16.1 MIMPI NGERI ITU



Tekanan dada (CPR) sudah setengah jam berlangsung. Oksigen diberi secara berkala melalui tiub pernafasan yang dimasukkan melalui halkum. Wajah comel bayi berusia setahun itu semakin hilang serinya.

Sudah enam hari dia demam. Sejak 2 hari lalu, dia mengalami cirit birit yang teruk dan sudah tidak boleh makan atau minum.

Sewaktu sampai ke bilik resusitasi, keadaannya penuh lemah. Tidak ada sedikit tangisan pun kedengaran. Dengan sepenuh kudrat dia cuba membuka mata tetapi gagal.

Cecair segera dimasukkan melalui salur darah pada bahagian kulit kepala memandangkan salur darah yang lain sudah mengecut. Wajah yang cekung seperti mayat mula kembali menjadi manusia.

CPR berlangsung lagi, doktor kanak-kanak sudah pun tiba dan meneruskan rawatan lanjut. Beberapa jenis ubat ubatan diberikan sehinggalah jantung beliau mula berdegup kembali. Perlahan lahan dan tidak teratur sebelum menjadi kuat dengan bantuan ubat bagi menambah kekuatan jantung.

Satu jam rawatan CPR diberikan dan jari jemarinya mula bergerak lemah. Tapi tiada yang mampu tersenyum lebar memandangkan jantungnya boleh berhenti lagi. Garam Pottasium dalam darah hanya 1.7 (berbanding 5- 5.5 untuk kanak kanak. Ia adalah jawapan kepada penyebab jantung berhenti berdegup dan lemah.

Dari awal CPR dilakukan, Bapanya nampak sudah pasrah dengan keadaan anaknya. Mungkin tidak menjangkakan hayat anaknya masih panjang. Status warganegara tidak sah, belenggu kemiskinan dan tidak diberi suntikan imunisasi adalah punca mengapa mereka sakit dengan sangat teruk.

Katil mula ditolak meninggalkan jabatan kecemasan dan menuju ke unit rawatan rapi bagi meneruskan rawatan intensif buat pesakit kritikal.

Ini adalah keadaan yang biasa berlaku kepada mana mana doktor yang pernah berkhidmat di Sabah. Saat yang sentiasa menyebabkan kami sanggup digelar vax pusher atau ejen Yahudi dan tidak kisah dituduh membelakangkan agama islam.

Kami sudah biasa melihat anak anak kecil yang tidak diberi suntikan imunisasi kritikal atau mati dihadapan kami. Ia terus menjadi mimpi ngeri buat kami. Kami juga trauma, tetapi kami hanya mampu memujuk diri untuk menjadi lebih kuat dan tabah di setiap hari yang kami lalui.
Aku yakin, Allah itu tidak kejam. Dan aku pasti tidak ada agama yang zalim hingga tidak membenarkan anak anak diberi suntikan vaksin.

Katil sudah menghilang. Mungkin sudah sampai di ICU. Tiga loceng berdering lagi. Seorang bayi lagi di bawa ke zon resusitasi.

Semoga mereka semua diberi kesembuhan oleh Allah.



Dr Jacknaim,
30 Julai 2016