15.1 VAKSIN TIDAK BERJAYA MENGHAPUSKAN WABAK!








Sebahagian graf yang dimanipulasi oleh pengendali blog global untuk menunjukkan bahawa vaksin tidak berjaya menghapuskan wabak.

Apabila kita melihat graf diatas secara sekali imbas. Otak kita akan segera bersetuju bahawa vaksin tidak berjaya menghapuskan wabak. Kebanyakan pengendali blog anti vaksin akan menggunakan graf di atas untuk menunjukkan bahawa bukan vaksin yang menyelamatkan manusia. Ia adalah disebabkan oleh peningkatan sistem kesihatan, kebersihan dan tabiat pemakanan.

Graf-graf tersebut dimanupulasi secara tidak bertanggungjawab.

Pertama, mereka mencampurkan graf tersebut antara penyakit yang boleh menyebabkan wabak dan dikawal dengan vaksin dengan penyakit yang tidak menyebabkan wabak atau tidak memerlukan vaksin untuk mencegahnya. Scarlet fever tidak menyebabkan wabak dan sememangnya vaksin tidak diperlukan. Demam kepialu (typhoid fever) boleh menyebabkan jangkitan kepada satu-satu komuniti tetapi ia tidak sampai ke tahap yang memerlukan majoriti masyarakat mengambil vaksin. Ia hanya diwajibkan kepada pengendali makanan. 

Kedua, graf ini sebenarnya menunjukkan kadar kematian disebabkan jangkitan penyakit dan bukannya kadar kes baru jangkitan penyakit. Ia separuh betul apabila golongan antivaksin mengatakan bahawa perkembangan ilmu perubatan, nutrisi dan sistem kebersihan telah menyebabkan kadar kematian berkurangan. Tetapi, adakah mereka berbicara tentang kadar morbidity (membawa kepada beban kos rawatan atau kecacatan?) yang menjadi darurat sebenar apabila berbicara tentang wabak.

Polio adalah contoh terbaik. Ya, kadar kematian menurun sebelum vaksin diperkenalkan. Kenapa? Kerana iron lung dicipta oleh Sains. Tetapi, adakah pesakit boleh kembali berfungsi dalam masyarakat? Adakah penggunaan iron lung tidak menyebabkan gangguan ekonomi kepada populasi dunia? Ya, ada pesakit yang dirawat menggunakan iron lung dapat hidup selama berpuluh tahun. Soalannya, apakah makna kehidupan sedemikian? Adakah kualiti kehidupan bertambah atau menjadi semakin teruk?

Sekiranya mahu menggunakan graf, maka kita harus berlaku jujur. Contohnya dengan melihat kaitan antara incidence rate dan pemberian vaksin. Incidence rate adalah jumlah kes baru sesuatu penyakit yang direkodkan dalam populasi tertentu.

Graf dari CDC berkenaan kadar incidence rate untuk kes measles adalah bukti terbaik untuk menunjukkan bagaimana jumlah kes baru jangkitan measles menurun setelah vaksin diperkenalkan.

Sumber dari CDC


 Malah, ada penulis blog secara tidak bertanggungjawab telah membuat manipulasi graf. Contohnya mereka membuang tahun-tahun tertentu dari data mereka dan ia seterusnya menghasilkan graf yang salah.

Oleh yang demikian, ternyata sekali tuduhan golongn anti vaksin tidak berjaya mengapuskan wabak adalah satu penipuan akademik secara manipulasi data atau penipuan fakta. Oleh itu, berhati-hati dalam menilai hujah golongan anti vaksin.