15.5 MENDEPANI VARIASI PILIHAN MASYARAKAT BERHUBUNG VAKSINASI



Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan dikasihi Allah,

Di Malaysia, gerakan ini pada asalnya bergerak secara perlahan dan tersembunyi. Hanya apabila media sosial seperti Facebook mula menjadi medium perhubungan popular, maka ideologi ini mula tersebar secara umum. Kaedah lain termasuklah WhatsApp, Line, Telegram dan email berantai.

Ia tidak menimbulkan hairan lantaran kuasa Facebook dan media sosial yang mampu memberi impak berbeza terhadap satu-satu isu. Yang pasti, bukan hanya isu vaksin yang menjadi viral di facebook. Isu kebejatan pemimpin politik hinggalah ke tahap urusan dalam kelambu pasangan suami isteri mula membanjiri medium perantara komunikasi tanpa sempadan ini secara tidak terkawal dan semberono.

Sejauh mana kekuatan kumpulan anti vaksin di negara kita? Buat masa kini ia masih belum mencapai satu titik momentum untuk menjadi satu aliran mainstream. Golongan ini masih kekal minoriti dan masih belum mendapat perhatian meluas dari majoriti masyarakat.

Namun, saya meramalkan bahawa ia akan mengikut pola taburan gerakan menentang anti vaksinasi peringkat global.

Seperti mana isu hak menyusu badan dalam khalayak ramai telah menghimpunkan para ibu untuk berkumpul dan berdemonstrasi, isu vaksin pasti akan membawa golongan menentang vaksin untuk berhimpun di jalan raya atau membawa sepanduk secara terbuka pada masa hadapan.

Di luar negara, gerakan ini sampai ke tahap yang membawa kepada rusuhan dan keganasan. Malah, sentimen yang dimainkan dengan begitu hebat telah membawa kepada pelbagai teori konspirasi termasuklah sensasi melampau tentang kematian atau kehilangan golongan anti vaksinasi.

Rasanya, belum terlambat untuk kita kembali mendidik masyarakat tentang isu ini. Golongan yang patut menjadi sasaran semestinya golongan yang boleh menentukan dasar negara terutamanya ahli politik. Kita harus memastikan ahli politik Malaysia tidak ditipu oleh golongan berkepentingan peribadi dalam menyebarkan ideologi palsu ini. Golongan seterusnya adalah golongan ilmuan pelbagai agama. Dan terakhir sekali adalah golongan professional baik dari sektor perubatan, kehakiman mahupun pendidikan. 

Golongan yang menjadi sasaran primer ini seterusnya diharapkan dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memberi kesedaran terhadap kepentingan vaksin.

Media juga harus bersikap lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan tidak hanya mengejar sensasi bagi melariskan jualan akhbar dan majalah.

Fokus perjuangan kita sepatutnya kembali ke landasan yang betul.  Ia sepatutnya menjurus kepada usaha mengenalpasti masyarakat yang tidak sesuai menerima vaksin dan mencegah atau merawat AEFI.

Sebagai pegawai perubatan, kaedah yang sama seperti membuat diagnosis penyakit mesti digunakan untuk menilai faktor faktor yang membawa kepada ibu bapa membuat keputusan untuk tidak memvaksin anak-anak mereka. Apabila faktor ini sudah dikesan, maka usaha secara sepesifik harus dijalankan bagi merawat masalah ini.


Gambarajah cadangan oleh WHO dalam menjelaskan variasi pilihan masyarakat terhadap pemberian vaksin. Dalam kumpulan ini, golongan ekstrim diwakili oleh golongan yang menolak sebarang pemberian vaksin dan golongan yang mempunyai permintaan melampau untuk diberi suntikan vaksin menentang semua jenis penyakit.


WHO telah mengenalpasti golongan ini sebagai kumpulan masyarakat yang meragui pemberian vaksinasi, vaccine hesistancy group. Ia bersifat secara global dan berbeza di antara satu-satu negara. kumpulan ini dipengaruhi oleh konteks motif, masa, tempat, program vaksinasi dan spesifik kepada sesuatu jenis vaksin. Ia bukanlah satu isu baru, cuma telah dikenalpasti secara mendalam buat masa kini. Ia biasanya timbul apabila melibatkan penggunaan vaksin yang baru diperkenalkan berbanding vaksin yang sudah dibuktikan keberkesanan dan diterima masyarakat sebagai selamat dan tidak berisiko mendatangkan bahaya. Ia juga lebih banyak berlaku apabila timbul kampen pemberian vaksin tertentu berbanding vaksin yang diberi secara rutin.
Antara faktor yang membawa kepada keraguan masyarakat untuk menggunakan vaksin dan dikenal pasti oleh WHO termasuklah.



SECARA KONTEKS
Kesan dari pengaruh sejarah, budaya sosial, persekitaran sistem kesihatan, ekonomi atau faktor politik.
1.    Komunikasi dan media persekitaran
2.    Pengaruh Pemerintah, badan yang mengawal selia program imunisasi, kewujudan pelobi samada pro atau anti vaksinasi.
3.    Pengaruh sejarah
4.    Agama/ budaya / gender / sosio ekonomi
5.    Politik / polisi
6.    Sempadan geografi
7.    Persepsi terhadap industri farmaseutikal



PENGARUH INDIVIDU DAN KUMPULAN
Pengaruh timbul berpunca dari persepsi dan pandangan peribadi terhadap vaksin atau pengaruh sosial/ masyarakat persekitaran
1.    Persendirian, keluarga, ahli komuniti yang mempunyai pengalaman buruk menggunakan vaksin, termasuk rasa sakit sewaktu diberi suntikan vaksin.
2.    Kepercayaan dan sikap berhubung isu kesihatan dan pencegahan penyakit.
3.    Ilmu pengetahuan / kesedaran
4.    Sistem Kesihatan dan kepercayaan terhadap perawat serta pengalaman peribadi.
5.    Risiko/ kebaikan (penerimaan,  heuristik)
6.    Imunisasi sebagai norma sosial samada tidak diperlukan atau berbahaya.



VAKSIN / ISU SPESIFIK VAKSINASI
Berkait rapat dengan vaksin atau pemberian imunisasi
1.    Risiko/ Kebaikan (Kajian epidemiologi dan bukti saintifik)
2.    Pengenalan vaksin baru, formulasi baru atau garispanduan baru terhadap vaksin sedia ada.
3.    Kaedah pemberian vasin
4.    Kerangka sistem pemberian vaksin / Kaedah pemberian (secara rutin atau kampen besar-besaran)
5.    Sumber pemberian vaksin atau peralatan pemberian vaksin yang boleh diharap
6.    Jadual imunisasi
7.    Kos
8.    Kekuatan cadangan pemberian vaksin/ ilmu/ sikap professional perubatan dan kesihatan.

Proses untuk merawat masalah ini harus dilakukan secara berterusan dan dengan cara mengenal pasti punca yang membawa kepada masalah ini timbul dan seterusnya mengambil langkah untuk melakukan pemulihan secara efektif dan berhemah.