Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan
dikasihi Allah,
Di Malaysia, gerakan ini pada asalnya bergerak
secara perlahan dan tersembunyi. Hanya apabila media sosial seperti Facebook
mula menjadi medium perhubungan popular, maka ideologi ini mula tersebar secara
umum. Kaedah lain termasuklah WhatsApp, Line, Telegram dan email berantai.
Ia tidak menimbulkan hairan lantaran kuasa
Facebook dan media sosial yang mampu memberi impak berbeza terhadap satu-satu isu.
Yang pasti, bukan hanya isu vaksin yang menjadi viral di facebook. Isu
kebejatan pemimpin politik hinggalah ke tahap urusan dalam kelambu pasangan
suami isteri mula membanjiri medium perantara komunikasi tanpa sempadan ini
secara tidak terkawal dan semberono.
Sejauh mana kekuatan kumpulan anti vaksin di
negara kita? Buat masa kini ia masih belum mencapai satu titik momentum untuk
menjadi satu aliran mainstream.
Golongan ini masih kekal minoriti dan masih belum mendapat perhatian meluas
dari majoriti masyarakat.
Namun, saya meramalkan bahawa ia akan mengikut
pola taburan gerakan menentang anti vaksinasi peringkat global.
Seperti mana isu hak menyusu badan dalam khalayak
ramai telah menghimpunkan para ibu untuk berkumpul dan berdemonstrasi, isu
vaksin pasti akan membawa golongan menentang vaksin untuk berhimpun di jalan
raya atau membawa sepanduk secara terbuka pada masa hadapan.
Di luar negara, gerakan ini sampai ke tahap yang
membawa kepada rusuhan dan keganasan. Malah, sentimen yang dimainkan dengan begitu
hebat telah membawa kepada pelbagai teori konspirasi termasuklah sensasi
melampau tentang kematian atau kehilangan golongan anti vaksinasi.
Rasanya, belum terlambat untuk kita kembali
mendidik masyarakat tentang isu ini. Golongan yang patut menjadi sasaran
semestinya golongan yang boleh menentukan dasar negara terutamanya ahli
politik. Kita harus memastikan ahli politik Malaysia tidak ditipu oleh golongan
berkepentingan peribadi dalam menyebarkan ideologi palsu ini. Golongan
seterusnya adalah golongan ilmuan pelbagai agama. Dan terakhir sekali adalah
golongan professional baik dari sektor perubatan, kehakiman mahupun pendidikan.
Golongan yang menjadi sasaran primer ini
seterusnya diharapkan dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha
memberi kesedaran terhadap kepentingan vaksin.
Media juga harus bersikap lebih bertanggungjawab
dalam menyebarkan berita dan tidak hanya mengejar sensasi bagi melariskan
jualan akhbar dan majalah.
Fokus perjuangan kita sepatutnya kembali ke
landasan yang betul. Ia sepatutnya
menjurus kepada usaha mengenalpasti masyarakat yang tidak sesuai menerima
vaksin dan mencegah atau merawat AEFI.
Sebagai pegawai perubatan, kaedah yang sama
seperti membuat diagnosis penyakit mesti digunakan untuk menilai faktor faktor
yang membawa kepada ibu bapa membuat keputusan untuk tidak memvaksin anak-anak
mereka. Apabila faktor ini sudah dikesan, maka usaha secara sepesifik harus
dijalankan bagi merawat masalah ini.
WHO telah mengenalpasti golongan ini sebagai
kumpulan masyarakat yang meragui pemberian vaksinasi, vaccine hesistancy group. Ia bersifat secara global dan berbeza di
antara satu-satu negara. kumpulan ini dipengaruhi oleh konteks motif, masa,
tempat, program vaksinasi dan spesifik kepada sesuatu jenis vaksin. Ia bukanlah
satu isu baru, cuma telah dikenalpasti secara mendalam buat masa kini. Ia
biasanya timbul apabila melibatkan penggunaan vaksin yang baru diperkenalkan
berbanding vaksin yang sudah dibuktikan keberkesanan dan diterima masyarakat
sebagai selamat dan tidak berisiko mendatangkan bahaya. Ia juga lebih banyak
berlaku apabila timbul kampen pemberian vaksin tertentu berbanding vaksin yang
diberi secara rutin.
Antara faktor yang membawa kepada keraguan masyarakat
untuk menggunakan vaksin dan dikenal pasti oleh WHO termasuklah.
SECARA KONTEKS
Kesan dari pengaruh sejarah, budaya sosial,
persekitaran sistem kesihatan, ekonomi atau faktor politik. |
1. Komunikasi dan media persekitaran 2. Pengaruh Pemerintah, badan yang mengawal selia program imunisasi, kewujudan pelobi samada pro atau anti vaksinasi. 3. Pengaruh sejarah 4. Agama/ budaya / gender / sosio ekonomi 5. Politik / polisi 6. Sempadan geografi 7. Persepsi terhadap industri farmaseutikal |
PENGARUH INDIVIDU DAN
KUMPULAN
Pengaruh timbul berpunca dari persepsi dan
pandangan peribadi terhadap vaksin atau pengaruh sosial/ masyarakat
persekitaran |
1. Persendirian, keluarga, ahli komuniti yang mempunyai pengalaman buruk menggunakan vaksin, termasuk rasa sakit sewaktu diberi suntikan vaksin. 2. Kepercayaan dan sikap berhubung isu kesihatan dan pencegahan penyakit. 3. Ilmu pengetahuan / kesedaran 4. Sistem Kesihatan dan kepercayaan terhadap perawat serta pengalaman peribadi. 5. Risiko/ kebaikan (penerimaan, heuristik) 6. Imunisasi sebagai norma sosial samada tidak diperlukan atau berbahaya. |
VAKSIN / ISU SPESIFIK
VAKSINASI
Berkait rapat dengan vaksin atau pemberian
imunisasi |
1. Risiko/ Kebaikan (Kajian epidemiologi dan bukti saintifik) 2. Pengenalan vaksin baru, formulasi baru atau garispanduan baru terhadap vaksin sedia ada. 3. Kaedah pemberian vasin 4. Kerangka sistem pemberian vaksin / Kaedah pemberian (secara rutin atau kampen besar-besaran) 5. Sumber pemberian vaksin atau peralatan pemberian vaksin yang boleh diharap 6. Jadual imunisasi 7. Kos 8. Kekuatan cadangan pemberian vaksin/ ilmu/ sikap professional perubatan dan kesihatan. |
Proses untuk merawat masalah ini harus dilakukan
secara berterusan dan dengan cara mengenal pasti punca yang membawa kepada
masalah ini timbul dan seterusnya mengambil langkah untuk melakukan pemulihan
secara efektif dan berhemah.