16.2 SAMPAI BILA MIMPI ITU BERULANG?



Apa yang paling saya kesali setelah bergelar doktor? Tiada masa untuk diri dan orang tersayang? Kurang masa untuk menambah kekayaan dunia?Lambat kahwin?

Setiap orang diberi masa 24 jam. Terpulang bagaimana mahu mengaturnya. Yang bijak pasti mendapat kebaikan dan yang kurang bijak pasti mensia-siakannya. Masa boleh dicari andai ada keinginan dan rasa cinta yang mendalam. 

Kekayaan pula adalah rezeki dari Allah. Ada kalanya, ia melimpah ruah andai kita bersyukur. Kadang-kala, makin banyak yang kita perolehi, makin banyak pula yang kita belanjakan!

Kahwin juga adalah jodoh yang ditentukan Allah. Ada yang berkahwin, lantas menyesali pilihan itu dan akhirnya memilih jalan penceraian. Ada yang kematian pasangan biar usia perkahwinan belum mencapai tempoh matang. Ada pula yang tidak kahwin-kahwin sehingga ke hujung usianya tetapi hidup dipenuhi dengan cinta sejati. Cinta akan keluarga, rakan-rakan bahkan kerjaya. 

Satu-satunya benda yang saya kesali adalah getusan nakal dari hati saya. ‘I’ve not done enough for this patient!” Seakan-akan menyalahkan diri sendiri di atas kejadian buruk yang berlaku ke atas pesakit. Hakikatnya ia gesaan untuk saya memberi rawatan yang lebih baik kepada mereka dengan belajar secara lebih rajin atau mengasah skil dengan lebih gigih.

Saya berhadapan dengan cukup banyak kematian pesakit. Majoriti daripada mereka adalah pesakit kritikal yang sudah berada di hujung nyawa. Tugas kami adalah untuk memberi kefahaman kepada keluarga pesakit bahawa orang yang mereka sayang akan pergi meninggalkan mereka. Mereka harus bersedia untuk menerima kehilangan tersebut dan mula menghabiskan masa berkualiti bersama mereka.

Tetapi, ada ketikanya, kematian itu berlaku di atas sebab kelemahan diri sebagai seorang perawat. Banyak faktor yang menjadi penyumbang. Sekalipun diri bukanlah penyebab secara langsung atau dalam bahasa mudahnya bukan pembunuh, tetapi bebanan yang ditanggung menyebabkan rasa bersalah kekal menghantui jiwa. Bekerja dalam suasana yang tidak realistik dan penuh dengan kekurangan pasti meruntun jiwa seorang perawat. Yang pasti, kami akan cuba sedaya upaya kami untuk membantu apa-apa yang termampu kami lakukan.

Air mata tidak mampu menghanyutkan keresahan. Gelisah sering bertandang di saat kelopak mata mula dipejamkan. Mimpi indah yang diidam-idamkan tidak kunjung tiba. Bahkan yang datang hanya memori hitam yang cuba untuk dipadamkan.

Wajah-wajah pesakit yang gagal diselamatkan seakan-akan bertanya kepada saya. 

Doktor, kenapa saya mati?
Doktor, boleh tak bagi saya peluang untuk hidup kembali?
Doktor, kamu tidak bunuh saya kan?


Alangkah bagusnya jika saya dapat kongsikan semuanya bersama pembaca. Bahawa realiti hidup tidak seindah seperti apa yang kita mimpi!

Sesetengah masyarakat mungkin boleh bermegah dengan harta yang mereka miliki. Mereka mungkin hidup dalam suasana yang penuh mewah dan tidak pernah rasa apa-apa kekurangan.

Tetapi mereka yang pernah berada dalam posisi saya pasti akan sedar bahawa perjuangan dalam bidang perubatan masih belum jelas garisan penamatnya. Banyak yang perlu diperbaiki.

Yang paling menyedihkan adalah apabila berdepan dengan kematian yang boleh dicegah tetapi tidak dapat dijalankan akibat kekangan dan kekurangan yang tidak boleh dielakkan.

Tempat saya bekerja terlalu hampir dengan sempadan. Seakan rumah tidak berpagar; yang bebas dimasuki lembu dan kambing jiran yang meragut tanaman herba di halaman rumah. Maka hal yang sama juga berlaku di bumi istimewa ini.

Warga asing bebas keluar masuk bermusafir di bumi bertuah ini demi  mencari sesuap nasi dan menyambung nadi kehidupan mereka. Dari segi kemanusiaan, mereka tentu sahaja bebas mencari rezeki yang halal di mana-mana bahagian bumi yang Allah ciptakan.

Tetapi, mereka bawa bersama penderitaan mereka kesan daripada ketidak-upayaan kerajaan mereka memberi akses rawatan percuma. Imunisasi adalah contoh terbaik. Ramai golongan anti vaksin menipu dunia dengan mengatakan negara German tidak memberi suntikan imunisasi BCG bagi mencegah penyakit tuberkulosis kepada penduduknya. Sedangkan mereka sekali lagi gagal memahami bahawa vaksin adalah untuk penyakit yang berisiko menyebabkan wabak dalam kalangan satu-satu populasi dunia.

Ada yang mengaitkan pemberian vaksin mencegah tuberkulosis adalah tidak berkesan[i][ii] dan berbahaya hingga menyebabkan negara German memilih untuk tidak memberi suntikan vaksin. Saya percaya, mereka mengambil contoh Bencana Lubeck yang berlaku di German pada penghujung tahun 1930. Seramai 72 kanak-kanak dari 252 orang yang diberi suntikan BCG menghidapi penyakit tuberkulosis dan meninggal dunia setahun kemudian. 

Akan tetapi, kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan German mendapati bahawa bencana itu disebabkan oleh pencemaran vaksin oleh strain kuman tuberkulosis berbahaya sewaktu ia disediakan di makmal. Dua orang pekerja di makmal tersebut didakwa dan disabit bersalah atas tuduhan kecuaian hingga menyebabkan kecederaan atau kematian[iii]

Perbandingan taburan kes tuberkulosis dunia. Malaysia boleh dikatakan termasuk dalam kategori rendah jangkitan tuberkulosis berbanding jiran Indonesia dan Filipina. Sanggupkah kita memperjudikan nasib anak-anak kita dan kembali meletakkan negara kita sebagai negara berisiko tinggi?


Di German, kadar jangkitan kes baru melibatkan tuberkulosis adalah tersangat rendah[i] dan kadar jangkitan HIV/AIDS di sana juga rendah[ii] [iii]. Oleh yang demikian, German telah mengamalkan polisi untuk tidak mewajibkan pemberian vaksin bagi mencegah tuberkulosis di sana.  Hal yang sama juga diamalkan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom. Pemberian vaksin BCG hanya untuk kes tertentu dan berisiko tinggi sahaja. Walaubagaimanapun, Amerika Syarikat turut menjalankan polisi ketat dengan mewajibkan mana-mana warganegara asing menjalani ujian saringan tuberkulosis sebelum diberi kebenaran memasuki negara itu
Akan tetapi, trend terbaru kajian epidemiologi menunjukkan bahawa kes tuberkulosis semakin meningkat di sana terutamanya di kawasan yang padat dengan warga asing[iv]. Biarpun graf peningkatan kes tidak mencapai tahap membimbangkan, tetapi mereka sudah mula berkira-kira untuk kembali mewajibkan vaksin ini[v] [vi]. Buat masa kini, hanya pesakit yang berisiko sahaja diberi suntikan vaksin bagi mencegah penyakit tuberkulosis.
Di Malaysia, penyakit tuberkulosis masih menjadi bebanan buat kita. Kebanjiran warga asing seperti yang berlaku di Sabah menyaksikan jumlah kes jangkitan TB semakin bertambah. Paling menyedihkan, ramai doktor turut dijangkiti kuman ini. Ada kenalan kami yang pernah berkhidmat di Sabah turut meninggal dunia akibat tuberculosis.
Sistem perekodan maklumat penyakit berjangkit di negara jiran yang lemah memberi gambaran palsu seakan-akan tiada penyakit tuberculosis di sana.  Ia lantas membawa kepada gerakan semberono golongan anti vaksin untuk memainkan sentimen di Malaysia. Sedangkan, hakikat sebenar adalah jauh berbeza dari realiti[vii] [viii] [ix].

Ramai yang tidak tahu bahawa notifikasi kes tuberkulosis di Indonesia sangat rendah. Apabila terdapat Dana Global bagi merawat tuberkulosis di sana, ternyata bilangan penyakit ini begitu senang dikesan. apabila dana ini terhenti selama 9 bukan, graf menurun dan kembali meningkat setelah dana ini disambung. Sumber dari WHO[i]


[i] http://www.searo.who.int/tb/data/tb_notification/en/


Kebanyakan negara miskin di Asia Tenggara bergantung kepada dana luar dari NGO atau bantuan misi kemanusiaan global dalam perang memerangi tuberkulosis. Sehingga bila kerajaan kita mampu memberi subsidi untuk bidang kesihatan? Suatu hari nanti, apabila kita kehabisan duit dan sudah tidak mampu memberi vaksin percuma maka kita akan senasib dengan negara jiran kita. Sumber dari WHO.

Saban hari, saya tidak pernah terlepas dari bertemu pesakit tuberkulosis samada di Jabatan Kecemasan ataupun sewaktu melakukan bedah siasat mayat bagi menentukan punca kematian pesakit. Walaupun saya bertugas di Jabatan Kecemasan, saya tetap terpaksa melakukan post mortem ke atas mayat disebabkan kami tidak mempunyai pegawai perubatan forensik.

Malah, ramai pesakit tuberkulosis yang saya temui di Jabatan Kecemasan juga berada dalam keadaan kritikal dan di peringkat akhir kehidupan mereka. Kematian seakan-akan tidak dapat dielakkan. Ironinya, majoriti dari mereka adalah warganegara asing yang tidak diberi suntikan BCG bagi mencegah tuberkulosis. 

Dulu, kerajaan kita cukup kaya dan bermurah hati. Warganegara asing yang menghidap penyakit berjangkit akan diberi rawatan percuma. Tapi kini, kerajaan kita sudah kehabisan dana. Tidak semua yang dapat dirawat dan mereka kini bebas bercampur dengan masyarakat dan menyebarkan kuman sewenang-wenangnya. Jika pagi ini mereka di hantar pulang ke negara asal, petang esok mereka pasti kembali tersenyum di pusat membeli belah di kawasan perumahan saya!

Saya sendiri tidak dapat menjamin samada saya tidak akan dijangkiti kuman ini pada esok, lusa atau di masa hadapan. Tubuh ini sudah penuh dengan kuman tersebut.

Beberapa tahun yang lalu saya pernah menerima pesakit kanak-kanak yang mengalami kesukaran bernafas. Ketika itu, peralatan perubatan kami tidak canggih. Doktor pakar tidak ramai. Kanak-kanak malang itu mengalami penyempitan saluran pernafasan yang teruk. Usaha kami menyelamatkan beliau gagal dan beliau menghembuskan nafas di hadapan kami semua. Tangisan ibu-bapa yang memenuhi segenap inci Jabatan Kecemasan tidak mungkin saya lupakan. Keputusan sampel Swab C&S yang diambil dari tekak di hantar ke IMR diterima seminggu kemudian yang mengesahkan punca kematian sebagai diphteria. 

Malah, disepanjang tempoh saya bekerja di sini, penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin begitu senang sekali dijumpai. Tetanus, meningitis, pertussis, measles dan sebagainya lebih senang berlaku dalam golongan yang tidak diberi suntikan vaksinasi.

Saya akui, saya juga takut! Saya diberi suntikan vaksin tetapi tidak mampu memberi jaminan bahawa saya akan selamat memandangkan berdepan dengan lambakan  pesakit kritikal ini. Saban hari, kami terdedah dengan risiko penyakit berjangkit yang terlalu banyak. Lebih banyak dari kes AEFI yang berlaku pada mana-mana ibu bapa!

Ketakutan kami berkali ganda berbanding ketakutan orang awam. Saya tidak pernah menafikan risiko berlakunya AEFI. Malah saya sendiri pernah berhadapan dengan bayi yang pernafasannya terhenti seketika setelah satu jam diberi suntikan vaksin. Bayi tersebut selamat setelah diberi bantuan pernafasan. 

Saya tidak nafikan bahawa masyarakat ditakutkan dengan AEFI. Paling menakutkan, ada yang memberi testimoni palsu dengan mengaitkan pelbagai jenis penyakit dengan AEFI. Ia menimbulkan persepsi teruk dalam masyarakat. Sedangkan itu fitnah alam maya.

Tapi, berdasarkan pengalaman terhad saya berkhidmat di daerah yang dipenuhi dengan lambakan warganegara asing yang tidak diberi suntikan imunisasi, maka saya tidak mampu lari dari perjuangan mewajibkan pemberian vaksin. Label lah saya sebagai vax pusher tapi saya tidak peduli. Wajah-wajah pesakit di hujung nyawa, bunyi nafas terakhir mereka sebelum dicabut nyawa oleh malaikat Israel dan suara tangisan orang tersayang menghantui tidur saya. Mimpi ngeri itu tidak pernah memberi kedamaian buat saya.

Kerana itu saya tetap melayan watak Ayu Raudhah di Facebook. Saya akui bahawa saya kecewa kerana ada pengguna Facebook yang lebih percaya watak Ayu Raudhah berbanding doktor perubatan yang sentiasa berhadapan dengan kematian. Saya kecewa kerana ada yang sanggup menelan bulat-bulat kenyataan Ayu Raudhah sedangkan watak ini tidak pernah berjaya mematahkan hujah kami secara fakta. Hujah beliau tidak lain dan tidak bukan hanya putar belit dan serangan peribadi.

Saya berjanji bahawa saya tidak akan menyalahkan mereka. Saya cuma berharap agar suatu hari nanti, mereka mengambil keputusan untuk mencari kebenaran dan menuntut ilmu dengan golongan ahli yang benar-benar layak. Biarpun pada saat itu saya masih ditemani mimpi-mimpi ngeri. Semoga mimpi itu berlalu pergi!


[i] http://ecdc.europa.eu/en/healthtopics/Tuberculosis/epidemiological_data/Documents/Germany-tuberculosis-country-profile-2014.pdf
[ii]https://extranet.who.int/sree/Reports?op=Replet&name=%2FWHO_HQ_Reports%2FG2%2FPROD%2FEXT%2FTBCountryProfile&ISO2=DE&LAN=EN&outtype=html
[iii] Fiebig L, Kollan C, Hauer B, Gunsenheimer-Bartmeyer B, an der Heiden M, et al. (2012) HIV-Prevalence in Tuberculosis Patients in Germany, 2002–2009:
An Estimation Based on HIV and Tuberculosis Surveillance Data. PLoS ONE 7(11): e49111. doi:10.1371/journal.pone.0049111
[iv] B. Hauer, B. Brodhun, D. Altmann et al, "Tuberculosis in the elderly in Germany" European Respiratory Journal 2011 38: 467-470
[v] Carlos Franco-Paredes, adine Rouphael et al, "Vaccination strategies to prevent tuberculosis in
the new millennium: from BCG to new vaccine candidates"International Journal of Infectious Diseases (2006)
[vi] Stefan H. E. Kaufmann, "Envisioning future strategies for vaccination against tuberculosis" Nature Reviews Immunology 6, 699-704
[vii] Indonesia among the top countries with highest TB cases: World Health Organization says tuberculosis deaths 'unacceptably high' http://www.rappler.com/world/regions/asia-pacific/indonesia/bahasa/englishedition/111008-who-tb
[viii] The Economic Burden of Tuberculosis in Indonesia, The Economic Burden of Tuberculosis in Indonesia
TB CARE I / MSH, December 2013, http://www.tbcare1.org/publications/toolbox/tools/costing/The_Economic_Burden_of_Tuberculosis_in_Indonesia.pdf
[ix] "Vaccine Scandal Highlights Indonesian Health System Woes", THE ASSOCIATED PRESSJULY 22, 2016, http://www.nytimes.com/aponline/2016/07/22/world/asia/ap-as-indonesia-fake-vaccines.html?_r=0
 




[i] Behr, M “BCG – different strains, different vaccines?”, The Lancet Infectious Diseases, 2002, 86www.thelancet.com/journals/laninf/article
[ii] Kernodle, D “Decrease in the Effectiveness of Bacille Calmette-Guerin Vaccine against Pulmonary Tuberculosis”, Clin Infect Dis, 2010, 177 cid.oxfordjournals.org/content/51/2/177
[iii] “Appeal Taken from the Decision in the Lubeck Case”, JAMA, 1932; 98(15):1316-1317 http://jama.ama-assn.org/content/98/15/1316