11. Vaksin Halal, sunnah dan Organik



Kehadapan Ayu Raudhah yang dikasihi,

Semoga sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan kurnia Allah. Semoga Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam masa beberapa hari ini akan memberi kebahagiaan buat Ayu dan keluarga. Tidak semua orang bernasib baik kerana dapat beraya bersama keluarga. Contohnya saya yang bekerja jauh di Sabah. Banyak halangan membatalkan hasrat saya untuk pulang beraya di kampung walaupun diri ini merindui keluarga dan sudah pun terlebih dahulu diberikan cuti untuk pulang beraya di kampung.

Semoga keputusan yang saya buat ini tidak membuatkan saya dijatuhi hukuman derhaka kepada ibu-bapa kerana tidak menyambut hari raya bersama-sama mereka. Sesungguhnya, tidak ada yang dapat mengganti tempat Ibu Bapa saya yang bersusah payah mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga saya mencapai tahap yang ada pada masa sekarang.

Maka, apa-apa yang saya capai pada hari ini adalah daripada pengorbanan ibu dan bapa yang sangat saya kasihi dan cintai. Semoga Allah S.W.T sentiasa melimpahkan nikmat dan kurniaNYA yang tidak terhingga banyaknya ke atas kedua mereka.  Semoga Allah turut melimpahkan nikmat dan kurniaNYA terhadap ibu bapa Ayu Raudhah juga.

POLEMIK VAKSIN HALAL

Saya tertarik dengan status facebook Ayu Raudhah[i] bertarikh 30 Julai 2016 yang berbunyi seperti berikut;

Ayu Raudhah: Alhamdulillah. Hikmah dari gerakan Pro choice
Vaksin halal mula diperkenal 2017. Bermakna vaksin yg ada sekarang ini tidak halal.
Kalau ikutkan rentak vax pusher, pages PW, azree hanipan maidin drop out, bedul kodiaq, suhageli, dan Afyan Mat Lawaki as Seminari, sampai bila pun usaha murni ini tidak akan wujud!


Status ini ditulis berdasarkan berita dari keratan akhbar bertajuk Vaksin halal mulai 2017[ii]

Kenyataan ini saya sokong tetapi ia sedikit sebanyak mempunyai unsur syok sendiri yang menisbahkan bahawa ia adalah disebabkan oleh gerakan Pro Choice. Kenyataan akhbar itu sendiri diterbitkan pada tahun 2015. Membuktikan bahawa ia bukanlah berpunca dari polemik halal haram vaksin oleh golongan pro choice bulan ini. 

Usaha tersebut digerakkan oleh golongan saintis Islam Malaysia yang menyedari akan kepentingan untuk menggerakkan sains dan perubatan selari dengan agama Islam. Universiti Sains Malaysia telah mengorak langkah untuk bekerjasama dengan Finlay Institute (FI) Cuba bagi menghasilkan Combined tetravalent meningococcal meningitis vaccine (Men ACYW)[iii]. USM bertanggungjawab untuk mengkaji tentang keberkesanan kajian klinikal keberkesanan vaksin ini bagi mencegah penyakit Meningococcal meningitis yang disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis dimana ia membawa kepada wabak meningitis dalam kalangan jemaah haji di Mekah pada tahun 1987.

Kejadian tersebut telah membuatkan Arab Saudi membuat polisi mewajibkan pengambilan Vaksin menentang Meningococcal meningitis sebelum mengerjakan Umrah dan Haji sekalipun majoriti vaksin menentang penyakit ini mengandungi unsur enzim babi dalam peringkat pemprosesannya. 

Keengganan sesetengah jemaah untuk mengikuti arahan yang dikeluarkan telah menyebabkan Arab Saudi[iv] mengeluarkan kenyataan rasmi yang memerlukan setiap anggota jemaah menunjukkan status imunisasi terhadap Neisseria meningitidis dan beberapa jenis pengambilan vaksin lain.

Kedegilan sesetengah jemaah menyebabkan berlakunya wabak yang teruk pada tahun 2000 (1300 jemaah), dan 2001 (1109 jemaah)[v]. Kanak-kanak yang memasuki Arab Saudi berusia antara 3 bulan dan 2 tahun mesti mempunyai sijil bukti diberi suntikan vaksinasi menggunakan 2 dose meningococcal A monovalen dengan interval 3 bulan diantara dos pertama dan kedua. Jemaah haji pula mesti menerima vaksinasi bagi menentang meningococcal meningitis[vi] dalam tempoh kurang atau sama 3 tahun dan melebihi sepuluh hari sebelum memasuki Arab Saudi[vii]
 
Polisi ini telah menyebabkan kejadian wabak meningitis dalam kalangan jemaah haji menurun dengan signifikan sehingga dikatakan sebagai berjaya atau terkawal[viii]. Disebabkan itu, Kerajaan Arab Saudi merancang untuk menambah baik serta memperkukuhkan lagi strategi pemberian vaksin kepada jemaah haji dan penduduk mereka.[ix]

Kedegilan tersebut wujud disebabkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulamak berhubung penggunaan bahan berasaskan babi untuk tujuan perubatan seperti yang saya jelaskan dalam bab sebelum ini. Menomune, Menactra dan Menveo difatwakan haram oleh beberapa badan ulama kerana mengandungi unsur babi dan kebanyakan ulama juga mengharuskan vaksin Mencevax kerana dibuat dari sumber enzim dri lembu.[x]

Akan tetapi, ketegasan kerajaan Arab Saudi dalam melindungi penduduknya menyebabkan kebanyakan ulama akur dan membuat fatwa baru bagi mengharuskan penggunaan vaksin ini. Sejak kebelakangan ini, wujud ramai golongan antivaksin yang muncul telah mempengaruhi beberapa doktor perubatan untuk membantu mereka memalsukan status pemberian vaksin bagi mencegah meningitis. Tidakan kurang bijak ini akan menyebabkan bahaya kepada jemaah haji yang lain dan termasuk dalam kategori berlaku zalim. 

Adapun demikian, tidak dinafi bahawa mencari yang halal itu adalah wajib dan umat Islam adalah wajib mencari sumber yang halal sebelum memilih yang haram.[xi] [xii] mengikut etika[xiii] dan disiplin ilmu yang betul. Kaedah penentuan maqasid dalam menggunakan bahan haram untuk tujuan perubatan walaubagaimanapun, tidak akan dibahaskan disini memandangkan majoriti Ulamak dan fatwa telah menjawab hukum berhubung keharusan menggunakan vaksin.

Berbalik kepada perkataan halal itu sendiri iaitu yang dibenarkan mengikut undang undang, dan berdasarkan premis semua perkara berkaitan dengan muammalat adalah harus kecuali ada premis yang jelas mengatakan bahawa ia haram, maka kita sudah dapat membuat dua kesimpulan. Yang pertama, hanya daging babi memiliki dalil sahih berhubung pengharamannya. Selain dari itu, tertakluk ke atas pegangan mengikut tahap ilmu masing-masing.

ISTIHALAH[xiv], DAN KEHARUSAN BERUBAT MENGGUNAKAN BAHAN TIDAK SUCI KETIKA DARURAT

Dalam menangani permasalahan berkenaan vaksin ini, ulamak mengeluarkan fatwa berdasarkan beberapa kaedah menggunakan kaedah usul fiqh. Ia dipengaruhi oleh banyak benda termasuklah pendapat mazhab, ijtihad pada mujtahid, kesepakatan ulama dan lain lain demi untuk memenuhi tuntutan Maqasid al Syariah.

Secara ringkasnya, ia bermaksud tujuan, natijah, atau maksud yang dikehendaki oleh syarak melaluli sumber dalil Al-Quran dan As-Sunnah.


Kaedah ini membawa kepada dua landasan yang digunakan oleh ulamak untuk membenarkan penggunaan vaksin ini iaitu Istihalah dan keharusan berubat menggunakan bahan tidak suci ketika darurat. Saya pula berpegang kepada landasan ketiga. Andai melencong maka itu di bawah tanggungjawab dan kesedaran saya sendiri. Anda pula mempunyai dua kaedah yang digariskan ulamak untuk membuat pilihan bagi menggunakan vaksinasi. Jangan ikut saya kerana saya tidak akan bertanggungjawab di atas pilihan anda yang dibuat tanpa kajian ilmu.

Istihalah ialah perubahan atau pertukaran suatu benda yang najis dengan sendiri atau melalui perantaraan tertentu. Sebagai contoh apabila arak bertukar menjadi cuka atau apabila bangkai anjing jatuh ke dalam tempat garam lalu berubah menjadi garam. Dalam konteks ini, hukum asal kenajisan bahan tersebut sudah terbatal ekoran dari pertukaran sifat bahan itu sendiri. Lantas ia membawa kepada pembawaan hukum baru. Kaedah ini digunapakai oleh majoriti Ulama di seluruh dunia.

Kaedah kedua adalah tentang keharusan berubat menggunakan bahan tidak suci ketika darurat. Dalam konteks ini, ulama berbeza pendapat apatah lagi ketika memberi pendefinisian tentang darurat. Setiap ulama mempunyai pemberat yang berbeza.

Akan tetapi keharusan menggunakan bahan kotor untuk berubat diterangkan melalui kaedah berikut.

Ibn Taimiyah berkata, “Setiap najis diharamkan untuk dimakan, namun tidak setiap yang haram dimakan itu najis.- Majmu’atul Fatawa, 21: 16.


Dalam konteks ini, status asal najis itu adalah haram. Kemudian mari kita teliti hadis berikut,
Dari Anas bin Malik berkata, “Beberapa orang dari ‘Ukl atau ‘Urainah datang ke Madinah, namun mereka tidak tahan dengan iklim Madinah hingga mereka pun sakit. Beliau lalu memerintahkan mereka untuk mendatangi unta dan meminum air kencing dan susunya......"- HR Bukhari dan Muslim.
Berdasarkan hadis ini, hukum menggunakan air kencing adalah haram kerana ia adalah najis. Tetapi ia diharuskan kerana bertujuan untuk perubatan.

Imam Shafie dan jumhur mengatakan najis kencing dan kotoran setiap haiwan adalah haram dimakan. Ibnu Hajar juga cenderung pada pendapat yang mengatakan bahawa ia adalah najis. Maka di sini, hadis berubat menggunakan air kencing unta tersebut berlaku atas dasar kemudharatan yang membenarkan penggunaan bahan najis untuk tujuan perawatan penyakit.

Walaubagaimanapun, ulama tetap berbeza pendapat terutamanya dari segi status air kencing unta samada najis ataupun tidak. Perbincangan seterusnya dalam isu ini membawa kepada landasan ketiga yang boleh saya nisbahkan kepada pegangan saya untuk membenarkan penggunaan vaksin.

Hadis Rasulullah memerintahkan agar Urayinin yang sakit berubat dengan air susu dan air kencing unta menunjukkan bahawa ia bukan najis. Andai ia najis, maka Rasulullah tidak akan memerintahkan ia diminum sebagai ubat. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Imam Malik, Imam Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnul Mundzir, Ibnu Hibban dan sebahagian dari ulamak salafi. Ibnul Manzil menjelaskan hal ini sperti berikut.

“Hukum asal segala sesuatu itu suci sampai ada dalil yang menyatakan najisnya.” - Fathul Bari, 1: 338

Memilih mana-mana pendapat ulama adalah tidak salah, sesuai dengan keadaan semasa dan geopolitik sesuatu kawasan.

Untuk saya sendiri ( umat Islam yang lain wajib mencari hujah mereka sendiri dan tidak mengikut saya secara rambang atau membabi buta), saya berpegang kepada ijtihad[xv] ulamak, iaitu satu satu kaedah untuk menghasilkan satu-satu hukum syariah berdasarkan disiplin ilmu usul al fiqh yang membenarkan penggunaan bahan berunsur haram[xvi] [xvii]seperti babi[xviii] [xix]  [xx]untuk kaedah perubatan. 

Oleh yang demikian, saya akan menggunakan kaedah perawatan menggunakan ubat-ubatan yang mempunyai unsur babi dalam proses merawat pesakit tanpa sedikit keraguan pun melainkan terdapat alternatif lain. Adapun demikian, premis yang turut menentukan kecenderungan saya memilih bahan ini berbanding yang lain termasuklah dari segi harga kos yang murah, kesan sampingan, bukti keberkesanan dan senang untuk diperolehi.

Ini kerana, jumhur ulama dan bukti jelas dari Quran menunjukkan bahawa yang haram itu adalah daging babi dan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berhubung status halal haram anggota lain pada tubuh babi. Ada ulama yang menggunakan kaedah istihalah, ada yang mengguna kaedah darurat dan ada yang berpegang kepada pendapat bahawa bahagian ini adalah suci dan tidak najis. 

Walaubagaimanapun, saya akan merahmati perbezaan pendapat dalam kalangan mana-mana golongan antivaksin yang tetap menolaknya. Semoga kita semua dirahmati Allah sepanjang hayat kita. Dan semoga Allah membuka pintu hati kita untuk menuntut ilmu dengan seluas-luasnya. 

Sebagai contoh, penggunaan vaksin rota teq bagi mencegah penyakit diarrhea yang disebabkan oleh rota virus. Ada ulama yang berpendapat bahawa teknologi masa kini sudah cukup berkesan untuk merawat penyakit bawaan rota virus ini. Kaedah pemakanan menggunakan prebiotik dan tahap kebersihan yang semakin memuaskan telah menyebabkan wabak ini berkurangan. Maka, menjadi kewajipan para umat Islam untuk kembali meninggalkan vaksin bagi mencegah rota virus.

Pendapat ini adalah benar. Akan tetapi terdapat sedikit kepincangan apabila masyarakat awam membahaskan konsep ini mengikut akal mereka. Contohnya dengan mengatakan bahawa tidak perlu mengambil vaksin diphteria kerana ia boleh dicegah dengan meningkatkan tahap kebersihan dan memakan makanan sunnah. Lantas ia telah membuang konsep darurat tersebut. 

Bagi saya, ia adalah satu pemahaman yang salah kerana darurat bukan bermaksud berlakunya wabak dalam skala besar seperti yang berlaku di zaman sebelum vaksin dicipta. Tidak.

Darurat boleh berlaku dalam hal sekecil-kecil perkara dalam pandangan masyarakat. Sebagai contoh, kami di Jabatan Kecemasan dan Trauma mempunyai pentafsiran berbeza tentang bencana ataupun disaster.

Kemalangan impak tinggi melibatkan kereta kancil dengan penumpang seramai 4 orang dan sebuah kereta Hilux dengan penumpang seramai 6 orang akan menghasilkan magnitud kecederaan yang berbeza, Katakan terdapat enam orang mangsa mengalami kecederaan kritikal ketika itu. Jika kesemua mangsa di bawa ke hospital daerah yang mempunyai hanya 2 katil di Jabatan Kecemasan maka ia akan menjadi bencana buat hospital tersebut. Tetapi jika ia berlaku di kawasan hospital besar dan mempunyai pusat rawatan trauma seperti di Hospital Sungai Buloh atau Hospital Selayang, maka ia tidak sampai tahap untuk menyebabkan bencana.

Akan tetapi sekiranya Barrack Obama datang melawat Malaysia dan mengalami kecederaan walaupun tidak parah, ia tetap akan menjadi bencana kepada sesebuah hospital yang akan merawat beliau. 

Kes yang sama berlaku apabila terdapat satu sahaja kes small pox terjadi di Malaysia. Natijahnya pasti menimbulkan bencana pada seluruh dunia.

Dalam konteks vaksinasi,  darurat mungkin tidak berlaku dari segi jumlah mangsa secara besar-besaran tetapi magnitud penyakit itu sendiri terutamanya dari segi ekonomi. Kos untuk seseorang mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah diphteria adalah antara RM60-RM100 untuk setiap suntikan dan RM180-RM300untuk suntikan penuh. Itupun ditanggung oleh kerajaan.

Jika mereka terkena jangkitan diphteria, mereka hanya mengalami simptom biasa. Kos rawatan juga tidak begitu mahal. Tetapi jika mereka tidak mengambil suntikan vaksinasi, penyakit tersebut akan menghasilkan magnitud besar seperti yang berlaku dalam beberapa kes kematian diphteria baru-baru ini.

Kos untuk rawatan menggunakan Anti Toxin boleh mencecah sehingga RM20 000 untuk setiap pesakit. Ini belum dikira lagi kos rawatan ICU dengan harga purata RM1500 untuk setiap hari. Menyebabkan pesakit terpaksa bergantung pada ventilator atau alat bantuan pernafasan dan sekaligus menyebabkan jumlah ventilator di sesebuah hospital berkurangan. Ia menyebabkan sesetangah pesakit seperti mereka yang perlu menjalani pembedahan menggunakan bius penuh tidak dapat menjalani pembedahan akibat ketiadaan ventilator. 

Risiko jangkitan kuman lain akibat penggunaan ventilator meningkat dan menambahkan lagi kos rawatan untuk menggunakan antibiotik dan ubat-ubatan yang mahal. Komplikasi yang berlaku menyebabkan pesakit memerlukan pembedahan sampingan. Di akhir cerita, peratusan untuk pesakit sembuh tetap rendah. Purata kos rawatan untuk satu-satu individu boleh mencecah sehingga RM100 000. Soalnya, duit siapa yang diguna? Duit sendiri atau kerajaan?

Itu baru satu pesakit. Bagaimana kalau 10 pesakit? Sedangkan wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai keperluan lain lagi. Ini tidak termasuk pula kos untuk menyaring masyarakat yang mempunyai status pembawa tidak aktif, langkah pencegahan dan sebagainya. Juga natijah apabila premis perniagaan atau sekolah terpaksa ditutup dan mengakibatkan ekonomi terganggu.

Contoh wabak Meningitis tepat untuk menggambarkan keadaan ini. Begitu juga dalam kes jangkitan diphteria di Malaysia ketika ini. 

Kembali kepada contoh sebelum ini tentang vaksinasi meningococcal. Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa penggunaan vaksin bagi mencegah meningococcal adalah wajib apabila seseorang muslim ingin mengembara ke negara yang mempunyai risiko jangkitan Neisseria meningitidis yang tinggi atau sewaktu mengerjakan haji dan umrah. 

Ia walaubagaimanapun bergantung di atas pilihan seseorang individu untuk menggunakan vaksin ini atau pun tidak dalam keadaan tidak darurat seperti di Malaysia atau apabila mengembara ke negara-negara yang tidak memiliki risiko jangkitan berbahaya ini. Setiap orang Islam wajib berpegang pada iktikad mereka selari dengan tingkatan ilmu yang mereka perolehi. 

Ayu yang saya kasihi,
Adapun demikian, istilah seperti vaksin halal bersamaan dengan tahnik menggunakan kurma dan madu seperti yang dipegang oleh sesetengah ustaz dan artis nasyid seperti kes yang terjadi beberapa hari lepas adalah sesuatu yang mengarut dan tidak masuk akal.

Selain bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad yang tidak pernah mendakwa bahawa tahnik adalah sebahagian dari kegiatan vaksinasi, Ia juga adalah sebuah penipuan menggunakan nama Rasulullah.

Perkataan vaksin berasal dari perkataan latin iaitu vaccinus yang membawa maksud 'berkaitan dengan lembu'Ia Merujuk kepada pemerhatian Edward Jenner yang mendapati bahawa tukang perah susu jarang sekali dijangkiti penyakit smallpox. Walaubagaimanapun, mereka boleh dijangkiti dengan cow pox. 

Beliau telah menjalankan satu kajian yang kita sifatkan sebagai tidak beretika dalam konteks masyarakat sekarang di mana beliau telah mengambil beberapa titik cecair pada kudis wanita yang dijangkiti cowpox dan menyuntiknya ke bahu seorang remaja lelaki yang tidak pernah menghidap smallpox atau cowpox. Enam minggu kemudian, Jenner menyuntik lagi cecair dari kudis yang disebabkan oleh smallpox tetapi budak tersebut tidak dijangkiti oleh smallpox.

Kenapa saya katakan tidak beretika mengikut konteks masyarakat sekarang? Kerana kita hari ini berada dalam dunia yang bebas dari sebarang penyakit berjangkit. Maka kita tidak akan faham dengan stress, ketakutan dan penderitaan masyarakat dulu dalam menghadapai wabak. Kematian beribu-ribu nyawa membuatkan mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja demi untuk menyelamatkan peradaban dunia. Keadaan perkembangan ilmu sains yang terhad beserta teknologi yang  tidak canggih memustahilkan mereka menjalankan kajian seperti yang ada pada hari ini- Menggunakan tikus makmal dan analisa komputer.


POLEMIK VAKSIN ORGANIK

Tuan, tuan dan puan puan sekalian serta Ayu yang saya kasihi.

Sekiranya ada golongan anti vaksin mencanang idea tentang vaksin organik untuk melaris produk jualan mereka atau mengembangkan mazhab perubatan mereka seperti homeopathi, maka ketahuilah satu-satunya vaksin organik yang wujud adalah seperti yang dilakukan oleh janner.

Teknik vaksinasi alternatif seperti homeopathic prophylaxis ataupun nosodes yang dicanang oleh beberapa persatuan homeopathi yang tidak bertanggungjawab adalah menyalahi etika perubatan homeopathi itu sendiri. Dua badan besar dan berpengaruh seperti British Homeopathic Association dan Australian Register of Homoeopaths menjelaskan bahawa kaedah homeopathi tidak dapat menggantikan standard penggunaan vaksin.


ISU BERKENAAN MAKANAN SUNNAH, PERAWATAN MENGIKUT KAEDAH NABI DAN QURANIC FOOD.

Hari ini, masyarakat sering keliru tentang apa itu makanan sunnah, makanan Quran dan perubatan mengikut cara Nabi. Saya bersyukur kerana dapat membaca catatan dari  Ustaz Mohd Aidil Azwal bin Zainudin[xxi], CEO[xxii] kepada Olive House iaitu syarikat yang berasaskan makanan organik dan Quranic food. Sedikit intro mengenai syarikat beliau saya petik dari laman web beliau iaitu Olive House[xxiii]

OLIVE HOUSE merupakan sebuah syarikat diatas nama OHR Marketing Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai syarikat milikan tunggal dibawah nama OLIVE HOUSE Resources dan secara rasminya sebagai syarikat sendirian berhad pada tahun 2014.
Berpegang teguh dengan moto ‘We Begin With Nature’ produk yang dikeluarkan oleh OLIVE HOUSE adalah produk organik dari tumbuh-tumbuhan semulajadi yang berasaskan ‘Quranic Food’ seperti buah zaitun, buah delima, buah tin dan kurma. Produk OLIVE HOUSE dihasilkan di tempat asal produk organik tersebut dengan melalui piawaian yang terperinci bagi memastikan kesegaran dan khasiat produk di tahap maksimum

Saya membaca dengan penuh minat artikel beliau yang bertajuk MAKANAN SUNNAH PENGGANTI VAKSIN ? dan mendapati bahawa ia bertepatan dengan pemahaman saya tentang isu yang dibawa oleh beberapa orang golongan pro choice.  Ia sekaligus mematahkan niat asal saya untuk menulis tentang topik ini memandangkan pemahaman kami adalah hampir sama seklipun kami tidak pernah berdiskusi bersama-sama. Saya berpendapat, para pengamal Pro Choice khususnya admin page #masyarakatkenatahu wajib membaca dan memahami tulisan Ustaz Mohd Aidil ini.  

Saya risau dengan tindak tanduk mereka yang menyarankan pelbagai kaedah rawatan berbahaya dan tidak bersumber dalil bukti yang jelas perihal teknik rawatan tersebut. Apa yang menakutkan saya adalah, mereka dengan berani sekali menisbahkan kaedah rawatan mereka dengan Rasulullah. Ini amat menakutkan saya.

Bersama-sama surat ini, saya lampirkan disini tulisan asal Ustaz Mohd Aidil yang dikongsikan dalam laman facebook beliau. 

MAKANAN SUNNAH PENGGANTI VAKSIN ?[xxiv]
1. Assalamualaikum Warahmatullah semua.

2. Saya dari pendidikan Syariah dan Undang-undang dari Universiti Al-Azhar, tetapi jujur saya katakan sehingga kini saya tidak jelas apa maksud "makanan sunnah" secara akademiknya. Apa yang jelas dari pengajian Syariah ialah berkenaan makanan yang halal, haram dan syubhat. Jelas dari Al-Quran dan Hadis pecahan tiga ini. Sesuatu makanan itu boleh menjadi haram atau syubhat sama ada atas faktor ketaatan (perintah) kepada Allah atau memberikan kemudaran/penyakit kepada manusia.

3. Adapun selain itu, tidak ditemukan secara khusus berkenaan "makanan sunnah" atau nama seiras dengannya. Apa yang sering saya temukan (pastinya penemuan itu daripada bantuan pensyarah dan profesor-profesor yang saya kenali) adalah dari sudut tulisan-tulisan hebat atau journal-journal antarabangsa serta pembincangan ilmiah berhubung "Quranic Food "iaitu makanan yang disebutkan dalam Al-Quran dan Hadis. Hari ini, Sains moden membuktikan kebaikannya dan sebahagiannya menjadi aspirasi kepada penciptaan ubat-ubat sintetik bagi industri ubat moden dan memberi sumbangan besar kepada dunia perubatan moden.

4. Begitu juga journal yang banyak berkaitan "Prophetic Medicine" penulisan dan kajian berhubung adakah perubatan yang dianjurkan Nabi itu satu kewajipan untuk diikuti sebagaimana Syariat yang menjadi ibadat wajib dituruti atau sekadar saranan semasa mengikut perkembangan perubatan semasa yang berada pada zaman baginda? Panjang lebar perbahasan secara ilmiah dapat ditemukan satu persatu. Quranic Food dan Prophetic Medicine kata kunci penting.

5. Istilah "Quranic Food" dan "Prophetic Medicine" itu wujud bersama penjelasan saintifik. Hasilnya memberikan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Adapun "makanan sunnah" ini saya agak kurang pasti. Terus menafikan istilah ini saya tidak berani, mungkin ada definasinya yang saya tidak tahu atau sememangnya ia hanya ucapan rawak yang diterima pakai oleh masyarakat. Ini kerana istilah "makanan sunnah" ini hanya berlegar di sempadan tanah air malaysia sahaja, tidak diketahui di negara selainnya.

Terbaru saya bertemu Dr Mohamed Faid (hafal 30 juzuk Al-Quran) yang merupakan saintis serta tokoh nutrisi dunia memberikan komentar kurang senang dengan istilah "makanan sunnah" yang dikombinasikan pelbagai ramuan yang tidak diketahui "chemical reaction" dari hasil campuran. Juga tidak diketahui apa kesannya kepada tubuh dan tidak pernah diuji sama sekali tetapi langsung dijual. Kemudian disandarkan ia sebagai "makanan sunnah" yang kemungkinan membawa fitnah kepada agama. Itu komen beliau.

6. Saya lebih teruja dan tertarik dengan beberapa Profesor dari Universiti Al-Azhar (jurusan biology, chemistry, food sciense dan selainnya. Al-Azhar tidak sekadar mempunyai jurusan agama, terdapat kampus perubatan dan semua bidang ilmu. Beza kampus mereka dengan universiti yang lain hanya pada mereka diwajibkan hafal 30 juzuk Al-Quran). Maaf, kembali kepada apa yang ingin dikatakan oleh tokoh Al-Azhar, jika mahukan nama-nama mereka saya kena merujuk semula, tulisan tanpa rujukan sekadar apa terlintas di minda dan nama mereka tak dapat diingati buat masa sekarang🙈.

7. Kata mereka: Di dalam Al-Quran menyebut terdapat 5 pokok yang mempunyai kebaikan nutrisi yang hebat; zaitun, teen, kurma, delima dan anggur. Makanan ini pada Sains moden diiktiraf sebagai "Super Food" @ "Funtional Food". Bermaksud makanan yang mempunyai khasiat yang tinggi dan memberi kebaikan kepada tubuh manusia dan mesti diamalkan. Ditanya: Bagaimana pula dengan madu, habbas sauda dan lain-lain kenapa tidak dimasukkan di dalam senarai Quranic Food? Dijawab: Madu, Habbas Sauda dan seumpamanya dikategorikan sebagai ubat. Makanan dan Perubatan adalah dua tajuk yang berbeza. Soal makanan adalah soal diet, penjagaan kesihatan, pencegahan, memberikan nutrien yang cukup pada tubuh, gizi dan lain-lainnya. Adapun madu, habbas sauda, bekam dan selainnya, ini merupakan soal perawatan dan perubatan memerlukan pakar dan ahli yang layak untuk bercakap mengenainya. Bila orang awam mula masuk campur dan bercakap sesuka hati, disiplin ilmu yang tinggi bertukar menjadi sampah.

8. Kesimpulannya: "Quranic Food" (Makanan) dan "Prophetic Medicine" (Perubatan) adalah dua tajuk berlainan! Jangan pelik jika fakta kukuh membuktikan, larangan mengambil habbas sauda bagi pesakit buah pinggang. Bahkan disebabkan kejahilan dalam bidang perubatan, kesan pengambilan habbas sauda merosakkan buah pinggang. Ini sama sekali tidak menafikan hadis Nabi berkaitan kebaikan habbas sauda. Kita akan sedar ianya tidak bertembung apabila memahami prinsip pemakanan dan perubatan yang diajar oleh Syariat. Pemahaman secara lateral pada perkara keagamaan, inilah yang melahirkan extremes. Soal perawatan melibatkan banyak isu; kondisi semasa pesakit, metabolisme, dos dan lain-lain isu yang komplikated. Hanya perawat dan ahli dalam bidang perubatan sahaja yang pakar dan mahir dalam perkara sebegini. Itupun ilmu tersebut masih berkembang bukan sudah sampai ke puncaknya. Bahkan Nabi secara jelas meminta para sahabat untuk urusan konsultasi perubatan kepada yang ahli walaupun bukan Islam seumpama Haris bin Kaladah.

9. Vaksin adalah soal perubatan moden. Kajian, analisa, penemuan, pembuktian dan lain-lain perkara berkaitan memenuhi dunia ilmu perubatan moden yang adakala atau kebanyakannya tidak difahami oleh masyarakat awam bahkan ahli perubatan itu sendiri kecuali yang pakar. Menjadi mengantuk saya kebosanan membaca perdebatan tidak keruan antara beberapa kelompok yang bercakap soal "makanan sunnah" dan soal vaksin. Tuan cik puan, sebelum "bertumbuk" masuk di dalam tajuk dahulu, terlebih dahulu tetapkan perbincangan agar hasil perbincangan dan konklusi perbincangan jelas. Seorang bercakap soal payung sumber penghalang hujan dari terkena tubuh dan seorang bercakap soal rumah sebagai pelindung, seumpama orang tidak waras perdebatan yang berlaku. Saya hanya analogikan rumah dan payung, hujan sebagai penyakit. Siapa payung siapa rumah, saya juga tak tahu cuma yang saya tahu, soal perubatan dan soal pemakanan adalah dua tajuk yang berlainan serta mempunyai disiplin ilmu yang tidak sama. Dicampur adukkan kedua tajuk, menjadikan lauk itu basi serta tidak boleh dimakan.

10. Menjadikan pemakanan sebagai hospital mutlak umpama ucapan orang sasau, manakala merawat tanpa mengambil berat soal pemakanan ucapan mentah yang tidak masak terzahir kedangkalan amat nyata di situ. Soal makanan yang baik membantu kesihatan yang optimun dalam masa yang sama tidak menjamin tidak diuji dengan penyakit. Sehebat apapun ilmu perubatan moden tidak menafikan pemakanan berperanan penting kepada penyakit yang dideritai, pengamalan makanan yang betul dan berkhasiat menjadikan para perawat dan ahli perubatan fokus kepada penyakit sebenar untuk diubati. Soal pemakanan dan kesihatan berkait rapat antara satu sama lain. Saling melengkapi bukan memusuhi. Ingat!!!!

11. Sekarang viral isu vaksin yang merupakan bidang perubatan. Terlalu banyak "evidence" yang boleh dikongsikan berhubung perkara ini untuk tatapan dan pembacaan bersama sokongan penerangan, bukannya semborono emosi yang tidak membawa konklusi keputusan menenangkan di akhirnya. Pro and cont pasti ada, jelaskan dengan bahasa yang mudah difahami. Ingin bertumbuk atau memberi petunjuk? Sebagaimana juga soal pemakanan terdapat "evidence" yang jelas secara saintifik untuk kita ketahui sama ada sesuatu makanan "sunnah" itu sekadar "bullshit" jeritan menggila penjual produk atau bersama bukti saintifik. Saya yakin dan percaya soal vaksin juga sama. Bahasa ilmiah ini boleh menjadi pedoman kepada yang mencari kebenaran. Kongsikan!!!

12. Adapun masyarakat awam, menjadi tanggungjawab negara/pihak berkuasa untuk meletakkan undang-undang yang sesuai demi kebaikan bersama. Mereka mungkin tidak mempunyai kapasiti memahami perbincangan yang komplikated, mereka hanya perlu undang-undang yang baik untuk memelihara mereka. Semestinya negara/pemimpin telah befikir sehabisnya dan dipilih neraca paling baik untuk dilaksanakan termasuk implikasi undang-undang apabila diwajibkan atau diharuskan sesuatu undang-undang. Ini kaedah terbaik, bukannya bedebat dengan awam yang sehingga kiamat tidak akan memahami hasil perbincangan. Sampai ke hari kiamat mereka akan berada dalam keraguan soal vaksin itu apa dan tidak vaksin itu bagaimana pula, kelompok ini perlu pemimpin untuk dipauti. Jadilah pemimpin itu!!!

MENGENALI KEPERLUAN NUTRISI TUBUH YANG BERBEZA

Makanan yang baik boleh mencegah pelbagai jenis penyakit. Iya saya setuju. Tapi, ada diantara mereka hanya setara sebagai makananan tambahan atau supplemen. Isu ini adalah berkaitan dengan nutrisi. Nutrisi harus difahami seperti mana yang difahami oleh pakar nutrisi. Doktor yang hebat tidak semestinya pakar nutrisi. Begitu juga mereka yang menjual makanan sunnah. Tidak semestinya mereka mempunyai ilmu dalam bab nutrisi.

Dalam satu pesanan mesej dari Dr Zulkarnain Hasan kepada saya, beliau cuba untuk menjelaskan tentang topik ini dalam bahasa ringkas dan mudah difahami orang awam.  Dr Zulkarnain Hasan adalah seorang pakar bedah dan merupakan pensyarah sewaktu saya bergelar pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia. Beliau antara doktor pertama yang memperkenalkan konsep nutrisi kepada saya hampir tujuh tahun yang lampau, Beliau kini bertugas sebagai pakar bedah di sebuah hospital swasta. 

Berikut adalah pesanan mesej beliau yang dihantar kepada saya. Saya mendapati bahawa kandungan mesej beliau ini menarik dan releven untuk dikongsi bersaya Ayu.

*Sering silap faham dari segi istilah dan bahasa*.

Istilah bahasa perubatan , medicine=pharmacotherapy=drugs . Jadi bukan bermaksud dadah. Harap sesiapa yang membuat tanggapan rambang dan semberono ubat hospital "semua" bahan kimia dan dadah harap berhenti berbuat demikian. Malahan banyak ubat2 moden berasaskan bahan semulajadi tetapi dipek dan diproses secara moden supaya sukatan dan cara pengambilannya lebih teratur dan boleh dipantau. Saya agak hairan apabila masih ada soalan2 yang "kabur" tentang perbezaan pemakanan tambahan=suplemen dan rawatan khusus walaupun sudah diterangkan dalam penulisan artikel diatas. Kalau tak faham eloklah baca lagi dan lagi sampai faham😀

Suplemen adalah perkataan berasal dari bahasa Inggeris bermaksud tambahan. Zat-zat pemakanan terdiri dari zat-zat makro dan mikro (makronutrien) - karbohidrat, protein dan zat lemak. Setiap zat makronutrien boleh dipecah-pecahkan lagi. Boleh buat pembacaan sendiri.
Mikronutrien pula terdiri dari Vitamin A- K, mineral, trace elements, phytonutrients dan pelbagai zat lagi.
Secara umum - semua zat ini sepatutnya diambil mengikut keperluan badan untuk mencapai kesihatan badan yang optimum supaya badan kekal sihat dan mampan serangan penyakit. Namun tiada siapa boleh menjamin mereka mwngambil makanan yang benar-benar seimbang (cukup untuk keperluan badan mereka). Perlu diingat keperluan individu adalah berbeza. Disinilah peranannya supplement (bahasa inggeris) atau pemakanan tambahan (bahasa melayu). Zat-zat makanan yang dikhuatiri tidak mencukupi di cukupkan dalam bentuk pemakanan-pemakanan tambahan yang seharusnya menjadi amalan pemakanan mengikut keperluan sendiri.
Apabila seseorang individu ditimpa penyakit maka tugas pengamal perubatan adalah merawat penyakit dalam :
1) meredakan simptom penyakit
2) menghilangkan/menghapuskan punca penyakit secara khusus
Secara umum apabila seseorang individu ditimpa penyakit; tubuhnya sendiri akan melawan penyakit tetapi apabila ada tanda-tanda penyakit (simptom) maka pada ketika itu punca penyakit (bakteria, virus dan patogen-patogen punca penyakit) telah mengatasi sistem pertahanan badan mereka. Maka doktor juga ber"ikhtiar" membantu pesakit sembuh dengan
1)kenalpasti penyakitnya dahulu
2) memberi ubat yang sesuai supaya kurang/sembuh simptom penyakit dan melegakan pesakit
2) memberi ubat sesuai menghapuskan punca penyakit

Pada waktu ini jika pesakit ingin menambahkan pengambilan suplemen atau pemakanan tambahan bagi menguatkan kembali sistem immun/pertahanan badan mereka melalui pengambilan madu atau supplemen2 lain maka itu tidak menjadi masalah kepada doktor. Namun mengharapkan doktor memberi "dos" kepada madu adalah sesuatu yang kurang bijak. Anda boleh mengambil madu, supplemen vitamin melalui cara yang disarankan oleh pakar pemakanan (nutritionist) - mereka yang lebih layak memberi nasihat tentang pemakanan sihat. Atau buatlah pembacaan terperinci. Maklumat dihujung jari anda.

Pemakanan tambahan/suplemen sepatutnya menjadi amalan harian jika anda tidak dapat menjamin mendapat makanan mencukupi dari diet harian. Bukan sekadar tindakan ad-hoc ketika sakit kerana pada waktu itu tubuh anda telah lemah dan akan mengambil masa memproses pemakanan tambahan yang anda ambil untuk menukarkannya menjadi sel-sel dan bahan-bahan melawan penyakit dalam badan anda seperti antibodi, cytokines, complements dan lain-lain (ini semua istilah perubatan- tak mengapa kalau tak faham). Sementara itu ambillah ubat yang disarankan doktor.
Mitos masyarakat supaya "jangan campur" ubat hospital dengan supplemen adalah sangat-sangat tidak benar kecuali untuk beberapa kes kerana ubat-ubat tertentu mengurangkan keupayaan badan menyerap zat makanan sebagai contoh ubat mengawal asid dalam perut dan ubat zat besi.
Makanlah makanan yang baik dan halal dan makanlah ubat bila perlu. Jangan lupa baca basmallah ketika makan kedua-duanya. Suplemen dan ubat tidak sembuhkan penyakit. Kedua-duanya ikhtiar melalui saluran berbeza. Allah yang menyembuhkan. Keyakinan itu yang lebih penting diterapkan

SARANAN SAYA

Jangan tinggalkan kaedah pemakanan yang baik dan berkualiti seperti yang sebahagian dari anda sudah amalkan. Tapi, pada masa yang sama saya merayu agar anda semua kembali ke jalan yang penuh dengan kebenaran. 

Saya tahu anda takut dengan AEFI, polemik halal haram dan autism. Sebahagian dari keraguan tersebut sudah saya jelaskan dalam surat-surat sebelum ini. Saya berjanji akan terus menulis bagi menjelaskan salah faham masyarakat terutamanya tentang autism.

Semoga kita semua terus diberi kekuatan dari Allah untuk menjalani baki dua hari ramadhan ni.


Yang tetap setia melayan kenakalanmu,
Dr. Jacknaim,
Quarters Hospital Lahad Datu, 4/7/16, 11.20 am.


Nota Kaki:


[i] Ayu Raudhah: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=145946182493067&set=a.110113752742977.1073741828.100012330575497&type=3&theater
[ii] Norshahzura Mat Zuki, "Vaksin halal mulai 2017", 4 September 2015,http://www.sinarharian.com.my/bisnes/vaksin-halal-mulai-2017-1.426924
[iii] Dzulkifli Abdul Razak & Ramli Mohamed, "the APEX University Universiti Sains Malaysia in support of the New Economic Model: TRANSFORMING HIGHER EDUCATION FOR A SUSTAINABLE TOMORROW 2010: Laying The Foundation" Universiti Sains Malaysia, 2011
[iv] Royal Embassy of Saudi Arabia, Washington DC, "Hajj and Umrah Health Requirements:,
https://www.saudiembassy.net/services/Hajj_and_Umrah_Health_Requirements.aspx
[v] Annelies Wilder-Smith, Kee Tai Goh, Timothy Barkham, and Nicholas I. Paton, "Hajj-Associated Outbreak Strain of Neisseria meningitidis Serogroup W135: Estimates of the Attack Rate in a Defined Population and the Risk of Invasive Disease Developing in Carriers",  Clin Infect Dis. (2003) 36 (6): 679-683. 
[vi] A. Shibl, H. Tufenkeji, M.Khalil et al, "Consensus recommendation for meningococcal disease prevention for Hajj and Umra pilgrimage/ travel medicine",EMHJ, Vol. 19, No 4, 2013
[vii] Christopher S. Bowron, Salahudin M. Maalim,"Chapter 4 Select Destinations The Middle East & North Africa" Centers for Disease Control and Prevention
[viii] Jaffar A. Al-Tawfiq,Thomas A. Clark,and Ziad A. Memish, "Meningococcal Disease: The Organism, Clinical Presentation, and Worldwide Epidemiology", 2010 International Society of Travel Medicine, 1195-1982 Journal of Travel Medicine 2010; Volume 17 (Issue S1): 3–8
[ix] Saber Yezli, Abdulaziz A. Bin Saeed, Abdullah M.Assiri et al, "Prevention of meningococcal disease during the Hajj and Umrah mass gatherings: past and current measures and future prospects", Int J Infect Dis (2015)
[x] Ibid.
[xi] Mohd Zaid Mustafar and Joni Tamkin Borhan, "Muslim Consumer Behavior: Emphasis on Ethics from Islamic Perspective", Middle-East Journal of Scientific Research 18 (9): 1301-1307, 2013
[xii] Surianom Miskam, Norziah Othman, Dr.Nor’Adha Ab. Hamid et al, "WAR 11  AN ANALYSIS OF THE DEFINITION OF HALAL: SHARI’AH VS STATUTES" World Academic and Research Congress 2015
[xiii] Norazmi Anas, Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Mohd. Hudzari Haji Razali, "Modern Biotechnology: The Importance of Bioethics from Islamic Perspectives", Asian Journal of Humanities and Social Sciences (AJHSS), Volume 1—Issue2, August 2013
[xiv] editor Puziah et al "The 3rd IMT-GT International Symposium (2009: KLIA Sepang, Selangor) Halal Science and Management : Proceedings on the 3rd IMT-GT International Symposium on Halal Science and Management 2009" Perpustakaan Negara Malaysia, 21-22 December 2009
[xv] Al-Qawâ‟id Al- Fiqhiyyah(Legal Maxims of Islamic Jurisprudence) A Translated Compilation, Islamic University of North America (Mishkah) Islamic Studies English Program, 2-13
[xvi] Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Abd Hamid Abd Murad and  Arif FahmiMdYusof, "The Use of Forbidden Materials in Medicinal Products: An Islamic Perspective" Middle-East J. Sci. Res., 16(Approaches of Halal and Thoyyib for Society, Wellness and Health): 05-10, 2013
[xvii] Yusuf al-Qaradawi, The Lawful and Prohibited in Islam.
[xviii] The Standing Committee for Legal Verdicts and Research in Saudi Arabia 22:281, translaterd by Moosaa Richardson
[xix] Sh. Muhammad Bazmool, based on ruling from Ibn Hazm, Ibn Abedin.  translated by Moosa Richardson
[xx] Sheikh Nasirud-deen al-Albaani
[xxi] Ustaz Aidil Azwal
https://www.facebook.com/Ustaz-Aidil-Azwal-245987795738560/info/?entry_point=page_nav_about_item&tab=page_info
[xxii] Ustaz Aidil Azwal
http://www.olivehouse.my/web/tentang_kami.php#ceo
[xxiii] http://www.olivehouse.my/web/tentang_kami.php
[xxiv] Ustaz Aidil Azwal, "Makanan Sunnah Pengganti Vaksin?" 3/7/2016, 10.29 am. Accessed on 4/7/2016 at 11.14 am.
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=308047149532624&id=245987795738560