15.3 VAX PUSHER VS. ANTI VAX DAN SIAPA SEBENARNYA PRO CHOICE?



Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan dikasihi Allah,

Kita diperdengarkan dengan pelbagai nyanyian label ke atas satu sama lain. Mereka yang diberi suntikan vaksin dipanggil sebagai vax pusher. Seolah-olah mereka ini adalah drug pusher yang menjual dadah bagi merosakkan anak bangsa.

Yang menolak vaksin pula digelar sebagai anti vax atau anti vaccine. Bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seantero dunia. Soalnya, benarkan anti vax betul betul wujud?

Ada dalam kalangan anti vax memilih definisi baru. Menurut mereka, pro choice adalah pegangan hidup yang didokong. Pro choice = tidak memilih vaksin.

Choice atau pilihan hanya wujud apabila terdapat lebih dari satu kaedah dalam memilih satu-satu solusi terhadap permasalahan yang timbul.

Dalam isu vaksin, menyamakan pro choice sebagai golongan yang anti vaksin adalah satu jenayah akademik dan melakukan penjenamaan yang tidak tepat.

Dalam berhadapan satu-satu situasi, kita memilih jalan yang membawa kedamaian dan bukan kerosakan. Kebolehan intelek tanpa didasari unsur emosi dalam membuat pilihan membolehkan kita memilih solusi yang betul, secara tepat dan tanpa menzalimi mana-mana pihak.

Dalam isu vaksin, penggunaan pro choice bukan eklusif pada golongan yang menolak vaksin semata-mata.

Seorang bayi yang mempunyai masalah immunocompromised tidak boleh diberikan vaksin. Oleh itu, jika anda tidak memberi vaksin kepada bayi ini, anda bukan anti vax. Anda juga bukan pro choice kerana pilihan tidak wujud sejak dari awal lagi.

Apabila seorang bayi menerima komplikasi alergik yang teruk hingga hampir meragut nyawa pada waktu pemberian dos pertama vaksin Hepatitis B, maka tidak timbul isu pro choice atau anti vax apabila memilih untuk tidak memberi suntikan kedua vaksin ini. 

Hal yang sama patut diambil perhatian apabila sesuatu wabak berlaku dengan teruk di satu-satu kawasan dan meragut nyawa ramai kanak-kanak. Maka penggunaan vaksin sebagai langkah pencegahan tidak lagi menjadi satu pilihan tetapi kemestian. Maka sudah tidak ada istilah keperluan membuat keputusan di sini. 

Anak yang diberi suntikan pentaxim pada dos pertama mengalami alahan kecil terhadap vaksin itu. Maka untuk dos seterusnya, terdapat unsur untuk membuat pilihan dengan membuat timbang tara kebaikan dan keburukan memberi suntikan dos vaksin seterusnya. Bagi saya, mana-mana keputusan yang diambil tetap dipanggil sebagai pro choice. Biarpun kelebihan memberi suntikan vaksin melebihi risiko, tetapi keputusan untuk tidak mengambil risiko tetap mempunyai asas yang shahih.

Begitu juga halnya dalam memilih untuk menggunakan vaksin mencegah kuman rota virus atau Meninggococcal meningitis di kawasan rendah risiko wabak atau keupayaan merawat jangkitan kuman yang efisien seperti di Malaysia. Hal yang sama adalah dalam isu mengambil suntikan BCG untuk mencegah tuberkulosis di German. Dalam isu ini, masyarakat mempunyai pilihan untuk membuat keputusan.

Ada yang tetap berpendirian bahawa mereka memilih untuk memberi perlindungan imuniti kepada anak-anak dengan cara menjaga kebersihan, mengawal pemakanan dan pemberian vaksin organik dan halal. Adakah ini dikira sebagai pilihan. Bagi saya, berdasarkan contoh di atas maka ia adalah ya dan tidak.

Ya apabila terdapat risiko untuk memberi vaksin atau penyakit tersebut tidak signifikan di Malaysia. Tetapi apabila ia menjadi wabak dan termasuk dalam kategori yang kita panggil sebagai public health emergency, maka pilihan itu secara hakikinya sudah terhapus. 

Pro choice tidak boleh digunakan secara umum untuk mereka yang memilih untuk tidak memberi suntikan vaksin. Begitu juga istilah anti vax tidak sepatutnya diguna kepada ibu bapa yang tidak memberi suntikan imunisasi pada anak-anak atas alasan perubatan yang kukuh.

Dr. Jacknaim.