Ya, Kami agen Yahudi hanya mementingkan keuntungan Big Pharma
dan bukannya nyawa! Buktinya, bil hospital pesakit mencecah 16k.
Menzalimi diri sendiri tanpa mengambil hak orang lain bukanlah
sesuatu yang senang bahkan hampir mustahil berlaku. Majoriti dari kita tidak
habis habis berbicara tentang hak diri tanpa cuba memikirkan tanggungjawab yang
patut dilaksanakan.
Tanggungjawab terbesar seseorang manusia adalah pada dirinya
sendiri. Bukan pada orang lain. Selepas dirinya, maka dia perlu
bertanggungjawab pada tanggungannya pula.
Dalam aspek kesihatan, tanggungjawab mereka sebelum sakit
adalah mencegah penyakit dan menjalani gaya hidup sihat. Ini termasuklah
kesihatan jasmani, rohani dan spiritual.
Apabila sakit, mereka wajib berubat dan berikhtiar tanpa
mengabaikan kepercayaan utama bahawa TUHAN YANG MAHA AGUNG lah menjadi
penyembuh.
Apabila mempunyai kesakitan, maka kita wajib mengelakkan
komplikasi dengan memakan ubat-ubatan, menghentikan perbuatan yang mendatang
mudharat dan cuba untuk menyembuhkan penyakit menggunakan kaedah rawatan yang
diiktiraf.
Apabila salah satu perkara ini diabaikan, maka kita menzalimi
diri dan mengambil hak orang lain. Kita mendapat kesakitan kritikal yang
memerlukan kita dimasukkan ke hospital dan diberi rawatan rapi.
Kos rawatan mencecah RM16k tetapi dalam kelalaian, kita tidak
sedar itu semua. Kerana kerajaan kita masih mampu menanggung kebodohan kita,
maka kita cuma perlu membayar RM500 sahaja. Ini hanya satu contoh dari ribuan
kes seluruh Malaysia.
Apabila dibenarkan pulang, kita kembali pada gaya hidup
berlandaskan nafsu. Tetap merokok sekalipun hampir semua organ badan dalam
kehancuran, tidak ikut nasihat pemakanan, tidak datang temujanji, tidak makan
ubat, tidak berpantang minum air dan akhirnya kembali masuk wad akibat
komplikasi.
Bayangkan. Duit yang kerajaan bayar untuk merawat penyakit
yang disebabkan kezaliman kita itu boleh diguna untuk menambah baik sistem
kesihatan kita dan meningkatkan mutu kesihatan masyarakat.
Sampai bila kerajaan kita mampu sediakan semua ni?
Yang pasti tidak selamanya. Dengan ekonomi yang tidak menentu
dan peningkatan kos kehidupan, ia akan ditamatkan pada bila bila masa sahaja.
Paling parah, ada dalam kalangan kita yang bukan sahaja zalim
pada diri sendiri tetapi mengikut jejak langkah syaitan. Mereka menghasut
masyarakat untuk menolak kaedah pencegahan penyakit yang dihasilkan melalui kesepakatan
ulamak dan ahli dalam bidang perubatan. Isu pemberian vaksin adalah satu contoh
kontemporari.
Bukan itu sahaja, kita tambah kan lagi beban pada agama.
Paling teruk bila mereka guna agama untuk menjana untung dan meraih kekayaan
dunia. Kita jaja nama Nabi dan ayat Quran untuk melakukan produk kita.
Akibatnya masyarakat kembali dibelenggu kebodohan. Tidak semakin sihat tetapi
membawa kebinasaan.
Adakah yang lebih keji dan zalim dari semua itu?
Tuan Puan sekalian. Anda berhak buat apa sahaja yang anda
mahu. Tapi, hentikan melakukan kerosakan. Hentikan sentimen dan cukup cukup
merosakkan masyarakat. Bila anda sakit, jangan guna subsidi kerajaan untuk
rawat akibat kebodohan anda. Bayar bil perubatan secara penuh agar dana
kerajaan dapat diguna untuk pesakit lain.
Pesakit yang reti bersyukur, yang sakit akibat ujian dari
allah dan yang tak pandai menunggang agama untuk menjahanamkan masyarakat.
Perkarangan Hospital Lahad Datu
18
Julai 2016