15.4 SAMPAI BILA NAK GUNA BENDA HARAM?




Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan dikasihi Allah,



Ayu Raudhah shared Anti-Pseudoscience Watch's video.
July 19 at 3:21pm ·
Ayu tidak percaya Allah Swt memberikan penawar penyakit manusia dari bahan/perbuatan yang diharamkan-Nya

Asas akidah muslimin..



Saya cuba untuk tidak berbahas isu berkaitan agama kerana saya bukanlah mereka dari kalangan ahli. Saya juga tidak layak untuk mengeluarkan hukum kerana saya bukan seorang yang siqah mengikut disiplin keilmuan islam. 

Akan tetapi, saya tidak pernah percaya bahawa Allah sanggup membiarkan hambanya mati secara sia-sia dengan cara meletak undang-undang karut marut.

Apabila terdapat keraguan terhadap satu-satu perkara yang menyalahi prinsip asas kehidupan beragama maka saya akan cuba mencari kebenaran di sebalik isu itu. Ternyata Islam memberikan solusi yang cukup istimewa sekali lantas menjadikan ia sebagai satu agama yang sejagat.

Apa guna mempunyai agama sekiranya satu-satu agama itu gagal menyediakan solusi untuk satu-satu masalah kehidupan.

Asas akidah umat Islam bukan berkisar kepada memilih untuk berubat menggunakan benda haram atau madu. Asas akidah umat Islam adalah berasaskan Tauhid. Ia dijelaskan dengan penuh mendalam dalam surah Al Ikhlas.

Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatupun yang setara dengan Dia

Dalam hal perubatan, ia boleh menjadi isu akidah dan ia juga boleh menjadi isu muammalat. 

Kesalahan yang menyalahi dasar akidah bukan dari aspek berubat dengan menggunakan benda haram tetapi apabila meletakkan diri dalam keadaan mempercayai bahawa sesuatu bahan itu dapat menggantikan Allah dalam memberi kesembuhan. 

Berubat dengan benda halal juga boleh menyalahi akidah andai meletak kepercayaan total terhadap sesuatu benda itu sebagai kuasa penyembuh.

Hal yang sama terpakai dengan mentakwilkan kuasa penyembuh kepada makhluk seperti Si Fulan bin Fulan telah menyembuhkan aku. Yang menyembuh hanya Allah sedangkan manusia hanya mampu berusaha.

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku.” [QS Asy Syu’ara: 80]

Mentakwil satu kuasa mampu memberi kesembuhan kepada kita adalah satu penyakit yang lebih serius dari penyakit yang dihadapi seseorang muslim.

Syaikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin rahimahullah pernah berbicara dengan ahli perubatan dan melontarkan kata-kata bernas beliau, “Wahai saudara-saudaraku, penyakit itu ada dua, yaitu penyakit hati, inilah penyakit maknawi  dan yang kedua adalah penyakit jisim, inilah penyakit hissi. Jenis pertama harus lebih utama diperhatikan dan ditangani karena ia mengakibatkan kebinasaan abadi.”

Penggunan perubatan moden untuk merawat penyakit atau vaksin bagi mencegah penyakit adalah selari dengan apa yang Allah ajarkan kepada kita. Ya, kesemua itu bukan penyembuh. Tetapi kita sembuh kerana diizinkan oleh Allah.

“Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu tepat untuk suatu penyakit, penyakit itu akan sembuh dengan seizin Allah ‘Azza wa Jalla.” Dari Jabir bin Abdullah radhiyallahu anhu yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Saya yakin dan percaya bahawa Allah tidak akan mensia-siakan usaha ribuan manusia sejak dari zaman maharaja cina hingga ke hari ini yang berusaha sedaya upaya membuat kajian dalam menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan. Kerana Allah sudah memberi jaminan bahawa mereka yang berusaha pasti diberi kejayaan.

Isu berubat dengan benda haram sudah saya jelaskan dengan panjang lebar dalam dua bab terdahulu.

Dan saya juga hanya ada satu skema jawapan untuk persoalan tentang sampai bila nak guna benda haram dalam berubat?

“Selagi cara itu terbukti berkesan selari dengan kajian sains, dibenarkan secara kesepakatan ulamak, mendasari prinsip Maqasid Al Syariah, tidak berniat untuk mendatangkan kezaliman dan tidak ada alternatif yang dibuktikan keberkesanannya mengikut disiplin ilmu yang shahih dan berautoriti.


Dan kerana itu, walau saya tidak sempurna Islam saya dan masih belum menjadi seorang wali tetapi saya akan tetap berpegang teguh dalam menjalankan tugas saya sebagai seorang doktor Muslim. Dan kerana itu juga, saya adalah penyokong usaha vaksinasi kepada golongan yang memerlukan.