9. JACKNAIM, AYU RAUDHAH DAN SINAR HARIAN



Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan dikasihi Allah,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah di atas perubahan yang terjadi pada diri Ayu Raudhah. Mungkin, ini lah keberkatan 10 malam terakhir Ramadhan. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada siri perubahan yang lebih baik di masa akan datang.

Kata-kata Ayu pada status Facebook terbaru berikutan penerbitan satu penyataan saya terhadap kebejatan akhbar Sinar Harian dalam menerbitkan artikel palsu berhubung vaksinasi amat saya hargai. Keberanian sebegini sangat saya sanjung dan doa saya sebelum ini yang menginginkan Ayu menjadi seperti Nusayba Binti Ka’ab Al Ansariyah akan dimakbulkan oleh Allah. Moga Ayu akan menjadi Difaaun Nabiy kepada sebuah kebenaran.

Ya, kebenaran tentang vaksinasi akan dibuktikan dalam sedikit masa lagi. InsyaALLAH. Sekiranya kita berpegang kepada keinginan untuk mencari kebenaran, maka pasti Allah akan mudahkan jalan itu untuk kita.



Berita hanyalah wadah membentuk public opinion. Taraf nya spekulatif dah tidak diiktiraf pun sebagai sumber autentik dlm penyelidikan.
Oleh disebabkan Pro Vak mengangkat sumber spekulatif, maka jangan pula disalahkan Pro choice mengangkat sumber yg sama. Mengkritik sumber Pro Choice adalah sama kalian mengkritik diri kalian sendiri.
Provax juga kadang lebih sudu dari kuah. Spin kenyataan Dr Maza kata "tidak vaksin, berdosa".

Padahal Dr Maza sebut sekiranya ibu bapa menolak vaksin, kemudian tidak ada usaha langkah pencegahan dijalankan, maka ibu bapa berdosa kerana mendedahkan anak kepada bahaya.
Spin lawan spin
Hujah lawan hujah
Baru adil!- Ayu Raudhah[i]



Betul, akhirnya Ayu mengakui akan kepelbagaian sumber media pada hari ini pasti mempunyai unsur spekulatif dan tidak dapat diiktiraf sebagai sumber autentik dalam penyelidikan. 

Menyedari akan hal itu, maka saya menganjurkan kepada Ayu supaya kita harus membuat satu kriteria yang ketat dalam memilih sumber yang harus digunakan dalam penghujahan kita.

Ini termasuklah artikel dan jurnal perubatan yang menaikkan sentimen slogan anti vaksinasi seluruh dunia. Beberapa artikel tersebut telah saya dedahkan dalam siri surat sebelum ini. Lebih banyak kritikan terhadap lambakan artikel sampah itu akan menyusul selepas ini secara beransur-ansur. 

Dan dengan ini, saya juga berdoa agar semua golongan anti vaksin dan Pro choice akan berhenti menyebarkan segala berita fitnah dan mengelirukan ini. Ayu juga tidak harus terkecuali dari desakan ini.

Apa-apa pun, saya terbitkan kembali gesaan saya terhadap Sinar Harian disini agar dapat dilihat dan dinilai oleh pembaca lain. 

Semoga Kebenaran berpihak pada yang hak,
Dr, Jacknaim.


****** 
 

Vaksin: Sinar Harian Harus Ada Telur Untuk Menerbitkan Berita Yang Shahih[ii]
Muhamad Na'im Ab Razak·Tuesday, June 28, 2016

 
Keratan akhbar Sinar Harian


Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia wajar mengambil perhatian tentang kebejatan media kita pada hari ini. Saya begitu kecewa sekali dengan perbuatan tidak bertanggungjawab media terutamanya akhbar Sinar Harian yang banyak menyebarkan berita tidak benar berhubung isu perubatan moden terutamanya isu vaksin.

Media sengaja mensensasikan berita tersebut dengan isu Adverse Events Following Immunization (AEFI) vaksin yang sedang hangat diperkatakan pada masa kini. AEFI adalah salah satu keadaan yang sudah sedia dimaklumi oleh majoriti ahli perubatan dan Badan Kesihatan Sedunia juga telah sekian lama menyediakan panduan tersebut untuk makluman para doktor di seluruh dunia.

Panduan tersebut diterjemahkan kepada Kesan Adverse Berikutan Pelalian dalam panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya lebih suka AEFI ini diterjemahkan kepada Kejadian Tindakbalas Sampingan Berikutan Imunisasi.  Ini Kerana, tidak semua kesan sampingan itu berlaku disebabkan oleh vaksin itu sendiri.

An Adverse event following immunization (AEFI) is any un toward medical occurrence which follows immunization and which does not necessarily have a causal relationship with the usage of the vaccine. The adverse event may be any unfavourable or unintended sign, abnormal laboratory finding, symptom or disease.

Berdasarkan keadaan ini, segala reaksi dan tindak balas yang terjadi termasuklah rasa tidak selesa dalam rangkuman masa tertentu dikira sebagai AEFI. Ini termasuklah seseorang itu mendapat kecederaan otak kerana terjatuh dan kepalanya terhantuk kepada meja akibat rasa pening setelah diberi vaksin untuk HPV.

Atau meninggal dunia disebabkan serangan jantung kerana pesakit terkejut sewaktu menerima suntikan vaksin juga dikira sebagai AEFI.

Dalam erti kata lain, apabila menerima laporan tentang AEFI, maka kita harus berfikir secara analitikal dan kritikal. Adakah kesan sampingan itu berlaku secara langsung disebabkan oleh vaksin itu sendiri atau dipengaruhi oleh benda lain.  

Sebagai contoh, Ayu sedang makan pisang dan tercekik pisang kerana saya tiba-tiba datang melakukan surprise dengan menutup mata ayu dari belakang dan ditakdirkan dia meninggal disebabkan itu maka kematian Ayu adalah disebabkan oleh komplikasi memakan pisang. Selepas kematian Ayu, sekumpulan ahli kumpulan #masyarakatperlutahu mula menjalankan kempen memboikot pisang kerana pisang boleh menyebabkan kesan sampingan iaitu mati mengejut setelah memakannya. 

Kes yang sama dapat dilihat dengan  penyiaran artikel "Tak boleh bergerak selepas terima vaksin”[iii]oleh Wartawan Sinar Harian pada 27 Jun 2016.  Akhbar tersebut dengan jelas sekali memberi maklumat bahawa pesakit sudah mempunyai masalah ketidaknormalan pada otak. 

“Sebelum Nasrin lahir doktor ada maklumkan anak dalam kandungan bermasalah di bahagian kepala, tapi Alhamdulillah dia lahir macam bayi normal. Fizikal dia sempurna,” katanya..............Menurut Nor Wahida, selepas kejadian itu dia hanya mendapatkan rawatan tradisional. 

Artikel ini dengan jelas menunjukkan bahawa wartawan mengambil cerita secara berat sebelah dan tidak memuatkan pandangan doktor perubatan berhubung keadaan kesihatan pesakit. Cerebral Palsy berlaku akibat kecederaan otak yang boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan samada sewaktu dalam kandungan, kelahiran dan sejurus selepas kelahiran. Majoriti adalah disebabkan sewaktu dalam kandungan. Diagnosis penyakit biasanya dibuat selepas pesakit berumur 2 tahun memandangkan perkembangan otak bayi sudah sempurna pada waktu ini.

Kes “Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan[iv]” yang pernah disiarkan pada 4 Julai 2012, dan artikel berjudul “Bayi derita dakwa klinik cuai beri suntikan”[v] pada 29.8.12 juga telah menggunakan sensasi secara melampau tanpa mengambil pandangan doktor perubatan. Ahli perubatan tidak pernah menafikan risiko AEFI yang mana adalah kecil berbanding manfaat mendapatkan vaksinasi.

Tambah mendukacitakan saya adalah apabila mereka menerbitkan berita berita dari ahli pseudoscience yang banyak menipu masyarakat dengan menggunakan gelaran doktor palsu dan menyebarkan pembohongan secara berterusan dan berpanjangan[vi]. Berita sebegini lah yang akan menambah sakit dalam otak masyarakat kita. Lantas ia membawa kepada mayarakat yang buta untuk melihat kebenaran dan tuli dalam menerima kritikan yang berlandaskan bukti shahih.

Dalam hujah saya terhadap pengguna facebook Ayu Raudhah yang dipercayai menyamar sebagai doktor dalam facebook (sebelum ini menggunakan identiti sebagai jururawat) baru-baru ini, saya ada mendedahkan point tentang penerbitan artikel jahat oleh doktor palsu, seorang pengamal herba yang berbicara tentang vaksin sebagai penyebab autism. Penyelidik herba yang tidak bertanggungjawab ini telah menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat dengan menggunakan nama Doktor di hadapan pangkal nama untuk menampakkan tulisan ini kelihatan seperti akademik.

Sinar Harian telah memalukan seluruh negara Malaysia apabila menyiarkan artikel tulisan ini dan ia menggambarkan betapa media massa sungguh tidak bertanggungjawab dengan disiplin ilmu dan menambahkan lagi budaya fitnah di akhir zaman ini.

Penulis Ismail Hashim Yahaya yang menulis buku Media = Setan terbitan DuBook Press Sdn Bhd pasti bersetuju dengan pendapat saya ini. Beliau menyifatkan media pada hari ini sebagai manipulasi dan pelacuran berita merebak bebas sehingga manusia semulia mana sekalipun tidak dapat lagi membezakan antara yang hak dan yang batil.

Perkembangan sebegini amat menakutkan dan wajar dibendung dalam kadar yang segera. Kementerian Kesihatan Malaysia pada pendapat saya patut mendapatkan khidmat nasihat peguam untuk menyaman penerbitan berita berbentuk fitnah sebegini. – Dr. Jacknaim


[i] https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=144577472629938&id=100012330575497&pnref=story
[ii] Muhamad Na'im Ab Razak, "Vaksin: Sinar Harian Harus Ada Telur Untuk Menerbitkan Berita Yang Shahih", https://www.facebook.com/notes/muhamad-naim-ab-razak/vaksin-sinar-harian-harus-ada-telur-untuk-menerbitkan-berita-yang-shahih/1421107261248454
[iii] Wartawan Sinar Harian, "Tak Boleh Bergerak Selepas Terima Vaksin", 27 Jun 2016.
http://web.archive.org/web/20160627013616/http://www.sinarharian.com.my/nasional/tak-boleh-bergerak-selepas-terima-vaksin-1.536602
[iv] Wartawan Sinar Harian, "Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan", 4 Julai 2012
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/muhamad-muhaimin-lumpuh-anggota-badan-selepas-terima-suntikan-1.63554
[v] Wartawan Sinar Harian, "Bayi derita dakwa klinik cuai beri suntikan", 29 Ogos 2012
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bayi-derita-dakwa-klinik-cuai-beri-suntikan-1.79944
[vi] Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AHG ), "Berjudul Kajian Vaksin Dan Autisme Disembunyikan? ", 23 April 2004
http://www.sinarharian.com.my/rencana/kajian-vaksin-dan-autisme-disembunyikan-1.273463