefahaman antara kita sebagai pasangan kekasih doktor perubatan. Dua filem tersebut adalah Batman Vs. Superman: Dawn of Justice dan Captain America: Civil War. Apa kan daya, filem pertama sudah saya tonton bersama puteri impian dan filem kedua ditonton sewaktu bertapa di dalam Hutan Kawag Danum Rainforest Lodge. Entah siapa yang membuat dajjal memuat turun movie tersebut lantas membuka ruang untuk saya mensabotaj industri perfileman Hollywood dengan menonton cerita cetak rompak. 

Dalam pertarungan di antara Jeneral Zod dan Superman, Bruce Wayne memerhati dari jauh akan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa manusia yang tidak bersalah. Akal Bruce mentafsirkan Superman sebagai satu ancaman kepada ketamadunan manusia dan harus dihapuskan. Atas dasar kecintaan terhadap manusia dan kebencian terhadap jenayah, Bruce gagal bertoleransi dengan tindakan Superman. Biarpun mereka berdua mempunyai perjuangan yang sama iaitu membawa keamanan pada dunia.

Begitu jugalah peperangan dingin antara pasukan Stark dan pasukan Rogers dalam filem Captain America: Civil War. Plot yang menarik kerana ia menggabungkan beberapa pengalaman peribadi watak watak dalam filem tersebut yang akhirnya dikait berakar umbi dari Perang Dingin kesan manipulasi pertubuhan rahsia Hydra.  

Dalam kedua-dua filem ini, masing masing mempunyai niat baik untuk menyelamatkan dunia. Akan tetapi, perbezaan pendapat dan pelan penyelesaian dilihat tidak menguntungkan kedua belah pihak dan saling memusnahkan antara satu sama lain. Di penghujung cerita, pengajaranya adalah jelas iaitu matlamat yang sama harus menyatukan dua pihak yang bertelagah. Kesan penyatuan itu mungkin tidak mampu untuk mengelakkan kemudharatan tetapi berjaya mencegah bencana dari berlaku.

Maka saya melihat watak fiksi awak ini bukanlah sebagai contra kepada saya dan majoriti ahli perubatan yang Pro vaksinasi bahkan kita sebenarnya adalah di pihak yang sama. Kedua pihak kita adalah pro kepada kesihatan sejagat. Maka, saya rasa kita semua bersetuju bahawa masing-masing ingin populasi dunia semakin sihat. Yang membezakan adalah melalui kaedah dan teknik apa.

Walaupun awak bersembunyi di sebalik akaun palsu, tetapi ia membawa satu mesej yang cukup jelas dan tidak mampu untuk disembunyikan lagi. Maka ada baiknya kita berterus terang agar perbincangan kita akan berlangsung dalam keadaan penuh ilmiah dan mengikut disiplin ilmu yang berteraskan pencarian kebenaran. 


LANTAS, AYU ITU BATMAN ATAU SUPERMAN?

Ayu adalah perlambangan kepada golongan ahli perubatan yang kontra kepada kaedah vaksinasi. Adakah ini bermaksud Ayu Raudhah adalah seorang doktor? 

Mungkin ya tetapi tidak semestinya. Bahkan apabila kita melihat sejarah kewujudan Ayu Raudhah dalam alam facebook, terdapat kekeliruan yang telah Ayu wujudkan. 

Pertama apabila awak mendedahkan bahawa anda merupakan seorang jururawat yang bertugas di Hospital Sungai Buluh. Walaubagaimanapun, saya yakin yang Ayu menyedari  bahawa penggunaan identiti ini tidak akan membawa impak yang maksima dalam usaha untuk kempen anti vaksinasi di Malaysia. Ini dipengaruhi oleh kecenderungan masyarakat kita yang dipanggil selective attention dan bias terhadap taraf authoriti.

Malah pendedahan daripada pemilik akaun facebook parody Fira Milzah[i] yang mendedahkan penyamaran Ayu Raudhah menggunakan gambar seorang gadis muslim Thailand, Ni-iskandar Jitprasitpohn[ii] telah menyebabkan dia mem’block’ akaun Fira Milzah dan menukar gambar-gambarnya kepada individu yang masih belum dapat dikesan identitinya. 

Maka strategi bertukar dengan menukar identiti menjadi seorang doktor wanita yang bertugas di PPUM.  Identiti asal tidak didedahkan atas alasan mengelak dari dikenakan tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau dianiaya oleh sesetengah masyarakat Malaysia yang boleh bertindak agresif terhadap kaum wanita.

Walaubagaimanapun, ahli perubatan yang sudah memantau pergerakan Ayu buat sekian lama di Facebook sudah sedia maklum akan penipuan ini. Apatah lagi Ayu melakukan kesilapan dengan meletakkan tarikh lahir 1 Mac 1993 di profil Facebooknya[iii]. Rata-rata Doktor di Malaysia akan mula bekerja sebagai doktor pelatih atau houseman pada usia antara 24 hingga 27 tahun bergantung kepada tempat pengajian dan sistem kemasukan ke Sekolah Perubatan samada melalui A Level, Matrikulasi atau STPM.  

Doktor pelatih atau houseman adalah tempoh latihan internship di hospital hospital kerajaan untuk doktor-doktor yang baru menamatkan pengajian mereka dari Sekolah Perubatan . Houseman adalah doktor tetapi mereka tidak mempunyai autoriti untuk membuat sebarang keputusan berhubung rawatan ke atas pesakit. Segala tindakan atau perbuatan mereka dalam merawat pesakit di hospital adalah dibawah pengawasan dan tanggung jawab Pegawai Perubatan yang mempunyai Sijil Pendaftaran Penuh di bawah Malaysian Medical Council.

Akan tetapi, untuk pelayar facebook yang baru mengenali Ayu, penggunaan identiti ini adalah bertepatan dengan senario pada hari ini. Tidak hairan, ada yang mengambil serius penyamaran Ayu Raudhah sebagai seorang doktor. Ini membawa kepada aktiviti tidak bertanggungjawab pengguna facebook yang menyebarkan pendedahan palsu Ayu Raudhah berhubung bahaya vaksinasi ataupun sudut gelap perubatan moden di alam maya

Rakyat sedang ditakutkan dengan bahaya vaksin. Didedahkan dengan teori konspirasi[iv] yang menggunakan vaksin sebagai alat untuk membentuk new world order[v] atau menghapuskan umat islam[vi] menambahkan lagi keraguan masyarakat terhadap penggunaan vaksin dalam mencegah penyakit berjangkit.

Penggunaan Identiti sebagai seorang doktor dan wanita adalah satu kombinasi yang tepat. Doktor menunjukkan status yang mempunyai autoriti dalam bidang perubatan. Ia akan membentuk stigama kepada masyarakat bahawa Ayu belajar tentang bahaya vaksin yang cuba disembunyikan ahli perubatan dunia dari diketahui masyarakat. Jantina wanita dengan gambar profil yang cantik mungkin menarik minat pelayar facebook lelaki tidak matang yang cuba untuk menggedik. 

Akan tetapi, pemikiran dari sudut lain akan menyaksikan bahawa Ayu akan lebih mudah untuk mendekati golongan wanita berkeluarga. Ini termasuklah untuk membincangkan isu isu sensitif yang hanya dibicarakan antara kaum wanita sahaja memandangkan masyarakat Malaysia masih mempunyai taboo untuk berbicara tentang isu kesuburan[vii], menopause[viii], penyusuan susu ibu[ix] secara eklusif[x], kandungan dan kelahiran bayi[xi] atau seksual[xii] dengan kaum berlainan jantina[xiii] walaupun perkembangan pergerakan wanita[xiv] di Malaysia mula mencorak langkah berbeza.[xv]

Alasan keselamatan untuk menjadi sebab berselindung di sebalik akaun palsu adalah agenda utama gerakan Anti vaksinasi seluruh dunia. Apabila kita mengkaji sejarah gerakan anti vaksinasi seluruh dunia yang bermula sejak awal zaman wabak small pox, motif untuk setiap penentangan adalah berbeza dari individu ke individu. Bermakna, golongan ini tidak semestinya membantah vaksinasi adalah disebabkan oleh vaksin itu sendiri


Ayu, bagi saya senang ja. Awak ni jenis yang tak berani untuk berdebat secara berdepan. Andai tersalah membaling batu, tangan sentiasa boleh disembunyikan dan muka sentiasa tidak kelihatan.



Akan tetapi itu semua tidak akan memberi sebarang kesan kepada kita kerana dalam siri Surat Surat Cinta Buat Ayu Raudhah ini, saya akan meletak aras perdebatan ini sebagai isu doktor melawan doktor bagi mencari kebenaran berhubung isu hangat vaksinasi ini.

Siri buku ini akan menjadi novel berbentuk satira yang akan menyaksikan perlawanan  doktor vs. doktor dalam gaya bahasa dan istilah yang senang difahami masyarakat. 


KONFLIK BATMAN VS. SUPERMAN

Tidak dinafikan bahawa terdapat golongan minoriti doktor perubatan di Malaysia dan di peringkat global yang menjadi golongan anti establishment dan menimbulkan huru hara serta fitnah terhadap perubatan moden. Melalui tulisan buku ini, isu ini akan disentuh berdasarkan kes demi kes untuk melihat motif sebenar di sebalik tindakan mereka itu.

Ini termasuklah tindakan penentangan terhadap penggunaan Vaksin. Penentangan ini berlandaskan kepada premis samada vaksin tidak berkesan atau membawa kemudharatan. Watak palsu Ayu Raudhah di alam maya Facebook pada pandangan saya mengambil bentuk suara dan pandangan golongan ini.

Hujah yang mengatakan bahawa vaksin tidak berkesan termasuklah melalui eksploitasi graf dengan menunjukkan bahawa kebanyakan wabak dihapuskan sebelum vaksin itu digunakan. Hujah kedua adalah melalui kenyataan bahawa tidak ada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk membuktikan bahawa vaksin berkesan. Dan hujah ketiga adalah berdasarkan premis bahawa vaksinasi adalah perniagaan yang menjana untung berbillion ringgit dan itu menjadi motif utama perlaksanaan polisi pemberian suntikan vaksin. 

Terdapat kebenaran dari segi dakwaan anti vaksin bahawa vaksin menguntungkan industri farmaseutikal dunia. Tetapi disebalik itu, ia menelan kos belanja yang tinggi terutamanya pada fasa kajian, penghasilan dan ujikaji keberkesanan vaksin. Ia juga membawa kepada persaingan di antara syarikat farmaseutikal gergasi dunia untuk menghasilkan vaksin yang pada dakwaan mereka lebih baik dan berkualiti berbanding pesaing mereka. Faktor ini juga mempengaruhi keputusan kajian yang dilaporkan jurnal perubatan apabila sesuatu kajian itu mendapat dana dari syarikat farmaseutikal. 

Namun, hal remeh sebegini tidak membatalkan premis keberkesanan vaksin dalam menghapuskan wabak. Ini kerana, disiplin pembelajaran penilaian bahan bukti penerbitan jurnal yang dipelajari ahli perubatan akan membantu mereka menentukan kualiti dan kebenaran sesuatu kajian perubatan itu. 

Ahli perubatan seluruh dunia yang diwakili oleh badan berautoriti seperti Centers for Disease Control and Prevention, American Academy of Pediatrics, Kementerian Kesihatan Malaysia dan lain-lain akan mengadakan satu siri perbincangan mengikut disiplin ilmu yang tinggi untuk menentukan jenis dan jadual pemberian vaksin yang sesuai mengikut keperluan populasi yang dikawal selia oleh mereka.  Ini kerana, setiap negara, rantau atau benua mempunyai jenis-jenis penyakit yang berbeza. Kecenderungan untuk menghidap penyakit ini dipengaruhi banyak faktor termasuklah genetik populasi itu. Ini dapat memberi penjelasan kepada kita mengapa sesetengah vaksin itu menjadi wajib atau disarankan apabila satu-satu populasi itu ingin merantau ke satu-satu kawasan.

Saya lebih suka dengan pendapat kedua dalam golongan anti vaksinasi ini iaitu penolakan di atas faktor vaksin membawa kemudharatan. Antara yang menjadi fokus perbincangan rakan seperjuangan Ayu diperingkat global termasuklah isu bahan logam berat yang digunakan dalam vaksin, proses menutup mulut tentang komplikasi vaksin dan kecenderungan vaksin untuk menyebabkan sesetengah penyakit terutamanya Autism.

Selain itu, faktor penolakan vaksin turut berlandaskan beberapa sebab dan secara umumnya berpaksikan alasan agama, pilihan untuk menggunakan bahan semulajadi berbanding sintetik, kempen bermusim menolak vaksin atas sebab-sebab tertentu, sentimen yang berlandaskan manipulasi emosi, akses kepada sistem kesihatan, keupayaan ekonomi sesebuah negara dalam menyediakan vaksin, tahap pendidikan, politik, kepentingan peribadi satu-satu pemimpin negara atau agama, persepsi masyarakat terhadap vaksin dan sistem kepercayaan terhadap perubatan alternatif atau moden.

Apa-apa pun puncanya, kita semua telah melanggar satu disiplin ilmu apabila masing masing menjadi jaguh untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang isu ini melalui manipulasi bukti saintifik yang didasari oleh motif tertentu golongan berkait. Sedangkan, perdebatan dan perbincangan berhubung vaksinasi telah berlangsung dalam kalangan ahli perubatan sejak sekian lama dan ditambah baik dari sehari ke sehari.

Namun, apa yang menimbulkan masalah adalah apabila masing-masing berbahas untuk mempertahankan hipotesis masing-masing. Dalam proses sains, hipotesis adalah satu premis yang membawa kepada siri soalan klinikal dan kajian bagi membuktikan hipotesis tersebut. 

Namun begitu, ada kalanya proses membuat hipotesis ini sendiri sudah tidak betul. Ia seakan membuat satu premis untuk membuktikan samada ayam atau telur wujud dahulu. Samalah hal dengan vaksin. Antaranya dengan meletak premis bahawa vaksinasi menyebabkan autism berdasarkan siri pemerhatian kes. 

Perang Team Superman Vs Batman atau Stark Vs Rogers ini harus berlangsung dari sehari ke sehari atas faktor untuk menambah baik mutu kesihatan sejagat. Cuma, adalah tidak adil untuk kita menarik masyarakat umum dalam kancah perdebatan kita ini dengan memberikan satu keputusan yang masih dalam keadaan samar-samar. Ini kerana, sentimen dan stigma yang sedia ada dalam masyarakat akan menggandakan lagi ketakutan melampau terhadap penggunaan vaksin.


LANJUTAN KONFLIK BATMAN VS SUPERMAN


Saya harap Ayu tidak kisah andai saya mendedahkan surat ini untuk dijadikan menjadi tatapan masyarakat umum. Sebab, saya ingin membuktikan bahawa pergaduhan antara pasukan Batman dan Superman ini boleh diselesaikan secara professional di mesyuarat saintifik dan kajian klinikal tanpa melibatkan masyarakat awam. Ini kerana, masyarakat awam sentiasa sahaja salah faham dengan sebarang kenyataan tidak rasmi yang kita keluarkan.

Dalam meneliti isu gerakan vaksinasi ini, saya suka untuk menggunakan contoh kajian kontroversi Andrew J Wakefield yang diterbitkan oleh jurnal perubatan, The Lancet.  Bagi saya, penerbitan yang bersifat kecil mutunya dari segi bukti klinikal dan perubatan ini tetap mempunyai pengaruh besar dalam menimbulkan spekulasi tidak betul dalam kalangan masyarakat.

Umum mengetahui, suara minoriti yang tidak popular lebih berkesan menimbulkan impak pada masyarakat dunia di peringkat global pada masa kini. Malah, kita dapati juga bahawa satu kesalahan kecil seorang individu akan menghapuskan 100 kebaikan individu tersebut. Ia bukan salah siapa tetapi terjadi secara tidak sengaja di bawah minda separa sedar kita. 

Saya sedar bahawa saya juga sebenarnya sedikit terbawa-bawa dengan sentimen ini hingga mengeluarkan kenyataan yang sedikit keras berhubung Wakefield termasuklah menggelarkan beliau sebagai pengkhianat[xvi]

Maka dalam warkah saya untuk awak, adalah elok jika saya menilai kembali kes ini dengan penuh adil. Kes ini sememangnya menarik di atas beberapa sebab;

1.      Media memaparkan bahawa ini adalah pertarungan di antara Team Stark dan Team Rogers. Team Stark telah mengeluarkan satu kajian[xvii]  yang diterbitkan dalam The Lancet pada tahun 1998. Menurut artikel ini, mereka mengeluarkan satu hipotesis bahawa vaksin bagi mencegah penyakit MMR menyebabkan kemerosotan fungsi neuropsikiatrik dalam kalangan penyakit Autism bermasalah usus dalam 12 orang pesakit yang dirujuk kepada mereka.


2.      Kajian ini menjadi momentum kepada penentangan terbuka terhadap bahaya vaksin yang dibuktikan secara saintifik oleh Ahli Perubatan. Malah ia membawa kepada penurunan kadar vaksinasi untuk penyakit MMR[xviii]


Graf oleh Tangled Bank Studios; data from the National Health Service of the United Kingdom


3.      Satu siri penilaian terhadap artikel ini telah dilaksanakan dan pembuktian dilakukan oleh Team Rogers bahawa Wikefield mempunyai kepentingan peribadi memandangkan beliau terlibat sebagai panel perundangan untuk kes yang melibatkan kesan sampingan vaksin dalam populasi autism. Selain itu, Wakefield juga berkepentingan dalam mempromosikan vaksinasi MMR secara individu. Beliau sendiri terlibat dalam usaha membangunkan vaksin measles. Tambahan pula, terdapat tuduhan pemalsuan data dalam artikel tersebut.


4.      Sentimen ini turut didasari oleh penglibatan wartawan yang membuat liputan penyiasatan atas tujuan untuk mencari kebenaran. Brian Deer, seorang wartawan bertindak selaku penyiasat yang membuat siri pendedahan penipuan Wakefield. Sementara itu, pelbagai badan lain termasuklah Alliance For Human Research Protection (AHRP) menggerakkan siri cabaran untuk membela Wakefield.


5.      Sejarah panjang perdebatan dan konflik ini akhirnya diselesaikan di Mahkamah dan membawa kepada penarikan artikel tersebut dari The Lancet pada tahun 2010 dan lesen kedoktoran Wakefield ditarik balik.


6.      Sepanjang 12 tahun penerbitan artikel ini, ia membuka ruang kepada percambahan golongan antivaksin secara terbuka dan mereka diberi ruang untuk bersiaran dalam radio dan televisyen. 


7.      Natijahnya, kes seperti measles yang pada dasarnya terkawal mula kembali muncul. Dengan mengambil kira kes di Wales,; Antara November 2012 dan Julai 2013, terdapat 1202 kes measles dilaporkan di Wales. 88 orang dimasukkan ke hospital dan seorang pesakit berumur 25 tahun meninggal dunia[xix]

 
LANTAS, BATMAN ATAU SUPERMAN YANG MENANG?

Persoalannya adalah, apa kebaikan yang diperolehi oleh dunia perubatan pada hari ini apabila Wikefield digantung lesen dalam bidang perubatan? Adakah dunia menjadi semakin aman dan wabak penyakit dapat dihapuskan?

Yang pasti, insan seperti saya akan menganggap Wakefield sebagai pengkhianat dan golongan anti vaksin akan menjulang beliau sebagai hero masyarakat. 

Menarik untuk dibincangkan adalah, adakah Wakefield seorang anti vaksin?

Adalah wajar untuk kita memberi peluang kepada Wakefield[xx] sendiri menjawab segala pertuduhan yang dilemparkan oleh beliau.

Penerbitan artikel Wakefield pada pendapat saya bukanlah satu usaha awal untuk menghancurkan industri vaksinasi atau membuktikan bahawa terdapat komplot jahat ala Pertubuhan Hydra dalam penggunaan vaksin untuk memusnahkan peradaban dunia. 

Sebaliknya, ia adalah satu proses pembelajaran untuk cuba mencari kebenaran. Ia dijelaskan sendiri oleh Wikefield dalam Callous Disregard. Walaubagaimanapun, nilai amanah dan kejujuran tanpa didasari keimanan mungkin menyebabkan proses pencarian kebenaran itu menemui jalan buntu.

Artikel Wikefield bukanlah satu kajian tetapi sebaliknya perkongsian pemerhatian. Dalam erti kata lain, ia bukanlah penerbitan berkualiti tinggi dari segi bahan bukti saintifik. Semua orang boleh membuat pemerhatian tetapi pemerhatian itu tidak semestinya benar. Sebagai contoh;

Seluruh populasi dunia bersetuju bahawa ayam betina bertelur. Tiada yang akan menjalankan apa apa eksperimen untuk membuktikan bahawa ayam jantan bertelur. Oleh itu, apabila kajian melibatkan ayam bertelur, ayam adalah merujuk kepada ayam betina dan menjadi pemboleh ubah yang tetap. Walaubagaimanapun, saya telah membuat pemerhatian bahawa terdapat kecenderungan untuk populasi ayam di Ladang Ternakan Ayam di Lahad Datu untuk bertelur antara jam 3 dan 5 pagi. Lantas saya mengeluarkan artikel berhubung pemerhatian saya itu.

Dr Jacknaim, “Kaitan antara Waktu Awal Pagi Dan Proses Bertelur dalam Populasi Ayam di Lahad Datu!”, Journal Aku Merapu Apa Kau Kisah? September 2002.

Masyarakat yang sudah biasa dengan penerbitan saintifik pasti akan tahu disiplin ilmu yang diperlukan dalam mentafsir satu satu penerbitan saintifik. Oleh yang demikian, mereka pasti dapat mencapai konklusi bahawa penerbitan saya ini tidak menggambarkan seluruh populasi ayam di dunia. Akan ada saintis lain yang menjelaskan bahawa pemerhatian saya betul tapi hanya melibatkan spesies ayam kampung. Tidak kurang juga akan ada saintis lain yang mencadangkan agar pemerhatian saya ini dikembangkan untuk dibuktikan kebenaran hipotesis ini.

Akan tetapi, masyarakat awam yang tidak mempunyai pengetahuan dalam disiplin ilmu ini akan menyebarkan maklumat mengatakan bahawa Dr Jacknaim telah mengesahkan bahawa ayam bertelur antara jam 3 dan 5 pagi. Maklumat ini akan tersebar dengan begitu pantasnya pdi era dunia tanpa sempadan ini. Kesannya, seluruh dunia akan percaya dengan berita ini dan mereka mula mengutip telur pada jam 7 pagi sahaja. Akibatnya, telur yang dikeluarkan pada waktu lain tidak dikutip. Keesokan paginya, mereka mendapati bahawa jumlah pengeluaran telur bertambah dan lantas membuat konklusi bahawa pengeluaran telur ayam adalah berkualiti pada waktu pagi biarpun mereka mengutip telur ayam pada hari terdahulu yang diabaikan. Ini lantas membawa kepada penerbitan baru oleh penternak ayam lain yang secara terburu-buru menerbitkan kajian tanpa disiplin ilmu penyelidikan yang tinggi.

Dr Pseudoscience, et al, “Proses Mengutip Telur Ayam Pada Waktu Awal Pagi Berkait Rapat Dengan Peningkatan Jumlah Hasil Telur Ayam di Malaysia.” Journal Bapa Kau Suka Kelentong, Januari 2015.

Wakefield mendapati terdapat persamaan dalam 12 orang kanak-kanak yang beliau rawat. Majoriti mereka mempunyai perkembangan peringkat awal yang normal atau hampir normal. Mereka juga berkeupayaan untuk belajar skill motor dan boleh ke tandas untuk membuang najis. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa bilangan kanak-kanak itu yang mengalami masalah kencing tidak lawas, gelojoh dan tanda tanda ketidakstabilan saraf pusat. 

Para pesakit ini juga dinilai secara lebih lanjut dan didapati bermasalah dengan sistem pencernaan.  Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mempunyai ciri autism yang tipikal di mana mereka masih boleh berinteraksi dan menunjukkan perasaan kepada orang disekeliling mereka. Wakefield mengemukakan teori bahawa tanda-tanda ini terhasil sejurus selepas kanak-kanak ini menerima vaksinasi MMR akibat daripada kombinasi virus  measles, mumps dan rubella yang dilemahkan; Attennuated viruses.

Dalam masa orang awam mengambil bulat bulat kenyataan bahawa vaksinasi MMR menyebabkan autism, Wakefield sendiri menafikan dakwaan orang ramai terhadap artikel beliau di dalam artikel itu sendiri.

We have identified a chronic enterocolitis in children that may be related to neuropsychiatric dysfunction. In most cases, onset of symptoms was after measles, mumps, and rubella immunisation. Further investigations are needed to examine this syndromes and its possible elation to this vaccine.


Kami telah mengenalpasti masalah keradangan pada usus kecil dan kolon yang mungkin berkaitan dengan disfungsi neuropsikiatrik. Dalam kebanyakan kes, permulaan simptom ini adalah selepas imunisasi menggunakan vaksin measles, mumps dan rubella. Kajian lanjut diperlukan untuk mengkaji tentang sindrom ini dan kemungkinan sindrom ini dirangsang oleh vaksin ini.

Dalam penerbitan ini, wakefield sendiri tidak mengatakan bahawa MMR menyebabkan autism tetapi terdapat tanda-tanda gangguan pada fungsi neuropsikiatrik dalam 12 orang pesakit yang pada masa sama mempunyai masalah keradangan usus kecil dan kolon yang kronik (berpanjangan). Dan tanda-tanda gangguan ini tidak dapat disahkan samada benar-benar terdapat kaitan ataupun tidak. Ini ditegaskan kembali oleh Wakefield dalam buku Callous Disregard.

Wakefield selaku seorang pakar perubatan yang menjalani kajian ini juga sedar bahawa masalah yang dihadapi 12 orang pesakit ini bukanlah autism secara absolut seperti yang diterangkan oleh Kanner[xxi]. Beliau sendiri sedar bahawa kes sebegini juga boleh disebabkan oleh masalah lain. Antaranya adalah dementia infantilis yang akhirnya dikenali sebagai Childhood Disintegrative Disorder (Heller's Syndrome)

Terdapat bukti bahawa pesakit yang menghidap measles secara semulajadi ataupun penyakit lain yang menyebabkan jangkitan otak ada menyebabkan tanda-tanda penyusutan fungsi neuropsikiatrik dalam kalangan kanak-kanak.  Walaubagaimanapun, menyalahkan MMR adalah sekadar satu tuduhan yang tidak dibuktikan secara saintifik. Malah, tiada konklusi tentang perkara ini di dalam artikel asal itu sendiri.

Akan tetapi, media elektronik pada ketika itu telah membesar besarkan masalah ini dan ia segera diserap secara emosional oleh penduduk dunia pada ketika itu. Masyarakat berada dalam ketakutan dan kebingungan apabila anak-anak mereka secara tiba-tiba berkelakuan ganjil. Seakan-akan mereka bangun pada pagi hari dan mendapati bahawa yang berada bersama mereka adalah makhluk asing dan bukan lagi anak yang mereka kandung selama 42 minggu. Mereka tertanya tanya akan punca semua ini berlaku. Teori MMR dan vaksinasi adalah satu alasan kukuh untuk meredakan keresahan hati mereka.

James Moody dalam pasca skrip buku Callous Disregard juga menyatakan bahawa mereka (termasuklah Wakefield) mempunyai keinginan untuk melihat dunia memiliki vaksin yang selamat dan rawatan yang lebih baik untuk autism. Wakefield dilihat sebagai seorang yang memperjuangkan peranan golongan intelektual perubatan untuk menambah baik vaksin. Pada pandangan mereka, ia adalah teguran terhadap pembuat polisi akan kemungkinan kecil masalah disfungsi neuropsikiatrik dalam minoriti kanak-kanak. 


KECEDERAAN BATMAN DAN SUPERMAN YANG MERUGIKAN

Kes di mana US Department of Health and Human Services membayar pampasan kepada pesakit yang mengalami komplikasi akibat vaksin seperti dalam kes Hannah Poling menambah lagi pegangan masyarakat bahawa vaksin itu menyebabkan autism. 

Namun begitu, perbicaraan mahkamah ini dipengaruhi oleh banyak faktor yang boleh diperdebatkan terutamanya keadaan kesihatan Hannah Poling itu sendiri. Ia adalah antara kes terpencil yang hanya boleh dinilai melalui kaedah pandang belakang; Retrospective ekoran perkembangan ilmu perubatan pada waktu kini tidak dapat menjelaskan secara tepat keadaan Hannah Poling pada ketika itu.

Walaubagaimanapun, kita pada hari ini sudah sedia maklum bahawa satu satu keputusan perbicaraan mahkamah adalah bergantung kepada kekuatan premis dan hujah satu satu pihak. Dalam erti kata lain, yang menang tidak semestinya benar dan yang kalah tidak semestinya salah

Paul A. Offit, seorang pakar kanak-kanak yang mempunyai kepakaran dalam bidang vaksin, imunologi dan virologi dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit dan Pengarah Pusat Pendidikan Vaksin di Hospital Kanak Kanak Philadelphia, memperincikan kes Hannah Poling melalui artikel Vaccines and Autism Revisited – The Hannah Poling Case[xxii] yang diterbitkan di dalam The New England Journal of Medicine.

Antara faktor yang menyebabkan kes ini mendapat perhatian ramai adalah apabila National Vaccine Advisory Committee mengambil langkah drastik dan diluar kebiasaan untuk melibatkan masyarakat dalam Agenda Penyelidikan Berhubung Dengan Keselamatan Vaksin.  Ini membawa kepada tindakan Jon Poling memperdengarkan kes anaknya secara emosional kepada masyarakat. Jon menyalahkan vaksin sebagai penyebab anaknya mengalami autism.

Hannah menerima lima suntikan vaksin ketika berusia 19 bulan yang terdiri daripada DtaP, Hib, MMR dan inactivated Polio. Pada ketika itu, dia masih aktif, gemar bermain dan berinteraksi dengan ibu bapanya. Dua hari selepas itu, dia mengalami masalah yang konsisten dengan Vaccine Induced Varicella dan mula menunjukkan tanda seperti demam, lemah dan meragam. Beberapa bulan selepas itu, Hannah mula menunjukkan tanda disfungsi pada sistem neurologi dan psikologi serta menunjukkan tanda tanda autistik termasuklah mengalami masalah dengan bahasa, komunikasi dan sikap. 

Bapa beliau mengambil langkah drastik dan memulakan kempen menyalahkan vaksinasi sebagai punca autism. Namun demikian, Hannah disahkan mempunyai masalah kecacatan genetik iaitu Kekurangan Enzim Dalam Mitochondrian. Selain dari itu, Hannah juga mempunyai masalah dengan sistem imuniti yang menyebabkan dia kerap kali mengalami masalah jangkitan kuman di dalam telinga. 

Apa yang terjadi terhadap Hannah yang menghidap masalah kecacatan genetik yang jarang berlaku ini tidak dapat dijelaskan secara terperinci ketika itu menyebabkan mahkamah mengambil keputusan untuk menyalahkan vaksin yang menyebabkan kemerosotan fungsi Neuropsikiatrik Hannah.

Walaubagaimanapun, media mensensasikan berita ini sebagai kemenangan kes dalam membuktikan bahawa vaksin menyebabkan autism. Sedangkan ia adalah penyakit genetik yang sangat jarang dan boleh menyebabkan pesakit mengalami tanda-tanda seperti autism. Dan masyarakat akhirnya membuat rumusan sendiri yang tidak didasari kebenaran, membawa kepada salah faham bahawa vaksin menyebabkan autism.

Akan tetapi, untuk kes yang melibatkan kesihatan manusia sejagat, tidak ada mahkamah yang akan berkompromi dengan golongan anti vaksin. Contoh paling popular adalah dalam kes Jacobson v. Massachusetts pada tahun 1905 yang menolak vaksinasi smallpox atas alasan melanggar hak kebebasan konstitusi tanpa ada pengecualian agama. Dalam kes ini, mahkamah menjatuhkan keputusan bahawa Jacobson tidak mempunyai hak untuk menolak vaksin Smallpox atas premis membahayakan kesihatan sejagat. Beliau cuba mencabar keputusan ini dan membawa ke peringkat yang lebih tinggi tetapi tidak menang.[xxiii] Adakah ada di antara kita pada hari ini yang menginginkan wabak smallpox kembali berleluasa?

Dalam warkah ini, saya masih belum menjawab kesemua pertanyaan Ayu. Kerana saya akan cuba sedaya upaya saya  untuk membuktikan cinta pada Ayu dengan membuat kajian setinggi awan dan sedalam teras kerak bumi berhubung isu vaksinasi ini. Persoalan Ayu akan saya jawab secara perlahan-lahan agar saya tidak menyampaikan maklumat palsu atau bukti yang meragukan.

Akan tetapi, apa yang saya ingin fokuskan melalui surat pertama ini adalah; 

Ahli dalam bidang perubatan harus mengikuti disiplin ilmu dalam memberi cadangan rawatan kepada pesakit. Adalah tidak beretika untuk kita golongan perubatan mengeluarkan kenyataan atau teknik rawatan tidak standard atas apa-apa sahaja alasan termasuklah mempromosi makanan Sunnah kesukaan Nabi Muhammad S.A.W. Perbuatan sebegini tidak menjadi kegemaran Rasulullah bahkan mendapat peringatan yang cukup jelas dari baginda.

“Idzaa wussidal amru ilaa ghoiri ahlihi fantadziris saa’ah.”  Apabila perkara diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat.- HR Al-Bukhari dari Abi Hurairah

Penularan wabak dan plak yang membunuh jutaan manusia adalah umpama kiamat kecil yang menjadi peringatan dari Allah kepada kita semua. Tidak mustahil, kerana keangkuhan kita, kiamat sebenar akan terjadi. 

Untuk mereka yang bukan ahli, adalah dinasihatkan anda tidak menjadi seorang Ruwaibidhah. Elakkan memetik satu atau dua kertas kajian sains dan terus meletakkan hukum yang disukai nafsu. Perbuatan menjadi wira di alam maya seperti apa yang Ayu lakuka adalah salah. Disebabkan rasa cinta pandang pertama saya terhadap Ayu, maka suka kiranya saya mengingatkan Ayu tentang satu hadis Nabi untuk menjadi renungan kita bersama.

Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu ‘Alahi wa Sallam bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh kedustaan, saat itu pendusta dipercaya, sedangkan orang benar justru didustakan, pengkhianat diberikan amanah, orang yang amanah justru dikhianati, dan saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya: “Apakah Ruwaibidhah itu?” Beliau bersabda: “Seorang laki-laki yang bodoh namun dia membicarakan urusan orang banyak.” - HR. Ibnu Majah No. 4036

Saya menyusun kemaafan kerana warkah kali ini tidak menjawab persoalan Ayu secara spesifik. Akan tetapi, saya hanya ingin memberi gambaran secara kesuluruhan tentang apa yang saya rasakan menjadi pangkal pokok kepada masalah gerakan anti vaksinasi moden.

Saya berjanji untuk terus menulis kepada Ayu dalam warkah-warkah seterusnya. Buat masa sekarang, saya ingin berehat sejenak sebelum kembali masuk bertugas menjalani kerja hakiki dengan merawat pesakit. Saya doakan Ayu sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah. Doakan juga saya agar terus diberi kekuatan, kebijaksanaan dan kemantapan skill dalam merawat pesakit pesakit saya. Akhir kata, sama sama kita berdoa ke atas kesejahteraan pesakit kita. Dan sama-sama kita berdoa agar tindakan kita dalam melaksanakan agenda anti vaksinasi ini tidak menjadi punca berlakunya penularan wabak yang akan membunuh jutaan umat manusia.

Sampai berjumpa lagi dalam warkah seterusnya.

Yang merindui sang kekasih yang tidak pasti,
Dr. Jacknaim
23.6.2016, 9.45 malam, Kuarters Hospital Lahad Datu.



[i] Fira Milzah, https://www.facebook.com/ibn.freena?fref=ts
[ii] Fira Milzah dalam status Facebooknya bertarikh 21 Jun 2016, jam 11.00 pagi
https://www.facebook.com/ibn.freena/posts/156762774739906
[iii] Ayu Rhaudhah dalam profile akaun Facebooknya
https://www.facebook.com/profile.php?id=100012330575497&sk=about
[iv] Jerry D. Gray, "Deadly Mist" PTS Publishing House, 2013
[v] Jerry D. Gray, "Art of Deception" PTS Publishing House, 2012
[vi] Jerry D. Gray, "Trust No One" PTS Publishing House, 2015
[vii] Khamsiah Ismail, "Communication about Sex Reproductive Health Issues with Adolescents: A Taboo among Malaysian Parents?" European Journal of Social Sciences Education and Research, Jan- Apr 2016
[viii] Mohamad Diah, Nurazzura (2007) Exploring a sensitive issue: menopause experience among urban Malay women in Malaysia. In: 4th International Qualitative Research Convention 2007, 3-5 September 2007, PJ Hilton, Petaling Jaya. (Unpublished) http://irep.iium.edu.my/8877/
[ix] Mohamad, Emma 2011. "Breastfeeding, media and culture: negotiating space, modesty, motherhood and risk in Malaysia. PhD Thesis, Cardiff University. 19 March 2016, http://orca.cf.ac.uk/54458/
[x] Ismail, Tengku Alina Tengku et al. “Breast Milk Expression among Formally Employed Women in Urban and Rural Malaysia: A Qualitative Study.” International Breastfeeding Journal 7 (2012): 11
[xi] Norhasmah Mohd Zain, Wah Yun Low and Sajaratulnisah Othman, "Impact of Maternal Marital Status on Birth Outcomes Among Young Malaysian Women: A Prospective Cohort Study", Asia- Pacific Journal of Public Health, 2015
[xii] Nik Ruzyanei Nik Jaafar, Marhani Midin, Sharifah Ezat Wan Puteh et al, " Sexual Desire and Sexual Arousal in Malaysian Women: Are They of the Same Entity?" Asean Journal of Psychiatry Vol. 10(1): Jan- June 2009
[xiii] "Malaysia," Fighting a Rising Tide: The Response to AIDS in East Asia; (eds. Tadashi Yamamoto and Satoko Itoh). Tokyo: Japan Center for International Exchange, 2006
[xiv] Gita Sen and Piroska Östlin, "Unequal, Unfair, Ineffective and Inefficient Gender Inequity in Health: Why it exists and how we can change it"  Final Report to the  WHO Commission on Social Determinants of Health by Women and Gender Equity Knowledge Network,2007
[xv] Maznah Mohamad, Cecilia Ng, tan beng Hui, "Feminism and the Women's Movement in Malaysia: An Unsung (R)evolution Routledge Malaysian Studies Series" Routledge, 2006
[xvi] Dr Fahd Razy, Dr Noor Hayati Yasmin & Dr Jacknaim, “Diagnosis 3: Mortuari”, Dubook Press Sdn Bhd, ISBN; 978-967-0723-48-8
[xvii] Wakefield, AJ, Murch SH, Anthony A, Linnell J, Casson DM, Malik M, Berelowitz M, Dhillon AP, Thomson MA, Harvey P, Valentine A, Davies SE, Walker-Smith JA. Ileal lymphoid nodular hyperplasia, nonspecific colitis and pervasive developmental disorder in children. The Lancet. 1998;351:637-641. [retracted]
[xviii] Emily Willingham and Laura Helft , "The Autism-Vaccine Myth",  http://www.pbs.org/wgbh/nova/body/autism-vaccine-myth.html
[xix] Outbreak of Measles in Wales Nov 2012 – July 2013: Report of the agencies which responded to the outbreak, October 2013
[xx] Wakefield, Andrew J."Callous disregard: Autism and vaccines - the truth behind a tragedy." Skyhorse Publishing, 2010
[xxi] Kanner L. Autistic disturbances of affective contact. Nervous Child 2, 217-250 (1943)
[xxii] Paul A. Offit, "Vaccines and Autism Revisited – The Hannah Poling Case", N Eng J Med 2008; 358;2089-2091, May 15, 2008
[xxiii] Jacobson v. Massachusetts, 197 U.S. 11 (1905). https://supreme.justia.com/cases/federal/us/197/11/case.html