Kehadapan Ayu Raudhah yang dikasihi,
Saya menyerap satu pesanan sentap dan mendalam dari
golongan anti vaksin. Kata mereka;
"Geng geng pro vax ni dah anggap vaksin macam Tuhan sampai dah hilang rasa kebergantungan pada Allah. Sampai anggap vaksin tu segala-galanya."
Jujur saya katakan, hati memang terasa panas terbakar.
Bara yang mula menjadi abu di hati ini tiba tiba seperti disembur gas methanol.
Terus meletup, marak menyala dan menelan semua oksigen hingga lemas dan tak
dapat bernafas.
Raya punya pasal, abang maintain steady dulu. Tidak mahu untuk menambahkan
letupan di kawasan yang sedia kekurangan oksigen. Tarik nafas dalam-dalam dan
cuba hadam kata kata mereka.
Tiba tiba terus terasa juga la. Tarbiyyah Ramadhan
membuah hasil di pagi raya rupanya. Terus periksa balik secara pandang belakang
akan kehidupan sebagai pelajar perubatan selama lima tahun dan pengalaman
bekerja sebagai doktor selama lima tahun lebih.
Betul juga kata- kata mereka tu. Ramai pesakit
hari ni dah lari niat mereka apabila datang berubat di hospital. Masing masing menanam
kepercayaan bahawa ubat yang menyembuhkan mereka. Doktor berjaya hidupkan balik
orang yang mereka sayang. Tanpa hospital semua orang sakit mati.
Maka kita terus bergantung harap selain dari
Allah. Makan paracetamol dua kali, demam tak kebah terus marah ubat tak
berkesan. Selesema sehari dua, terus minta ubat paling kuat sebab nak sembuh
cepat.
Doktor pun ada yang tiba tiba dah rasa diri macam
Tuhan; dapat start balik jantung yang dah berhenti berdegup, buat Percutaneous Coronary
Intervention (PCI) untuk buka saluran darah ke jantung yang tersumbat selepas
pesakit "mati" dan pesakit kembali buka mata. Juga ketika pesakit
yang dah kena jangkitan kuman tahap dewa dapat disembuhkan dengan antibiotik
dan pembedahan.
Tiba tiba terfikir. Makin lama berkhidmat sebagai
doktor sepatutnya buat kita makin dekat dengan Allah. Tengok saya sendiri pun
dah cukup; lama-lama makin hanyut dan makin jadi terbuka tanpa kawalan. Makin
agungkan sains dan abaikan agama.
Hakikatnya Allah yang bagi ilham kepada doktor
untuk buat diagnosis, Allah yang bagi ilmu dekat doktor untuk belajar tentang
tubuh badan manusia, kuman dan ubat. Hanya dengan izin Allah, seseorang manusia
itu dapat dihidupkan.
Tak dinafi bahawa ubat berkesan. Tak dinafi bahawa
vaksin memang terbukti dapat cegah wabak dan sebagainya.
Tapi Allah bagi peringatan melalui AEFI. Bahawa
hebat dan berkesan macam mana pun vaksin ni, tetap ada kelemahan sebab boleh
beri mudharat untuk sebilangan kecil masyarakat. Sebab ciptaan manusia ada
kelemahan dan tak boleh lawan kehendak dan kemahuan ALLAH.
setakat hari ni, takda benda lain yang dibuktikan
dapat lawan keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit. Orang yang tak vaksin
anak bukan sebab tak percaya dengan vaksin, cuma takut AEFI, risau ada bahan
berunsur syubhah atau nak cuba bahan organik.
Ya sehebat mana pun vaksin, kita kena ingat bahawa
semua tu dengan izin Allah. Kita ambil vaksin atas taklid bahawa ia terbukti
berkesan sebagai langkah pencegahan wabak dan mengurangkan risiko komplikasi
penyakit berjangkit. Sebab vaksin terhasil dengan izin Allah apabila saintis
guna akal untuk berfikir.
Tapi kita lupa bahawa kehebatan vaksin adalah
disebabkan Allah izinkan ia terjadi mengikut tujuan vaksin tu dicipta.
Sama juga dengan ubat dan rawatan hospital yang
lain. Semua tu Allah izinkan berkesan sebab ia dibuat berdasarkan kajian dan
disiplin ilmu.
Tapi semua tu hanya sekadar usaha. Memang ada
usaha lain yang boleh dibuat tapi tak sehebat atau dapat dibuktikan
keberkesanannya berbanding vaksin.
Semua tu sebab Allah nak bagi ujian DIA pada
manusia. Nak tengok samada akidah kita berpaling atau tidak?
Samada kita bertukar kepercayaan daripada Allah
sebagai penyembuh segala penyakit kepada gaya hidup bertuhankan vaksin, ubat
dan rawatan hospital. Jika kiblat bertukar kepada kepercayaan bahawa madu,
tinn, kurma sebagai penyembuh pun salah.
Kawan-kawan ahli perubatan dan ahli masyarakat
sekalian, jom kita sama-sama betulkan pemikiran dan akidah kita.Bahawa Allah
adalah penyembuh segala penyakit. Dia adalah pencegah segala wabak dan bala.
Dan dia juga yang tentukan hayat dan ajal manusia.
Bila kita guna vaksin, ubat dan rawatan moden,
kita kena betulkan pemahaman kita. Bahawa semua tu adalah usaha dan as sebab
untuk Allah ganjarkan manfaat kepada kita. Sehebat manapun benda tu, Allah akan
tunjuk juga yang ia tetap ada kekurangan dan tak sempurna. Dan kita hanya boleh
berusaha dan kembali berharap pada Allah.
Buat Ayu Raudhah. Cukuplah kita berbahas tentang
vaksin. Ini pun sudah panjang lebar. Saya rasa, saya sudah bagi kefahaman asas
tentang vaksin dan permasalahannya. Maksudnya, dah tak ada rahsia tentang
vaksin lagi. Semoga masyarakat dapat menilai baik dan buruknya vaksinasi,
seterusnya buatlah keputusan terbaik sesuai dengan ilmu anda. Juga setelah
mendapat petunjuk dari Allah.
Vaksin, kaedah pemakanan yang betul mengikut garis
panduan yang ditetapkan oleh Quran dan Sunnah, menjaga aspek kebersihan,
meningkatkan ekonomi negara, menaik taraf teknologi diagnostik dan rawtan
pesakit, membina sistem jaringan vaksinasi dan laporan AEFI yang baik dan
sistematik adalah sama-sama penting dalam mencegah wabak. Doktor dan ulama pula
adalah gandingan adik beradik yang tidak patut dipisahkan dalam mendepani
permasalahan umat pada masa kini. Di akhir cerita, terpulang pada kita mahu
mengikut laluan mana.
Saya berlepas dari tanggungjawab yang diamanahkan
oleh Allah kepada saya dalam menyampaikan sesuatu kebenaran jika anda tetap
untuk menjadi golongan yang anti vaksin setelah saya menerangkan hal ini dengan
panjang lebarnya. Semoga Allah merahmati
kita semua dan mengurniakan kita dengan syurga yang abadi di akhirat nanti.
Quarters Hospital
Lahad Datu.
1 Syawal 2016,
Dr Jacknaim.