6: RAJUK SAHABAT Ayu raudhah



Kehadapan buah hatiku Ayu Raudhah,

Awak, betul ke awak single ni? Atau awak dalam diam ada orang lain? Kalau awak ada orang lain selain saya, maka saya bersedia berundur bila-bila masa sahaja. Melihatkan ada hubungan rapat antara Ayu dengan pengendali page MASYARAKAT PERLU TAHU itu membuatkan saya sedikit resah dan gelisah. Malam terasa begitu panjang sekali buat saya apatah lagi siang tidak pernah mahu menjenguk di kala saya bukakan mata dari tidur yang tidak nyenyak. Hanya kegelapan yang mengisi setiap sudut pandangan saya.

Mungkin kerana saya gusar dan bimbang melihatkan penyelewengan yang berlaku dalam page tersebut. Awak, sebelum ni saya silent reader sahaja awak! Curi curi baca dari page tersebut. Bukan apa, saya cuma ingin mengkaji corak pemikiran masyarakat Malaysia di sana. Tapi apabila saya meminta untuk ‘mendaftar’ diri sebagai follower page tersebut, ternyata saya tidak sudi diterima. Akhirnya saya di ‘block’ dari page tersebut. 

Saya sedih Ayu. Hiba hati saya ni mengenangkan cinta kita menjadi punca rasa cemburu di hati kawan-kawan awak. Mungkin mereka tidak sampai hati melihat awak cair dan terjatuh ke pangkuan saya.

Ya, kau pasti akan tewas juga ke dalam genggaman tanganku. Akan saya pimpin ayu untuk berjalan menuju bahagia pada hari hari yang mendatang.

Ayu Raudhah:  Amboi jack, cinta tepuk sebelah tangan pun boleh break ke. Siap suruh taubat lagi Desperate sgt awk ni. Awk tgh cuti, boleh menulis. Ayu kerja. Bagi masa sikit no. Tak perlu akal yg terlalu cerdas utk radd hujah-hujah awak.
Merendahkan hujah org lain hanya cerminan kesombongan diri awk dan rs superior terhadap wanita.
Awk mmg kejam naim


Saya harap Ayu juga tidak pantas hilang dari saya setelah merajuk dengan keadaan kita yang sedang retak menanti belah ini.  

Saya pujuk Ayu balik ya. 

Kita berdamai ok? 

Pinky promise please!


Muhamad Na'im Ab Razak Hurm. Saya masih sayang ,Ayu Raudhah lagi ni. Saya acah2 merajuk ja la.. awak ni tak sweet langsung la




Saya tak kejam Ayu! Saya tak kejam. Saya tidak pernah merendahkan hujah sesiapa untuk mencerminkan kesombongan diri saya. Tidak Ayu. Percayalah!

Dan saya tak pernah rasa yang saya superior dari seorang wanita. Sebaliknya, saya adalah seorang pencinta wanita yang sejati. Buktinya, saya tetap setia melayan rajuk Ayu ni. 

Ayu tak rasa sweet ke ada boyfriend macam saya ni?

Saya tidak pernah ada niat untuk mencabar kawan-kawan Ayu. Sebaliknya saya ingin mengajak mereka untuk berbincang dan berbahas mengikut adab yang ditetapkan oleh Islam. Walaupun saya tidak berserban, berjanggut dan memakai jubah tetapi saya berharap agar diberi peluang untuk berbicara. Orang Nasrani pun diajak berbahas di dalam masjid oleh Rasulullah kan.

Sweet kan Nabi Muhammad dalam mendepani orang-orang yang tidak bersetuju dengan baginda. Apa kata awak tolong sampaikan keinginan saya untuk bersahabat dengan kawan-kawan awak ni. 

Saya janji tidak akan menghukum golongan pro choice atau Anti Vaksinasi ini. Kita berbincang secara ilmiah dengan tujuan untuk mencari kebenaran. Apa pendapat Ayu?



Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)".-  Surat Ali 'Imran Ayat 64


Ayu, saya tak ada niat hendak memutuskan silaturrahim dengan rakan-rakan Ayu. Iya lah kan, cinta tidak bererti kita harus berhenti berkawan dengan orang lain kan. Kawan-kawan Ayu dah macam kawan saya juga. Sebagaimana saya layan ayu dengan penuh lemah lembut, saya juga tidak akan berkasar dengan kawan-kawan Ayu.


Saya cuma inginkan satu perbahasan yang sihat dengan rakan-rakan Ayu.  Dan saya ingin kita semua berbahas dalam konteks apa-apa yang kita tahu sesuai dengan kapasiti ilmu kita.



Beginilah kamu, kamu ini (sewajarnya) bantah membantah tentang hal yang kamu ketahui, maka kenapa kamu bantah membantah tentang hal yang tidak kamu ketahui? Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.- Surat Ali 'Imran Ayat 66


Ayu, saya cukup bangga dengan keadaan masyarakat kita pada hari ini. Ternyata kita semua sedang cuba untuk keluar dari kelamnya kegelapan kejahilan dan cuba menggapai terangnya sebuah kebenaran. Ya, kita selaku manusia mula sedar akan kepentingan saranan Islam untuk menimba ilmu. Namun, berbeza dengan apa yang sepatutnya, kita  lantas berlumba untuk menjadi seorang yang lebih bijak dari yang lain. Bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk menentukan siapa yang berada di puncak kekuasaan.


Ternyata kita masing masing tidak sedar bahawa disiplin menuntut ilmu dan adab dalam mendalami ilmu adalah tunjang kepada pembentukan manusia yang tinggi darjatnya seperti yang disebut oleh Allah dalam Quran.


“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat”. Al-Mujaadilah ayat 11


Bagi saya, darjat tertinggi dalam proses ini adalah kebolehan untuk memilih ilmu yang paling berguna dan bermanfaat diantara ribuan ilmu yang lain. Lantas meninggalkan naluri primatif kita seperti yang dibimbangi oleh Malaikat - Naluri untuk berbuat kerosakan.

Saya menyeru agar rakan seperjuangan saya yang Pro vaksinasi dan juga golongan Anti vaksinasi untuk kembali kepada teras disiplin ilmu ini. Marilah kita mencari persamaan di antara kita dan memperhalusi perbezaan di antara kita bagi tujuan mencari kebenaran.

Dengan rasa rendah diri, saya seorang doktor muslim (biarpun tidak sepenuhnya mengamalkan ajaran Islam atas kelemahan diri sendiri) yang mempunyai seciput pengalaman dalam bidang perubatan, bertasbih memuji kebesaran Tuhan Yang Maha Agung dan meminta kepadaNYA untuk memberi ilmu yang betul dalam saya mendepani rakan-rakan Ayu yang memilih untuk menjadi golongan anti vaksinasi. 

Semoga kebenaran akan terpancar di akhir kegelapan lorong lorong hitam yang menyaksikan kita semua masih teraba-raba dalam usaha untuk menjadi manusia berdarjat tinggi, di samping Tuhan yang Maha Agung.


“Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga. Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimintakan maaf oleh penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut. Kelebihan seorang alim di bandingkan dengan ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak”.- Dari Abu Ad-Darda dalam Sunan Abu Daud


Saya lihat bahawa kita semua ini adalah pelajar. Sedang belajar untuk mencari kebenaran. Dan saya yakin bahawa antara kita dapat belajar ilmu yang membawa kepada cahaya dan bukannya kegelapan yang berlapis-lapis hingga menghalang pancaran mentari menumbuhkan rasa keinsafan dari sudut hati yang paling dalam. 

Tuntas, ia bukan pula menumbuhkan ego, riak, angkuh dan sombong yang membawa kepada jejak langkah Iblis di saat dia merasakan bahawa dirinya jauh lebih mulia dari Adam yang dicipta dari tanah.

Sebelum ini saya hanya sekadar menjadi pemerhati kepada hujah-hujah pembaca di dalam mana-mana page yang ada baik vaksinasi atau bukan vaksinasi.

Saya tidak berminat untuk berbahas dalam ruangan komen tersebut atas alasan ia menyalahi disiplin dalam menuntut ilmu secara perbincangan ilmiah. Dan ia juga menjadi punca kenapa saya benci apabila seseorang tag nama saya untuk memberi respons kepada komen yang ditulis oleh seseorang. Kerana ia tidak mengikut disiplin ilmu yang betul.

Malah, saya juga selalu menolak dan memberi peringatan kepada rakan-rakan yang bukan ahli dalam bidang perubatan untuk tidak cuba mendapatkan sesi konsultasi atau khidmat nasihat perubatan dengan saya melalui media sosial atau aplikasi chatting. Bahkan saya menggalakkan mereka bertemu General Practitioner andai mempunyai simptom minima dan ke Jabatan Kecemasan sekiranya mengalami sakit teruk. 

Ini kerana pesakit dan doktor bercakap dalam bahasa yang berbeza apabila berada di dua kawasan atau medium komunikasi yang berbeza. Saya tidak mengatakan ia mustahil dan boleh berlaku sekiranya pesakit itu seorang yang benar-benar terpelajar dalam kaedah menjelaskan simptom yang dialami. Akan tetapi yang terbaik adalah apabila doktor itu duduk bersama pesakit untuk mengambil riwayat kesakitan, membuat pemeriksaan fizikal dan makmal dan seterusnya membuat diagnosis. Ini kami panggil sebagai bedside manner.

Untuk makluman kekasihku Ayu Raudhah,

Adapun demikian, kami para doktor juga sering menggunakan kaedah forum atau aplikasi chatting untuk membincangkan tentang sesuatu kes dan diagnosis tetapi ia dilaksanakan mengikut disiplin ilmu yang tinggi. Paling penting, ia tidak melibatkan pihak yan tidak berkenaan seperti orang awam. 

Andai perlu, perbincangan tersebut akan turut disertai oleh mereka yang ahli dalam bidang farmasi, teknologi makmal, radiologi dan sebagainya. 

Dan seperti mana ketetapan disiplin ilmu yang sudah dipersetujui, masing-masing hanya akan bercakap mengenai bidang masing-masing. Namun, pada masa yang sama mereka juga boleh membuat pertanyaan atau memberi idea kepada doktor kerana mereka mungkin membuat pembacaan lebih atau mempunyai pengalaman dalam merawat kes yang serupa bersama-sama dengan doktor yang lain.

Berbalik kepada perbincangan tentang sesuatu isu dalam media sosial, saya berpandangan bahawa, seandainya kita ingin jadikan sesuatu page itu ilmiah dan berbahas tentang sesuatu yang ilmiah maka ia harus mengikuti beberapa kriteria penting. 

Kriteria tersebut termasuklah mempunyai moderator, ahli berdisiplin dalam mengeluarkan hujah yang shahih, dijauhi dari unsur emosi, dan mempunyai tenaga pakar dalam bidang yang diperlukan untuk menentukan hukum dan memberikan penerangan hujjah yang tepat.

Sampai disini dahulu surat saya buat masa ini kerana ingin melaksanakan sedikit hajat yang tertunda. Walaubagaimanapun saya berjanji untuk membahaskan secara terperinci kriteria berhubung menangani dialog atau debat di media sosial pada lembaran utusan akan datang. Ini kerana, saya merasakan bahawa kaedah perbincangan melalui media sosial akan dapat mendekatkan lagi orang awam dengan mereka yang ahli dalam bidang perubatan. Ini sekaligus dapat memberikan pencerahan berhubung sesetengah isu yang diingini.

Sehingga berjumpa lagi. Doa saya sentiasa mengiringi setiap langkah kehidupan Ayu Raudhah yang disayangi. Tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengharapkan Ayu sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh Allah, dikurniakan rahmat dan nikmat yang melimpah ruah dan paling penting sekali adalah dibukakan pintu hati dan akal untuk menerima kebenaran.

Relaku Pujuk,
Dr Jacknaim