Ke hadapan buah hatiku Ayu Raudhah yang
dirindui,
Terima kasih kerana tidak mengabaikan saya di
sebalik kesibukan tugas dan aktiviti harian Ayu. Benarlah kata pujangga dulu
iaitu “Sekiranya kamu cintakan seseorang,
nescaya kamu akan mencuri sedikit masa untuk diluang bersama orang tercinta
biar sesibuk mana pun kamu.”
Semoga mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah
dalam menjalani hari hari terakhir Ramadhan ini. Semoga Ramadhan ini bukan yang
terakhir untuk kita.
Cita-cita saya adalah untuk beraya bersama-sama
Ayu. Saya nak datang jumpa bakal mertua saya ni. Mesti lagi sweet kan bila kita
menyambung kisah cinta kita selepas bernikah?
Adapun demikian, elok lah kiranya saya menunaikan
janji yang dilakar pada warkah yang lepas.
Ia tidak lain tidak bukan berkenaan dengan kewujudan page facebook yang membahaskan seribu macam
isu dengan melangkaui sempadan disiplin ilmu yang ditetapkan. Hal tersebut
sudah saya jelaskan dalam surat sebelum ini.
Oleh itu, saya sendiri tidak suka akan perbicangan
melalui page facebook yang tumbuh bagaikan
cendawan selepas hujan. Walaubagaimanapun saya tidak menafikan bahawa ia medium
terbaik hari ini untuk mendekatkan pelbagai professional dengan orang awam
dalam menjelaskan isu semasa.
Selain dari niat itu, Ia hanya akan kekal sebagai
sembang kosong ataupun lepak kedai kopi versi moden. Minum sendiri sendiri di
hadapan alat komunikasi elektronik.
Untuk mereka yang ingin menjadikan medium ini sebagai ruang diskusi ilmiah maka saya akan menghuraikan keempat empat faktor yang saya nyatakan sebelum ini.
Saya berharap Ayu bersetuju sekiranya saya
menggunakan isu semasa yang sedang hangat pada waktu kini sebagai contoh kepada
huraian saya. Menggunakan contoh page Masyarakat Perlu Tahu dalam artikel ini
juga adalah satu kemestian memandangkan ia cukup dekat dengan hati saya.
Mengapa saya berkata sedemikian?
Trend artikel dengan hashtag #MasyarakatPerluTahu dimulakan oleh seorang doktor perubatan Malaysia yang
memulakan siri kempen kesihatan di Facebook. Maaf saya terlupa nama beliau dan
saya juga bukan dalam friendlist beliau atau sebaliknya. Ia kemudiannya menjadi
satu trend di facebook dan menjadi satu kemestian untuk Team doktor tersebut
menggunakan identiti itu dalam siri kempen mereka.
Walaubagaimanapun terdapat individu tidak
bertanggungjawab telah merampas takhta dan menubuhkan satu group yang diberi
nama Masyarakat Perlu Tahu. Antara admin page ini adalah saudara Abu Hannah
yang bertanggungjawab mempromosikan kaedah rawatan semulajadi untuk pelbagai
benda.
Secara prinsipnya, saya tidak mempunyai
sebarang masalah dengan saudara Abu Hannah dalam usaha beliau menjalankan
kesedaran kepada masyarakat untuk isu seperti Penyusuan Susu Ibu yang lengkap
kepada bayi. Saya juga tidak ada sebarang masalah dengan tindakan Abu Hannah
mempromosi gaya makanan sunnah kerana bagi saya ia selari dengan apa yang
dipraktikkan oleh doktor perubatan moden. Sebagai doktor perubatan, saya akui
bahawa kaedah nutrisi cara Nabi Muhammad, Al Quran dan Sunnah adalah modul
nutrisi terbaik yang pernah saya jumpa.
Bahkan, konsep ambiguiti ini juga terjadi
pada saya sendiri apabila menyertai keluarga penulisan DuBook Press Sdn Bhd
untuk menyambung siri asal buku Diagnosis yang diterbitkan mereka.
Walaubagaimanapun, team diagnosis yang original menerbitkan siri buku diagnosis
seterusnya di bawah label syarikat mereka. Dan saya pula menjadi penulis untuk
siri DIAgnosis di bawah syarikat penerbitan asal team DIAgnosis original. Oleh
itu, wujudlah dua siri buku DIAgnosis yang berbeza di pasaran buku Malaysia
tetapi membawa tema yang hampir sama.
Adapun demikian, berbalik kepada isu awal.
Walaupun saya bersetuju secara prinsip, akan tetapi banyak yang perlu
diperhalusi tentang kewujudan page Masyarakat
Kena Tahu memandangkan ia berbentuk Rampasan
Kuasa yang menyampaikan maklumat yang tersangat kontra berbanding tujuan
awal ia diwujudkan. Apatah lagi ia mula menyampaikan idea dan ajaran salah
termasuklah kaedah home delivery yang TIDAK
SELAMAT, pemberian ubat alternatif berbahaya berbentuk dadah iaitu Cannabis
Oil yang dihasilkan dari ganja, dan gerakan Anti Vaksinasi terancang maka saya
perlu memperbetulkan salah faham masyarakat dalam isu-isu ini.
Saya menadah tangan memohon doa dari Rabb
yang Maha Mendengar akan pintu hati Ayu akan dibuka untuk bersetuju dengan
pendapat saya ini. Bahawa kaedah rawatan yang dinisbahkan sebagai mengikut Nabi
tetapi tanpa didasari bukti shahih itu harus diperangi. Bahawa penipuan
menggunakan nama Nabi harus dibanteras atas dasar kasih sayang kita terhadap
sesama Muslim. Kerana kita tidak mahu saudara kita mempersiapkan tempat duduk
mereka dari neraka sepertimana amaran yang pernah diberitakan oleh Kekasih
Allah yang kita semua sayangi.
Saya juga berdoa agar Ayu sebagai seorang
doktor tidak akan sesekali bersetuju dengan rawatan berbahaya yang dilakukan
tanpa pengawasan dan eksploitasi ke atas anak-anak kecil seperti penggunaan
madu untuk bayi dan cannabis oil atau ganja secara tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, saya hanya membaca sepintas lalu
pandangan atau komentar pengguna tanpa secara langsung menyertai perbahasan di
page ini. Namun, saya mendapati bahawa saya kemudiannya sudah tidak dapat
membaca lagi semua pos di dalam page ini.
Ia lantas merisaukan saya.
Ini kerana teknik diskusi yang ada dalam
group tersebut tidak mengikut disiplin ilmu yang betul. Adalah penting untuk
menggunakan disiplin ilmu yang betul dalam perjalanan untuk mencari kebenaran.
Saya berharap akan ada sesiapa yang membaca bab ini akan menyampaikan teguran
penambah baikan ini kepada moderator page tersebut. Berikut adalah saranan
saya.
YANG
PERTAMA harus ada moderator yang mampu
mengawal emosi para peserta yang mengambil bahagian dalam diskusi. Moderator
ini haruslah yang paling berilmu dalam kalangan peserta yang berbahas. Dan
moderator ini juga haruslah dihormati, jujur dan berintegriti. Dalam page Masyarakat Kena Tahu sebagai
contohnya, pengendali page itu sendiri di lihat tidak mempunyai integriti.
Salah seorang moderator page tersebut menggunakan
nama samaran Abu Hannah. Paling kritikal apabila beliau membuat pengakuan
terbuka di halaman facebook beliau sendiri (rujuk
bab 3: belajar dari anak kita) bahawa profil yang menggunakan Nama Samaran
itu sebenarnya dikendalikan oleh beberapa orang yang tidak dikenali hujung
pangkalnya. Tiada siapa tahu kelayakan akademik untuk dia berbicara dalam
sesuatu isu. Dan paling penting, tiada siapa tahu akan integriti beliau.
Kredibiliti seseorang adalah penting dalam membuat penghujahan agar tidak ada
penyelewengan fakta dilakukan.
Saranan saya adalah setiap page dikawal oleh
beberapa orang moderator yang menggunakan identiti sebenar dan tidak
menggunakan sharing account profile.
Memandangkan perdebatan dalam alam maya akan mengambil masa secara berterusan
tanpa henti, maka adalah lebih baik untuk menyediakan jadual bertugas untuk
moderator.
Ada yang berkata bahawa penyediaan page ini adalah
untuk suka-suka atau dimulakan oleh seseorang individu maka tidak perlu untuk
pergi ke tahap itu. Bagi saya, lihat kembali fungsi page anda disediakan. Kalau
sekadar fan page untuk menghebohkan aktiviti dan perkembangan semasa anda, maka tidak perlu untuk melantik moderator.
Tengok keperluan.
Akan tetapi saya berpandangan adalah
menjadi kewajiban untuk page yang bertujuan memberi pendidikan kepada
masyarakat dan diskusi isu semasa seperti Masyarakat
Kena Tahu untuk mempunyai sistem moderator ini.
KEDUA, setiap yang berdiskusi harus mengeluarkan fakta fakta yang
benar dan bukan penghujahan fakta yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya.
Dalam Islam, tahap kesahihan sesuatu bahan bukti itu amat dititik beratkan.
Apa yang berlaku pada hari ini, masing-masing
mengeluarkan fakta yang asing pada tahap latihan yang mereka terima asalkan ia
menyokong perbahasan. Secara hakikatnya, apabila bahan perbahasan itu sendiri
sudah tidak shahih maka keseluruhan perbicaraan itu akan tertolak secara
sendirinya.
Sebagai contohnya, seseorang yang bukan ahli dalam
bidang perubatan mengeluarkan artikel perubatan yang diambil tanpa melalui siri
tapisan yang ketat, maka ia akan menimbulkan huru hara.
Walaupun berat untuk kita akui, memang ada doktor
perubatan sendiri yang tidak jujur dengan ilmu yang mereka ada. Kenapa? Sebab
ego dan merasa diri adalah yang terbaik. Kerana itu saya tidak pernah hairan
dengan status beberapa orang pakar perubatan antarabangsa yang mengeluarkan
kertas kajian palsu demi untuk mendapat manfaat tertentu.
Kebanyakan mereka ini sudah menjadi pakar perubatan selama
berpuluh tahun. Apabila mereka membuat penghijrahan kepada satu bidang yang
kontra dengan mereka, maka ia akan menimbulkan pelbagai persepsi. Contohnya
apabila doktor tersebut memilih kaedah homeopathy atau Chiropractic setelah
berpuluh tahun melakukan kaedah perubatan moden yang menjadi teras perjuangan
mereka. Orang awam mungkin akan memandang ini sebagai penghijrahan setelah
mengetahui akan sebuah kebenaran. Ataupun yang boleh kita samakan sebagai journey of faith. Ia tambah meyakinkan
apabila para doktor ini mengeluarkan kertas kerja berimpak tinggi dan sensasi.
Ingatlah, pihak yang batil juga boleh mencabar
pihak yang di pihak benar untuk menafikan kebenaran dan membenarkan kepalsuan.
Firaun berkata: Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar.- Surah AsySyu’araa. Ayat 031.
Tapi hakikatnya, apabila diselidiki maka ternyata
mereka mempunyai niat tersendiri. Setiap doktor perubatan yang ‘berpaling’ itu
mempunyai sebab spesifik mereka sendiri. Tapi kebanyakan yang saya temui
menunjukkan pattern bahawa mereka membina
sub kultur kaedah perawatan mereka sendiri. Dalam erti kata lain mengambil
separuh-separuh berdasarkan apa yang mereka sukai. Jika sesuatu itu tidak kena
dengan nafsu mereka maka ia akan ditinggalkan walaupun menjadi teras kepada
sesuatu rawatan penyakit itu.
Vaksin adalah contoh yang terbaik. Maaf jika saya
harus berkata dengan tegas bahawa penggunaan vaksin adalah teras kepada prinsip
perubatan moden. Ahli perubatan boleh tidak bersetuju dengan kaedah rawatan ini
tetapi sebaliknya tidak menimbulkan fitnah kepada masyarakat dengan menimbulkan
kekeliruan.
Antara kekeliruan yang mereka lakukan termasuklah
mengeluarkan kertas kajian palsu seperti yang saya nyatakan dalam bab sebelum
ini. Antaranya adalah dalam menilai kes Wakefield (Vaksin dan autism) dan
Tomljenovic L, Shaw CA (Aluminium dan autism). Penerbitan bahaya sebegini boleh
mengelirukan masyarakat awam yang tidak arif dengan disiplin membuat kritikan pada
satu satu kertas penerbitan akademik. Ini
sudah saya jawab di dalam bab sebelum ini.
Orang awam hanya akan mengambil isi dari sesuatu penerbitan tanpa mereka tahu
bahawa kertas kajian itu shahih ataupun tidak, berkualiti atau tidak, mengikuti
disiplin penyelidikan atau tidak, disokong oleh bukti-bukti klinikal atau
tidak. Dan paling penting adalah samada kaedah yang digunkan untuk menjalankan
kajian itu bertepatan dan bersesuaian atau tidak dengan masalah yang cuba
dibuktikan itu.
Asalkan ia kedengaran betul pada fikiran mereka.
Sedangkan ia harus dibimbing dengan ilmu. Dan ilmu untuk menilai kesahihan dan
kekuatan sesuatu penerbitan artikel kesahihan sedia diterapkan dalam setiap
seorang doktor dan menjadi hak eklusif untuk kami sahaja. Kerana kami
beranggapan bahawa ada sesetengah perbincangan yang tidak perlu diketahui masyarakat.
Ini kerana setiap penerbitan artikel yang melalui
disiplin penerbitan ilmu perubatan yang betul akan diambil kira dalam proses
membuat keputusan untuk menentukan rawatan terhadap pesakit sekalipun ia
memberi keputusan negatif dan kontra berhubung sesuatu rawatan itu.
Lambakan artikel perubatan palsu dan tidak
berkualiti tinggi ini telah ditafsir secara semberono oleh masyarakat awam
tanpa ilmu.
Ini menyebabkan mereka beranggapan bahawa mereka
arif dan faham tentang sesuatu isu itu berbanding ahli dalam bidang perubatan.
Sayangnya, kefahaman ini didirikan di atas kepalsuan sesuatu hujah. Lantas ia
menjadikan kefahaman dan pegangan mereka tertolak secara automaik.
Penerbitan artikel perubatan yang melalui siri
disiplin ilmu yang betul memang ada menunjukkan hasil negatif atau yang boleh
diertikan sebagai the dark side of
vaccine and vaccination. Akan tetapi, hasil negatif ini membolehkan ahli
perubatan sentiasa membuat penambah baikan dalam usaha menyediakan bekalan
vaksin yang selamat, berkesan, mampu milik, dan senang milik dari semasa ke
semasa.
KETIGA, sesuatu perbincangan itu harus dijauhi dari dasar emosi
kerana akan membawa lebih banyak musibah. Ia tidak lebih dari sembang kedai
kopi yang hanya akan membuang masa.
Antaranya adalah dengan bercerita tentang masalah
yang mereka hadapi. Saya tidak pernah menuduh mereka berbohong. Tidak! Bahkan
saya kasihan apabila membaca kesusahan dan penderitaan mereka apabila menerima
komplikasi. Saya akui bahawa pencegahan penyakit menggunakan vaksin mempunyai risiko
tersendiri seperti yang dijelaskan dalam kriteria Adverse Events Following Immunization (AEFI). Akan tetapi, sejauh
mana kita dapat buktikan bahawa masalah yang terjadi itu adalah disebabkan
masalah tersebut.
Dalam kes ini, saya tidak menyalahkan mereka
seratus peratus. Kerana saya sedar bahawa sesetengah dakwaan mereka
seperti ‘doktor sendiri pun tak tahu ini
apa dan tak tahu yang ini adalah kesan sampingan. Mereka hanya ketawa dan
mengatakan bahawa ini adalah normal.’ Adalah berasas. Ya, taraf pengetahuan dan
ilmu seseorang doktor terbatas mengikut kepakaran dan pengalaman mereka.
Sebagai contoh, doktor dalam bidang pembedahan mungkin tidak arif dengan ilmu
berkaitan dengan doktor bahagian kanak-kanak.
Kerana itu profesi kedoktoran mendidik para doktor
untuk merendah diri dan tidak angkuh. Sepatutnya seorang doktor itu melakukan
konsultasi dengan doktor yang lebih senior andai mereka tidak pasti dengan
sesuatu simptom atau kesakitan yang dihidapi pesakit. Sekiranya ini tidak
dilakukan oleh doktor maka pesakit berhak untuk mendapat pandangan kedua,
ketiga dan seterusnya. Sayangnya budaya ini masih belum dapat dilaksanakan
sepenuhnya lagi kerana beberapa isu teknikaliti ini masih dalam proses penambah
baikan.
Antara faktor emosi yang akan meruntuhkan rangka
perbicangan ini adalah apabila ada ahli lain yang menyampuk sebagai tanda
kasihan tetapi secara tidak sedar mencurah petrol ke atas api yang membara.
Sebagai contohnya. “ Ei, teruk la kalau macam tu. Harap awak bersabarlah ya sis. Tak
patut langsung doktor tu cakap macam tu dekat awak. Memang doktor tu sekadar
doktor cikai sahaja. Bodoh tu doktor! Memang terang terang salah doktor tu.
Saman je kak!”
Ketika ini, ahli komentar sudah terpengaruh dengan
emosi dan memberi pendapat berdasarkan tindak balas refleks yang keluar dari
mulut tanpa melalui proses pentakwilan dan pemprosesan maklumat yang betul di
dalam otak.
Seorang lain yang bersimpati pula akan
mengeluarkan komen seperti ‘Bagus awak
cuba guna cannabis oil ja kak. Saya guna untuk anak saya ok sahaja.’ Ini
lagi berbahaya kerana dimasukkan sentimen conflict
of interest dan mengesyorkan kaedah rawatan yang tidak terbukti keselamatan
dan kesahihannya.
Pilihan sentiasa ada di tangan masyarakat. Anda
boleh memilih vaksinasi yang sudah dibuktikan keberkesanannya tetapi mempunyai
risiko kesan sampingan. Atau anda boleh memilih teknik rawatan pseudoscience
yang tidak terbukti keberkesanannya dan tidak diketahui risiko kesan sampingannya.
AEFI ini perlu diketahui bukan sahaja golongan
anti vaksin untuk dijadikan hujah menolak vaksin tetapi golongan pro vaksin
sendiri. Kerana setiap dari kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan
vaksin, diri, masyarakat dan masa hadapan.
Menyedari bahawa vaksin mempunyai risiko, maka ia
akan meletakkan para doktor dalam keadaan berjaga-jaga sewaktu menjalankan
proses perawatan. Perkara ini jarang diketahui oleh orang awam.
Kaedah pemikiran yang digunakan oleh doktor adalah
berbeza berbanding orang awam. Ya, kami ada masanya menggunakan kaedah rawatan
yang berisiko dan berbahaya untuk sesetangah penyakit tapi pada masa yang sama
tahu komplikasi dan cara untuk merawatnya. Jika tidak tahu, kami akan merujuk
kepada doktor lain yang lebih arif. Kami perlu belajar untuk tahu akan limitasi
kami.
Sebagai contohnya adalah penggunaan ubat streptokinase untuk menghancurkan darah
beku dalam saluran koronari arteri yang tersumbat dan membawa kepada serangan
jantung. Pemberian ubat streptokinase sudah dibuktikan secara klinikal berkesan
untuk menghancurkan plak yang tersumbat itu. Tetapi pemberian ubat ini adalah
berisiko tinggi dan memerlukan pengawasan rapi seorang doktor sewaktu melakukan
rawatan ini.
Tidak mustahil seorang doktor akan berada disisi
pesakit sepanjang masa rawatan berlaku. Pemberian ubat streptokinase boleh menyebabkan risiko alahan dan anafilaksis yang
teruk, menyebabkan pendarahan dalam otak, menyebabkan tekanan darah menurun,
mempunyai risiko menyebabkan gangguan
ritma jantung dan membawa kepada kegagalan jantung.
Dan terakhir sekali, walaupun terbukti
keberkesanannya tetapi ia juga mempunyai risiko kegagalan rawatan ataupun
kegagalan untuk menghancurkan plak yang tersumbat itu. Pada masa yang sama,
disebabkan keadaan pesakit yang kritikal itu maka tidak mustahil pesakit
meninggal dunia sewaktu rawatan diberikan. Bukan disebabkan oleh streptokinase itu. Tidak! Ia berlaku
serentak.
Hal yang sama diguna pakai bila doktor meggunakan
vaksin sebagai langkah pencegahan penyakit. Tidak kisahlah bagaimana para Anti
Vaksin berhujah dengan mengatakan bahawa vaksin tidak berkesan, hanya untuk
keuntungan semata-mata, menjadi agenda konspirasi menjatuhkan umat islam atau
digunakan untuk membunuh manusia sekalipun.
Sejarah sudah membuktikan bahawa banyak wabak
dapat dihapus atau dibendung dengan penggunaan vaksin. Ya kami sedar ia
mempunyai risiko termasuk kematian. Dan kami juga tahu ia mempunyai risiko
kegagalan dalam mencegah penyakit itu sendiri. Atau ia boleh menyebabkan kesan
sampingan lain seperti secara tidak sengaja berlaku pencemaran kuman yang lain.
Kerana itu diadakan sistem untuk mengawal selia
vaksin itu agar disepanjang proses ini berlaku, suatu hari nanti kita akan
dapat menghasilkan vaksin yang betul betul selamat untuk anak cucu kita di masa
hadapan.
Penghapusan wabak seperti smallpox mempunyai
sejarah hitam yang meragut jutaan nyawa sepanjang usaha membanterasnya
sehinggalah wabak itu tidak lagi menghantui kita pada hari ini. Dan lantas kita
yang berada dalam zon selesa pada hari ini begitu pantas menyalahkan vaksin
atas kemudharatan yang berlaku.
Kita katakan bahawa vaksin small pox juga membunuh
nyawa manusia sewaktu proses eradikasi penyakit itu. Dalam proses melawan
wabak, pasti ada yang mati syahid dan ia diakui sendiri dalam Islam. Adalah
tidak adil untuk menisbahkan kematian dalam perang melawan smallpox adalah
disebabkan oleh vaksin itu sendiri.
Benar, saya tidak nafikan. Ia boleh jadi
disebabkan vaksin itu sendiri seperti isu pencemaran dengan virus monkey pot.
Tetapi kesan akhirnya dapat kita lihat dengan penghapusan wabak ini. Tapi yang
nyata, dalam proses tersebut ada yang terkorban demi untuk kita mencapai tahap
yang ada pada hari ini.
Dari 'Aisyah, isteri Nabi Saw ia menceritakan bahwa ia pernah bertanya kepada Rasulullah Saw tentang wabah kolera. Nabi Saw mengabarkan kepadanya bahwa penyakit itu adalah siksaan yang dijatuhkan Tuhan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Tetapi Tuhan menjadikannya rahmat bagi orang-orang yang beriman. Setiap hamba Tuhan yang menderita wabah itu dan tetap tinggal di negerinya dengan sabar, karena ia mengetahui bahwa yang menimpanya hanyalah apa yang telah ditakdirkan Tuhan saja, maka pahala yang diterimanya sama dengan pahala orang mati syahid."
Apabila orang awam hari ini mengemukakan alasan
bahawa penggunaan vaksin gagal mencegah penyakit kerana ada kalanya tetap ada outbreak measles yang berlaku. Soalan saya cukup senang. Adakah penularan outbreak tersebut berlaku dalam skala
besar dan kerap seperti yang berlaku pada era sebelum vaksin dihasilkan?
Sudah semesti tidak.
Antara teori kenapa outbreak berlaku termasuklah
terdapat individu yang tidak diberi vaksinasi masuk ke dalam populasi yang
diberi vaksin. Kes ini dibuktikan berlaku di Amerika Syarikat. Amerika syarikat
telah mengisytiharkan bahawa endemik measles telah dihapuskan dari Amerika
Syarikat pada tahun 2000[i]
Ini bukan bermakna bahawa sudah tidak ada measles di seluruh dunia. Tidak!
Tetapi herd immunity berjaya mengawal penularan wabak ini. Akan tetapi apa yang
berlaku adalah kes di mana warga Amerika syarikat yang tidak diberi suntikan
vaksinasi telah ke negara yang masih terdapat endemik measles dan membawa
pulang penyakit tersebut. Ia dapat dilihat berdasarkan penularan wabak measles
di daerah Indiana[ii],
San Diego[iii]
dan Hennepin country.[iv]
Terima kasih kepada vaksinasi apabila penularan
wabak tersebut hanya berlaku dalam kawasan kecil sahaja seperti sekolah atau
daerah dan jarang mengakibatkan wabak yang melintasi sempadan beberapa daerah
di Amerika Syarikat.
Teori penularan wabak penyakit yang dikutip dari
daerah tertentu sepatutnya tidak asing dalam kalangan kita terutamanya golongan
agamawan yang turut sama menjadi Pro Choice atau Anti Vaksinasi. Bahkan ia
sudah dikemukakan oleh Nabi Muhammad beribu tahun dahulu melalui konsep
kuarantin. Akan tetapi, dengan pembangunan pesat sistem perhubungan pada hari
ini, adalah mustahil untuk melakukan proses kuarantin secara efektif. Bagi
saya, ia hanya akan dapat dilaksanakan apabila lebih dari 70% hingga 95%
populasi dunia diberi suntikan vaksinasi bergantung kepada penyakit
tertentu. Adapun begitu, hadis
Rasulullah berkenaan peranan kuarantin dalam menangani wabak adalah seperti
berikut.
DARI ABDULLAH BIN 'AMIR R.A., Umar melakukan perjalanan ke Syam. Setelah ia sampai di Sargh, datang berita bahwa di Syam sedang berjangkit penyakit menular. Lalu 'Abdurrahman bin 'Auf menceritakan kepadanya bahwa Rasulullah Saw berkata: "Kalau kamu mendengar penyakit menular berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu pergi ke sana. Tetapi kalau penyakit itu berjangkit di negeri di mana kamu berada, janganlah kamu ke luar padanya melarikan diri.
Akan tetapi, lihat sahaja realiti hari ini. Adakah
teknik kuarantin akan benar-benar berhasil? Lama kelamaan, proses transmisi
penyakit pasti tetap boleh berlaku. Lantas ia menjawab persoalan para anti
vaksin tentang dakwaan kegagalan vaksin dalam membendung penularan penyakit.
Dan risiko ini akan semakin membesar dan memusnahkan keberkesanan vaksin dari
semasa ke semasa.
Adakah kemuncuan semula penyakit ini menunjukkan
kegagalan penyakit? Jawapannya sudah tentu tidak. Akan tetapi asas sains
terutamanya konsep herd immunity masih tetap releven. Ini kerana kemunculan
penyakit tersebut dalam skala yang tersangat kecil berjaya dibendung oleh kesan
heard immunity ini. Namun tidak mustahil sekiranya seorang pesakit diphteria
melancong ke sebuah daerah di mana 100 peratus penduduknya tidak diberi
suntikan vaksinasi akan menyebabkan berlakunya wabak.
Lantas ia membawa kepada persoalan tentang My Right not to Vaccinate my Child!
Tajuk ini akan saya huraikan dalam bab seterusnya. Secara ringkasnya, ya! Anda
berhak untuk tidak memberi suntikan vaksin terhadap anak anda di bawah satu
keadaan tertentu yang dipanggil pengecualian untuk tidak diberi suntikan
vaksin.
Saya tahu Ayu teruja untuk mengetahui nya. Jangan
risau, saat itu akan tiba juga tetapi bukan sekarang. Tidakkah Ayu mahu
hubungan kita ini berpanjangan dan terus menerus berlaku komunikasi antara
kita?
Masa semakin mencemburui saya sewaktu jari jemari
terus menari di atas papan kekunci laptop ini. Walaupun demikian, suasana masih
muram kerana Sang Mentari masih segan untuk memancarkan sinarnya. Redup cuaca
ini bagaimanapun sedikit menyejukkan jiwa saya yang adakalanya membara dengan
penipuan dan pemalsuan hujjah oleh golongan berkepentingan yang tidak
bertanggung jawab.
Saya harap Ayu tidak akan berbuat demikian biarpun
surat balas Ayu sebelum ini mengandungi unsur copy-paste secara tidak bertanggungjawab.
Baiklah Ayu, ada baiknya saya menulis hujjah
terakhir agar saya berkesempatan untuk nap
sebentar sementara menanti waktu zohor bertandang. Semoga nap sementara itu dapat memberi tenaga berpanjangan kepada saya
untuk menghidupkan malam malam terakhir Ramadhan ini.
CIRI TERAKHIR
yang patut ada pada sebuah medium perbincangan media sosial adalah mempunyai
tenaga pakar dalam bidang yang diperlukan untuk menentukan hukum dan memberikan
penerangan hujjah yang tepat. Namun demikian, adalah perlu untuk meletakkan
orang paling berilmu dalam satu satu bidang serta mempunyai kuasa autoriti
untuk membuat keputusan. Jika tidak ada, sekurang kurangnya perlu ada ahli
dalam bidang tersebut yang boleh memberi jawapan paling minimun dan selamat
kepada masyarakat. Sekiranya perlu, persoalan yang tidak terjawab akan dirujuk
kepada pihak tertinggi yang memiliki lebih autoriti.
Apa
yang berlaku pada page Masyarakat Perlu Tahu sekarang adalah tindakan untuk
menghalang pihak professional perubatan untuk memberi pendapat serta
memperbetulkan salah faham masyarakat dalam page tersebut. Diharapkan agar
sikap defensif itu dapat diperbaiki dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Semoga
ia akan dapat membenihkan tunas perbahasan yang sihat di masa hadapan demi
untuk mencari sebuah kebenaran dan bukan sekadar populariti yang membawa
kematian jiwa dan akal sekalipun masih membawa tubuh yang belum membusuk.
Berharap Sahabat Ayu Raudhah
Berlapang Dada,
Dr. Jacknaim
[i]
Centers for Disease Control and Prevention. Measles, mumps, and rubella-
vaccine use and strategies for elimination of measles, rubella, and congenital
rubella syndrome and control of mumps: recommendations of the Advisory
Committee on Immunization Practices (ACIP). MMWR 1998; 47(RR-8):1-57.
[ii]
Centers for Disease Control and Prevention. Notes from the field: measles
outbreak-Indiana, June-July 2011. MMWR 2011; 60:1169.
[iii]
Centers for Disease Control and Prevention. Outbreak of measles-San Diego,
California, January-February 2008. MMWR 2008; 57:203-6.
[iv]
Centers for Disease Control and Prevention. Notes from the field: measles
outbreak-Hennepin County, Minnesota, February-March 2011. MMWR 2011; 60:421.