Bab 13(b) KEMBANG SEPATU MEKAR BERSAMA KESUNYIAN CUORA AMBOINENSIS JANTAN

https://aspergers101.com/

[Samuel Allen]




Ke hadapan Dr. Jacknaim,

Usah kau merasa pelik akan kehadiran suratku, di mana kau pasti sudah terlena dibuai mimpi. Di tempatku, kegelapan malam gagal diterangi oleh cahaya rembulan biar masing-masing tahu bahawa bulan itu wujud. Apabila si buta di tanya tentang bulan, maka dia bisa sahaja menuturkan kata-kata indah tentang bulatnya bulan dengan cahaya putih susu yang sesekali dirindui oleh Sang Pungguk. 

Tapi Si Buta pasti tidak merasakan apa yang aku rasa di saat ini. Berteman titisan hujan yang sudah sekian lama dirindui tanah gersang, menyaksikan permukaannya  merekah lalu menggeletek Sang Cacing yang sedang berehat sambil menghitung nasib masa depannya. Angin malam membawa sejuk yang dikandung butir-butir jernih dari langit. Sekalipun melintasi debu-debu kotor di angkasa, langsung ia tidak terpalit lumpur dan tidak hilang kedinginannya. 

Bersama kesejukan malam, aku cuba memanaskan tubuhku dengan menerjah memori silam yang semakin lama mula menghilang. Berharap ia akan menjadi sehangat Sungai Ciliwung di saat hujan Februari berarak pergi. Yang pasti titik-titik hujan itu gagal mengembalikan jernihnya aliran sungai yang mula lesu itu kembali ke zaman Gemeente Batavia .

Gadis itu bertandang lagi, dengan cukup berani berdiri di tebing sungai sambil merenung jauh ke dasar air itu dengan pandangan penuh konsentrasi. Langsung tidak mempedulikanku sekalipun beberapa kali aku menegurnya sebelum ini. Seakan dia punya dunia yang berbeza. Ah, bukankah wanita itu sememangnya berbeza dari kita?

Dia cantik, berkulit halus dan jari jemarinya licin seperti belimbing buluh muda. Tudung menutupi rambutnya sekaligus menghalang kenakalanku dari melihat rambutnya. Apakah lurus hitam seperti yang aku sukai, ditambah dengan sedikit kerinting di hujungnya? Hikmah Agama nyata menghalangku!

Mungkin kebetulan atau mungkin kerana kami berjodoh, tapi aku sering menemukan gadis itu disini. Saat tebing-tebing Sungai Ciliwung dipenuhi dengan kuntuman Kembang Sepatu merah yang galak menghiasi rantingnya. Gadis misteri itu akan memetik satu bunga, memerhatinya dengan penuh tanda-tanya, seakan tenggelam dalam mimpinya sedang malam belum menjemput. Lalu dia berjalan menuju ke tebing sungai dan menceraikan kelopak bunga itu satu persatu lalu menghanyutkannya ke dalam sungai itu. Sesekali, dia menggenggam penumbuknya. Genggam, lepas, genggam dan lepas.  Lalu kembali menuju ke hutan Kembang Sepatu merah itu. 


Dipetiknya satu bunga, memerhatinya dengan penuh tanda-tanya, seakan tenggelam dalam mimpinya sedang malam belum menjemput. Lalu dia berjalan menuju ke tebing sungai dan menceraikan kelopak bunga itu satu persatu lalu menghanyutkannya ke dalam sungai itu. Sesekali, dia menggenggam penumbuknya. Genggam, lepas, genggam dan lepas.  Lalu kembali menuju ke hutan Kembang Sepatu merah itu. 



Dipetiknya satu bunga, memerhatinya dengan penuh tanda-tanya, seakan tenggelam dalam mimpinya sedang malam belum menjemput. Lalu dia berjalan menuju ke tebing sungai dan menceraikan kelopak bunga itu satu persatu lalu menghanyutkannya ke dalam sungai itu itu.


Dan sesekali dia menggenggam penumbuknya selepas habis mencerai kelopak bunga itu. Genggam, lepas, genggam dan lepas.  Lalu kembali menuju ke hutan Kembang Sepatu merah itu.


4,5,6,7,8,9,10,11,12,13,14,15,16,17,18,19,20.


Seakan sudah menjadi tabiatku untuk mengira kelakuannya itu.

Semuanya berlaku ketika Kembang Sepatu merah memekar di ranting hutan kecil herba itu yang menghiasi tebing Sungai Ciliwung.

Tidak tersangka, aku berjodoh panjang dengannya. Saat angin Februari sudah jauh kami tinggalkan, takdir menyaksikan kami berada dalam sebuah kereta yang sama. Itu kali pertama kami berbicara dan kali pertama juga dia masuk ke dalam teksi yang sudah terlebih dahulu aku naik. Langsung dia terus berbicara pada pemandu teksi yang sudah mula menjelingnya, membuat aku terasa segan. 

Memahami jerlingan pemandu teksi itu, aku hanya menguntumkan sebuah senyuman seindah Kelopak merah Kembang Sepatu. “Biarkan sahaja Tuan, ternyata destinasi kami sama.”

Dia memandangku, tapi tidak tepat ke mataku. Sedang aku cuba memandang anak mata hitamnya yang comel. Memberi tafsiran padaku bahawa dia menjaga adab pergaulannya dan mengikut suruhan Al Quran. 

Perbualan kami ringkas. Tidak ada kata-kata cinta romantis kerana tidak pernah sebarang ikatan kasih terjalin sehingga ke saat itu. Yang pasti, keintelektualannya jelas kelihatan saat matanya tidak lekang dari membaca buku perubatan di sepanjang 20 minit perjalanan kami.

Hari demi hari berlalu, aku dengan dia tidak lekang dari bersua. Sentiasa bersama tetapi secara kebetulan dan tidak berkaitan. Yang pasti, aku dan dia sama-sama sukakan air. Bagiku, air memberi ketenangan tapi baginya, aku tidak tahu!

Di saat Kembang Sepatu mekar memerah, dia berdiri di tepi tebing Sungai Ciliwung dan mengulangi ritualnya. Dan kami beberapa kali bersama menaiki teksi yang sama tetapi secara kebetulan atau tidak berkaitan. Atau sesekali disebabkan aku kebetulan ingin mendampinginya! Yang pasti, layanannya terhadapku hambar. Dia lebih gemar menggenggam penumbuknya. Genggam, lepas, genggam dan lepas. Lalu membaca buku perubatannya.

Ada ketikanya dia akan berjalan menjauhi beberapa minit dari tempatnya belajar. Beberapa minit menjauhi dari tempatku belajar. Ada waktunya dia gemar ke situ. Bersama buku perubatannya, dia bersila di tepi kolam besar di hadapan kami. 

Dia gemar memerhati Cuora amboinensis jantan yang sedang kesunyian. Langsung tidak menyedari bahawa aku juga sunyi tanpa bicara darinya. Aku bersandar ke batang pokok Beringin sambil membaca buku mengikut ilmu pengajianku. 

Dan dia pula membaca buku perubatannya sambil berhenti beberapa kali. Untuk memerhati Cuora amboinensis jantan yang sedang kesunyian.

Anehnya,  selama beberapa tahun itu kami pasti bersama tetapi secara kebetulan. Aku yang dalam sedarku sedang asyik memerhatikannya. 

Sedang dia dalam dunianya. Membaca buku perubatan, menggenggam penumbuk dan memerhati Cuora amboinensis jantan yang sedang kesunyian.

Sehingga suatu hari dia tiba-tiba datang berbicara padaku. Langsung tidak memandang wajahku dengan tepat, lalu berbicara.


“Habis semua ikan-ikan dalam kolam itu dibunuhnya tanpa sebab lapar maupun dahaga!”


Aku cuba mendalami kata-katanya itu. Berfikir sedalam-dalamnya akan maksud tersirat di sebalik kata-katanya itu. Ternyata aku tidak memahami gaya komunikasinya.

Tidak ada yang menghairankan kita saat melihat Kura Kura Katup Jantan memakan ikan atau siput sekalipun tabiat kura-kura adalah memakan buah. Paling digemari mereka adalah buah tembikai.  Aku juga menggemari tembikai. Yang kuning pasti sahaja lebih aku gemari berbanding yang merah. Tapi, Nabi pasti menggemari tembikai. Tidak yang kuning atau yang merah. Gadis itu pula aku lihat lebih gemar memakan tembikai kuning dan merah. Siapa yang tidak suka makan buah tembikai?

Biarpun kesemua Kura-Kura mempunyai perut dan usus herbivor dan menggemari tembikai, ada yang mengalami adaptasi untuk menjadi omnivor. 


“Aku pernah lihat kura-kura jantan yang kesunyian dalam kolam sekolah bertahun-tahun. Akhirnya, habis semua ikan-ikan dalam kolam itu dibunuhnya tanpa sebab lapar maupun dahaga!”


Aku sudah lupa berapa kali aku menegur bahawa kepercayaannya itu salah. Ia umpama mencurah air ke keladi. Baginya, Kura Kura Katup Jantan kesunyian itu sudah membunuh kesemua ikan-ikan di dalam kolam itu.

Sedang aku yang sedang bersandar di Pohon Beringin itu, sering pula memerhati dia membaca buku perubatan, menggenggam penumbuk dan memerhati Cuora amboinensis jantan yang sedang kesunyian. 

Dan tanpa sedar, dia bingkas bangun dan menangkap anak ikan kecil yang terperangkap di celah batang kangkong dan memberi Kura-Kura Katup Jantan itu makan dan secara tidak sedar memaksa usus belakang kura-kura itu mencerna protein yang disuap dan menambah tumbesarannya.

Sehinggalah selepas bertahun-tahun kami belajar di sana, kura-kura itu sudah lupa mencari pasangannya lalu membina sebuah cinta tulus bersama gadis yang yang jarang sekali aku bersama, biar selalu berkebetulan di tempat sama. 

Sehingga dia tidak lagi menemui ikan-ikan kecil yang tersembunyi di balik akar pokok kangkung itu. Dan kura-kura itu menjadi kesepian kerana kami sudah mula menghabiskan pengajian kami di sana.

Aku meninggalkan daerah itu di saat artikel Andrew J Wakefield ditarik balik dari Jurnal Perubatan The Lancet.Dan gadis misteri itu akhirnya membisik di telingaku beberapa kali sebelum kami berpisah.


Asperger Relapse!  Asperger Relapse! (A.R!)


Sesuatu yang cukup asing buatku pada waktu itu. Kecuali kisah gadis misteri,  Kura Kura Katup Jantan dan Kembang Sapatu bewarna merah.

Sehinggalah General Medical Council mengumumkan bahawa terdapat 18 orang doktor dikenal pasti menghidap Asperger’s Syndrome, 23 hari selepas World Health Organization mengadakan persidangan ke 67 mereka di Geneva dan membuat deklerasi untuk menghentikan pelabelan individu autism sebagai terencat akal dan membela mereka dari dibuli. Hak pendidikan mereka diperjuangkan dan begitu juga kebajikan mereka.

Aku meniti pasca selepas pengenalan kepada DSM V Criteria oleh American Psychiatric Association lalu menyedari betapa dunia sedang meletak label kepada individu yang berlainan dari kita. Saat ini juga aku menyedari bahawa istilah Asperger Relapse itu tidak wujud. Tetapi mereka boleh menjadi terlampau genius sekalipun mempunyai sedikit masalah berkomunikasi dan melakukan hubungan sosial.

Lalu aku mula sedar dan faham mengapa bilangan kanak-kanak yang mengalami masalah terbantut akal, childhood scizophrenia semakin hilang dan graf penyakit autism naik dengan mendadaknya. Sehingga kini 1 dalam 68 kanak-kanak berusia 8 tahun di Amerika Syarikat menghidap Autism.

Meniti pasca DSM V Criteria ini aku mula faham mengapa kajian menolak punca peningkatan Autism disebabkan oleh vaksin, merkuri, alluminium, glyphosate, pencemaran udara, kurang kasih sayang ibu dan gelombang WIFI.

Kerana dulu sebelum era wujudnya ‘kebejatan’ itu, mereka sentiasa wujud dalam kalangan masyarakat kita. Samada sebagai kanak-kanak normal ATAU yang terencat akal, kanak-kanak gila, kanak-kanak terbantut perkembangan otak, kanak-kanak genius dan kanak-kanak dengan kemahiran seni yang tinggi.

Yang mencipta autism adalah dunia perubatan kita sendiri. Bukan kerana tuduhan bahaya itu dan ini. Tetapi apabila kita mula mencipta kelas-kelas tertentu untuk mendefinisikan kanak-kanak yang tidak normal ini. Sedangkan pada hakikatnya, begitu banyak sekali kanak-kanak tidak normal sebelum dunia ini wujud dengan vaksin. Cuma, mereka berterusan dibuli, dinafi hak untuk belajar, ditindas secara berterusan dan paling penting, tiada siapa yang faham atau mendengar rintihan mereka.

Dan dunia hari ini membuktikan bahawa Autism itu bukan jalan membawa ke lembah kematian. Ia adalah satu kelompok kanak-kanak yang normal tubuh badan mereka tetapi berlainan spektrum neuropsikologi mereka. Dari tahap super genius hinggalah ke tahap yang paling rendah akal mereka.

Hakikatnya, segala sentimen yang wujud lalu membawa segala kebencian pada ketamadunan manusia itu membawa kepada kebaikan. Segala tuduhan penyebab, segala kekecohan media, segala perdebatan ahli perubatan akhirnya membawa kepada pembelaan hak kanak-kanak istimewa yang tertindas ini.

Mereka mendapat pengiktirafan melalui sistem pengkelasan penyakit yang dibina dengan sejarah panjang bermula dari teori Eugen Bleuner pada tahun 1908 sehinggalah hak mereka diiktiraf di WHO pada tahun 2004.

Semoga Saudara Jacknaim dapat sampaikan kepada dunia akan kisah Bersama Mimpi Autism ini kepada Dunia.


Yang memanggilmu dari jauh,
Arru'ya bil Haq