16.4 YA, KAMI YAHUDI!




Ya, Kami agen Yahudi hanya mementingkan keuntungan Big Pharma dan bukannya nyawa! Buktinya, bil hospital pesakit mencecah 16k.

Menzalimi diri sendiri tanpa mengambil hak orang lain bukanlah sesuatu yang senang bahkan hampir mustahil berlaku. Majoriti dari kita tidak habis habis berbicara tentang hak diri tanpa cuba memikirkan tanggungjawab yang patut dilaksanakan.

Tanggungjawab terbesar seseorang manusia adalah pada dirinya sendiri. Bukan pada orang lain. Selepas dirinya, maka dia perlu bertanggungjawab pada tanggungannya pula.

Dalam aspek kesihatan, tanggungjawab mereka sebelum sakit adalah mencegah penyakit dan menjalani gaya hidup sihat. Ini termasuklah kesihatan jasmani, rohani dan spiritual.

Apabila sakit, mereka wajib berubat dan berikhtiar tanpa mengabaikan kepercayaan utama bahawa TUHAN YANG MAHA AGUNG lah menjadi penyembuh.

Apabila mempunyai kesakitan, maka kita wajib mengelakkan komplikasi dengan memakan ubat-ubatan, menghentikan perbuatan yang mendatang mudharat dan cuba untuk menyembuhkan penyakit menggunakan kaedah rawatan yang diiktiraf.

Apabila salah satu perkara ini diabaikan, maka kita menzalimi diri dan mengambil hak orang lain. Kita mendapat kesakitan kritikal yang memerlukan kita dimasukkan ke hospital dan diberi rawatan rapi.

Kos rawatan mencecah RM16k tetapi dalam kelalaian, kita tidak sedar itu semua. Kerana kerajaan kita masih mampu menanggung kebodohan kita, maka kita cuma perlu membayar RM500 sahaja. Ini hanya satu contoh dari ribuan kes seluruh Malaysia.

Apabila dibenarkan pulang, kita kembali pada gaya hidup berlandaskan nafsu. Tetap merokok sekalipun hampir semua organ badan dalam kehancuran, tidak ikut nasihat pemakanan, tidak datang temujanji, tidak makan ubat, tidak berpantang minum air dan akhirnya kembali masuk wad akibat komplikasi.

Bayangkan. Duit yang kerajaan bayar untuk merawat penyakit yang disebabkan kezaliman kita itu boleh diguna untuk menambah baik sistem kesihatan kita dan meningkatkan mutu kesihatan masyarakat.

Sampai bila kerajaan kita mampu sediakan semua ni?

Yang pasti tidak selamanya. Dengan ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan kos kehidupan, ia akan ditamatkan pada bila bila masa sahaja.

Paling parah, ada dalam kalangan kita yang bukan sahaja zalim pada diri sendiri tetapi mengikut jejak langkah syaitan. Mereka menghasut masyarakat untuk menolak kaedah pencegahan penyakit yang dihasilkan melalui kesepakatan ulamak dan ahli dalam bidang perubatan. Isu pemberian vaksin adalah satu contoh kontemporari.

Bukan itu sahaja, kita tambah kan lagi beban pada agama. Paling teruk bila mereka guna agama untuk menjana untung dan meraih kekayaan dunia. Kita jaja nama Nabi dan ayat Quran untuk melakukan produk kita. Akibatnya masyarakat kembali dibelenggu kebodohan. Tidak semakin sihat tetapi membawa kebinasaan.

Adakah yang lebih keji dan zalim dari semua itu?

Tuan Puan sekalian. Anda berhak buat apa sahaja yang anda mahu. Tapi, hentikan melakukan kerosakan. Hentikan sentimen dan cukup cukup merosakkan masyarakat. Bila anda sakit, jangan guna subsidi kerajaan untuk rawat akibat kebodohan anda. Bayar bil perubatan secara penuh agar dana kerajaan dapat diguna untuk pesakit lain.

Pesakit yang reti bersyukur, yang sakit akibat ujian dari allah dan yang tak pandai menunggang agama untuk menjahanamkan masyarakat.

Perkarangan Hospital Lahad Datu
18 Julai 2016