Doktor perubatan ni berpendidikan barat. Mereka dah
biasa dengan ubat kimia yang mampu melemahkan badan manusia. Mereka sudah
terpengaruh dengan agenda Yahudi laknatullah. Kerana itu, mereka sangat
berlagak dan memperlekehkan perubatan Islam. Subhanallah, mereka sudah murtad.
Kerana itu, mereka selalu hentam perubatan Islam.
Anda biasa dengan kenyataan tersebut? Ya, banyak
sekali dan maaf sekiranya saya katakan bahawa bicara tersebut banyak
diungkapkan oleh dua golongan. Golongan pertama adalah golongan cerdik pandai
agama yang belajar bertahun- tahun di negara Arab. Golongan ini tidak memberi masalah yang banyak
selagi mana mematuhi disiplin ilmu yang tinggi. Salah faham timbul kerana
mereka tidak duduk semeja dengan ahli perubatan dan tidak berapa faham konsep
perubatan.
Tapi bila mereka duduk semeja dan berbincang
menggunakan disiplin ilmu yang betul, maka mereka menjadi sinergi kepada ahli
perubatan. Kerana itu wujud banyak garispanduan agama dalam menggerakkan
perubatan moden. Semua garis panduan ada baik isu vaksin, berubat dengan benda
haram atau kotor, pendermaan darah atau organ, pemilihan pesakit untuk
menggunakan ventilator, kaedaah merawat infertiliti dan macam-macam lagi.
Agamawan sejati dan Ahli Perubatan adalah kembar siam yang saling melengkapi
dan tidak boleh dipisahkan dalam mendepani masalah umat pada hari ini.
Golongan kedua adalah paling kritikal kerana mereka
berpakaian seperti ustaz, berbicara seperti ustaz, menggelarkan diri sebagai
professor, doktor, Tabib, Sir tetapi mereka bukan ustaz dan mereka juga bukan
golongan pakar perubatan. Sebaliknya mereka ialah golongan bogus yang tidak
pernah mendapat latihan khusus dalam bidang perawatan. Mereka hanya menggunakan
imej islamik untuk menipu pesakit yang kehilangan akar untuk bergantung harap.
Saya utarakan kembali. Apa itu Perubatan Islam?
Ramai yang masih berfikiran tertutup dengan mengatakan bahawa perubatan Islam
itu berasaskan bacaan potongan ayat Al Quran, penggunaan bahan seperti madu,
Habbatussauda’, Kurma, Susu kambing, Air Zam Zam dan sebagainya.
Adakah saya menolak kaedah perawatan tersebut.
Sebagai Islam, saya mestilah Islam dari segi amalan terlebih dahulu sebelum
merangkak masuk ke bahagian lain. Ya, saya setuju bahawa AL Quran itu diturunkan
sebagai penawar. Benar saya tidak menolak hadis yang mengatakan hendaklah kamu
berubat dengan madu. Bahkan dalam Quran juga mengatakan bahawa madu itu adalah
penawar.
Tapi setakat itu sahajakah MAKSUD PERUBATAN ISLAM?
Sehingga ke hari ini, saya cuba meneliti konsep perubatan Islam yang diwar
warkan tersebut. Maaf saya katakan, sehingga hari ini saya hanya lihat manusia
bertopengkan agama yang cuba untuk mengaut keuntungan berbanding niat untuk
merawat. Maafkan saya kerana saya rasakan, mereka semua hanya menampilkan watak
islamik tetapi tidak menjadi perawat yang sebenar. Ini golongan yang Mat Lutfi
sifatkan sebagai Penunggang Agama.
Agenda mereka cukup senang. Sebarang benda yang
tidak selari dengan kehendak mereka, maka mereka akan kaitkan dengan barat dan
Yahudi. Contoh paling evergreen adalah vaksinasi. Kata mereka, vaksinasi adalah
agenda yahudi dan barat untuk membunuh umat islam atau menggelapkan hati dengan
benda-benda haram. Ada yang berkata doktor itu dan ini juga tidak gunakan
vaksin. Malah, apabila ditanya siapa doktor yang berkata itu dan ini bahawa
vaksin itu haram, satu nama pun gagal dipetik. Jika vaksin agenda barat, kenapa
anak-anak barat dan yahudi juga disuntik dengan vaksin? Bukankah itu akan
membuatkan otak mereka biol dan tolol? Sebaliknya mereka menjadi semakin cerdik
dan terus menguasai dunia. Umat melayu kita di mana? Sekadar terampai ditepi
longkang menjadi penagih atau hanyut dibuai angan angan menjadi kaya di bawah
skim cepat kaya.
Adakah anda sebagai pengguna sanggup menerima
rawatan yang berasaskan cakap-cakap orang? Kembali kita kepada Al Quran bahawa
Allah berfirman apabila seseorang fasik membawakan berita kepada kamu, maka
hendaklah kamu siasat kesahihan cerita tersebut. Jadi, pernahkah anda cuba
siasat siapa doktor atau pakar yang membuat testimoni yang konon-kononnya
menyokong golongan anti vaksin? Bahkan anda hanya percaya sebulat-bulatnya.
Bererti anda sendiri tidak mengikut saranan Quran. Jadi bagaimana pula anda
katakan bahawa anda pengikut kepada perubatan islam? Asasnya sendiri sudah
lari, maka adakah binaannya kukuh tanpa rebah?
Kedua, mereka memutarbelitkan kenyataan Al Quran
bahawa Quran itu penawar segala penyakit. Akibatnya, keluarlah produk seperti
air yang dibaca dengan 30 juzuz quran, piring ditulis dengan ayat Al Quran dan
kemudiannya direndam dengan air hingga bertukar menjadi penawar, Air yang
diambil dari telaga zam-zam dan dibacakan ayat oleh ustaz sekian sekian.
Apabila ditanya umat Islam, berapa kali kamu baca Quran? Siapa diantara kamu
yang faham maksud ayat-ayat dalam Quran? Nescaya masing-masing akan menjadi
kura-kura yang menyorokkan kepala mereka dalam cengkerangnya.
Pernahkah kita selami apa kata-kata Quran dan
hadis? Islam mengajar kita untuk berusaha setiap kali ada kemashalahan. Selain
berusaha, Islam menyuruh kita berdoa kepada Allah. Dan paling penting, Islam
juga mengajar kita bahawa akan ada suatu masa apabila ada golongan yang
MENGGUNAKAN agama untuk meraih kepentingan dunia dan mendapat kekayaan. Pernah
kah anda berfikir sejenak dan bertanya, kenapa ustaz itu dan ini jual air jampi
yang dibaca Al Quran. Kenapa Ustaz itu jual produk yang merupakan makanan
sunnah tapi harga berganda-ganda mahalnya. Katanya ia mujarab.
Ketiga, mereka membina rangkaian perniagaan multilevel marketing ataupun sistem
jaringan yang tampak gah. Mereka tubuhkan persatuan-persatuan tertentu dan
mengeluarkan istilah yang sangat canggih hingga mampu membuatkan penduduk
kampung percaya pada mereka. Mereka gelarkan diri mereka sebagai professor dan
doktor serta membuat poster-poster mengelirukan seperti “program doktor bersama
masyarakat” sedangkan mereka langsung tiada kepakaran untuk merawat pesakit.
Ada diantara mereka yang menghadiri bengkel
perawatan selama sehari tetapi terus mendapat gelaran doktor. Ironinya,
masyarakat lebih percaya kepada mereka. Walaupun mereka katakan terapi elektrik
melalui wayar yang dipasang kepada kepala boleh menyebabkan mereka bijak.
Ataupun mereka gunakan mesin untuk merawat DNA. Saya hairan, bagaimana kita
boleh terus menerusan membiarkan diri kita diperbodohkan dan mempercayai
dongengan sebegini.
Sungguh ironi anda sanggup mempertaruhkan nyawa
kepada mereka yang belajar beberapa hari dan terus mendapat ilham untuk menjadi
professor, doktor atau Tabib. Sedangkan seorang doktor perlu mengambil masa
selama enam ke sepuluh tahun untuk menjadi pegawai perubatan biasa, seterusnya
bekerja mencari pengalaman selama tiga atau empat tahun dan menyambung belajar
selama empat tahun untuk menjadi pakar. Kemudian mereka belajar lagi dua ke tiga
tahun untuk menjadi lebih mahir. Melalui pengalaman selama 20 tahun, barulah
mereka bergelar konsultan yang arif dalam bidang perubatan.
Anda yang membuat pilihan. Bogus yang berimej
islamik, konon-kononnya membawa perubatan Islam dan menjual terapi dongeng
ataupun doktor yang mendalami disiplin ilmu tertentu yang menjadi pilihan anda?
Apa yang masyarakat maksudkan tentang Perubatan
Islam? Adakah ia bererti jampi serapah, penggunaan air penawar yang dibaca
potongan ayat quran atau pemakanan berasaskan sunnah.
Perkembangan perubatan pada pendapat saya adalah
bersikap progressif. Doktor yang ada pada hari ini tidak menolak perubatan
Islam dengan mengamalkan teknik rawatan yang mana silibusnya adalah berdasarkan
pendidikan barat.
Sebaliknya, apa yang diajar melalui silibus
tersebut juga selari dengan agama Islam. Saya tidak ragu-ragu untuk berkata
bahawa perubatan moden hari ini adalah selari dengan perubatan Islam.
Kita berbangga dengan tokoh islamik seperti Al
Razi, Ibnu Sina, Ibn al Haitham, Ishaq Ibn Ali-Ruhawi, Ali Ibn Morin al Ridha
dan sebagainya. Kita katakan mereka sebagai pengamal perubatan Islam. Kita
sokong dan kita dokong mereka.
Akan tetapi, pernah kah kita susuri bagaimana
mereka mengamalkan ilmu perubatan? Siapa ISLAM yang cuba dipotretkan oleh
masyarakat. Adakah bangsa arab semata-mata? Jika itu fikiran anda, perubatan
islam adalah yang berlandaskan peri bahasa arab dan lahir dari tengah gurun
padang pasir. Maka anda silap.
Atau anda hanya cuba untuk mempamerkan perubatan
MELAYU-ISLAM? Kenapa saya katakan MELAYU-ISLAM? Ini kerana kebanyakan perubatan
yang ada sekarang hanyalah rekaan umat berbangsa melayu yang sebenarnya sedikit
sahaja kebergantungannya pada Agama Islam.
Ibnu Sina sendiri bukan lah orang arab. Beliau
bukan sahaja tokoh perubatan Islam tetapi juga tokoh falsafah yang muncul di
saat dunia sedang keliru tentang keesaan Allah. Saat masyarakat dihentam hebat
oleh golongan falsafah yunani dan membawa kepada kecelaruan Akidah. Ibnu Sina
hadir untuk mengemukakan cara baru dalam berfikir dan pada masa sama tidak
mengenepikan Allah. Kaedah perawatannya pula adalah berlandaskan kepada
Hipoccratic Corpus dan turut dipengaruhi kaedah pemikiran dari Aristotle dan
Galen. Kesemua mereka adalah tokoh Yunani. Bahkan Ibnu Sina juga dikaitkan sebagai
Galen kedua ataupun anak murid kepada Galen. Adakah Ibnu Sina juga agen yahudi
dan murtad dengan mengembangkan ilmu perubatan dari Yunani? Sedarkah anda
bahawa Hipoccrates digelar sebagai Bapa Perubatan dan Ibnu Sina ataupun
Avicenna pula dikenali sebagai Bapa Kepada Perubatan Moden.
Begitu juga Al Rhazi yang merupakan seorang pakar
bedah. Dia juga berketurunan Parsi. Apa yang menariknya tentang Al Rhazi adalah
beliau mengemukakan konsep bahawa manusia itu dibahagikan kepada aspek fizikal
dan spiritual ataupun minda. Sebelum sesuatu penyakit dapat di
rawat, doktor harus memastikan kedua-dua aspek ini berjaya dirawat. Sakit
fizikal dirawat melalui pembedahan mahupun ubat-ubatan manakala sudut spiritual
dirawat dengan mendekatkan diri dengan Tuhan dan pentingnya sentiasa berfikiran
positif.
Selain itu, ulamak islam seperti Ishaq Ibn Ali al
Ruhawi juga telah menetapkan nilai-nilai etika dalam proses memberi rawatan
kepada pesakit. Ini bererti, setiap orang doktor itu perlu beradab dan juga
perlu jujur dalam memberi rawatan kepada pesakit. Nilai etika ini turut
disentuh oleh Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan dimana beliau berpandangan
seseorang perawat itu harus sentiasa membetulkan niat dalam merawat pesakit
semata-mata kerana Allah.
Apa yang menariknya, pandangan tokoh-tokoh
perubatan Islam ini diambil berat oleh sistem pendidikan barat.
Falsafah disebalik idea dan pemikiran mereka telah dijadikan batu loncatan
untuk mereka jalankan lebih banyak kajian dalam bidang perubatan.
Kerana itu, sekiranya anda menilai nilai etika
dalam perubatan barat sendiri, anda sebenarnya akan menemui banyak nilai
islamik yang tertanam. Antaranya adalah kepentingan untuk memberikan ucapan
salam ataupun ‘hi’ serta berjabat tangan dengan pesakit sebelum memulakan proses
rawatan. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah konsep ta’aruf yang diperkenalkan
oleh Islam.
Apabila seseorang doktor memeriksa pesakit, mereka
biasanya akan memeriksa dari bahagian kanan pesakit. Bukankah ini juga nilai
memuliakan pesakit seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.
Malah, perubatan barat juga mengajar bahawa
perlunya seorang saksi ataupun peneman; Cheparone
apabila seseorang perawat memeriksa pesakit yang berlainan jantina.
Akan tetapi, orang awam memepertikaikan lagi. Ia
kelihatan islamik tetapi sebanarnya kafir. Lihat sahaja bahan ubat-ubatan yang
dibuat dari sumber haram.
Masalah umat melayu yang ada pada hari ini adalah
mereka MALAS mengkaji dan mereka TAKSUB kepada ustaz-ustaz tertentu yang
berfikiran jumud. Malah, apabila anda membahaskan isu babi sekalipun, terdapat
pelbagai pandangan mazhab mengenainya. Rujuk perbahasan penuh dalam
bab Memilih Madu dan Babi)
Namun demikian, orang barat juga tidak bodoh.
Mereka tahu bahawa ramai pengguna adalah beragama Islam. Anda jangan buat-buat tidak
tahu tetapi secara hakikatnya, banyak hospital di negara barat mengeluarkan
garis panduan untuk membantu pesakit beragama Islam dalam memilih ubat-ubatan
yang halal. Pengeluar ubat-ubatan juga banyak yang telah menukarkan penggunaan
bahan berasaskan babi kepada lembu, kambing ataupun kuda. Cuma ada keadaan yang
tidak dapat dielakkan.
Ironinya, merokok sudah difatwakan haram oleh
Muzakarah Fatwa Kebangsaan tetapi golongan antik vaksinasi, golongan
ustaz-ustaz perubatan Islam, golongan bogus perubatan dan juga golongan anti
perubatan barat masih belum berhenti dari merokok. Walaupun terdapat ura-ura
yang mengatakan rokok mengandungi gelatin babi, tetapi mereka tetap masih
merokok. Bukankah ini merupakan satu bahan lawak jenaka yang amat kelakar?
Oleh yang demikian, saya sebenarnya tidak langsung
mendapati bahawa perubatan moden pada hari ini tidak mengikut landasan agama
islam. Oleh itu, saya kecewa dengan tuduhan masyarakat khususnya sebilangan
kecil golongan agama yang melabelkan doktor moden sebagai ejen yahudi, pemusnah
bangsa dan sebagainya.
Setidak-tidaknya, doktor moden masih mampu bersikap
professional dan berpijak pada bumi realiti. Mereka sedar akan keterbatasan
perubatan mereka dan kerana itu mereka tidak berani mengatakan bahawa mereka
boleh merawat semua jenis penyakit. Bahkan, sebiji pil juga terhad
penggunaannya untuk penyakit tertentu.
Lihat pula golongan bertudung labuh dan berjubah
serta mereka yang berjanggut dan berserban dimana mereka mengemukakan pelan
rawatan yang cukup canggih. Malah ada yang berani mengatakan bahawa mereka
mampu merawat SEMUA jenis penyakit. Satu produk mereka seperti air yang
dialirkan cas elektrik atau diambil dari lautan dalam boleh menyembuhkan ribuan
jenis penyakit.
Sedarlah, mereka sedang menipu anda . Mereka
meresap dalam sistem pendidikan dengan membuat skema yang melaungkan slogan
meningkatkan pengembangan minda, menghasilkan generasi yang bijak dan
sebagainya. Disebalik penipuan itu, mereka anjurkan juga kem kem kesihatan
percuma menggunakan produk yang langsung tidak pernah diuji keberkesanannya
secara saintifik dan menggunakan istilah canggih manggih demi untuk mengaburi
mata anda.
Anda nilai sendiri, perubatan islam mana yang anda
inginkan? Sanggupkah anda memperjudikan nyawa anda kepada bogus-bogus yang
berlindung disebalik imej islamik ini? Wahai bangsaku, berhenti menjadi candu
agama dan berhenti membiarkan diri diperbodohkan atas nama Agama. Islam
menyuruh anda membuat kajian dan mencari kebenaran. Kenapa malas sangat untuk
mengikut saranan Agama?
Saya ditanya, adakah saya menafikan perubatan
alternatif setelah berkecimpung dalam bidang perubatan moden dan adakah saya
berkelayakan untuk membuat komentar tentang isu perubatan alternatif. Saya
terlibat dalam bidang perubatan selama sepuluh tahun, walaubagaimanapun
bertugas sebagai doktor perubatan selama lebih lima tahun.
Akan tetapi, sejak mula terlibat dalam kolej
perubatan, saya sudah melibatkan diri secara langsung dengan bidang klinikal.
Sebagai seorang Pegawai Perubatan yang berdaftar dibawah Majlis Perubatan
Malaysia, saya rasakan diri ini bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada
masyarakat tentang isu ini.
Sekali lagi saya katakan disini, saya bukan anti
PERUBATAN ALTERNATIF tetapi saya anti perubatan MELAYU-ISLAM. Istilah ini saya
kemukakan memandangkan timbul banyaknya golongan doktor mee segera yang wujud
di Malaysia. Mereka menggunakan imej islamik serta ayat-ayat Al Quran untuk
mengaburi mata masyarakat. Majoriti dari mereka adalah berbangsa MELAYU dan
seagama dengan saya iaitu ISLAM. Mereka menggunakan gelaran yang mengelirukan
sebagai Professor Emiritus Sir, Doktor, Professor dan sebagainya sedangkan
Majlis Perubatan Alternatif dan juga Homeopathy MELARANG ahli perubatan
Alternatif menggunakan gelaran ini.
Ramai yang berkata, pun ada golongan tabib cina yang
berbuat benda sama dan begitu juga tabib India yang mengajar teknik Ayurveda
palsu. Kenapa tidak menghentam mereka? Siri artikel saya bersifat UMUM dalam
menentang Bogus Perubatan tetapi SPESIFIK kepada kumpulan MELAYU-ISLAM. Ini
kerana, saya benar-benar pantang dengan perbuatan menggunakan agama untuk
meraih keuntungan. Tindakan tersebut juga bersifat pembohongan dan penganiayaan
terhadap masyarakat yang mempunyai sakit. Tidak ada perbuatan yang lebih keji
dan hina selain dari mengambil kesempatan di atas kesusahan saudara
disekeliling kita.
Terdapat blog yang memperkenalkan terapi attitude
positif yang menyarankan kaedah rawatan yang berbahaya. Antaranya, jika anda
pesakit thallasemia dan mempunyai kepekatan hemoglobin dalam darah sebanyak 2,
anda tidak perlu ke hospital untuk ditambah darah sebaliknya anda hanya perlu
membetulkan cara berfikir. Pesakit yang mempunyai Hb 2 akan bila-bila masa
sahaja akan mendapat komplikasi. Mereka tidak akan sedarkan diri kerana otak
kekurangan bekalan oksigen yang dibawa oleh darah. Jantung akan kekurangan
bekalan oksigen hingga menyebabkan serangan jantung dan kematian.
Contoh kedua adalah pesakit yang memiliki tekanan
darah melebihi 220/130 tidak perlu diberi rawatan ubat anti hipertensi. Pada
saat ini, saluran otak di dalam darah pada bila-bila masa sahaja boleh pecah
dan pesakit akan mengalami strok. Darah tinggi yang kronik dan tidak dirawat
akan membawa kepada kegagalan buah pinggang dan juga serangan jantung. Siapa
yang akan bertanggung jawab atas kehilangan nyawa pesakit tersebut?
Teknik keji lain yang digunakan mereka adalah
menggunakan cakap-cakap kononnya pesakit itu dan ini sembuh ataupun ada doktor
yang diberi rawatan dan sembuh. Sebagai contoh, saya dihampiri oleh rakan yang
bekerja dalam bidang kejuruteraan dan mempromosi sejenis ubat. Kata beliau, ada
doktor di HUSM yang mengalami serangan jantung kritikal dan dimasukkan ke Unit
Rawatan Rapi Koronari dan diberikan oleh jururawat secara senyap sejenis ubat
Alternatif. Pesakit tersebut seterusnya sembuh dan dibenar pulang. Sehingga
hari ini, nama doktor tersebut tidak pernah didedahkan dan ia turut menimbulkan
tanda tanya memandangkan saya pernah menghabiskan masa selama LIMA tahun di
HUSM.
Terdapat juga golongan bogus kesihatan yang
menawarkan teknik terapi minda dan juga kaedah rawatan elektrik untuk
meningkatkan tahap kecerdikan murid. Mereka akan melekatkan elektrod pada
kepala dan memberi terapi elektrik. Saya kira, rawatan mereka adalah diambil
inspirasi dari rawatan Electroconvulsive Therapy (ECT) untuk memulihkan pesakit
Scizophrenia ataupun masalah gangguan emosi yang terlalu teruk. Teknik rawatan
ECT sendiri adalah bahaya dan hanya kes tertentu yang akan diberi rawatan
tersebut. Pesakit akan berpuasa dan diberi ubatan bius. Sepanjang prosedur,
para doktor akan bersedia dengan kelengkapan resusitasi dan alatan cardiac
monitor dan SPO2 monitor digunakan untuk menilai keadaan pesakit dari semasa ke
semasa. Akan tetapi, hal berlainan digunakan untuk teknik terapi minda oleh
bogus kesihatan. Kita tidak tahu berapa banyak caj elektrik yang dikenakan, apa
rangka keselamatan sekiranya berlaku kecemasan dan sejauh mana teknik ini
berkesan? Oleh itu, tindakan ini adalah bercanggah dengan asas perubatan iaitu
Do No HARM!. Ia adalah teknik yang tidak dibuktikan tahap keselamatannya dan
tiada asas rawatan dan mengapa ia terus menerus dipopularkan? Adakah perbuatan
ini diredhoi oleh Allah dan dibenarkan oleh Islam?
Terdapat juga doktor bogus yang menyarankan rawatan
membetulkan DNA menggunakan mesin amplifier dan sebagainya. Ia adalah sesuatu
yang mengarut dan tidak masuk akal. Setiap jenis sel dalam badan kita mempunyai
nucleus ataupun pusat kepada sel di mana di dalamnya terkandung DNA. Rantaian
DNA ini diperlukan untuk menghasilkan bahan yang membawa kepada penghasilan
protein tertentu dalam badan. Terdapat penyakit genetik yang merosakkan
keseluruhan fungsi DNA dan terdapat juga penyakit seperti virus tertentu yang
merosakkan DNA pada masa tertentu sahaja. Penyakit genetik ini tidak dapat
dirawat melalui kaedah penggunaan mesin. Walaubagaimanapun, untuk penyakit yang
disebabkan jangkitan kuman, ia boleh dirawat dan akan menyebabkan sel yang
rosak itu mati. Hanya dengan mengetahui asas kepada badan manusia maka kita
akan tahu bahawa rawatan itu boleh dilakukan atau tidak.
Mungkin anda pernah lihat cerita lakonan Mr Os yang
menunjukkan beliau menghasilkan ubatan ajaib bahkan membolehkan haiwan
bercakap. Mungkin filem sebegitu yang menjadi sumber inspirasi bogus kesihatan
untuk mencipta mesin perawatan.
Berdasarkan kupasan saya, perubatan yang ada
sekarang BUKAN perubatan islam dan ia juga BUKAN perubatan alternatif dan
tradisional. Sebaliknya, ia hanyalah rawatan yang diada-adakan dan dibina
berlandaskan putar belit fakta sains dan mengambil kesempatan ke atas pesakit.
Berbeza dengan perubatan alternatif, kerajaan sudah mula menyedari fungsinya
dalam rawatan ke atas pesakit. Undang-Undang Perubatan Tradisional dan
Komplementari 2013 adalah bukti bahawa perubatan moden tidak meminggirkan
perubatan alternatif.
Saya tidak nafikan bahawa penggunaan akupuntur,
urutan tradisional, mampu untuk memulihkan masalah “Kesakitan Kronik”. Begitu
juga penggunaan aromatherapy dan terapi minda untuk memulihkan kecelaruan
minda. Bahkan, kajian sains terbaru juga menunjukkan mayarakat yang merawat
spiritual mereka dengan ayat-ayat Quran dan berfikiran positif juga dapat
sembuh lebih cepat berbanding orang biasa.
Rukyah juga adalah satu bentuk usaha. Paling utama,
jangan hanya Al Quran itu dibaca oleh Ustaz kepada kita semata-mata. Sebaliknya
kita yang Islam ini harus belajar baca Al Quran. Semestinya, ia sudah cukup
andai pesakit tersebut sendiri yang membaca Al Quran, melakukan solat hajat dan
tidak bergantung kepada air yang dibaca ayat Quran oleh ustaz.
Adalah mengarut untuk percaya kepada air
dari tujuh gunung yang dijampi dengan ayat Al Quran. Walaubagaimanapun, saya
tidak melihat kemudharatan andai mereka tetap ingin membeli air ini. Itu adalah
duit anda sendiri. Anda boleh berhubung secara terus dengan Allah atau anda
boleh menghabiskan duit poket anda membeli air yang didakwa disucikan dengan
ayat Al Quran.
Sewaktu saya bertugas di Hospital Tawau, terdapat
pesakit yang mengalami cirit birit yang teruk. Rawatan untuk cirit birit adalah
pemberian cecair melalui saluran darah dan juga ubat antibiotik untuk kes
tertentu. Ibu pesakit pula bertegas bahawa dia jatuh sakit disebabkan kemarahan
nenek moyang dan bertegas untuk membawa pesakit pulang bertemu dukun. Saya
sedar, sekiranya pesakit dibenarkan pulang, dia akan mati kerana kehilangan air
dan garam yang banyak.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membenarkan
ritual tradisional tersebut dilakukan di dalam wad. Saya tidak membangkang
asalkan pesakit masih tetap menerima rawatan doktor dan dukun juga tidak
menggunakan ubatan herba yang boleh membawa kepada kesan sampingan. Saya
bagitahu pengawal keselamatan dan jururwat untuk benarkan kaedah perubatan
tersebut dijalankan di katil pesakit.
Pesakit akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang
selepas beberapa hari. Mungkin ibunya beranggapan bahawa dia sembuh disebabkan
oleh dukun. Dalam keadaan ini, doktor hanya berlapang dada kerana doktor lebih
faham bahawa rawatannya adalah melalui pemberian cecair melalui salur darah.
Itu yang membantu pesakit.
Ini adalah antara hikmah ataupun ‘Wisdom’ yang
diajar oleh seorang pensyarah saya di Universiti Sains Malaysia iaitu Prof
Zabidi. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana Prof Zabidi terangkan kepada
kami yang tak sampai seminggu berdaftar sebagai pelajar perubatan bagaimana dia
merawat kanak-kanak yang disengat haiwan berbisa dan mengalami kegagalan buah
pinggang dan perlu dicuci menggunakan mesin tetapi ibu bapa mahu bawa anak
mereka pulang. Beliau akhirnya bertoleransi dengan membenarkan bomoh datang
melakukan rawatan sambil mereka meneruskan rawatan moden.
Ini tidak bermaksud yang kami percaya atau
menggalakkan perbuatan khurafat. Tak! Tapi, kami sedar bahawa unsur khurafat
memang terlalu banyak dalam masyarakat kita. Ia perlu ditegah dan doktor boleh
ambil peranan. Tapi peranan doktor lebih kritikal kerana kami perlu
menyelamatkan nyawa terlebih dahulu.
Sepanjang saya bertugas sebagai doktor, pesakit
dibawa ke hospital dengan segala jenis tangkai. Benang kuning diikat bukan
sahaja di tangan dan kaki tetapi juga leher dan perut. Tak kan lah saya tak nak
selamatkan nyawa mereka sebab tak bersetuju dengan perbuatan khurafat mereka.
Dulu, pernah saya bertindak kurang bijak dengan
menyindir perbuatan mereka menggunakan tangkal. Tapi lama kelamaan saya
menyedari bahawa itu bukan kaedah terbaik kerana sesetengah dari mereka akan
salah faham mesej yang saya cuba sampaikan. Sebab orang yang tengah sakit ni
penuh dengan emosi. Jiwa mereka lemah, semangat mereka hancur dan jasad mereka
dalam penderitaan. Kesemua ini perlu dirawat terlebih dahulu sebelum kita boleh beri teguran sensitif terhadap
mereka.
Setakat ini, saya rasa anda sudah boleh menilai
tentang apa yang saya sampaikan. Secara ringkasnya, perubatan moden adalah
selari dengan ajaran Islam maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa perubatan
moden adalah perubatan Islam. Kedua, banyak dakwaan bahawa mereka mengamalkan
perubatan Islam padahal ia adalah penipuan dan mereka adalah golongan doktor
bogus yang patut dijauhi. Dan yang ketiga sekali, perubatan moden tidak pernah
menepikan rawatan alternatif dan komplementari sebaliknya tugas doktor adalah
untuk membantu pesakit agar tidak membuat pilihan salah dengan memperjudikan
nyawa mereka kepada bogus kesihatan.