15.2 SEJARAH RINGKAS GERAKAN ANTI VAKSINASI DUNIA.

Graf kaitan ringkas antara sejarah vaksinasi, kejadian penularan wabak, penyebab gangguan bekalan vaksin dan beberapa contoh faktor utama yang menjadi punca berlakunya gerakan anti vaksin.



“Saya memilih untuk menjadi anti vaksin kerana agama melarang penggunaan benda tidak suci atau haram untuk berubat”.



“Saya dengar ramai doktor anti vaksin.”



“Vaksin menyebabkan autism.”



“Vaksin ada sel janin bayi”.



“Kita harus kembali kepada kaedah perubatan Islam dan berhenti mengagungkan barat.”



Bagaimana golongan anti vaksin wujud? Adakah ia disebabkan agama, perbezaan ideologi islam melawan barat atau mahu menjadi luar biasa berbanding dengan kebiasaan norma masyarakat?

Sesorang menjadi anti vaksin apabila terdapat pilihan untuk tidak memberi vaksin kepada diri atau mereka yang dibawah tanggungan mereka.

Tanpa ada vaksin, seseorang tidak boleh menjadi anti vaksin. Agama, budaya, pilihan menggunakan bahan organik dan sebagainya cuma alasan untuk menghalalkan pilihan mereka.

Pilihan ini pula timbul disebabkan oleh banyak faktor. Tapi, yang sebenarnya adalah kerana kita memiliki akal dan nafsu untuk membuat pilihan. Itulah yang menjadikan kita berbeza dari Malaikat. Itulah yang menjadikan Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga. Kerana apabila manusia berada di titik yang memerlukan mereka memilih satu dari dua belah syiling, maka jawapannya hanya Ya dan Tidak.

Sebenarnya, pihak yang menyokong pemberian vaksin boleh memberi seribu hujah menyokong vaksin. Pihak yang anti vaksin pula mungkin hanya mempunyai sepuluh hujah tetapi ia tetap mencukupi untuk membuatkan mereka memilih untuk tidak bersetuju dengan vaksinasi.

Saya harus mengakui bahawa pilihan wujud mengikut peredaran zaman. Salah satu nya adalah apabila kita terlalu mengagungkan sistem demokrasi yang melaungkan slogan bahawa setiap manusia mempunyai hak untuk membuat pilihan.

Frasa yang tepat untuk memurnikan sistem ini sebenarnya ialah ‘hak untuk membuat pilihan yang tepat dan betul.’ Kerana selain berfikir tentang hak keinginan diri sendiri, kita juga harus berfikir tentang tanggungjawab kita terhadap peradaban manusia.

Wabak tidak berlaku dalam sekelip mata. Bukan hari ini kita dilanda wabak diphteria. Bukan hari ini kita dilanda wabak smallpox. Tidak! Ia sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi.

Musuh manusia yang nyata adalah Syaitan. Sekalipun kita tidak melihat mereka tetapi kita tahu dan kenal akan sifat mereka dan kaedah serangan mereka.

Akan tetapi, manusia juga mempunyai musuh tidak hakiki yang wujud disebabkan oleh pelbagai interaksi. Interaksi manusia dan manusia menghasilkan krisis apabila berbeza pendapat dan membawa kepada peperangan.

Manusia menjadi musuh kepada gajah liar apabila secara tidak sengaja memusnahkan hutan yang menjadi habitat gajah.

Interaksi manusia dan ‘makhluk ghaib’ pula membuatkan kita berada dalam ketakutan berganda-ganda kerana kita tidak tahu akan musuh kita. Makhluk ghaib boleh dijelaskan dalam konteks agama. Tetapi dalam konteks ini, saya mahu mendefinisikan ia sebagai musuh yang tidak diketahui. Dan kenapa musuh ini wujud adalah disebabkan seperti yang saya nyatakan tadi. Musuh tidak hakiki ini wujud disebabkan interaksi.

Ketakutan membuatkan kita percaya kepada teori konspirasi dunia dan Freemason. Ketakutan 
juga membuatkan kita takut dengan wabak penyakit disebabkan bakteria dan virus. Ya, mereka juga adalah makhluk ghaib secara tidak hakiki.

“If you know the enemy and know yourself, you need not fear the result of a hundred battles. If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat. If you know neither the enemy nor yourself, you will succumb in every battle.”― Sun Tzu, The Art of War


Ketakutan manusia terhadap kuman dan wabak penyakit pula tidak sama dengan ketakutan nenek moyang kita dahulu. Kerana perkembangan sains dan teknologi membolehkan kita mula mengenalpasti musuh kita. Kajian makmal membolehkan kita tahu akan kekuatan dan kelemahan mereka, lantas merangka strategi efektif untuk mengalahkan mereka.

Kerana itu ada yang berbangga mengatakan bahawa kita boleh mengalahkan wabak dengan meningkatkan kebersihan, memperbaiki sistem pembetungan dan rawatan sisa najis, menggunakan bekalan air bersih dan memperbaiki gaya pemakanan agar mendapat nutrisi yang tepat.

Tapi kita lupa. Musuh ghaib ini tetap tidak kita ketahui secara mendalam. Seperti mana kita mula belajar tentang mereka, mereka juga belajar tentang diri mereka sendiri dan berevolusi untuk menjadi lebih kuat berbanding moyang mereka.

Inilah pertarungan nyata yang harus kita semua sedar samada anda anti vaksin mahupun menyokong vaksinasi. Ini juga menjadi asas kenapa manusia membuat ujikaji untuk mencipta vaksin.

Penggunaan vaksin bukan bermula di zaman Jenner pada tahun 1976 sekalipun dunia mengiktiraf beliau sebagai bapa kepada vaksin.

Tidak!

Penggunaan vaksin bermula sejak dari zaman nenek moyang kita berjumlah beribu tahun dahulu. Ia bermula apabila timbul kesedaran akan musuh yang tidak dapat dilihat ini. Yang pasti, musuh ghaib ini mengambil nyawa dengan pelbagai cara. Samada secara tragis ataupun perlahan-lahan.

Dari sana, golongan bijak pandai membuat pemerhatian tentang corak serangan musuh ghaib ini.  Pemerhatian ini berlangsung dari generasi ke generasi dan melalui tempoh ujikaji yang pelbagai. Akhirnya mereka membuat konklusi bahawa mereka dapat menyediakan solusi kepada masalah yang timbul.

Contohnya apabila Maharaja China memutuskan untuk menggunakan kaedah menggunakan sel manusia yanag dijangkiti penyakit bagi mencegah wabak smallpox. Ia berlaku lama dahulu dan lebih awal dari barat. Lama kelamaan teknik ini terbukti berkesan.

Apabila mereka menjalani hubungan diplomasi dengan negara lain maka mereka harus memastikan sekutu mereka juga berada dalam keadaan sihat dan kuat. Maka mereka berkongsi ilmu dan kepakaran mereka. Ia tidak berlaku secara percuma kerana negara sekutu juga berkongsi ilmu dan kepakaran mereka. Ini membawa kepada perkembangan ilmu baru dan lebih banyak misteri alam dapat diterokai. 

Ingat kata-kata kartun kanak kanak Upin dan Ipin? 

“Apa yang penting? Kerjasama!” 

Melalui perkongsian teknologi, maka kita tidak perlu membazirkan masa untuk membuat kajian dalam bidang yang sama. Kerajaan A akan melakukan kajian dalam bidang 1 dan Kerajaan B akan melakukan kajian dalam bidang 2. Apabila mereka bertukar kepakaran dan teknologi makan kedua kerajaan A dan B sama-sama memahami ilmu yang diperolehi melalui kajian dalam bidang 1 dan 2.

Kaedah vaksinasi mula tersebar dalam kerajaan Islam yang muncul ketika itu. Kerajaan Barat sedikit terkebelakang kerana masih berada dalam zaman kegelapan.

Lady Mary Wortley Montagu, Mary Pierrepont adalah isteri kepada duta Inggeris kerajaan Turki Uthmaniyyah dan merupakan orang yang bertanggungjawab membawa pulang kaedah vaksinasi mencegah smallpox yang dipelajari di sana ke tanah Inggeris pada pertengahan tahun 1700-an. Beliau mempunyai sejarah hitam apabila ramai ahli keluarga beliau termasuklah anak sendiri meninggal dunia disebabkan oleh smallpox. Di Kerajaan Turki Uthmaniyyah, sistem saliran dan kebersihan sudah mantap tetapi mereka tetap mengamalkan vaksinasi.


Kerajaan Islam mempelopori ilmu perubatan berdasarkan ilmu dari China dan Yunani. Mereka mengembangkan falsafah ilmu termasuklah kaedah vaksinasi. Kaedah ini diturunkan dari generasi ke generasi. Seterusnya ia berkembang ke Barat dan ekoran dari kejatuhan ketamadunan Islam, maka Barat mengambil alih peranan dalam membangunkan ketamadunan Ilmu.

Mereka yang mengatakan bahawa vaksin tidak mempunyai kajian secara terperinci sebenarnya berbohong pada diri mereka sendiri. Kerana kajian tentang vaksin dijalankan selama beratus tahun lamanya. Cuma, apabila bidang sains semakin berkembang maju maka kaedah kajian secara saintifik mula dijalankan secara meluas dan ketat. 

Tetapi, keputusan kajian tetap sama iaitu vaksin berkesan. Yang menghasilkan keputusan kontra pula sudah dibuktikan mempunyai kesalahan samada dari segi metodologi dan konsep atau mempunyai kepentingan peribadi yang dipanggil conflict of interest. Kebanyakan masa, ia disebabkan oleh salah faham pembaca dalam mentafsir satu-satu kertas kajian saintifik dan menimbulkan salah faham pada masyarakat.

Adalah tidak mustahil apabila ada yang menentang kaedah vaksinasi pada zaman Jenner disebabkan salah faham atau ego orang Inggeris yang tidak mahu menerima kaedah perubatan yang diambil dari kerajaan Islam.

Adapun demikian, tema gerakan anti vaksin adalah hampir sama dengan yang berlaku pada masa sekarang. Bezanya, wabak penyakit yang berlaku pada waktu sekarang tidak seteruk dulu. Kerana itu, negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom terpaksa menggunakan undang-undang bagi mewajibkan pemberian vaksin pada waktu tersebut[i].

Sentimen ini akan sentiasa berulang-ulang dan tema adalah sama. Cuma pelakon yang akan berubah. Watak Ayu Raudhah bagi saya tidak layak untuk disama taraf dengan pejuang anti vaksin global. Pejuang anti vaksin global pula boleh sampai ke tahap bertindak secara radikal[ii] dan menimbulkan huru-hara terutamanya setelah mereka bergabung dengan kumpulan ektremis kristian yang bersifat menentang pengguguran janin[iii].

Gerakan antivaksin moden pula dimulai dengan kertas kajian Wakefield. Ia adalah satu momentum besar kerana berjaya menurunkan kadar vaksinasi global. Malah, negara seperti Jepun turut mengikut saranan Wakefield untuk memberi suntikan vaksin mencegah MMR secara individual. Natihahnya, kejadian wabak berlaku dengan banyaknya dan pemberian vaksin secara individual di Jepun tidak membuktikan kebenaran teori Wakefield.

Ada golongan artis dan ahli politik yang mengambil kesempatan untuk meraih populariti dari gerakan anti vaksin ini. Di Malaysia, golongan artis yang sudah tidak laku nilai mereka di pentas seni turut mengambil pendekatan yang sama.

Apa-apapun, saya bersyukur kerana golongan ahli politik kita masih cukup waras dalam meneliti isu ini. Alhamdulillah, setakat ini semua ahli politik baik kerajaan dan pembangkang tidak membawa agenda anti vaksin.

Di Barat, golongan ahli politik adalah golongan paling keji kerana memainkan sentimen antivaksin dengan cukup berkesan dan penuh strategi. Bahkan, Donald Trump sendiri sanggup mengeluarkan belanja untuk mengupah ahli perubatan mengeluarkan kertas kajian palsu bagi mendukung gerakan mereka.

Hakikatnya, ahli politik seperti Donald Trump adalah insan yang mementingkan diri sendiri. Beliau sendiri adalah penyokong kepada vaksin. Rakan beliau Paul Rand juga menunjukkan sifat yang sama. Dalam beliau menghentam penggunaan vaksin, beliau turut mengambil suntikan vaksin bagi mencegah penyakit Hepatitis A.

Senator Paul Rand (Antivaksin) turut menerima suntikan vaksin mencegah penyakit hepatitis A. sumber dari National Geographic[i]


[i] Laura Parker, "The Anti-Vaccine Generation: How Movement Against Shots Got Its Start" 6 February 2015, http://news.nationalgeographic.com/news/2015/02/150206-measles-vaccine-disney-outbreak-polio-health-science-infocus/


Dalam isu autism, bukan vaksin semata-mata yang dijadikan alasan menyebabkan autism. Malah, majoriti kumpulan NGO yang membela nasib kanak-kanak autism turut mengakui kebenaran bahawa vaksin tidak menyebabkan Autism[i]. Kes Hannah Poling yang dibincangkan sebelum ini turut tidak dapat dijadikan asas untuk membenarkan premis mengatakan bahawa vaksin menyebabkan autism.
Saya tidak mahu membahaskan isu ini dengan panjang lebar. Akan tetapi, kita harus berfikir motif disebalik pembayaran pampasan oleh Kerajaan Amerika Syarikat kepada Poling. Ini kerana, terdapat anak-anak lain[ii] selain Hannah yang mempunyai masalah hampir sama seperti Hannah dan menuntut ganti rugi tetapi dinafikan oleh kerajaan Amerika Syarikat[iii].
Dalam buku ini,saya sudah tunjukkan kepada semua bagaimana perang dunia menyebabkan gangguan vaksin terjejas dan sekaligus menyebabkan penularan wabak kembali berleluasa. Ia adalah contoh mudah keberkesanan vaksin.
Bukti kerajaan Turki Uthmaniyyah menggunakan vaksin bagi mencegah smallpox biarpun tahap kebersihan di peringkat optimum turut boleh dijadikan hujah untuk mematahkan serangan golongan antivaksin. Dan ia juga menjadi bukti bahawa kerajaan islam turut menjadi sumber inspirasi kepada Barat dalam memberi kaedah perubatan untuk tujuan kebaikan masyarakat dunia.
Maka, apakah lagi alasan kita untuk tidak memilih suntikan vaksin?


[i] F. E. Yazbak, "Dr. Salisbury: You Are Wrong On Every Point!", 26 January 2001, http://whale.to/v/yazbak1.html
[ii] Orac, "The Hannah Poling case: Autism rebranded again", 10 March 2008, http://scienceblogs.com/insolence/2008/03/10/the-hannah-poling-case-and-the-rebrandin/
[iii] Steven Novella, "The Anti-Vaccination Movement", Skeptical Inquirer Volume 31.6, November / December 2007, http://www.csicop.org/si/show/anti-vaccination_movement




[i] History of Anti-vaccination Movements, http://www.historyofvaccines.org/content/articles/history-anti-vaccination-movements
[ii] Anna Merlan, "Meet the New, Dangerous Fringe of the Anti-Vaccination Movement", 29 June 2016, http://jezebel.com/meet-the-new-dangerous-fringe-of-the-anti-vaccination-1713438567
[iii] Orac, "When the antiabortion movement meets the antivaccine movement" 27 July 2015, http://scienceblogs.com/insolence/2015/07/27/when-the-antiabortion-movement-meets-the-antivaccine-movement/