Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan
dikasihi Allah,
Kita diperdengarkan dengan pelbagai nyanyian label
ke atas satu sama lain. Mereka yang diberi suntikan vaksin dipanggil sebagai vax pusher. Seolah-olah mereka ini
adalah drug pusher yang menjual dadah
bagi merosakkan anak bangsa.
Yang menolak vaksin pula digelar sebagai anti vax atau anti vaccine. Bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seantero
dunia. Soalnya, benarkan anti vax betul betul wujud?
Ada dalam kalangan anti vax memilih definisi baru. Menurut mereka, pro choice adalah pegangan hidup yang
didokong. Pro choice = tidak memilih
vaksin.
Choice atau pilihan hanya wujud apabila terdapat lebih dari satu
kaedah dalam memilih satu-satu solusi terhadap permasalahan yang timbul.
Dalam isu vaksin, menyamakan pro choice sebagai golongan yang anti vaksin adalah satu jenayah
akademik dan melakukan penjenamaan yang tidak tepat.
Dalam berhadapan satu-satu situasi, kita memilih
jalan yang membawa kedamaian dan bukan kerosakan. Kebolehan intelek tanpa
didasari unsur emosi dalam membuat pilihan membolehkan kita memilih solusi yang
betul, secara tepat dan tanpa menzalimi mana-mana pihak.
Dalam isu vaksin, penggunaan pro choice bukan eklusif pada golongan yang menolak vaksin
semata-mata.
Seorang bayi yang mempunyai masalah immunocompromised tidak boleh diberikan
vaksin. Oleh itu, jika anda tidak memberi vaksin kepada bayi ini, anda bukan anti vax. Anda juga bukan pro choice kerana pilihan tidak wujud
sejak dari awal lagi.
Apabila seorang bayi menerima komplikasi alergik
yang teruk hingga hampir meragut nyawa pada waktu pemberian dos pertama vaksin
Hepatitis B, maka tidak timbul isu pro
choice atau anti vax apabila
memilih untuk tidak memberi suntikan kedua vaksin ini.
Hal yang sama patut diambil perhatian apabila
sesuatu wabak berlaku dengan teruk di satu-satu kawasan dan meragut nyawa ramai
kanak-kanak. Maka penggunaan vaksin sebagai langkah pencegahan tidak lagi
menjadi satu pilihan tetapi kemestian. Maka sudah tidak ada istilah keperluan
membuat keputusan di sini.
Anak yang diberi suntikan pentaxim pada dos
pertama mengalami alahan kecil terhadap vaksin itu. Maka untuk dos seterusnya,
terdapat unsur untuk membuat pilihan dengan membuat timbang tara kebaikan dan
keburukan memberi suntikan dos vaksin seterusnya. Bagi saya, mana-mana
keputusan yang diambil tetap dipanggil sebagai
pro choice. Biarpun kelebihan memberi suntikan vaksin melebihi risiko,
tetapi keputusan untuk tidak mengambil risiko tetap mempunyai asas yang shahih.
Begitu juga halnya dalam memilih untuk menggunakan
vaksin mencegah kuman rota virus atau
Meninggococcal meningitis di kawasan
rendah risiko wabak atau keupayaan merawat jangkitan kuman yang efisien seperti
di Malaysia. Hal yang sama adalah dalam isu mengambil suntikan BCG untuk
mencegah tuberkulosis di German. Dalam isu ini, masyarakat mempunyai pilihan
untuk membuat keputusan.
Ada yang tetap berpendirian bahawa mereka memilih
untuk memberi perlindungan imuniti kepada anak-anak dengan cara menjaga
kebersihan, mengawal pemakanan dan pemberian vaksin organik dan halal. Adakah
ini dikira sebagai pilihan. Bagi saya, berdasarkan contoh di atas maka ia
adalah ya dan tidak.
Ya apabila terdapat risiko untuk memberi vaksin
atau penyakit tersebut tidak signifikan di Malaysia. Tetapi apabila ia menjadi
wabak dan termasuk dalam kategori yang kita panggil sebagai public health emergency, maka pilihan
itu secara hakikinya sudah terhapus.
Pro
choice tidak boleh digunakan secara
umum untuk mereka yang memilih untuk tidak memberi suntikan vaksin. Begitu juga
istilah anti vax tidak sepatutnya
diguna kepada ibu bapa yang tidak memberi suntikan imunisasi pada anak-anak
atas alasan perubatan yang kukuh.
Dr.
Jacknaim.