Apa yang paling saya kesali setelah bergelar
doktor? Tiada masa untuk diri dan orang tersayang? Kurang masa untuk menambah
kekayaan dunia?Lambat kahwin?
Setiap orang diberi masa 24 jam. Terpulang
bagaimana mahu mengaturnya. Yang bijak pasti mendapat kebaikan dan yang kurang
bijak pasti mensia-siakannya. Masa boleh dicari andai ada keinginan dan rasa
cinta yang mendalam.
Kekayaan pula adalah rezeki dari Allah. Ada
kalanya, ia melimpah ruah andai kita bersyukur. Kadang-kala, makin banyak yang
kita perolehi, makin banyak pula yang kita belanjakan!
Kahwin juga adalah jodoh yang ditentukan Allah.
Ada yang berkahwin, lantas menyesali pilihan itu dan akhirnya memilih jalan
penceraian. Ada yang kematian pasangan biar usia perkahwinan belum mencapai tempoh
matang. Ada pula yang tidak kahwin-kahwin sehingga ke hujung usianya tetapi
hidup dipenuhi dengan cinta sejati. Cinta akan keluarga, rakan-rakan bahkan
kerjaya.
Satu-satunya benda yang saya kesali adalah getusan
nakal dari hati saya. ‘I’ve not done
enough for this patient!” Seakan-akan menyalahkan diri sendiri di atas
kejadian buruk yang berlaku ke atas pesakit. Hakikatnya ia gesaan untuk saya memberi
rawatan yang lebih baik kepada mereka dengan belajar secara lebih rajin atau
mengasah skil dengan lebih gigih.
Saya berhadapan dengan cukup banyak kematian
pesakit. Majoriti daripada mereka adalah pesakit kritikal yang sudah berada di
hujung nyawa. Tugas kami adalah untuk memberi kefahaman kepada keluarga pesakit
bahawa orang yang mereka sayang akan pergi meninggalkan mereka. Mereka harus
bersedia untuk menerima kehilangan tersebut dan mula menghabiskan masa
berkualiti bersama mereka.
Tetapi, ada ketikanya, kematian itu berlaku di
atas sebab kelemahan diri sebagai seorang perawat. Banyak faktor yang menjadi
penyumbang. Sekalipun diri bukanlah penyebab secara langsung atau dalam bahasa
mudahnya bukan pembunuh, tetapi bebanan yang ditanggung menyebabkan rasa
bersalah kekal menghantui jiwa. Bekerja dalam suasana yang tidak realistik dan
penuh dengan kekurangan pasti meruntun jiwa seorang perawat. Yang pasti, kami
akan cuba sedaya upaya kami untuk membantu apa-apa yang termampu kami lakukan.
Air mata tidak mampu menghanyutkan keresahan. Gelisah
sering bertandang di saat kelopak mata mula dipejamkan. Mimpi indah yang diidam-idamkan
tidak kunjung tiba. Bahkan yang datang hanya memori hitam yang cuba untuk
dipadamkan.
Wajah-wajah pesakit yang gagal diselamatkan
seakan-akan bertanya kepada saya.
Doktor,
kenapa saya mati?
Doktor,
boleh tak bagi saya peluang untuk hidup kembali?
Doktor,
kamu tidak bunuh saya kan?
Alangkah bagusnya jika saya dapat kongsikan
semuanya bersama pembaca. Bahawa realiti hidup tidak seindah seperti apa yang
kita mimpi!
Sesetengah masyarakat mungkin boleh bermegah
dengan harta yang mereka miliki. Mereka mungkin hidup dalam suasana yang penuh
mewah dan tidak pernah rasa apa-apa kekurangan.
Tetapi mereka yang pernah berada dalam posisi saya
pasti akan sedar bahawa perjuangan dalam bidang perubatan masih belum jelas
garisan penamatnya. Banyak yang perlu diperbaiki.
Yang paling menyedihkan adalah apabila berdepan
dengan kematian yang boleh dicegah tetapi tidak dapat dijalankan akibat
kekangan dan kekurangan yang tidak boleh dielakkan.
Tempat saya bekerja terlalu hampir dengan
sempadan. Seakan rumah tidak berpagar; yang bebas dimasuki lembu dan kambing
jiran yang meragut tanaman herba di halaman rumah. Maka hal yang sama juga
berlaku di bumi istimewa ini.
Warga asing bebas keluar masuk bermusafir di bumi
bertuah ini demi mencari sesuap nasi dan
menyambung nadi kehidupan mereka. Dari segi kemanusiaan, mereka tentu sahaja
bebas mencari rezeki yang halal di mana-mana bahagian bumi yang Allah ciptakan.
Tetapi, mereka bawa bersama penderitaan mereka
kesan daripada ketidak-upayaan kerajaan mereka memberi akses rawatan percuma.
Imunisasi adalah contoh terbaik. Ramai golongan anti vaksin menipu dunia dengan
mengatakan negara German tidak memberi suntikan imunisasi BCG bagi mencegah
penyakit tuberkulosis kepada penduduknya. Sedangkan mereka sekali lagi gagal
memahami bahawa vaksin adalah untuk penyakit yang berisiko menyebabkan wabak
dalam kalangan satu-satu populasi dunia.
Ada yang mengaitkan pemberian vaksin mencegah
tuberkulosis adalah tidak berkesan[i][ii]
dan berbahaya hingga menyebabkan negara German memilih untuk tidak memberi
suntikan vaksin. Saya percaya, mereka mengambil contoh Bencana Lubeck yang
berlaku di German pada penghujung tahun 1930. Seramai 72 kanak-kanak dari 252
orang yang diberi suntikan BCG menghidapi penyakit tuberkulosis dan meninggal
dunia setahun kemudian.
Akan tetapi, kajian yang dijalankan oleh pakar
perubatan German mendapati bahawa bencana itu disebabkan oleh pencemaran vaksin
oleh strain kuman tuberkulosis
berbahaya sewaktu ia disediakan di makmal. Dua orang pekerja di makmal tersebut
didakwa dan disabit bersalah atas tuduhan kecuaian hingga menyebabkan
kecederaan atau kematian[iii]
Di German, kadar jangkitan kes baru melibatkan
tuberkulosis adalah tersangat rendah[i]
dan kadar jangkitan HIV/AIDS di sana juga rendah[ii] [iii].
Oleh yang demikian, German telah mengamalkan polisi untuk tidak mewajibkan
pemberian vaksin bagi mencegah tuberkulosis di sana. Hal yang sama juga diamalkan oleh Amerika
Syarikat dan United Kingdom. Pemberian vaksin BCG hanya untuk kes tertentu dan
berisiko tinggi sahaja. Walaubagaimanapun, Amerika Syarikat turut menjalankan
polisi ketat dengan mewajibkan mana-mana warganegara asing menjalani ujian
saringan tuberkulosis sebelum diberi kebenaran memasuki negara itu
Akan tetapi, trend
terbaru kajian epidemiologi menunjukkan bahawa kes tuberkulosis semakin
meningkat di sana terutamanya di kawasan yang padat dengan warga asing[iv].
Biarpun graf peningkatan kes tidak mencapai tahap membimbangkan, tetapi mereka
sudah mula berkira-kira untuk kembali mewajibkan vaksin ini[v] [vi].
Buat masa kini, hanya pesakit yang berisiko sahaja diberi suntikan vaksin bagi
mencegah penyakit tuberkulosis.
Di Malaysia, penyakit tuberkulosis masih menjadi
bebanan buat kita. Kebanjiran warga asing seperti yang berlaku di Sabah
menyaksikan jumlah kes jangkitan TB semakin bertambah. Paling menyedihkan,
ramai doktor turut dijangkiti kuman ini. Ada kenalan kami yang pernah
berkhidmat di Sabah turut meninggal dunia akibat tuberculosis.
Sistem perekodan maklumat penyakit berjangkit di
negara jiran yang lemah memberi gambaran palsu seakan-akan tiada penyakit
tuberculosis di sana. Ia lantas membawa
kepada gerakan semberono golongan anti vaksin untuk memainkan sentimen di
Malaysia. Sedangkan, hakikat sebenar adalah jauh berbeza dari realiti[vii] [viii]
[ix].
![]() |
Ramai yang tidak
tahu bahawa notifikasi kes tuberkulosis di Indonesia sangat rendah. Apabila
terdapat Dana Global bagi merawat tuberkulosis di sana, ternyata bilangan
penyakit ini begitu senang dikesan. apabila dana ini terhenti selama 9 bukan,
graf menurun dan kembali meningkat setelah dana ini disambung. Sumber dari WHO[i]
|
Saban hari, saya tidak pernah terlepas dari
bertemu pesakit tuberkulosis samada di Jabatan Kecemasan ataupun sewaktu
melakukan bedah siasat mayat bagi menentukan punca kematian pesakit. Walaupun
saya bertugas di Jabatan Kecemasan, saya tetap terpaksa melakukan post mortem ke atas mayat disebabkan
kami tidak mempunyai pegawai perubatan forensik.
Malah, ramai pesakit tuberkulosis yang saya temui
di Jabatan Kecemasan juga berada dalam keadaan kritikal dan di peringkat akhir
kehidupan mereka. Kematian seakan-akan tidak dapat dielakkan. Ironinya,
majoriti dari mereka adalah warganegara asing yang tidak diberi suntikan BCG
bagi mencegah tuberkulosis.
Dulu, kerajaan kita cukup kaya dan bermurah hati.
Warganegara asing yang menghidap penyakit berjangkit akan diberi rawatan
percuma. Tapi kini, kerajaan kita sudah kehabisan dana. Tidak semua yang dapat
dirawat dan mereka kini bebas bercampur dengan masyarakat dan menyebarkan kuman
sewenang-wenangnya. Jika pagi ini mereka di hantar pulang ke negara asal, petang
esok mereka pasti kembali tersenyum di pusat membeli belah di kawasan perumahan
saya!
Saya sendiri tidak dapat menjamin samada saya
tidak akan dijangkiti kuman ini pada esok, lusa atau di masa hadapan. Tubuh ini
sudah penuh dengan kuman tersebut.
Beberapa tahun yang lalu saya pernah menerima
pesakit kanak-kanak yang mengalami kesukaran bernafas. Ketika itu, peralatan
perubatan kami tidak canggih. Doktor pakar tidak ramai. Kanak-kanak malang itu
mengalami penyempitan saluran pernafasan yang teruk. Usaha kami menyelamatkan
beliau gagal dan beliau menghembuskan nafas di hadapan kami semua. Tangisan ibu-bapa
yang memenuhi segenap inci Jabatan Kecemasan tidak mungkin saya lupakan.
Keputusan sampel Swab C&S yang
diambil dari tekak di hantar ke IMR diterima seminggu kemudian yang mengesahkan
punca kematian sebagai diphteria.
Malah, disepanjang tempoh saya bekerja di sini,
penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin begitu senang sekali dijumpai. Tetanus, meningitis, pertussis, measles
dan sebagainya lebih senang berlaku dalam golongan yang tidak diberi suntikan
vaksinasi.
Saya akui, saya juga takut! Saya diberi suntikan
vaksin tetapi tidak mampu memberi jaminan bahawa saya akan selamat memandangkan
berdepan dengan lambakan pesakit
kritikal ini. Saban hari, kami terdedah dengan risiko penyakit berjangkit yang
terlalu banyak. Lebih banyak dari kes AEFI yang berlaku pada mana-mana ibu
bapa!
Ketakutan kami berkali ganda berbanding ketakutan
orang awam. Saya tidak pernah menafikan risiko berlakunya AEFI. Malah saya sendiri
pernah berhadapan dengan bayi yang pernafasannya terhenti seketika setelah satu
jam diberi suntikan vaksin. Bayi tersebut selamat setelah diberi bantuan
pernafasan.
Saya tidak nafikan bahawa masyarakat ditakutkan
dengan AEFI. Paling menakutkan, ada yang memberi testimoni palsu dengan
mengaitkan pelbagai jenis penyakit dengan AEFI. Ia menimbulkan persepsi teruk
dalam masyarakat. Sedangkan itu fitnah alam maya.
Tapi, berdasarkan pengalaman terhad saya
berkhidmat di daerah yang dipenuhi dengan lambakan warganegara asing yang tidak
diberi suntikan imunisasi, maka saya tidak mampu lari dari perjuangan
mewajibkan pemberian vaksin. Label lah saya sebagai vax pusher tapi saya tidak peduli. Wajah-wajah pesakit di hujung
nyawa, bunyi nafas terakhir mereka sebelum dicabut nyawa oleh malaikat Israel
dan suara tangisan orang tersayang menghantui tidur saya. Mimpi ngeri itu tidak
pernah memberi kedamaian buat saya.
Kerana itu saya tetap melayan watak Ayu Raudhah di
Facebook. Saya akui bahawa saya kecewa kerana ada pengguna Facebook yang lebih
percaya watak Ayu Raudhah berbanding doktor perubatan yang sentiasa berhadapan
dengan kematian. Saya kecewa kerana ada yang sanggup menelan bulat-bulat
kenyataan Ayu Raudhah sedangkan watak ini tidak pernah berjaya mematahkan hujah
kami secara fakta. Hujah beliau tidak lain dan tidak bukan hanya putar belit
dan serangan peribadi.
Saya berjanji bahawa saya tidak akan menyalahkan
mereka. Saya cuma berharap agar suatu hari nanti, mereka mengambil keputusan
untuk mencari kebenaran dan menuntut ilmu dengan golongan ahli yang benar-benar
layak. Biarpun pada saat itu saya masih ditemani mimpi-mimpi ngeri. Semoga
mimpi itu berlalu pergi!
[i] http://ecdc.europa.eu/en/healthtopics/Tuberculosis/epidemiological_data/Documents/Germany-tuberculosis-country-profile-2014.pdf
[ii]https://extranet.who.int/sree/Reports?op=Replet&name=%2FWHO_HQ_Reports%2FG2%2FPROD%2FEXT%2FTBCountryProfile&ISO2=DE&LAN=EN&outtype=html
[iii]
Fiebig L, Kollan C, Hauer B, Gunsenheimer-Bartmeyer B, an der Heiden M, et al.
(2012) HIV-Prevalence in Tuberculosis Patients in Germany, 2002–2009:
An Estimation Based on HIV and Tuberculosis
Surveillance Data. PLoS ONE 7(11): e49111. doi:10.1371/journal.pone.0049111
[iv] B.
Hauer, B. Brodhun, D. Altmann et al, "Tuberculosis in the elderly in
Germany" European Respiratory Journal 2011 38: 467-470
[v]
Carlos Franco-Paredes, adine Rouphael et al, "Vaccination strategies to
prevent tuberculosis in
the new millennium: from BCG to new vaccine
candidates"International Journal of Infectious Diseases (2006)
[vi] Stefan
H. E. Kaufmann, "Envisioning future strategies for vaccination against
tuberculosis" Nature Reviews Immunology 6, 699-704
[vii] Indonesia
among the top countries with highest TB cases: World Health Organization says
tuberculosis deaths 'unacceptably high' http://www.rappler.com/world/regions/asia-pacific/indonesia/bahasa/englishedition/111008-who-tb
[viii]
The Economic Burden of Tuberculosis in Indonesia, The Economic Burden of
Tuberculosis in Indonesia
TB CARE I / MSH, December 2013,
http://www.tbcare1.org/publications/toolbox/tools/costing/The_Economic_Burden_of_Tuberculosis_in_Indonesia.pdf
[ix] "Vaccine
Scandal Highlights Indonesian Health System Woes", THE ASSOCIATED
PRESSJULY 22, 2016,
http://www.nytimes.com/aponline/2016/07/22/world/asia/ap-as-indonesia-fake-vaccines.html?_r=0
[i]
Behr, M “BCG – different strains, different vaccines?”, The Lancet Infectious
Diseases, 2002, 86www.thelancet.com/journals/laninf/article
[ii]
Kernodle, D “Decrease in the Effectiveness of Bacille Calmette-Guerin Vaccine
against Pulmonary Tuberculosis”, Clin Infect Dis, 2010, 177
cid.oxfordjournals.org/content/51/2/177
[iii]
“Appeal Taken from the Decision in the Lubeck Case”, JAMA, 1932;
98(15):1316-1317 http://jama.ama-assn.org/content/98/15/1316