16.6 PERTEMBUNGAN PERUBATAN MELAYU-ISLAM DAN BARAT



Doktor perubatan ni berpendidikan barat. Mereka dah biasa dengan ubat kimia yang mampu melemahkan badan manusia. Mereka sudah terpengaruh dengan agenda Yahudi laknatullah. Kerana itu, mereka sangat berlagak dan memperlekehkan perubatan Islam. Subhanallah, mereka sudah murtad. Kerana itu, mereka selalu hentam perubatan Islam.

Anda biasa dengan kenyataan tersebut? Ya, banyak sekali dan maaf sekiranya saya katakan bahawa bicara tersebut banyak diungkapkan oleh dua golongan. Golongan pertama adalah golongan cerdik pandai agama yang belajar bertahun-  tahun di negara Arab.  Golongan ini tidak memberi masalah yang banyak selagi mana mematuhi disiplin ilmu yang tinggi. Salah faham timbul kerana mereka tidak duduk semeja dengan ahli perubatan dan tidak berapa faham konsep perubatan. 

Tapi bila mereka duduk semeja dan berbincang menggunakan disiplin ilmu yang betul, maka mereka menjadi sinergi kepada ahli perubatan. Kerana itu wujud banyak garispanduan agama dalam menggerakkan perubatan moden. Semua garis panduan ada baik isu vaksin, berubat dengan benda haram atau kotor, pendermaan darah atau organ, pemilihan pesakit untuk menggunakan ventilator, kaedaah merawat infertiliti dan macam-macam lagi. Agamawan sejati dan Ahli Perubatan adalah kembar siam yang saling melengkapi dan tidak boleh dipisahkan dalam mendepani masalah umat pada hari ini.

Golongan kedua adalah paling kritikal kerana mereka berpakaian seperti ustaz, berbicara seperti ustaz, menggelarkan diri sebagai professor, doktor, Tabib, Sir tetapi mereka bukan ustaz dan mereka juga bukan golongan pakar perubatan. Sebaliknya mereka ialah golongan bogus yang tidak pernah mendapat latihan khusus dalam bidang perawatan. Mereka hanya menggunakan imej islamik untuk menipu pesakit yang kehilangan akar untuk bergantung harap.

Saya utarakan kembali. Apa itu Perubatan Islam? Ramai yang masih berfikiran tertutup dengan mengatakan bahawa perubatan Islam itu berasaskan bacaan potongan ayat Al Quran, penggunaan bahan seperti madu, Habbatussauda’, Kurma, Susu kambing, Air Zam Zam dan sebagainya.

Adakah saya menolak kaedah perawatan tersebut. Sebagai Islam, saya mestilah Islam dari segi amalan terlebih dahulu sebelum merangkak masuk ke bahagian lain. Ya, saya setuju bahawa AL Quran itu diturunkan sebagai penawar. Benar saya tidak menolak hadis yang mengatakan hendaklah kamu berubat dengan madu. Bahkan dalam Quran juga mengatakan bahawa madu itu adalah penawar.

Tapi setakat itu sahajakah MAKSUD PERUBATAN ISLAM? Sehingga ke hari ini, saya cuba meneliti konsep perubatan Islam yang diwar warkan tersebut. Maaf saya katakan, sehingga hari ini saya hanya lihat manusia bertopengkan agama yang cuba untuk mengaut keuntungan berbanding niat untuk merawat. Maafkan saya kerana saya rasakan, mereka semua hanya menampilkan watak islamik tetapi tidak menjadi perawat yang sebenar. Ini golongan yang Mat Lutfi sifatkan sebagai Penunggang Agama.

Agenda mereka cukup senang. Sebarang benda yang tidak selari dengan kehendak mereka, maka mereka akan kaitkan dengan barat dan Yahudi. Contoh paling evergreen adalah vaksinasi. Kata mereka, vaksinasi adalah agenda yahudi dan barat untuk membunuh umat islam atau menggelapkan hati dengan benda-benda haram. Ada yang berkata doktor itu dan ini juga tidak gunakan vaksin. Malah, apabila ditanya siapa doktor yang berkata itu dan ini bahawa vaksin itu haram, satu nama pun gagal dipetik. Jika vaksin agenda barat, kenapa anak-anak barat dan yahudi juga disuntik dengan vaksin? Bukankah itu akan membuatkan otak mereka biol dan tolol? Sebaliknya mereka menjadi semakin cerdik dan terus menguasai dunia. Umat melayu kita di mana? Sekadar terampai ditepi longkang menjadi penagih atau hanyut dibuai angan angan menjadi kaya di bawah skim cepat kaya.

Adakah anda sebagai pengguna sanggup menerima rawatan yang berasaskan cakap-cakap orang? Kembali kita kepada Al Quran bahawa Allah berfirman apabila seseorang fasik membawakan berita kepada kamu, maka hendaklah kamu siasat kesahihan cerita tersebut. Jadi, pernahkah anda cuba siasat siapa doktor atau pakar yang membuat testimoni yang konon-kononnya menyokong golongan anti vaksin? Bahkan anda hanya percaya sebulat-bulatnya. Bererti anda sendiri tidak mengikut saranan Quran. Jadi bagaimana pula anda katakan bahawa anda pengikut kepada perubatan islam? Asasnya sendiri sudah lari, maka adakah binaannya kukuh tanpa rebah?

Kedua, mereka memutarbelitkan kenyataan Al Quran bahawa Quran itu penawar segala penyakit. Akibatnya, keluarlah produk seperti air yang dibaca dengan 30 juzuz quran, piring ditulis dengan ayat Al Quran dan kemudiannya direndam dengan air hingga bertukar menjadi penawar, Air yang diambil dari telaga zam-zam dan dibacakan ayat oleh ustaz sekian sekian. Apabila ditanya umat Islam, berapa kali kamu baca Quran? Siapa diantara kamu yang faham maksud ayat-ayat dalam Quran? Nescaya masing-masing akan menjadi kura-kura yang menyorokkan kepala mereka dalam cengkerangnya.

Pernahkah kita selami apa kata-kata Quran dan hadis? Islam mengajar kita untuk berusaha setiap kali ada kemashalahan. Selain berusaha, Islam menyuruh kita berdoa kepada Allah. Dan paling penting, Islam juga mengajar kita bahawa akan ada suatu masa apabila ada golongan yang MENGGUNAKAN agama untuk meraih kepentingan dunia dan mendapat kekayaan. Pernah kah anda berfikir sejenak dan bertanya, kenapa ustaz itu dan ini jual air jampi yang dibaca Al Quran. Kenapa Ustaz itu jual produk yang merupakan makanan sunnah tapi harga berganda-ganda mahalnya. Katanya ia mujarab.

Ketiga, mereka membina rangkaian perniagaan multilevel marketing ataupun sistem jaringan yang tampak gah. Mereka tubuhkan persatuan-persatuan tertentu dan mengeluarkan istilah yang sangat canggih hingga mampu membuatkan penduduk kampung percaya pada mereka. Mereka gelarkan diri mereka sebagai professor dan doktor serta membuat poster-poster mengelirukan seperti “program doktor bersama masyarakat” sedangkan mereka langsung tiada kepakaran untuk merawat pesakit. 

Ada diantara mereka yang menghadiri bengkel perawatan selama sehari tetapi terus mendapat gelaran doktor. Ironinya, masyarakat lebih percaya kepada mereka. Walaupun mereka katakan terapi elektrik melalui wayar yang dipasang kepada kepala boleh menyebabkan mereka bijak. Ataupun mereka gunakan mesin untuk merawat DNA. Saya hairan, bagaimana kita boleh terus menerusan membiarkan diri kita diperbodohkan dan mempercayai dongengan sebegini.

Sungguh ironi anda sanggup mempertaruhkan nyawa kepada mereka yang belajar beberapa hari dan terus mendapat ilham untuk menjadi professor, doktor atau Tabib. Sedangkan seorang doktor perlu mengambil masa selama enam ke sepuluh tahun untuk menjadi pegawai perubatan biasa, seterusnya bekerja mencari pengalaman selama tiga atau empat tahun dan menyambung belajar selama empat tahun untuk menjadi pakar. Kemudian mereka belajar lagi dua ke tiga tahun untuk menjadi lebih mahir. Melalui pengalaman selama 20 tahun, barulah mereka bergelar konsultan yang arif dalam bidang perubatan.


Anda yang membuat pilihan. Bogus yang berimej islamik, konon-kononnya membawa perubatan Islam dan menjual terapi dongeng ataupun doktor yang mendalami disiplin ilmu tertentu yang menjadi pilihan anda?

Apa yang masyarakat maksudkan tentang Perubatan Islam? Adakah ia bererti jampi serapah, penggunaan air penawar yang dibaca potongan ayat quran atau pemakanan berasaskan sunnah.

Perkembangan perubatan pada pendapat saya adalah bersikap progressif. Doktor yang ada pada hari ini tidak menolak perubatan Islam dengan mengamalkan teknik rawatan yang mana silibusnya adalah berdasarkan pendidikan barat.

Sebaliknya, apa yang diajar melalui silibus tersebut juga selari dengan agama Islam. Saya tidak ragu-ragu untuk berkata bahawa perubatan moden hari ini adalah selari dengan perubatan Islam.

Kita berbangga dengan tokoh islamik seperti Al Razi, Ibnu Sina, Ibn al Haitham, Ishaq Ibn Ali-Ruhawi, Ali Ibn Morin al Ridha dan sebagainya. Kita katakan mereka sebagai pengamal perubatan Islam. Kita sokong dan kita dokong mereka.

Akan tetapi, pernah kah kita susuri bagaimana mereka mengamalkan ilmu perubatan? Siapa ISLAM yang cuba dipotretkan oleh masyarakat. Adakah bangsa arab semata-mata? Jika itu fikiran anda, perubatan islam adalah yang berlandaskan peri bahasa arab dan lahir dari tengah gurun padang pasir. Maka anda silap.

Atau anda hanya cuba untuk mempamerkan perubatan MELAYU-ISLAM? Kenapa saya katakan MELAYU-ISLAM? Ini kerana kebanyakan perubatan yang ada sekarang hanyalah rekaan umat berbangsa melayu yang sebenarnya sedikit sahaja kebergantungannya pada Agama Islam.

Ibnu Sina sendiri bukan lah orang arab. Beliau bukan sahaja tokoh perubatan Islam tetapi juga tokoh falsafah yang muncul di saat dunia sedang keliru tentang keesaan Allah. Saat masyarakat dihentam hebat oleh golongan falsafah yunani dan membawa kepada kecelaruan Akidah. Ibnu Sina hadir untuk mengemukakan cara baru dalam berfikir dan pada masa sama tidak mengenepikan Allah. Kaedah perawatannya pula adalah berlandaskan kepada Hipoccratic Corpus dan turut dipengaruhi kaedah pemikiran dari Aristotle dan Galen. Kesemua mereka adalah tokoh Yunani. Bahkan Ibnu Sina juga dikaitkan sebagai Galen kedua ataupun anak murid kepada Galen. Adakah Ibnu Sina juga agen yahudi dan murtad dengan mengembangkan ilmu perubatan dari Yunani? Sedarkah anda bahawa Hipoccrates digelar sebagai Bapa Perubatan dan Ibnu Sina ataupun Avicenna pula dikenali sebagai Bapa Kepada Perubatan Moden.

Begitu juga Al Rhazi yang merupakan seorang pakar bedah. Dia juga berketurunan Parsi. Apa yang menariknya tentang Al Rhazi adalah beliau mengemukakan konsep bahawa manusia itu dibahagikan kepada aspek fizikal dan spiritual ataupun  minda. Sebelum sesuatu penyakit dapat di rawat, doktor harus memastikan kedua-dua aspek ini berjaya dirawat. Sakit fizikal dirawat melalui pembedahan mahupun ubat-ubatan manakala sudut spiritual dirawat dengan mendekatkan diri dengan Tuhan dan pentingnya sentiasa berfikiran positif.


Selain itu, ulamak islam seperti Ishaq Ibn Ali al Ruhawi juga telah menetapkan nilai-nilai etika dalam proses memberi rawatan kepada pesakit. Ini bererti, setiap orang doktor itu perlu beradab dan juga perlu jujur dalam memberi rawatan kepada pesakit. Nilai etika ini turut disentuh oleh Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan dimana beliau berpandangan seseorang perawat itu harus sentiasa membetulkan niat dalam merawat pesakit semata-mata kerana Allah.

Apa yang menariknya, pandangan tokoh-tokoh perubatan Islam ini diambil berat oleh sistem pendidikan  barat. Falsafah disebalik idea dan pemikiran mereka telah dijadikan batu loncatan untuk mereka jalankan lebih banyak kajian dalam bidang perubatan.

Kerana itu, sekiranya anda menilai nilai etika dalam perubatan barat sendiri, anda sebenarnya akan menemui banyak nilai islamik yang tertanam. Antaranya adalah kepentingan untuk memberikan ucapan salam ataupun ‘hi’ serta berjabat tangan dengan pesakit sebelum memulakan proses rawatan. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah konsep ta’aruf yang diperkenalkan oleh Islam.

Apabila seseorang doktor memeriksa pesakit, mereka biasanya akan memeriksa dari bahagian kanan pesakit. Bukankah ini juga nilai memuliakan pesakit seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Malah, perubatan barat juga mengajar bahawa perlunya seorang saksi ataupun peneman; Cheparone apabila seseorang perawat memeriksa pesakit yang berlainan jantina.

Akan tetapi, orang awam memepertikaikan lagi. Ia kelihatan islamik tetapi sebanarnya kafir. Lihat sahaja bahan ubat-ubatan yang dibuat dari sumber haram.

Masalah umat melayu yang ada pada hari ini adalah mereka MALAS mengkaji dan mereka TAKSUB kepada ustaz-ustaz tertentu yang berfikiran jumud. Malah, apabila anda membahaskan isu babi sekalipun, terdapat pelbagai pandangan mazhab  mengenainya. Rujuk perbahasan penuh dalam bab Memilih Madu dan Babi)

Namun demikian, orang barat juga tidak bodoh. Mereka tahu bahawa ramai pengguna adalah beragama Islam. Anda jangan buat-buat tidak tahu tetapi secara hakikatnya, banyak hospital di negara barat mengeluarkan garis panduan untuk membantu pesakit beragama Islam dalam memilih ubat-ubatan yang halal. Pengeluar ubat-ubatan juga banyak yang telah menukarkan penggunaan bahan berasaskan babi kepada lembu, kambing ataupun kuda. Cuma ada keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Ironinya, merokok sudah difatwakan haram oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan tetapi golongan antik vaksinasi, golongan ustaz-ustaz perubatan Islam, golongan bogus perubatan dan juga golongan anti perubatan barat masih belum berhenti dari merokok. Walaupun terdapat ura-ura yang mengatakan rokok mengandungi gelatin babi, tetapi mereka tetap masih merokok. Bukankah ini merupakan satu bahan lawak jenaka yang amat kelakar?

Oleh yang demikian, saya sebenarnya tidak langsung mendapati bahawa perubatan moden pada hari ini tidak mengikut landasan agama islam. Oleh itu, saya kecewa dengan tuduhan masyarakat khususnya sebilangan kecil golongan agama yang melabelkan doktor moden sebagai ejen yahudi, pemusnah bangsa dan sebagainya.

Setidak-tidaknya, doktor moden masih mampu bersikap professional dan berpijak pada bumi realiti. Mereka sedar akan keterbatasan perubatan mereka dan kerana itu mereka tidak berani mengatakan bahawa mereka boleh merawat semua jenis penyakit. Bahkan, sebiji pil juga terhad penggunaannya untuk penyakit tertentu.

Lihat pula golongan bertudung labuh dan berjubah serta mereka yang berjanggut dan berserban dimana mereka mengemukakan pelan rawatan yang cukup canggih. Malah ada yang berani mengatakan bahawa mereka mampu merawat SEMUA jenis penyakit. Satu produk mereka seperti air yang dialirkan cas elektrik atau diambil dari lautan dalam boleh menyembuhkan ribuan jenis penyakit.

Sedarlah, mereka sedang menipu anda . Mereka meresap dalam sistem pendidikan dengan membuat skema yang melaungkan slogan meningkatkan pengembangan minda, menghasilkan generasi yang bijak dan sebagainya. Disebalik penipuan itu, mereka anjurkan juga kem kem kesihatan percuma menggunakan produk yang langsung tidak pernah diuji keberkesanannya secara saintifik dan menggunakan istilah canggih manggih demi untuk mengaburi mata anda.

Anda nilai sendiri, perubatan islam mana yang anda inginkan? Sanggupkah anda memperjudikan nyawa anda kepada bogus-bogus yang berlindung disebalik imej islamik ini? Wahai bangsaku, berhenti menjadi candu agama dan berhenti membiarkan diri diperbodohkan atas nama Agama. Islam menyuruh anda membuat kajian dan mencari kebenaran. Kenapa malas sangat untuk mengikut saranan Agama?

Saya ditanya, adakah saya menafikan perubatan alternatif setelah berkecimpung dalam bidang perubatan moden dan adakah saya berkelayakan untuk membuat komentar tentang isu perubatan alternatif. Saya terlibat dalam bidang perubatan selama sepuluh tahun, walaubagaimanapun bertugas sebagai doktor perubatan selama lebih lima tahun. 

Akan tetapi, sejak mula terlibat dalam kolej perubatan, saya sudah melibatkan diri secara langsung dengan bidang klinikal. Sebagai seorang Pegawai Perubatan yang berdaftar dibawah Majlis Perubatan Malaysia, saya rasakan diri ini bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu ini.

Sekali lagi saya katakan disini, saya bukan anti PERUBATAN ALTERNATIF tetapi saya anti perubatan MELAYU-ISLAM. Istilah ini saya kemukakan memandangkan timbul banyaknya golongan doktor mee segera yang wujud di Malaysia. Mereka menggunakan imej islamik serta ayat-ayat Al Quran untuk mengaburi mata masyarakat. Majoriti dari mereka adalah berbangsa MELAYU dan seagama dengan saya iaitu ISLAM. Mereka menggunakan gelaran yang mengelirukan sebagai Professor Emiritus Sir, Doktor, Professor dan sebagainya sedangkan Majlis Perubatan Alternatif dan juga Homeopathy MELARANG ahli perubatan Alternatif menggunakan gelaran ini.

Ramai yang berkata, pun ada golongan tabib cina yang berbuat benda sama dan begitu juga tabib India yang mengajar teknik Ayurveda palsu. Kenapa tidak menghentam mereka? Siri artikel saya bersifat UMUM dalam menentang Bogus Perubatan tetapi SPESIFIK kepada kumpulan MELAYU-ISLAM. Ini kerana, saya benar-benar pantang dengan perbuatan menggunakan agama untuk meraih keuntungan. Tindakan tersebut juga bersifat pembohongan dan penganiayaan terhadap masyarakat yang mempunyai sakit. Tidak ada perbuatan yang lebih keji dan hina selain dari mengambil kesempatan di atas kesusahan saudara disekeliling kita.

Terdapat blog yang memperkenalkan terapi attitude positif yang menyarankan kaedah rawatan yang berbahaya. Antaranya, jika anda pesakit thallasemia dan mempunyai kepekatan hemoglobin dalam darah sebanyak 2, anda tidak perlu ke hospital untuk ditambah darah sebaliknya anda hanya perlu membetulkan cara berfikir. Pesakit yang mempunyai Hb 2 akan bila-bila masa sahaja akan mendapat komplikasi. Mereka tidak akan sedarkan diri kerana otak kekurangan bekalan oksigen yang dibawa oleh darah. Jantung akan kekurangan bekalan oksigen hingga menyebabkan serangan jantung dan kematian.

Contoh kedua adalah pesakit yang memiliki tekanan darah melebihi 220/130 tidak perlu diberi rawatan ubat anti hipertensi. Pada saat ini, saluran otak di dalam darah pada bila-bila masa sahaja boleh pecah dan pesakit akan mengalami strok. Darah tinggi yang kronik dan tidak dirawat akan membawa kepada kegagalan buah pinggang dan juga serangan jantung. Siapa yang akan bertanggung jawab atas kehilangan nyawa pesakit tersebut?

Teknik keji lain yang digunakan mereka adalah menggunakan cakap-cakap kononnya pesakit itu dan ini sembuh ataupun ada doktor yang diberi rawatan dan sembuh. Sebagai contoh, saya dihampiri oleh rakan yang bekerja dalam bidang kejuruteraan dan mempromosi sejenis ubat. Kata beliau, ada doktor di HUSM yang mengalami serangan jantung kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari dan diberikan oleh jururawat secara senyap sejenis ubat Alternatif. Pesakit tersebut seterusnya sembuh dan dibenar pulang. Sehingga hari ini, nama doktor tersebut tidak pernah didedahkan dan ia turut menimbulkan tanda tanya memandangkan saya pernah menghabiskan masa selama LIMA tahun di HUSM.

Terdapat juga golongan bogus kesihatan yang menawarkan teknik terapi minda dan juga kaedah rawatan elektrik untuk meningkatkan tahap kecerdikan murid. Mereka akan melekatkan elektrod pada kepala dan memberi terapi elektrik. Saya kira, rawatan mereka adalah diambil inspirasi dari rawatan Electroconvulsive Therapy (ECT) untuk memulihkan pesakit Scizophrenia ataupun masalah gangguan emosi yang terlalu teruk. Teknik rawatan ECT sendiri adalah bahaya dan hanya kes tertentu yang akan diberi rawatan tersebut. Pesakit akan berpuasa dan diberi ubatan bius. Sepanjang prosedur, para doktor akan bersedia dengan kelengkapan resusitasi dan alatan cardiac monitor dan SPO2 monitor digunakan untuk menilai keadaan pesakit dari semasa ke semasa. Akan tetapi, hal berlainan digunakan untuk teknik terapi minda oleh bogus kesihatan. Kita tidak tahu berapa banyak caj elektrik yang dikenakan, apa rangka keselamatan sekiranya berlaku kecemasan dan sejauh mana teknik ini berkesan? Oleh itu, tindakan ini adalah bercanggah dengan asas perubatan iaitu Do No HARM!. Ia adalah teknik yang tidak dibuktikan tahap keselamatannya dan tiada asas rawatan dan mengapa ia terus menerus dipopularkan? Adakah perbuatan ini diredhoi oleh Allah dan dibenarkan oleh Islam?

Terdapat juga doktor bogus yang menyarankan rawatan membetulkan DNA menggunakan mesin amplifier dan sebagainya. Ia adalah sesuatu yang mengarut dan tidak masuk akal. Setiap jenis sel dalam badan kita mempunyai nucleus ataupun pusat kepada sel di mana di dalamnya terkandung DNA. Rantaian DNA ini diperlukan untuk menghasilkan bahan yang membawa kepada penghasilan protein tertentu dalam badan. Terdapat penyakit genetik yang merosakkan keseluruhan fungsi DNA dan terdapat juga penyakit seperti virus tertentu yang merosakkan DNA pada masa tertentu sahaja. Penyakit genetik ini tidak dapat dirawat melalui kaedah penggunaan mesin. Walaubagaimanapun, untuk penyakit yang disebabkan jangkitan kuman, ia boleh dirawat dan akan menyebabkan sel yang rosak itu mati. Hanya dengan mengetahui asas kepada badan manusia maka kita akan tahu bahawa rawatan itu boleh dilakukan atau tidak.

Mungkin anda pernah lihat cerita lakonan Mr Os yang menunjukkan beliau menghasilkan ubatan ajaib bahkan membolehkan haiwan bercakap. Mungkin filem sebegitu yang menjadi sumber inspirasi bogus kesihatan untuk mencipta mesin perawatan.


Berdasarkan kupasan saya, perubatan yang ada sekarang BUKAN perubatan islam dan ia juga BUKAN perubatan alternatif dan tradisional. Sebaliknya, ia hanyalah rawatan yang diada-adakan dan dibina berlandaskan putar belit fakta sains dan mengambil kesempatan ke atas pesakit. Berbeza dengan perubatan alternatif, kerajaan sudah mula menyedari fungsinya dalam rawatan ke atas pesakit. Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013 adalah bukti bahawa perubatan moden tidak meminggirkan perubatan alternatif.

Saya tidak nafikan bahawa penggunaan akupuntur, urutan tradisional, mampu untuk memulihkan masalah “Kesakitan Kronik”. Begitu juga penggunaan aromatherapy dan terapi minda untuk memulihkan kecelaruan minda. Bahkan, kajian sains terbaru juga menunjukkan mayarakat yang merawat spiritual mereka dengan ayat-ayat Quran dan berfikiran positif juga dapat sembuh lebih cepat berbanding orang biasa. 

Rukyah juga adalah satu bentuk usaha. Paling utama, jangan hanya Al Quran itu dibaca oleh Ustaz kepada kita semata-mata. Sebaliknya kita yang Islam ini harus belajar baca Al Quran. Semestinya, ia sudah cukup andai pesakit tersebut sendiri yang membaca Al Quran, melakukan solat hajat dan tidak bergantung kepada air yang dibaca ayat Quran oleh ustaz. 

Adalah mengarut untuk percaya kepada  air dari tujuh gunung yang dijampi dengan ayat Al Quran. Walaubagaimanapun, saya tidak melihat kemudharatan andai mereka tetap ingin membeli air ini. Itu adalah duit anda sendiri. Anda boleh berhubung secara terus dengan Allah atau anda boleh menghabiskan duit poket anda membeli air yang didakwa disucikan dengan ayat Al Quran.


Sewaktu saya bertugas di Hospital Tawau, terdapat pesakit yang mengalami cirit birit yang teruk. Rawatan untuk cirit birit adalah pemberian cecair melalui saluran darah dan juga ubat antibiotik untuk kes tertentu. Ibu pesakit pula bertegas bahawa dia jatuh sakit disebabkan kemarahan nenek moyang dan bertegas untuk membawa pesakit pulang bertemu dukun. Saya sedar, sekiranya pesakit dibenarkan pulang, dia akan mati kerana kehilangan air dan garam yang banyak. 

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membenarkan ritual tradisional tersebut dilakukan di dalam wad. Saya tidak membangkang asalkan pesakit masih tetap menerima rawatan doktor dan dukun juga tidak menggunakan ubatan herba yang boleh membawa kepada kesan sampingan. Saya bagitahu pengawal keselamatan dan jururwat untuk benarkan kaedah perubatan tersebut dijalankan di katil pesakit.

Pesakit akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang selepas beberapa hari. Mungkin ibunya beranggapan bahawa dia sembuh disebabkan oleh dukun. Dalam keadaan ini, doktor hanya berlapang dada kerana doktor lebih faham bahawa rawatannya adalah melalui pemberian cecair melalui salur darah. Itu yang membantu pesakit.

Ini adalah antara hikmah ataupun ‘Wisdom’ yang diajar oleh seorang pensyarah saya di Universiti Sains Malaysia iaitu Prof Zabidi. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana Prof Zabidi terangkan kepada kami yang tak sampai seminggu berdaftar sebagai pelajar perubatan bagaimana dia merawat kanak-kanak yang disengat haiwan berbisa dan mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu dicuci menggunakan mesin tetapi ibu bapa mahu bawa anak mereka pulang. Beliau akhirnya bertoleransi dengan membenarkan bomoh datang melakukan rawatan sambil mereka meneruskan rawatan moden.

Ini tidak bermaksud yang kami percaya atau menggalakkan perbuatan khurafat. Tak! Tapi, kami sedar bahawa unsur khurafat memang terlalu banyak dalam masyarakat kita. Ia perlu ditegah dan doktor boleh ambil peranan. Tapi peranan doktor lebih kritikal kerana kami perlu menyelamatkan nyawa terlebih dahulu. 

Sepanjang saya bertugas sebagai doktor, pesakit dibawa ke hospital dengan segala jenis tangkai. Benang kuning diikat bukan sahaja di tangan dan kaki tetapi juga leher dan perut. Tak kan lah saya tak nak selamatkan nyawa mereka sebab tak bersetuju dengan perbuatan khurafat mereka. 

Dulu, pernah saya bertindak kurang bijak dengan menyindir perbuatan mereka menggunakan tangkal. Tapi lama kelamaan saya menyedari bahawa itu bukan kaedah terbaik kerana sesetengah dari mereka akan salah faham mesej yang saya cuba sampaikan. Sebab orang yang tengah sakit ni penuh dengan emosi. Jiwa mereka lemah, semangat mereka hancur dan jasad mereka dalam penderitaan. Kesemua ini perlu dirawat terlebih dahulu sebelum  kita boleh beri teguran sensitif terhadap mereka. 

Setakat ini, saya rasa anda sudah boleh menilai tentang apa yang saya sampaikan. Secara ringkasnya, perubatan moden adalah selari dengan ajaran Islam maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa perubatan moden adalah perubatan Islam. Kedua, banyak dakwaan bahawa mereka mengamalkan perubatan Islam padahal ia adalah penipuan dan mereka adalah golongan doktor bogus yang patut dijauhi. Dan yang ketiga sekali, perubatan moden tidak pernah menepikan rawatan alternatif dan komplementari sebaliknya tugas doktor adalah untuk membantu pesakit agar tidak membuat pilihan salah dengan memperjudikan nyawa mereka kepada bogus kesihatan.