15.8 KENAPA ORANG DEWASA TIDAK DIBERI VAKSIN?

Sahabatku Ayu Raudhah,



Terima kasih KKM atas usaha pemberian vaksin percuma bagi mencegah influenza kepada staff frontliner. Untuk makluman anti vaksin, sepanjang saya bertugas selama 4 tahun 5 bulan, saya sudah terdedah kepada penyakit berbahaya.

Sesungguhnya Allah memberi kurnia kesihatan melalui ilham untuk mendapatkan vaksinasi. Antara penyakit yang pernah saya terdedah termasuklah Measles, H5N1, kes disyaki MERS COV, diphteria, tetanus, tuberculosis, leprosy, pertussis, polio, meningoencephalitis, HFMD, Tiphoid, Hepatitis, cholera dan sebagainya.

Bayangkan betapa kami terdedah kepada penyakit penyakit ini apabila kamu jatuh sakit kesan dari akibat tidak mendapatkan suntikan imunisasi. Bayangkan bahaya dan beban penyakit pada rakyat dan negara. Tidak kah anda kasihan bahawa kami juga mempunyai keluarga dan orang tersayang tetapo setiap hari mendedahkan diri kami pada bahaya penyakit penyakit yang sepatutnya sudah lenyap melalui vaksinasi. [Muhamad Na'im Ab Razak, November 25, 2015].




Saya sedar ramai golongan anti vaksin menimbulkan persoalan tentang herd immunity dan mengatakan ia gagal. Ada di antara mereka mengaitkan proses penuaan dengan ketidakberkesanan vaksin yang merosot selari dengan peningkatan usia..
Mereka buat-buat bertanya, kenapa orang dewasa tidak diberi suntikan vaksin?
Kenyataan yang dibuat secara rambang atau tanpa ilmu adalah berbahaya. Ia hanya separuh benar dan bercampur dengan penipuan. Ini kerana vaksin diberi kepada orang dewasa mengikut garis panduan yang dihasilkan berdasarkan indikasi secara umum atau spesifik[i].
Mana-mana individu yang sudah diberi suntikan vaksin ketika kanak-kanak biasanya diberi suntikan tambahan samada dalam jangka masa lima ke sepuluh tahun berdasarkan penyakit-penyakit tertentu.
Individu yang berisiko tinggi seperti golongan pekerja kesihatan, orang tua berumur lebih 65 tahun, mereka yang ingin ke luar negara, dan golongan yang akan menjalani pembedahan membuang limfa ada diberi suntikan vaksin. Akan tetapi, hal ini tidak dihebohkan secara meluas di media massa.  Sesuatu yang tidak dihebohkan tidak bermaksud ia tiada atau tidak berlaku.
Buat masa kini, pihak kami tidak merasakan ada keperluan untuk membincangkan topik ini secara meluas. Walaubagaimanapun, mungkin akan tiba juga masa di mana kampen pemberian vaksin kepada orang dewasa akan dijalankan secara meluas di masa hadapan ekoran tindakan sesetengah ibu bapa yang menolak vaksin kepada anak-anak mereka.
Saya berdoa agar anak-anak yang tidak diberi vaksin oleh ibu bapa mereka akan membaca kepentingan vaksin sebaik sahaja mereka sudah berakal dan dapat membezakan antara yang hak dan batil seterusnya meminta agar diberi vaksin.
Jika anda berminat untuk tahu secara lebih mendalam lagi samada anda memerlukan vaksinasi, sila bertemu dengan doktor perubatan keluarga yang diiktiraf.


[i] CLINICAL PRACTICE GUIDELINES ON ADULT VACCINATION , Ministry of Health Malaysia, 2003