![]() |
[Samuel Allen]
|
Ke hadapan Dr. Jacknaim,
Usah kau merasa pelik akan kehadiran suratku, di
mana kau pasti sudah terlena dibuai mimpi. Di tempatku, kegelapan malam gagal
diterangi oleh cahaya rembulan biar masing-masing tahu bahawa bulan itu wujud.
Apabila si buta di tanya tentang bulan, maka dia bisa sahaja menuturkan
kata-kata indah tentang bulatnya bulan dengan cahaya putih susu yang sesekali
dirindui oleh Sang Pungguk.
Tapi Si Buta pasti tidak merasakan apa yang aku
rasa di saat ini. Berteman titisan hujan yang sudah sekian lama dirindui tanah
gersang, menyaksikan permukaannya merekah lalu menggeletek Sang Cacing yang
sedang berehat sambil menghitung nasib masa depannya. Angin malam membawa sejuk
yang dikandung butir-butir jernih dari langit. Sekalipun melintasi debu-debu
kotor di angkasa, langsung ia tidak terpalit lumpur dan tidak hilang
kedinginannya.
Bersama kesejukan malam, aku cuba memanaskan
tubuhku dengan menerjah memori silam yang semakin lama mula menghilang. Berharap
ia akan menjadi sehangat Sungai Ciliwung di saat hujan Februari berarak pergi.
Yang pasti titik-titik hujan itu gagal mengembalikan jernihnya aliran sungai
yang mula lesu itu kembali ke zaman Gemeente
Batavia .
Gadis itu bertandang lagi, dengan cukup berani
berdiri di tebing sungai sambil merenung jauh ke dasar air itu dengan pandangan
penuh konsentrasi. Langsung tidak mempedulikanku sekalipun beberapa kali aku
menegurnya sebelum ini. Seakan dia punya dunia yang berbeza. Ah, bukankah
wanita itu sememangnya berbeza dari kita?
Dia cantik, berkulit halus dan jari jemarinya
licin seperti belimbing buluh muda. Tudung menutupi rambutnya sekaligus
menghalang kenakalanku dari melihat rambutnya. Apakah lurus hitam seperti yang
aku sukai, ditambah dengan sedikit kerinting di hujungnya? Hikmah Agama nyata
menghalangku!
Mungkin kebetulan atau mungkin kerana kami
berjodoh, tapi aku sering menemukan gadis itu disini. Saat tebing-tebing Sungai
Ciliwung dipenuhi dengan kuntuman Kembang Sepatu merah yang galak menghiasi
rantingnya. Gadis misteri itu akan memetik satu bunga, memerhatinya dengan
penuh tanda-tanya, seakan tenggelam dalam mimpinya sedang malam belum
menjemput. Lalu dia berjalan menuju ke tebing sungai dan menceraikan kelopak
bunga itu satu persatu lalu menghanyutkannya ke dalam sungai itu. Sesekali, dia
menggenggam penumbuknya. Genggam, lepas, genggam dan lepas. Lalu kembali menuju ke hutan Kembang Sepatu
merah itu.
Dipetiknya satu bunga, memerhatinya dengan penuh tanda-tanya, seakan tenggelam dalam mimpinya sedang malam belum menjemput. Lalu dia berjalan menuju ke tebing sungai dan menceraikan kelopak bunga itu satu persatu lalu menghanyutkannya ke dalam sungai itu. Sesekali, dia menggenggam penumbuknya. Genggam, lepas, genggam dan lepas. Lalu kembali menuju ke hutan Kembang Sepatu merah itu.
Dipetiknya satu bunga, memerhatinya dengan penuh
tanda-tanya, seakan tenggelam dalam mimpinya sedang malam belum menjemput. Lalu
dia berjalan menuju ke tebing sungai dan menceraikan kelopak bunga itu satu
persatu lalu menghanyutkannya ke dalam sungai itu itu.
Dan sesekali dia menggenggam penumbuknya selepas
habis mencerai kelopak bunga itu. Genggam, lepas, genggam dan lepas. Lalu kembali menuju ke hutan Kembang Sepatu
merah itu.
4,5,6,7,8,9,10,11,12,13,14,15,16,17,18,19,20.
Seakan sudah menjadi tabiatku untuk mengira
kelakuannya itu.
Semuanya berlaku ketika Kembang Sepatu merah
memekar di ranting hutan kecil herba itu yang menghiasi tebing Sungai Ciliwung.
Tidak tersangka, aku berjodoh panjang dengannya.
Saat angin Februari sudah jauh kami tinggalkan, takdir menyaksikan kami berada
dalam sebuah kereta yang sama. Itu kali pertama kami berbicara dan kali pertama
juga dia masuk ke dalam teksi yang sudah terlebih dahulu aku naik. Langsung dia
terus berbicara pada pemandu teksi yang sudah mula menjelingnya, membuat aku
terasa segan.
Memahami jerlingan pemandu teksi itu, aku hanya
menguntumkan sebuah senyuman seindah Kelopak merah Kembang Sepatu. “Biarkan sahaja Tuan, ternyata destinasi
kami sama.”
Dia memandangku, tapi tidak tepat ke mataku. Sedang
aku cuba memandang anak mata hitamnya yang comel. Memberi tafsiran padaku
bahawa dia menjaga adab pergaulannya dan mengikut suruhan Al Quran.
Perbualan kami ringkas. Tidak ada kata-kata cinta
romantis kerana tidak pernah sebarang ikatan kasih terjalin sehingga ke saat
itu. Yang pasti, keintelektualannya jelas kelihatan saat matanya tidak lekang
dari membaca buku perubatan di sepanjang 20 minit perjalanan kami.
Hari demi hari berlalu, aku dengan dia tidak
lekang dari bersua. Sentiasa bersama tetapi secara kebetulan dan tidak
berkaitan. Yang pasti, aku dan dia sama-sama sukakan air. Bagiku, air memberi
ketenangan tapi baginya, aku tidak tahu!
Di saat Kembang Sepatu mekar memerah, dia berdiri
di tepi tebing Sungai Ciliwung dan mengulangi ritualnya. Dan kami beberapa kali
bersama menaiki teksi yang sama tetapi secara kebetulan atau tidak berkaitan. Atau
sesekali disebabkan aku kebetulan ingin mendampinginya! Yang pasti, layanannya
terhadapku hambar. Dia lebih gemar menggenggam penumbuknya. Genggam, lepas,
genggam dan lepas. Lalu membaca buku perubatannya.
Ada ketikanya dia akan berjalan menjauhi beberapa
minit dari tempatnya belajar. Beberapa minit menjauhi dari tempatku belajar. Ada
waktunya dia gemar ke situ. Bersama buku perubatannya, dia bersila di tepi
kolam besar di hadapan kami.
Dia gemar memerhati Cuora amboinensis jantan yang sedang kesunyian. Langsung tidak
menyedari bahawa aku juga sunyi tanpa bicara darinya. Aku bersandar ke batang
pokok Beringin sambil membaca buku mengikut ilmu pengajianku.
Dan dia pula membaca buku perubatannya sambil
berhenti beberapa kali. Untuk memerhati Cuora
amboinensis jantan yang sedang kesunyian.
Anehnya,
selama beberapa tahun itu kami pasti bersama tetapi secara kebetulan. Aku
yang dalam sedarku sedang asyik memerhatikannya.
Sedang dia dalam dunianya. Membaca buku perubatan,
menggenggam penumbuk dan memerhati Cuora
amboinensis jantan yang sedang kesunyian.
Sehingga suatu hari dia tiba-tiba datang berbicara
padaku. Langsung tidak memandang wajahku dengan tepat, lalu berbicara.
“Habis semua ikan-ikan dalam kolam itu dibunuhnya tanpa sebab lapar maupun dahaga!”
Aku cuba mendalami kata-katanya itu. Berfikir sedalam-dalamnya
akan maksud tersirat di sebalik kata-katanya itu. Ternyata aku tidak memahami
gaya komunikasinya.
Tidak ada yang menghairankan kita saat melihat
Kura Kura Katup Jantan memakan ikan atau siput sekalipun tabiat kura-kura
adalah memakan buah. Paling digemari mereka adalah buah tembikai. Aku juga menggemari tembikai. Yang kuning
pasti sahaja lebih aku gemari berbanding yang merah. Tapi, Nabi pasti
menggemari tembikai. Tidak yang kuning atau yang merah. Gadis itu pula aku
lihat lebih gemar memakan tembikai kuning dan merah. Siapa yang tidak suka
makan buah tembikai?
Biarpun kesemua Kura-Kura mempunyai perut dan usus
herbivor dan menggemari tembikai, ada yang mengalami adaptasi untuk menjadi
omnivor.
“Aku pernah lihat kura-kura jantan yang kesunyian dalam kolam sekolah bertahun-tahun. Akhirnya, habis semua ikan-ikan dalam kolam itu dibunuhnya tanpa sebab lapar maupun dahaga!”
Aku sudah lupa berapa kali aku menegur bahawa
kepercayaannya itu salah. Ia umpama mencurah air ke keladi. Baginya, Kura Kura Katup
Jantan kesunyian itu sudah membunuh kesemua ikan-ikan di dalam kolam itu.
Sedang aku yang sedang bersandar di Pohon Beringin
itu, sering pula memerhati dia membaca buku
perubatan, menggenggam penumbuk dan memerhati Cuora amboinensis jantan yang sedang kesunyian.
Dan tanpa sedar, dia bingkas bangun dan menangkap
anak ikan kecil yang terperangkap di celah batang kangkong dan memberi
Kura-Kura Katup Jantan itu makan dan secara tidak sedar memaksa usus belakang
kura-kura itu mencerna protein yang disuap dan menambah tumbesarannya.
Sehinggalah selepas bertahun-tahun kami belajar di
sana, kura-kura itu sudah lupa mencari pasangannya lalu membina sebuah cinta
tulus bersama gadis yang yang jarang sekali aku bersama, biar selalu
berkebetulan di tempat sama.
Sehingga dia tidak lagi menemui ikan-ikan kecil
yang tersembunyi di balik akar pokok kangkung itu. Dan kura-kura itu menjadi
kesepian kerana kami sudah mula menghabiskan pengajian kami di sana.
Aku meninggalkan daerah itu di saat artikel Andrew
J Wakefield ditarik balik dari Jurnal Perubatan The Lancet.Dan gadis misteri
itu akhirnya membisik di telingaku beberapa kali sebelum kami berpisah.
Asperger Relapse! Asperger Relapse! (A.R!)
Sesuatu yang cukup asing buatku pada waktu itu. Kecuali
kisah gadis misteri, Kura Kura Katup
Jantan dan Kembang Sapatu bewarna merah.
Sehinggalah General
Medical Council mengumumkan bahawa terdapat 18 orang doktor dikenal pasti
menghidap Asperger’s Syndrome, 23 hari selepas World Health Organization
mengadakan persidangan ke 67 mereka di Geneva dan membuat deklerasi untuk
menghentikan pelabelan individu autism sebagai terencat akal dan membela mereka
dari dibuli. Hak pendidikan mereka diperjuangkan dan begitu juga kebajikan
mereka.
Aku meniti pasca selepas pengenalan kepada DSM V
Criteria oleh American Psychiatric
Association lalu menyedari betapa dunia sedang meletak label kepada
individu yang berlainan dari kita. Saat ini juga aku menyedari bahawa istilah Asperger Relapse itu tidak wujud. Tetapi
mereka boleh menjadi terlampau genius sekalipun mempunyai sedikit masalah berkomunikasi
dan melakukan hubungan sosial.
Lalu aku mula sedar dan faham mengapa bilangan
kanak-kanak yang mengalami masalah terbantut akal, childhood scizophrenia semakin hilang dan graf penyakit autism naik
dengan mendadaknya. Sehingga kini 1 dalam 68 kanak-kanak berusia 8 tahun di
Amerika Syarikat menghidap Autism.
Meniti pasca DSM V Criteria ini aku mula faham
mengapa kajian menolak punca peningkatan Autism disebabkan oleh vaksin,
merkuri, alluminium, glyphosate, pencemaran udara, kurang kasih sayang ibu dan
gelombang WIFI.
Kerana dulu sebelum era wujudnya ‘kebejatan’ itu,
mereka sentiasa wujud dalam kalangan masyarakat kita. Samada sebagai
kanak-kanak normal ATAU yang terencat akal, kanak-kanak gila, kanak-kanak
terbantut perkembangan otak, kanak-kanak genius dan kanak-kanak dengan
kemahiran seni yang tinggi.
Yang mencipta autism adalah dunia perubatan kita
sendiri. Bukan kerana tuduhan bahaya itu dan ini. Tetapi apabila kita mula
mencipta kelas-kelas tertentu untuk mendefinisikan kanak-kanak yang tidak
normal ini. Sedangkan pada hakikatnya, begitu banyak sekali kanak-kanak tidak
normal sebelum dunia ini wujud dengan vaksin. Cuma, mereka berterusan dibuli,
dinafi hak untuk belajar, ditindas secara berterusan dan paling penting, tiada
siapa yang faham atau mendengar rintihan mereka.
Dan dunia hari ini membuktikan bahawa Autism itu
bukan jalan membawa ke lembah kematian. Ia adalah satu kelompok kanak-kanak
yang normal tubuh badan mereka tetapi berlainan spektrum neuropsikologi mereka.
Dari tahap super genius hinggalah ke
tahap yang paling rendah akal mereka.
Hakikatnya, segala sentimen yang wujud lalu membawa
segala kebencian pada ketamadunan manusia itu membawa kepada kebaikan. Segala
tuduhan penyebab, segala kekecohan media, segala perdebatan ahli perubatan
akhirnya membawa kepada pembelaan hak kanak-kanak istimewa yang tertindas ini.
Mereka mendapat pengiktirafan melalui sistem
pengkelasan penyakit yang dibina dengan sejarah panjang bermula dari teori
Eugen Bleuner pada tahun 1908 sehinggalah hak mereka diiktiraf di WHO pada tahun
2004.
Semoga Saudara Jacknaim dapat sampaikan kepada
dunia akan kisah Bersama Mimpi Autism ini kepada Dunia.
Yang
memanggilmu dari jauh,
Arru'ya
bil Haq