Tekanan
dada (CPR) sudah setengah jam berlangsung. Oksigen diberi secara berkala
melalui tiub pernafasan yang dimasukkan melalui halkum. Wajah comel bayi
berusia setahun itu semakin hilang serinya.
Sudah
enam hari dia demam. Sejak 2 hari lalu, dia mengalami cirit birit yang teruk
dan sudah tidak boleh makan atau minum.
Sewaktu
sampai ke bilik resusitasi, keadaannya penuh lemah. Tidak ada sedikit tangisan
pun kedengaran. Dengan sepenuh kudrat dia cuba membuka mata tetapi gagal.
Cecair
segera dimasukkan melalui salur darah pada bahagian kulit kepala memandangkan
salur darah yang lain sudah mengecut. Wajah yang cekung seperti mayat mula
kembali menjadi manusia.
CPR
berlangsung lagi, doktor kanak-kanak sudah pun tiba dan meneruskan rawatan
lanjut. Beberapa jenis ubat ubatan diberikan sehinggalah jantung beliau mula
berdegup kembali. Perlahan lahan dan tidak teratur sebelum menjadi kuat dengan
bantuan ubat bagi menambah kekuatan jantung.
Satu
jam rawatan CPR diberikan dan jari jemarinya mula bergerak lemah. Tapi tiada
yang mampu tersenyum lebar memandangkan jantungnya boleh berhenti lagi. Garam
Pottasium dalam darah hanya 1.7 (berbanding 5- 5.5 untuk kanak kanak. Ia adalah
jawapan kepada penyebab jantung berhenti berdegup dan lemah.
Dari
awal CPR dilakukan, Bapanya nampak sudah pasrah dengan keadaan anaknya. Mungkin
tidak menjangkakan hayat anaknya masih panjang. Status warganegara tidak sah,
belenggu kemiskinan dan tidak diberi suntikan imunisasi adalah punca mengapa
mereka sakit dengan sangat teruk.
Katil
mula ditolak meninggalkan jabatan kecemasan dan menuju ke unit rawatan rapi
bagi meneruskan rawatan intensif buat pesakit kritikal.
Ini
adalah keadaan yang biasa berlaku kepada mana mana doktor yang pernah
berkhidmat di Sabah. Saat yang sentiasa menyebabkan kami sanggup digelar vax
pusher atau ejen Yahudi dan tidak kisah dituduh membelakangkan agama islam.
Kami
sudah biasa melihat anak anak kecil yang tidak diberi suntikan imunisasi
kritikal atau mati dihadapan kami. Ia terus menjadi mimpi ngeri buat kami. Kami
juga trauma, tetapi kami hanya mampu memujuk diri untuk menjadi lebih kuat dan
tabah di setiap hari yang kami lalui.
Aku
yakin, Allah itu tidak kejam. Dan aku pasti tidak ada agama yang zalim hingga
tidak membenarkan anak anak diberi suntikan vaksin.
Katil
sudah menghilang. Mungkin sudah sampai di ICU. Tiga loceng berdering lagi.
Seorang bayi lagi di bawa ke zon resusitasi.
Semoga
mereka semua diberi kesembuhan oleh Allah.
Dr
Jacknaim,
30 Julai 2016