Bab 17. KONKLUSI



Kehadapan Ayu Raudhah yang dikasihi,

Saya menyerap satu pesanan sentap dan mendalam dari golongan anti vaksin. Kata mereka;


"Geng geng pro vax ni dah anggap vaksin macam Tuhan sampai dah hilang rasa kebergantungan pada Allah. Sampai anggap vaksin tu segala-galanya."


Jujur saya katakan, hati memang terasa panas terbakar. Bara yang mula menjadi abu di hati ini tiba tiba seperti disembur gas methanol. Terus meletup, marak menyala dan menelan semua oksigen hingga lemas dan tak dapat bernafas.

Raya punya pasal, abang maintain steady dulu. Tidak mahu untuk menambahkan letupan di kawasan yang sedia kekurangan oksigen. Tarik nafas dalam-dalam dan cuba hadam kata kata mereka.

Tiba tiba terus terasa juga la. Tarbiyyah Ramadhan membuah hasil di pagi raya rupanya. Terus periksa balik secara pandang belakang akan kehidupan sebagai pelajar perubatan selama lima tahun dan pengalaman bekerja sebagai doktor selama lima tahun lebih.

Betul juga kata- kata mereka tu. Ramai pesakit hari ni dah lari niat mereka apabila datang  berubat di hospital. Masing masing menanam kepercayaan bahawa ubat yang menyembuhkan mereka. Doktor berjaya hidupkan balik orang yang mereka sayang. Tanpa hospital semua orang sakit mati.

Maka kita terus bergantung harap selain dari Allah. Makan paracetamol dua kali, demam tak kebah terus marah ubat tak berkesan. Selesema sehari dua, terus minta ubat paling kuat sebab nak sembuh cepat.

Doktor pun ada yang tiba tiba dah rasa diri macam Tuhan; dapat start balik jantung yang dah berhenti berdegup, buat Percutaneous Coronary Intervention (PCI) untuk buka saluran darah ke jantung yang tersumbat selepas pesakit "mati" dan pesakit kembali buka mata. Juga ketika pesakit yang dah kena jangkitan kuman tahap dewa dapat disembuhkan dengan antibiotik dan pembedahan.

Tiba tiba terfikir. Makin lama berkhidmat sebagai doktor sepatutnya buat kita makin dekat dengan Allah. Tengok saya sendiri pun dah cukup; lama-lama makin hanyut dan makin jadi terbuka tanpa kawalan. Makin agungkan sains dan abaikan agama.

Hakikatnya Allah yang bagi ilham kepada doktor untuk buat diagnosis, Allah yang bagi ilmu dekat doktor untuk belajar tentang tubuh badan manusia, kuman dan ubat. Hanya dengan izin Allah, seseorang manusia itu dapat dihidupkan.

Tak dinafi bahawa ubat berkesan. Tak dinafi bahawa vaksin memang terbukti dapat cegah wabak dan sebagainya.

Tapi Allah bagi peringatan melalui AEFI. Bahawa hebat dan berkesan macam mana pun vaksin ni, tetap ada kelemahan sebab boleh beri mudharat untuk sebilangan kecil masyarakat. Sebab ciptaan manusia ada kelemahan dan tak boleh lawan kehendak dan kemahuan ALLAH.

setakat hari ni, takda benda lain yang dibuktikan dapat lawan keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit. Orang yang tak vaksin anak bukan sebab tak percaya dengan vaksin, cuma takut AEFI, risau ada bahan berunsur syubhah atau nak cuba bahan organik.

Ya sehebat mana pun vaksin, kita kena ingat bahawa semua tu dengan izin Allah. Kita ambil vaksin atas taklid bahawa ia terbukti berkesan sebagai langkah pencegahan wabak dan mengurangkan risiko komplikasi penyakit berjangkit. Sebab vaksin terhasil dengan izin Allah apabila saintis guna akal untuk berfikir.

Tapi kita lupa bahawa kehebatan vaksin adalah disebabkan Allah izinkan ia terjadi mengikut tujuan vaksin tu dicipta.

Sama juga dengan ubat dan rawatan hospital yang lain. Semua tu Allah izinkan berkesan sebab ia dibuat berdasarkan kajian dan disiplin ilmu.

Tapi semua tu hanya sekadar usaha. Memang ada usaha lain yang boleh dibuat tapi tak sehebat atau dapat dibuktikan keberkesanannya berbanding vaksin.

Semua tu sebab Allah nak bagi ujian DIA pada manusia. Nak tengok samada akidah kita berpaling atau tidak?

Samada kita bertukar kepercayaan daripada Allah sebagai penyembuh segala penyakit kepada gaya hidup bertuhankan vaksin, ubat dan rawatan hospital. Jika kiblat bertukar kepada kepercayaan bahawa madu, tinn, kurma sebagai penyembuh pun salah.

Kawan-kawan ahli perubatan dan ahli masyarakat sekalian, jom kita sama-sama betulkan pemikiran dan akidah kita.Bahawa Allah adalah penyembuh segala penyakit. Dia adalah pencegah segala wabak dan bala. Dan dia juga yang tentukan hayat dan ajal manusia.

Bila kita guna vaksin, ubat dan rawatan moden, kita kena betulkan pemahaman kita. Bahawa semua tu adalah usaha dan as sebab untuk Allah ganjarkan manfaat kepada kita. Sehebat manapun benda tu, Allah akan tunjuk juga yang ia tetap ada kekurangan dan tak sempurna. Dan kita hanya boleh berusaha dan kembali berharap pada Allah.

Buat Ayu Raudhah. Cukuplah kita berbahas tentang vaksin. Ini pun sudah panjang lebar. Saya rasa, saya sudah bagi kefahaman asas tentang vaksin dan permasalahannya. Maksudnya, dah tak ada rahsia tentang vaksin lagi. Semoga masyarakat dapat menilai baik dan buruknya vaksinasi, seterusnya buatlah keputusan terbaik sesuai dengan ilmu anda. Juga setelah mendapat petunjuk dari Allah.

Vaksin, kaedah pemakanan yang betul mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Quran dan Sunnah, menjaga aspek kebersihan, meningkatkan ekonomi negara, menaik taraf teknologi diagnostik dan rawtan pesakit, membina sistem jaringan vaksinasi dan laporan AEFI yang baik dan sistematik adalah sama-sama penting dalam mencegah wabak. Doktor dan ulama pula adalah gandingan adik beradik yang tidak patut dipisahkan dalam mendepani permasalahan umat pada masa kini. Di akhir cerita, terpulang pada kita mahu mengikut laluan mana.

Saya berlepas dari tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada saya dalam menyampaikan sesuatu kebenaran jika anda tetap untuk menjadi golongan yang anti vaksin setelah saya menerangkan hal ini dengan panjang lebarnya.  Semoga Allah merahmati kita semua dan mengurniakan kita dengan syurga yang abadi di akhirat nanti.

Quarters Hospital Lahad Datu.
1 Syawal 2016,
Dr Jacknaim.